Thursday, April 30, 2009

MENCARI PESONA ORANG MUDA

Dewan Ulamak PAS terus mempertahankan bahawa kepimpinan tertinggi parti itu mestilah dipimpin oleh ulamak. Ia penting bagi meneruskan perjuangan membentuk sebuah negara Islam. Jika pemimpin atasan PAS tidak diwakili oleh kepimpinan ulamak, PAS bukan sahaja menyimpang daripada perjuangan asalnya, malah akan lebih mirip kepada parti sekular, sebagaimana disifatkan sebelum ini terhadap kepimpinan BN.

Perkembangan ini menunjukkan PAS semakin tercabar dan ulamak yang mendokong perjuangan selama ini semakin tidak mendapat sokongan. Pemimpin-pemimpin muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang professional mula menunjukkan pengaruh dan mencabar kepimpinan ulamak yag disifatkan tidak lagi mampu memperhebatkan penguasaan mendapatkan pengaruh.

Perjuangan PAS yang banyak terpengaruh dengan gerakan Islamisme yang dibawa oleh Ikhwanul Muslimin pimpinan Hassan Al-Bana, Syed Qutb dan Jemaah Islamiyat pimpinan Al-Maududi. Perjuangan gerakan Islamisme itu adalah untuk mendirikan sebuah negara Islam walaupun konsep tersebut tidak pernah terdapat dalam sejarah Islam. Bagi Maududi, sebuah negara Islam mestilah yang berteraskan konsep khalifah, manakala Syed Qutb menekankan penyingkiran sikap jahiliyah.

Namun, perkembangan Revolusi Iran pada akhir tahun 1970-an memberikan ilham baru kepada gerakan Islamisme seluruh dunia, termasuk perjuangan PAS. Awal tahun 1980-an, PAS bangkit memperjuangkan penghapusan sikap taghut, menilai dasar penerapan nilai-nilai Islam yang dikembangkan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai "Islam Kulit", mengkafirkan orang Islam yang bukan menyokong PAS, mengeluarkan pelbagai fatwa politik, akhirnya mampu terus bertapak di Kelantan.

Tapi kini, dengan kefahaman baru untuk melupakan perjuangan dalam tahun 1980-an, PAS membuka ruang penyertaan kalangan professional. Kemasukan golongan profesional ini menjadikan PAS semakin tercabar, ideologi perjuangan mengalami herotan. Mengekalkan ideologi asal akan menyebabkan PAS bakal mengalami hakisan pesona.

Tapi percubaan untuk mengekalkan ulamak sebagai pemimpin tertinggi akan memungkinkan kalangan profesional meninggalkan perjuangan PAS suatu ketika nanti. Sebagai pemimpin muda yang mempunyai hasrat dan perjuangan tertentu, akan terus mengharapkan bakat kepimpinan mereka terus meningkat. Kekecewaan itulah yang mungkin menyebabkan mereka lebih berani berdepan dan mencabar kepimpinan lama.

Jika perjuangan mereka tersekat, sikap ambisius pemimpin muda yang semakin bijak mencari pengaruh dan menggunakan kedudukan, dilihat lebih berkeupayaan dari segi material mampu menjadikan PAS semakin tidak lagi relevan. Mungkinkah suatu hari nanti PAS akan berpecah lagi seperti pernah berlaku lewat tahun 1970-an melalui pergeseran politik antara kepimpinan Asri Haji Muda dan Haji Mohd Nasir.

MUngkin kali ini di antara golongan yang memperjuangakan kepimpinan ulamak dengan golongan profesional yang tidak menerima pendidikan rasmi agama secara totok. Golongan profesional ini lebih agresif, berkeupayaan dari segi material, cekap menyusun strategi politik dan menguasai kepimpinan muda akar umbi. Mereka ini sedang membesar dan memetakan pengaruh politiknya sendiri sehingga digelar sebagai kumpulan erdogan dalam PAS.

Tanpa memberikan ruang dan peluang kepada kumpulan erdogan ini dalam pemilihan bulan Jun nanti, PAS mungkin akan semakin kehilangan sengatnya. Yang banyak bersetuju dengan kepimpinan ulamak ialah golongan tua yang semakin menipis dalam daftar pemilih saban tahun.

KAlau dalam PRU ke-12, pengundi muda dikatakan berjumlah 45% daripada 10.9 juta, pada tahun 2013, dijangka mencapai tahap lebih 50 %. Kalau dalam PRU ke-12, seramai 1.4 juta merupakan pengundi yang buat pertama kali terlibat dalam proses pilihan raya, dijangka pada tahun 2013 ia akan menjangkau kepada 2 juta orang.

Telahan ini berdasarkan setiap tahun pertambahan penduduk (kelahiran semula jadi di kalangan warganegara) ialah melebihi 500,000 (contoh yang boleh dijadikan sandaran ialah kemasukan pelajar ke tahun satu setiap tahun bertambah). Jika mengambil andaian bahawa mereka yang lahir pada tahun 1991 sebagai kohort terakhir yang layak mengundi pada tahun 2013, lebih 60 peratus mendaftar, dalam jangkamasa tiga tahun, pengundi yang bakal mendaftar ialah 1 juta orang.

Jumlah pengundi akan bakal mencecah 12 juta, kalau 55 peratus adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun dikirakan sebagai pengundi muda, bererti pada PRU ke-13 nanti kita akan berdepan dengan lebih 6 juta (termasuk 2 juta pengundi baru). Ini yang dilihat oleh kumpulan erdogan, dan kerana itulah mereka harus memasuki arus kepimpinan perdana PAS dan menentukan hala dan matlamat baru. Jik tidak, PAS akan hanya didokong oleh mereka yang berumur lebih 40 tahun, yang memangnya sukar untuk diubah sikapnya.

Jika PAS membuat pertimbangan dalam perspektif ulamak semata-mata, PAS bakal menghadapi tuntutan yang kuat daripada sekutu politiknya sendiri, terutama PKR yang dilihat semakin bijak menggunakan peluang mempengaruhi golongan muda. PKR dilihat lebih terkedepan malah BN terus melakukan perubahan untuk mengembalikan sokongan golongan muda.

Golongan muda Malaysia yang tidak menganggap UMNO sebagai "budi sosial" yang harus mereka balas, sedang mengorak langkah menentukan hala tuju politik negara. Mereka melihat kepimpinan UMNO yang lama sebagai "beban sosial" dan kerana itulah mereka semakin menolak perjuangan UMNO.

UMNO menyedari hakikat ini dan sedang cuba mengurangkan political bashing. UMNO sedang giat mencari kaedah untuk memikat golongan muda, tapi kejayaan adalah bergantung kuat kepada imej yang bakal dicorakkan oleh kepimpinan baru UMNO. Apakah pemimpin baru ini mampu menjadi sebahagian daripada budaya mereka atau terus memerperlihatkan sikap elitis bila berhadapan dengan akar umbi dan masyarakat kebanyakan. Inilah persoalan yang perlu dijawab? JIka masih mengekalkan nilai dan sikap lama, UMNO akan terus turut kehilangan pesona.

1 comment:

  1. Cetusan yang menarik.

    Akan terbitkan semula di laman web http://mylivingwall.com dan paut semula ke blog saudara.

    Teruskan berblog.

    ReplyDelete