Monday, October 5, 2009

BAGAN PINANG, PEMBANGKANG SEMAKIN TERDESAK

11 Oktober 2009, hari mengundi bagi PRK Bagan Pinang. Hari itu merupakan hari ke-22 umat Islam berada dalam bulan Syawal manakala tinggal lagi enam hari, kaum India akan menyambut pesta cahaya atau deepavali. Tarikh tersebut juga merupakan tarikh yang bakal menyaksikan apakah 13,664 pengundi berdaftar memberikan sokongan kepada BN bagi mengekalkan kerusi tradisi itu ataupun berlakunya perubahan tektonik politik yang menyebabkan pakatan pembangkang terus memperbesarkan egonya?

Jika pembangkang, khususnya PAS menang dalam gelanggang Tan Sri Isa mungkin akan menyebabkan banyak pemerhati membuat kesimpulan bahawa BN memangnya tidak lagi diterima terutama di kalangan generasi yang berumur di bawah 45 tahun. Separuh daripada pengundi di Bagan Pinang merupakan mereka yang berumur dalam kohort tersebut, dan telah pun banyak ulasan mengenai trend pengundian mereka dikupas.

Dengan menggunakan data dan pola pengundian pada tahun 1999, misalnya, Maznah Mohamad pernah mengulas, pada masa depan, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang "would be the three crucial states for UMNO, bercause UMNO will need to be responsive to the younger middle-class Malays who are concentreted in these more industrialized and urbanized states.

"In these areas, the strategy of merely retaining its traditional support would eventually become ineffective if a new basis for recovering legitimacy is not found." Tulisan itu dibuat selepas pilihan raya umum ke-10, dan diterbitkan pada tahun 2003 dalam Francis Loh Kok Wah dan Johan Saravanamuttu, eds., New Politics in Malaysia, oleh Institut Kajian Asia Tenggara, Singapura.

Memang ada benarnya juga jangkaan tersebut, kerana dua daripada tiga buah negeri telah pun berlaku perubahan kepimpinan. Sedikit kegelinciran pengaruh turut berlaku di Negeri Sembilan walaupun tidak boleh dianggap sebagai tsunami, pelantar tektonik politik sudah bergeser memantulkan ombak-ombak kecil.

Kedudukan kerusi DUN ialah BN tinggal 20, manakala pembangkang 15 (10 DAP, 1 PAS dan 4 PKR). Satu lagi sedang menjadi rebutan antara PAS dan BN. Peringkat awal, berdasarkan petunjuk yang ada, BN dijangka mampu mempertahankan kerusi tersebut berdasarkan populariti dan hubungan akrab Tan Sri Isa dengan pengundi-pengundi sekampungnya.

Calon PAS sejak awal lagi tidak mengharapkan harapan tinggi kerana bersikap "underdog" dan takut kecundang lagi setelah tiga kali tewas di gelanggangnya sendiri di DUN Lenggeng. Walau apapun, cabaran calon PAS tidak boleh dipandang rendah kerana ramai yang maklum, sebagai puak yang menyerang, mereka akan melakukan apa sahaja yang boleh mendatangkan sokongan.

Berdasarkan strategi menyerang itulah nampaknya UMNO terpaksa berhempas pulas untuk memperbetulkan kerosakan imej yang dilakukan oleh pembagkang dengan pelbagai jenama dan kaedah. Terbaru turut dikesan ada segelintir atau sekumpulan menyamar sebagai pekerja BN mengutip nombor akauan bank dan nombor kad pengenalan, kerana ada yang akan memberikan ganjaran wang, jika mengundi BN.

Corak yang hampir sama dilakukan oleh pembangkang dalam usaha mempengaruhi pengundi Permatang Pasir. Cuma yang berbeza ialah di Permatang Pasir mereka menggunakan wang palsu, di Bagan Pinang mereka memberikan wang RM 50 seorang apabila memberikan no kad pengenalan atau mykad. Ini mungkin kerana mahu mengimbangi kebimbangan awal terhadap lebih 4,000 orang pengundi pos yang dikatakan sebagai jaminan kemenangan BN.

Sikap pembangkang yang kurang gentlemen dilihat sebagai terlalu terdesak untuk menentukan kemenangan. Namun, hingga setakat masih belum kedengaran ada tokoh utama PKR yang menyinsing lengan dan menisankan peluru sesat kepada pengundi. Khabarnya masih berada di luar negara untuk meyakinkan rakan-rakannya, yang kini mula tidak yakin bahawa beliau mampu merubah kepimpinan politik Malaysia.

Apabila kerajaan melantik bekas Menteri sebagai Duta ke Amerika Syarikat, Datuk Dr. Jamaludin Jarjis, Anwar seolah-olah bak cacing kepanasan kerana ruang bertemu dan memperbetulkan tanggapan negatif terhadap politik Malaysia terbuka luas. Masyarakat Amerika Syarikat mula menyedari bahawa sokongan mereka selama ini terhadap perjuangan Anwar adalah silap, dan pendedahan majalah Economist sebagai sesumpah memangnya tepat. Ramai yang tahu kelibatnya, sehingga Chandra Muzafar yang pernah menyanjungi perjuangan Anwar dan membela penangkapannya pada tahun 1998, mengeluarkan kenyataan yang sama, lama sebelum majalah tersebut membuat kesimpulan.

Tok Guru Nik Aziz juga masih membisu mengenai Bagan Pinang. Mungkin beliau takut akan dicabar dan diberikan sisa peluru yang pernah dilepaskan oleh Ibrahim Ali kerana tidak sanggup meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar atas faktor usia, pemikirannya kurang bernas dan gagal membangun Kelantan walaupun mempelawa Tun Dr. Mahathir ke Kelantan menyaksikan apa yang telah dilakukan.

Ramai orang tahu, slogannya Membangun Bersama Islam sebenarnya adalah retorik. Dakwaannya bahawa semasa pentadbiran PAS sejak tahun 1990, telah banyak dilakukan untuk kepentingan rakyat, termasuk pembangunan rohani. Tetapi yang nyata, lebih ramai pemuda Kelantan mati akibat HIV/AIDS berbanding negeri-negeri lain. Data tersebut tidak perlu disembunyikan lagi kerana ramai yang tahu, penagih dadah juga antara yang teramai, termasuklah, mereka yang mencuri masuk ke Thailand mencari keseronokan.

Memangnya tidak ada kedai menjual nombor judi di Kelantan, tetapi tidak bermakna sudah terhapus sama sekali pembeliannya. Diberitakan, ada perkhidmatan pemandu teksi khusus yang akan menguruskan pembelian nombor tersebut sama ada di Kuantan ataupun Pengkalan Hulu, di Perak. Teksi tersebut akan mengumpul mereka yang ingin membeli nombor dan sebelah petang akan menyerahkan nombor tersebut kepada setiap yang memesannya. Sebahagian besarnya ialah orang Melayu.

Arak tidak dijual secara bebas dan hanya diberikan kebenaran kepada kaum-kaum tertentu. Walaupun tidak ada arak, tidak bermakna tidak ada peminumnya. Arak kadangkala digantikan dengan tuak tar (air nira yang diperam beberapa hari) yang banyak disediakan oleh masyarakat keturunan Siam, masih ramai juga yang meminumnya. Kalau tidak setiap hari pun, sesekali ketika masyarakat berketurunan Siam mengadakan majlis "masuk cha atau masuk jadi sami" dan joget rambong.

Apabila Hassan Ali marahkan kacau daun exco bukan Melayu penguatkuasaan penjualan arak dan merampas jualan arak secara terbuka, Nik Aziz sedikitpun tidak memberikan sokongan moral, sebaliknya mewajarkan tindakan rakan politik bukan Melayu di Selangor. Dalam kes SELCAT, Nik Aziz juga tidak memberikan komen terhadap apa yang dilakukan oleh Hassan Ali, sebaliknya menyokong penentang-penentangnya. Kenapa Nik Aziz tak komen apabila Teng menyuruh Hassan Ali bertaubat kerana "berbohong" dan Hassan Ali pula mencabar Teng, supaya bertaubat terlebih dahulu serta membuktikan pembohongan yang telah dilakukan itu.

Apakah ada pengertian taubat sebagaimana diamalkan oleh orang Islam dalam kamus masyarakat bukan Islam? Itu kita tidak tahu, walaupun Dr. Reehuan Tee Abdullah pernah mempertikaikan sikap bukan Melayu apabila memperkatakan tentang Islam dan keistimewan Melayu. Nik Aziz tidak setuju kerana Melayu itu konsep Assabiyah, maka tidak seorang pun yang berani mencabar supaya Tok Guru membuat kenyataan mengisytiharkan keturunannya sendiri.

Mungkin kerana merasakan dirinya betul, maka berhak berkata demikian. Konsep assabiyah telah disalahtafsirkan, jauh tersasar daripada apa yang dimaksudkan oleh Ibn Khaldum yang memperkenalkannya sebagai bentuk cabaran dalam pembinaan tamadun Islam. Mungkin kerana sebahagian besar daripada kita tidak membaca tulisan monumental itu menyebabkan kita mudah terkena serapah dan jampi Tok Guru. Pakatlah kita sama-sama mengkaji kembali apa yang dimaksudkan assabiyah oleh Ibnu Khaldum, jadi kenalah baca Mukaddimah, sudah pun diterjemahkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka beberapa tahun lalu. Elok kita kaji, kita teliti dan kupas sedalam-dalamnya. Kita bandingkan dengan apa yang Tok Guru kata. Kalau Tok Guru betul, kita terima tetapi Tok Guru harus mengaku kesilapan bila tafsirannya tidak tepat.

Jangan pula Tok Guru melenting apabila ada pihak memulangkan apa yang Tok Guru pernah katakan. Tok Guru pernah cabar Tun Dr Mahathir ekoran krisis politik apabila memecat Anwar, tetapi apabila orang cabar Tok Guru, membuat kesimpulan " cerita lama." Jadi, kalau begitu, Tok Guru mestilah jadi orang baru yang bersemangat baru dan berfikiran baru, barulah relevan dengan perubahan dan persekitaran semasa. Tok Guru pun tidaklah perlu lagi membawa cerita lama, "sokong PAS, boleh masuk syurga" kerana isu itu telah lama dibangkitkan oleh calon PAS sejak tahun 1964 lagi.

PAS di Bagan Pinang mungkin kecundang kerana kekuatan calon tidak ada di situ. Namun mungkin kerana ada sokongan dan dorongan komponen pembangkang, PAS dijangka mampu meraih undi dan mengurangkan sedikit kemenangan majoriti BN, itupun di kalangan pengundi India dan ahli PKR. PKR pun tidaklah membuat kekuatan yang besar, kerana turut dilihat semakin kehilangan arah dan berpecah walaupun seorang daripadanya teringin sangat nak jadi calon tetapi kecewa tiada pencadang dan penyokong.

Secara umumnya, dilihat daripada corak kempen yang semakin kotor dan kasar dilakukan oleh pembangkang, PAS semakin terdesak mempengaruhi pengundi yang masih mengenangkan legasi yang pernah dilaksanakan TAn Sri Isa sepanjang 22 tahun menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Port Dickson pesat membangun sehingga muncul sebagai sebuah destinasi pelancongan terkemuka, berbanding dengan sejarah Bagan Pinang yang hanyalah pada mulanya sebagai tempat persinggahan pengembara dan pedagang untuk mengambil air bersih dan sekadar berteduh dari tiupan angin monsun.

Laluan yang diperbuat dengan batang pinang, akhirnya memberikan nama kepada Bagan Pinang bukanlah sebuah kawasan yang tertinggal jauh jika nak dibandingkan dengan Manek Urai yang diwakilrakyatkan oleh PAS sejak sekian lama. Penduduk Bagan Pinang membangun lebih lama daripada Manek Urai dan tidak ada banyak rungutan penduduk mengenai sikap pemimpin yang hanya pandai berjanji tetapi tidak tepati sebagaimana berlaku di sebuah kampong di Dabong, perhubungan yang amat sukar jika berlaku kecemasan waktu malam kerana pengemudi sampan takut menyeberang, takut terlanggar tunggul-tunggul kayu yang hanyut.


No comments:

Post a Comment