Saturday, October 3, 2009

UTAMAKAN TUHAN BERBANDING NENEK MOYANG

Dr. Mohd Redhuan Tee Abdullah.


Saya amat bersimpati kepada seorang pemimpin atau ketua sebuah parti Islam di Selangor yang juga Exco Kerajaan negeri. Lebih malang lagi, exco tersebut terpaksa berhadapan dengan orang dalam parti sendiri, yang meminta beliau meletakkan jawatan. Jika parti ultra kiasu ini mahu mengikuti stail pemerintahan Umar Abdul Abdul Aziz, tindakan exco itu boleh dikira betul. Exco tersebut berhak memberikan kritikan dan mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mengendalikan kes melibatkan pentadbir awam.

Ternyata parti ultra kiasu ini begitu tertutup kepada pandangan dan kritikan yang mana bercanggah dengan gaya urus tadbir khalifah Umar. Dahulu merekalah yang begitu lantang mengkritik. Orang lain semua salah. Sekarang, bila kena batang hidung sendiri, sendiri yang betul, orang lain salah. Jelas sekali, parti ultra kiasu ini tetap tidak mahu mengalah atau mengaku salah, malah mereka masih lagi boleh bersorak gembira kerana ada orang Melayu yang bersekongkol dan mempertahankan mereka.

Untuk makluman pembaca, Umar Abdul Aziz amat mengalu-alukan perbezaan pendapat. Khalifah bersikap terbuka kepada sesiapapun yang mahu mengkritik kepimpinannya. Dalam isu ini, exco berkenaan hanya mahukan supaya pegawai kerajaan yang disiasat tidak dimalukan di khalayak.

Sebenarnya inilah gaya kepimpinan Khalifah Umar. Menjatuhkan maruah orang lain di khalayak tidak dibenarkan dalam Islam. Sebagai contoh, ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah berlaku satu peristiwa seorang yang dituduh menyebarkan berita yang dirasakan boleh membawa kepada fitnah. Lalu orang itu telah dibawa ke hadapan khalifah.

Bagi memastikan berita tersebut, khalifah lalu berkata dengan memetik ayat al-Quran yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang yang fasik membawa suatu berita maka hendaklah kamu menyelidiknya terlebih dahulu, supaya kamu tidak (terburu-buru) membuat satu tindakan ke atas satu-satu kaum di dalam keadaan jahil, maka kamu menjadi menyesal kerana tindakan yang telah kamu lakukan (Al-Hujurat: 6).

Dalam ayat ini merujuk kepada orang fasik, bayangkan dia orang itu munafik atau sekutu dengannya. Mendengar sahaja kata-kata Khalifah Umar, lelaki tersebut memilih untuk menerima maaf daripada khalifah dan tidak meneruskan niatnya untuk menyebarkan berita yang dibawanya itu.

Apa yang ingin saya tonjolkan di sini ialah bagaimana rakyat di bawah pemerintahan khalifah beramal dengan Islam. Ajaran Islam bukan sekadar iman di dalam hati, tetapi diamalkan dalam segala aspek kehidupan. Tujuan khalifah amat murni, agar perkara tersebut tidak membawa kemudaratan di dalam masyarakat dan menimbulkan salah faham. Bayangkan jika yang membuat tindakan itu kalangan musang berbulu ayam yang hanya memperalatkan gaya kepimpinan khalifah Umar untuk membalas dendam ke atas mereka yang tidak disenanginya.

Hari ini, kita amat sedih, kerana hanya mengejar pangkat dan kemewahan, menyebabkan umat Islam lupa untuk menjaga hubungan persaudaraan Islam dan hubungan sesama manusia. Rasulullah SAW telah menyebut betapa eratnya hubungan sesama mukmin. Saling cinta mencintai dan berkasih sayang. Adakah perasaan seperti ini masih wujud di kalangan umat Islam? Jika tidak, bayangkan bagaimana kita boleh mempercayai pihak musang berbulu ayam ini? Kita mesti ingat, pertembungan sesama orang Islam hanya akan melemahkan kita. Walaupun masih ramai orang yang menamakan diri masing-masing dengan nama Islam dan sangat marah apabila dikatakan kepadanya sebagai lemah iman dan kurang Islamik, tetapi dalam masa yang sama mereka mempermainkan ajaran Islam dan membelakangkan ajaran yang diperjuangkan.

Bukan sahaja mereka membawa fitnah yang membawa dosa kepada diri mereka tetapi juga memalukan Islam dan umat Islam. Mereka lebih suka melihat umat Islam jahanam disebabkan sikap ingin membalas dendam sesama sendiri, lantas mempercayai orang lain lebih daripada orang sendiri.

Pada saya, mereka yang ingin mencontohi Khalifah Umar mesti berlaku adil bukannya fasik atau munafik. Umat Islam perlu sedar, kita perlu menjadi contoh kepada umat manusia. Apatah lagi jika mahu mengikuti stail Khalifah Umar. Hendaklah kita malu kepada diri sendiri dan malu kepada Allah SWT sekiranya diri kita sendiri bernama Islam, tetapi tidak beramal dengan ajaran Islam. Ingatlah kata-kata Umar bin Al-Khattab bahawa kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika kita mencari kemuliaan dengan selain daripada cara yang dimuliakan, nescaya Allah SWT akan menghina kita. Sejak dahulu lagi saya tidak percaya kepada golongan ultra kiasu ini dengan slogan yang nampak Islamik.

Saya cukup yakin, bukan mudah untuk exco tersebut menjalankan aktiviti seharian kerana pergerakannya sentiasa akan diawasi oleh golongan ultra kiasu ini dan sekutunya. Lihat contoh terbaru, seorang pemimpin muda dalam pakatan mereka, telah melontarkan satu pandangan agar Ketua Menteri negeri ultra kiasu ini digilirkan. Sebenarnya perkara ini bukan isu baru, sebab ia telah lama dibangkitkan oleh parti Melayu sebelum itu. Parti kiasu ini menyalahkan rakan sekutunya sebagai gila kuasa. Pada mereka, belum sampai masa dan tidak perlu jawatan Ketua Menteri itu digilirkan. Persoalannya, sampai bila? Tunggu kiamat? Tidakkah kita masih ingat, sebelum ini telah beberapa kali, sebuah parti Melayu Islam membangkitkan isu yang sama dengan alasan mereka mempunyai kerusi majoriti? Adakah permintaan atau pandangan itu dilayan oleh parti sekutu mereka? Jawapannya juga, tidak.

Apa yang boleh kita belajar? Maknanya, mereka ini tidak ada dua atau tiga, tetapi mereka hanya ada SATU. SATU inilah yang menjadi mereka kuat. Sebab SATU ini bersatu mempertahankan hak kebanggaan neneka moyang mereka. Ibarat Islam, Islam hanya ada SATU, kita mesti bersatu memperthankan yang SATU. Bezanya SATU ini tidak bersifat perkauman tetapi bersifat sejagat. Saya harap kita semua faham apa yang saya maksudkan.

SAya yakin selepas ini saya akan dituduh sekali lagi, tidak dapat memahami golongan ini secara mendalam walaupun saya sebangsa. Saya juga akan dituduh bersalah kepada nenek moyang. Persoalan saya, apa guna nasib keturunan nenek moyang terpelihara, jika maruah agama tergadai atau dipersenda? Mana lebih utama, nenek moyang atau Allah Yang Maha Agung?

Pada mereka mungkin nenek moyang, tetapi pada saya Allah SWT segala-galanya. Oleh kerana nenek moyang dijadikan Allah SWT, maka saya mesti sujud, ia tetap terpahat di hati untuk diingati. Keturunan bagi saya sudah tidak penting apabila berlaku pertembungan dengan kepentingan Tuhan yang telah membuka hati ini untuk menerima Islam. Allahuakbar!

Kepada mereka yang merasakan keturunan lebih penting berbanding Tuhan, maka jagalah keturunan itu baik-baik. Muliakan mereka. Jangan berzina. Jauhi hubungan terlarang. Sahkan hubungan suami isteri . Buat yang disuruh, jauhi yang dilarang. Kotakan kata-kata amar makruf nahi mungkar. Barulah keturunan nenek moyang menjadi mulia dan aman di alam kubur. Jika tidak, nenek moyang kitalah akan berantakan kerana kita sebenarnya telah khianat kepada mereka. Janganlah kita berlagak pandai bercakap pasal keturunan dan nenek moyang, jika kita sendiri yang khianat atau menjadi munafik.

Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009.


No comments:

Post a Comment