Showing posts with label MASYARAKAT MADANI. Show all posts
Showing posts with label MASYARAKAT MADANI. Show all posts

Monday, August 10, 2009

BLOG BOGEL, TOGEL DAN TOREH

Sesekali melayari bermacam bentuk dan orientasi penulisan blog, terasa aneh bercampur marah pun ada. Turut bersama perasaan benci kerana adakalanya penulis blog tidak pernah ingin menjelaskan pendapat secara rasional bertunjangkan fakta, sejarah dan mauduk perbicaraan. Yang ditonjolkan ialah perasaan marah, benci, meluat dan bersandarkan pendapat peribadi tanpa merujuk fakta dan sejarah. Kalau dirujuk pun ia hanya sekadar menampakkan sisi gelap kehidupan manusia, sedangkan manusia hidup dalam dimensi yang sering berlawanan antaranya.

Kalau ada sisi gelap, mesti ada sisi cerahnya. Kalau ada yang baik, mesti ikut bersama sisi terburuknya, begitulah silih berganti. Namun, adakalanya perilaku itu buruk pada pandangan orang lain, tetapi baik bagi pandangan sesetengah pihak, tetapi penilaian hendaklah dibuat berdasarkan ruang lingkup subjek yang hendak dinilai itu.

Bila orang Islam begitu jijik dengan babi, tidak bermakna orang Islam tidak boleh menerimanya sebagai salah satu makhluk ciptaan Allah SWT. Orang Islam tetap menerimanya, tetapi cuba menjauhi sejarak yang mungkin termasuk tidak memakannya kerana ia juga boleh memudaratkan kesihatan. Telah terbukti bahawa babi itu sebagai binatang pengotor, memakan apa sahaja dan di dalam dagingnya mengandungi sejenis cacing yang tidak mudah mati walaupun daging tersebut dimasak atau direbus.


Tetapi, apabila ada orang bukan Islam mengkritik berdasarkan sudut pandangan yang gelap tanpa berusaha memahaminya terlebih dahulu, ia mengundang kontroversi dan masalah. Bila Jeff Oii memandang Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ektremis, maka beliau telah membuat kesilapan yang boleh mengundang padah. 27 buah badan-badan bukan kerajaan telah bangun mendesak agar beliau memohon maaf atau menerima desakan yang lebih kuat, termasuk keselamatan dirinya.

Emosi telah membakar rasional dakwaannya kerana tidak meneliti dengan lebih mendalam mengenai gerakan Islam itu. Setakat ini belum terbukti bahawa JIM adalah sebuah pertubuhan ektremis sebagaimana Jemaah Islamiyah (JI) yang dikatakan terlibat dengan pengebomnan hotel di Indonesia. Penggiat JI di Malaysia telah semakin lumpuh apabila kerajaan menggunakan ISA menyekat kegiatan mereka.

Tentunya jika tanpa ISA, Jeff Ooi tidak berani berkata demikian kerana ia mungkin akan menerima ugutan yang lebih dahsyat. Begitu juga dengan Ketua Pemuda DAP, Loke Siew Fook yang membidas tulisan Dr. Redhuan Tee Abdullah mengenai "anak luar nikah" Teoh Beng Hock. Kontroversi "anak Teoh yang bakal lahir hasil hubungannya dengan tunangnya" tetap dianggap tidak sah dari segi undang-undang kerana belum berlaku pernikahan antara keduanya.

Loke Siew Fook mesti faham bahawa agama-agama besar tidak pernah menganggap bahawa anak yang lahir hasil bersekedudukan adalah "anak halal." Ia tetap dilarang walaupun masyarakat Barat menerimanya sebagai zuriat mereka, tetapi ia tetap dipanggil anak luar nikah. Bersekedudukan berdasarkan apa pun matlamatnya tetap menerima kecaman cuma kerana ingin mengelakkan daripada malu manusia cuba melembutkan panggilannya. Inilah perubahan terhadap peraturan kehidupan baru yang lebih mementingkan "persetujuan" tanpa bersandarkan leluhur adat dan prinsip agama.

Mungkin Loke Siew Fook lebih bersandarkan pendapat berdasarkan lojik dan kebiasaan masyarakat Cina moden, yang menerima bersekedudukan sebelum nikah sebagai sesuatu yang wajar. Ini sebenarnya merupakan satu penghinaan kepada status dan martabat manusia, kerana manusia dilembagakan berdasarkan peraturan dan adat. Tegaknya masyarakat kerana kekuatan adatnya maka bersekedudukan sehingga hamil sebelum bernikah bukanlah adat, ia adalah satu pencerobohan kemanusiaan yang terbesar.

Begitu juga bila ada penulis-penulis blog mempersoalkan apabila salah seorang pasangan memeluk Islam, anak-anak pasangan tersebut tidak boleh diislamkan. Anak-anak pasangan tersebut perlu dibenarkan mengikut agama asal keluarga tersebut. Saya melihat ini sebagai satu keanehan, kerana hanya tertakluk kepada penganut Islam sedangkan pasangan yang bertukar agama lain tidak menerima kutukan besar.

Katakanlah sepasang manusia yang berkahwin dalam keluarga Hindu, setelah beberapa lama salah seorang darinya berhasrat memeluk agama Kristian. Pasangan tersebut masih boleh mengamalkan agama masing-masing dan anak-anak boleh menentukan sendiri agamanya apabila mencapai tahap dewasa (biasanya berumur 21 tahun).


Keluarga yang taat dengan agama Hindu tidak begitu kuat membuat selaran kerana berlainan agama tidak dijadikan halangan secara psikologi. Namun dari segi agama sebenarnya, berlainan agama juga dilarang hidup sebagai keluarga kerana ia boleh menyebabkan banyak pertikaian mengenai amalan dan pemahaman mengenai ketuhanan. Ini kurang diberikan penilaian, walhal kalau dengan Islam, ia akan diasak seolah-olah telah melakukan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

Memang Islam tidak membenarkan penganutnya kembali ke agama asal dan berkahwin dengan pasangan yang berlainan agama. Ini perlu difahami oleh penulis-penulis blog yang bermazhabkan teladan togel kerana Islam melambangkan penyatuan dan perpaduan di kalangan pasangan. Jika antara pasangan mempunyai kiblat dan kefahaman spiritual yang berlawanan, bagaimana akhirnya rupa bentuk rumah tangga tersebut. Ia menjadi tidak menentu dan sering bertelagah mengenai prinsip kepercayaan. Tidakkah kebahagian itu lahir dari sikap percaya dan saling mempercayai antara satu sama lain berdasarkan kesatuan matlamat dan tujuan hidup?

Penulis-penulis blog haruslah menerima kenyataan bahawa setiap peraturan mengandungi makna yang tersendiri. Kekhususan makna itulah yang perlu digali dan difahami sebelum boleh membuat praduga tertentu. Tanpa berusaha memahami sifat dan situasi itulah menyebabkan budaya bogel, togel dan toreh terus menerima kecaman orang ramai yang masih menyanjungi nilai dan etika agama.

Memang bogel itu tidak salah. Ia akan menjadi sesuatu yang salah jika kita berbogel di hadapan orang lain, kalau dalam bilik mandi ia merupakan kebebasan diri kita sendiri. Kita boleh dan bebas melakukannya dalam privasi kita, tetapi janganlah sampai mengancam privasi orang lain. Dalam konteks ini, kita boleh berselisih pendapat mengenai sesuatu tafsiran tetapi asasnya mestilah sama. Kita tidak boleh berbeza asas jika ingin membuat penilaian terhadap sesuatu kerana perbezaan itulah menyebabkan sengketa dan prejudis yang keterlaluan sehingga menyebabkan huru-hara.


Bagaimana kalau Melayu mengkritik orang Cina yang menurut pandangannya adalah salah bila mempercayai bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sendiri mempunyai kuasa ghaib dan berupaya menentukan nasih manusia. Tetunya, orang Melayu itu tidak wajar kerana tidak memahami falsafah agama Buddha, walhal Buddha sendiri tidak pernah mengajar penganutnya untuk menyembah tokong. Manusia sengaja menjadikan tokong itu sebagai lambang sakral sebagai pusat tumpuan penyembahan, sedangkan tokong itu dibuat oleh manusia sendiri.

Bagi Islam, yang berhak disembah ialah Sang Pencipta. Tidak ada perantaraan. Setiap orang Islam hanya menyembah Allah SWT secara langsung, manakala alim ulamak hanyalah sekadar membantu menunjukkan jalan menuju keredhaanNya, dan bukannya bahan untuk dipuja. Itulah harus difahami kerana konsep Tuhan dalam Islam bukanlah seperti yang difahami oleh agama lain termasuk Buddha, Kristian ataupun Hindu.

Dalam Islam, Tuhan tetap Yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah. Tuhan tidak diperanakkan dan beranak sebagaimana Kristian menganggap Nabi Isa itu anak Tuhan melalui konsep trinitasnya. Namun yang lebih anehnya kenapa penganut Kristian seringkali merpersenda-sendakan anak Tuhan yang menjadi ikon penyerahannya sedangkan umat Islam tidak pernah menghina Nabi Muhamad SAW sebagai peribadi luhur dan mesti dicontohi sepanjang hayat.

Maka adalah wajar bila Perdana Menteri mengarahkan polis untuk menyiasat sebarang bentuk penulisan blog yang berbaur hasutan dan menghina Islam kerana ia boleh menyebabkan kemarahan serta membakar emosi umat Islam. Kita tidak mahu peristiwa penyiaran karikatur penghinaan terhadap Nabi Muhamad yang pernah disiarkan oleh akhbar Denmark menjadi bahan fitnah yang membakar emosi umat Islam. Kita juga tidak mahu pendangan serong dan prejudis Gert Wilder melalui dokumentari Fitna turut berlaku di Malaysia. Ia boleh mengundang perbalahan agama yang sukar untuk diselesaikan seperti berlaku di banyak negara.

Tuesday, July 21, 2009

1MALAYSIA IKUT SYARIAT ISLAM


Oleh SOPI SAMAILE
utusansarawak@utusan.com.my


Gagasan 1Malaysia yang membentuk pembinaan sebuah negara yang bersatu-padu berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini menepati kehendak dalam tuntutan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom berkata, Islam menyatakan manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa bangsa, kulit yang berbeza, budaya serta bahasa dengan matlamat saling berkenalan antara satu sama yang lain.

Katanya, manusia tidak mungkin berkenalan jika tiada hubungan perasaan, saling ada kecurigaan dan kurang yakin antara satu sama lain.

''Misalnya, proses perkenalan tidak akan berlaku antara pasangan kekasih sekiranya kedua-duanya tidak suka kerana perasaan suka itu mesti tumbuh dalam diri masing-masing.

''Jadi, 1Malaysia yang berasaskan prinsip penerimaan, kesaksamaan dan perkongsian adalah satu perkara yang menepati tuntutan Islam malah dalam Islam telah menyebutkan bahawa kita perlu menghargai dan menghormati antara satu sama lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Konvokesyen Ketujuh Ikmas di Telaga Air, dekat sini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Jamil Khir diminta mengulas mengenai sudut pandangan Islam berhubung gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, Rasulullah menyebut bahawa terdapat tiga jenis jiran dalam Islam dengan yang pertama jiran bukan Islam, jiran sesama Islam dan jiran sekeluarga sesama Islam yang menjadi tanggungjawab seseorang muslim itu.

Maknanya kata beliau, Islam mengungkap seluruh orang tersebut (jiran) termasuk dalam golongan yang sama dan hubung kaitnya dengan 1Malaysia adalah merupakan satu usaha membina rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

''Dengan kata lain, tiada seorang pun merasakan dirinya terpisah atau tertinggal dalam arus perdana kehidupan sebagai rakyat Malaysia.

''Semua rakyat di negara ini diberi peluang, misalnya yang pandai akan dapat menyambung belajar manakala yang mampu bekerja dengan baik akan mendapat ruang dalam sektor ekonomi, sosial dan sebagainya," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Jamil Khir memberitahu, persiapan serta persediaan berhubung urusan rakyat di negara ini untuk menunaikan ibadah haji berjalan seperti biasa meskipun terdapat kebimbangan terhadap wabak selesema babi yang berlaku di seluruh dunia ketika ini.

Katanya, bagaimanapun, kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan jemaah haji dari negara ini tidak akan terlibat dengan wabak pandemik tersebut.

''Sebelum ini memang ada cadangan daripada pelbagai kementerian termasuk kementerian kesihatan (Kerajaan Arab Saudi) untuk membatalkannya ekoran kebimbangan terhadap wabak itu tetapi yang memutuskan sama ada boleh pergi atau tidak mesti datangnya dari Menteri Wakaf dan Haji," katanya.