Monday, October 26, 2009

ANTARA BATERI 3A DAN EGM PAS



Sepanjang minggu lepas, terdapat dua isu menarik mengenai politik Malaysia terutamanya berhubung dengan kekuatan gabungan pakatan rakyat. Isu pertama yang menarik ialah komen Dr. Latif Ahmad mengenai kekuatan PKR hanyalah bergantung kepada ketahanan kuasa bateri 3a manakala dalam PAS sudah terdengar rungutan bahawa PAS memerlukan muktamar khas bagi menentukan kedudukan presiden, timbalan presiden, setiuasaha dan Pesuruhjaya PAS Selangor berhubung dengan usaha menjalin hubungan dengan UMNO dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Kekuatan PKR hanya bergantung tiga peneraju utama, iaitu Anwar Ibrahim (de facto), Wan Azizah (isteri Anwar Ibrahim dan Presiden) dan Azmin Ali . Oleh kerana sebarang keputusan banyak bergantung kepada mereka bertiga, perlantikan Zaid Ibrahim sebagai menggantikan Jeffery Kitingan, mendapat tentangan Azmin. Apabila ditentang, maka terpaksa Zaid direhatkan selama enam bulan (katanya bercuti dari aktiviti biro politik), dan beliau mengambil tempat itu. Azmin juga ditentang oleh ahli PKR Sabah, dan diganti pula dengan tokoh tempatan.

Maka Azmin Ali yang pernah cuba mencadangkan Menteri besar Selangor supaya menukarkan EXCO yang kurang berkesan mendiamkan diri buat beberapa hari. Azmin mungkin terkedu dengan keputusan tersebut, dan jelas membuktikan bahawa orang Sabah lebih baik daripada beliau yang terlalu kuat mempertahankan kedudukan Anwar Ibrahim, termasuk mempersoalkan pengundi Bagan Pinang apabila PAS mendapat kekalahan. Azmin seolah-olah menanggap pengundi Bagan Pinang tidak tahu memilih pemimpin, kerana
lakukan kesilapan mengembalikan kedudukan Tan Sri Mohd Isa Samad sebagai wakil rakyat setelah direhatkan kerana tindakan disiplin atas masalah politik wang.

Semua orang tahu bahawa PKR sekarang sedang dilanda masalah besar. Penasihatnya masih belum selesai dengan tuduhan meliwat Saiful, manakala usaha untuk mengetepikan penolakan saman RM100 juta oleh Tun Dr. Mahathir mengalami kegagalan, kini mencuba menjadi jaguh bercakap dalam Dewan Rakyat mengenai keperihatinan kerajaan terhadap rakyat. Sudah dua kali hujahnya berjaya dipatahkan, termasuk mempersoalkan peruntukan untuk sektor pertahanan dan semalam mengenai tindakan kerajaan terhadap laporan salah guna kuasa. Tokoh dari Sabah turut memulangkan kritikan bahawa BN tidak bersekongkol dalam hal itu, dan terus berazam untuk menghapuskannya.

PKR hanya tahu bercakap daripada bertindak, maka tidaklah hairan apabila Tun Dr. Mahathir turut memberikan ulasan, mungkin mereka memerlukan tempoh selama seratus tahun untuk belajar mengurus negara. Setelah memerintah beberapa buah negeri, masih belum kelihatan secara jelas pakatan rakyat melakukan sesuatu demi untuk kepentingan rakyat, kecualilah gimik politik semata-mata. Seperti pernah disuarakan ialah Perdana Menteri, janganlah kerana menanggung bayaran air dalam beberapa ringgit dan elektrik, sanggup kita "mencurahkan air di tempayan." Kita harus berfikir dan merenung sedalam-dalamnya bahawa apa yang dilakukan itu kerana sudah terdesak dan tertekan oleh kerana janji yang pernah dibuat.

DAP juga mempunyai masalah, terutamanya berhubung dengan persepakatan mengenai PAS berkaitan dengan Islam. PAS seolah-olah telah ditutup bisa mulutnya apabila Menteri Besar mengehadkan kuasa exco yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam. Penjualan arak secara terbuka di kedai runcit dalam kawasan majoriti penduduk Melayu menjadi bahan konflik yang menyebabkan pemimpin tertinggi PAS mengambil sikap "membisu". Dan kerana itu, ia pula dituduh cuba mengkhianati semangat pakatan rakyat dan terus ingin meneruskan cadangan membentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Maka Tok Guru yang berumur 78 tahun itu menulis dengan nada kesal. Mengharapkan akan adanya muktamar khas untuk menentukan kedudukan empat orang pemimpin penting, tanpa menyesal akan berlakunya perpecahan dalam parti yang berjuang dengan prinsip Islam itu. PAS mungkin rasa terpukul dengan kemerosotan majoriti dalam PRK Manik Urai kerana berkonflik peringkat awalnya tidak membenarkan Timbalan Presiden ikut berkempen kerana telah diminta meletakkan jawatan termasuk sebagai Ahli Parlimen Bachok. Alasan Tok Guru sangat mudah, tidak tahu bahawa Nasharudin Mat Isa dirawat di Hospital Serdang kerana "tidak diberitahu" dan menyembunyikan kemarahan tersebut.

Lebih parah lagi apabila orang harapan PAS, Zulkifley tewas di Bagan Pinang dengan undi yang lebih besar memihak kepada calon BN/UMNO. Kemenangan BN telah meletuskan semangat baru untuk dijadikan asas bertindak bagi mengembalikan sokongan orang Melayu, maka PAS semakin berada dalam kepanasan luar biasa. PAS perlu mencetuskan sesuatu bagi melupakan minat orang ramai yang mula melihat kepada UMNO, maka keperluan Muktamar Khas itu dijadikan strategi terbaru. Isunya, banyak pihak dalam PAS sendiri tidak bersetuju kerana bertentangan dengan perlembagaan parti, maka Sallehudin Ayub diberikan tanggungjawab untuk membawanya kepada PAS Pusat, yang akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Oktober.

Semalam juga Penasihat DAP membuat perhitungan yang menarik. Lim Kit Siang meminta agar semua pemimpin parti dalam gabungan pakatan rakyat mengadakan kontrak kesetiaan selama 20 tahun. Kontrak tersebut dilihat penting bagi menjadikan gabungan itu berkesan dan mampu menghadapi saingan daripada BN. Walau bagaimanapun, ada pihak melihat cadangan tersebut hanyalah sebagai respons Lim Kit Siang terhadap butir-butir perbincangan dua orang wartawan pada 11 Oktober lalu mengenai kesukaran PKR mendapat sokongan lebih 40 peratus pengundi Melayu dan 75 peratus pengundi bukan Melayu.

Daripada 165 kerusi Dewan Rakyat di Sememanjung, jika berjaya mengekalkan tahap tersebut, PR hanya mampu menguasai 113 kerusi dan masih mengharapkan sumbangan 9 kerusi lagi daripada Sabah dan Sarawak bagi membentuk kuasa majoriti mudah dalam pilihan raya umum ke-13 nanti. Walau bagaimanapun, kedua wartawan tersebut tidak nampak PR mampu melakukannya dengan mudah, kerana politik komunalisme masih kuat dan menunjang dalam sanubari pengundi Melayu. Kekuatan ini akan terus menjamin kelangsungan UMNO, kerana pada akhirnya orang Melayu akan menilai kedudukan mereka apakah keadaannya apabila PR memerintah.

Komunalisme akan terus dieksploitasi secara meluas, dan ini diyakini akan memberikan kelebihan kepada UMNO berbanding PAS yang dilihat semakin liberal, manakala PKR belum jelas idealisme perjuangannya selain ingin menjadi Perdana Menteri dan DAP terus dilihat sebagai sebuah parti politik yang terlalu kiasu. Maka, setelah satu biji bateri 3A kehabisan kuasanya, PKR dilihat akan mengalami masalah besar, yakni jika Anwar didapati bersalah meliwat Saiful Bakhari Azlan, akan malaplah pandangan. Azmin Ali dianggap tidak mampu menjadi faktor penyatu dalam PR, malah terlalu mudah untuk dikeronyokkan oleh DAP. PAS tanpa Nik Aziz akan dilihat semakin gerhana kerana Haji Hadi tidak mempunyai karisma bagi meneruskan kesinambungan kuasa setelah diuji hanya mampu bertahan selama sepenggal di Terengganu.

Nasharudin Mat Isa belum tentu dapat bertahan jika bertanding di luar Kelantan, atau kembali ke negeri asalnya, Negeri Sembilan. Banyak pihak menjangkakan beliau akan kecundang, kerana kemenangannya hanyalah atas sokongan Tok Guru bukannya pengaruh peribadinya sendiri. Kerana itulah Tok Guru marah apabila Nasharudin berjaya mempertahankan kedudukan dalam PAS walhal Tok Guru amat menyayangi Husam Musa sebagai Timbalan Presiden.

Nampaknya, pergolakan kepimpinan PAS Kelantan amat berkait rapat dengan tumpasnya calon-calon daripada "orang Tok Guru" pada bulan Jun lalu, sehingga Musyidul Am PAS tetap berkeras bahawa beliaulah nakhodanya. Dialah yang telah menaburkan baja, menyiram dan menyuburkan benih sehingga PAS semakin berpengaruh serta mampu mempunyai Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur.Atau mungkin suatu hari akan pecah juga, bahawa PAS Kelantanlah yang banyak membantu membiayai pilihan raya dan mengeluarkan dana berkempen sama ada dalam pilihan raya umum lalu ataupun pilihan raya kecil yang disertai oleh calon PAS.Kerana PAS negeri-negeri lain tidak mempunyai kuasa memerintah, maka tidak mempunyai sumber kewangan bagi membiayai. Itu mungkin akan diakui suatu masa nanti. Hanya masa dan ketika sahaja akan menentukannya.

Dan. kerana itulah Lim Kit Siang perlukan kontrak 20 tahun bagi mengumpulkan sumber dan kekuatan. Selapas itu, kalau nak pecahpun PR, ia tidak menjadi soal. DAP sudah bertapak dan mampu mengukuhkan kedudukan, yang lain terpulanglah dengan strategi masing-masing. Waktu itu, DAP mungkin tidak lagi perlukan rakan-rakan untuk membantu, DAP sudah kuat dan mampu melakukannya secara bersendirian. Itu hanyalah kemungkinan, kemungkinan itu bersandarkan dakwaan Lim Kit Siang bahawa kerana sokongan DAPlah PAS kembali mendapat sokongan setelah berkeadaan seperti nyawa-nyawa ikan dalam Dewan Rakyat, iaitu dua kerusi.

Sebenarnya DAP banyak mendapat manfaat melalui gabungan tersebut. Tanpa gabungan dalam PR, DAP sudah hampir kehilangan semangat kerana pernah tewas 100 peratus di Negeri Sembilan pada tahun 1999, tiga projek Tanjung di Pulau Pinang kecundang sehingga memutuskan "tiada lagi projek tanjung", sedangkan PAS terus kekal berkuasa di Kelantan. DAP sebenarnya banyak menumpang pengaruh Anwar Ibrahim yang berjaya meniupkan semangat kebencian rakyat terhadap BN. Itulah kedudukan sebenar, maka hati-hatilah jika ingin memetrai kontrak setia selama 20 tahun itu.

No comments:

Post a Comment