Thursday, October 1, 2009

PENJARAH IJAZAH PALSU DAN GELARAN SOSIAL

Gesaan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar dikaji peraturan bagi menyabitkan kesalahan terhadap penjarah ijazah dan gelaran sosial sosial sebagai perbuatan jenayah telah membangkitkan minat segelintir masyarakat yang muak dengan sikap sesetengah rakyat negara ini yang sanggup membudayakan sesuatu yang palsu. Bagi sesetengan pihak ia mungkin dianggap sebagai isu yang remeh kerana penggunaan tersebut hanyalah sekadar ingin menunjukkan status sosial tertentu dan digunakan dalam keadaan tertentu sahaja.

Penggunaan ijazah dan gelaran palsu bukanlah perkara baru dalam masyarakat. Tetapi, yang dibimbangkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu mungkin berasaskan dua sebab, iaitu menggalakkan penyamaran atau budaya palsu dan mencemarkan status mengenai pemakaian gelaran tersebut ke satu tahap orang tidak lagi menghormatinya. Kita sedia maklum, untuk mendapatkan ijazah seseorang itu perlu mengambil masa yang lama memperlengkapkan pengetahuan, mengadakan kajian dan mempertahankan teori yang dijadikan bahan kajian.

Begitu juga untuk mendapatkan gelaran datuk, ia bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh diberikan begitu sahaja. Ada sesetengah gelaran kebesaran itu diberikan berdasarkan criteria tertentu yang tidak boleh diperoleh oleh semua orang. Ada pula dihadkan kepada mereka yang tertentu sahaja, dan jika dianugerahkan ia mestilah melepasi tahap piawaian yang ditetapkan oleh sebuah majlis atau jawatankuasa.

Saya pernah berdepan dengan seseorang yang mengakui dirinya sebagai datuk, tetapi cara dan gaya tidak sedikitpun membuktikan dirinya pernah mendapat gelaran tersebut. Tidak menampakkan kematangan dan dari segi usia pun jauh lebih muda daripada saya. Dan, kerana itu saya menjadi sangat setuju apabila Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mencadangkan agar kriteria pemberian gelaran datuk itu dipinda kepada mereka yang berumur 40 tahun ke atas. Kadangkala kita sendiri pun menjadi keliru, apakah sumbangan istimewa seseorang yang bergelar datuk jika dibandingkan dengan usianya, yang hanya baru menjejak angka 30 tahun.

Ini tidak pula bermakna mereka yang benar-benar memberikan sumbangan cemerlang kepada negara, menghasilkan sesuatu prestasi menakjubkan perlu disekat kerana terlalu muda. Mereka boleh diberikan pertimbangan jika benar-benar menunjukkan prestasi membanggakan negara seperti pernah diraih oleh Datuk Nicol David, Datuk Lim Chong Wei dan sebagainya. Sebahagian besar masanya digunakan untuk menyumbang kepada pilihan kerjayanya sebagai wakil negara dalam bidang sukan dan hasilnya membanggakan negara.

Banyak juga mempersoalkan ada yang mendapat gelaran datuk itu tidak memberikan sumbangan besar kepada negara, sebaliknya pernah mencalarkan imej negara dengan pelbagai cara. Perkara ini amatlah jelas apabila mereka yang mendapat gelaran datuk itu “tidak lagi menjaga tingkah lakunya” kerana ingin memanjangkan pencariannya dalam kancah yang berlawanan dengan pekerti yang ditetapkan sebelum mendapat gelaran tersebut.

Mereka sanggup melakarkan plot pengkhianatan yang besar demi mencapai cita-cita besarnya sendiri, sehingga menjadikan gelaran datuk itu sebagai batu loncatan. Walaupun demikian, gelaran tersebut boleh ditarik balik jika pihak yang menganugerahkannya mempunyai bukti dan kesungguhan untuk berbuat demikian. Ini pernah berlaku dalam sejarah, dan pernah diingatkan berkali-kali supaya menjaga nama baik gelaran yang diberikan itu.

Bagi yang terlalu inginkan mendapt gelaran datuk, mereka sanggup melakukan apa sahaja termasuk “melobi” dan “membeli gelaran” tersebut sama ada secara sah atau tidak. Saya pernah terserempak dengan seseorang yang pernah menawarkan gelaran tersebut, asalkan sanggup membayar sejumlah wang. Anugerah itu akan diberikan dalam satu majlis tertentu, yang hanya akan diberitahu apabila jumlah penerimanya mencukupi dan sampai masanya.

Tetapi, seorang kawan yang menganggap gelaran datuk akan memberikan kelebihan tertentu, mengisi borang yang berikan itu bersama sejumlah wang sebagai deposit. Saya menasihatkannya supaya menangguhkan hasrat tersebut kerana jika beliau memakai gelaran tersebut nanti, saya tidak lagi menghormatinya sebagai datuk yang bergelar. Saya akan memanggilnya “datuk kena beli.”

Begitu juga dengan rakan sekolah saya yang menggunakan gelaran akademik tertinggi di pangkal namanya. Setelah beberapa tahun tidak bertemu, suatu hari saya mendapat khabar bahawa rakan tersebut ingin sekali bertemu saya. Tanpa diduga, beberapa selepas itu, secara kebetulan saya bertembung dengan rakan itu dalam satu majlis yang turut dihadiri ramai peniaga, kontraktor muda dan pengusaha. Setelah bertegur sapa, mengingatkan kisah-kisah lama, kami saling bertukar-tukar kad nama.

Saya memerhatikan “kad nama” tersebut terpampang ijazah kedoktoran yang diperolehnya.
Pada mulanya saya tertegun dengan kesungguhannya sehingga memperoleh ijazah kedoktoran bagi membolehkannya memakai gelaran tersebut. Tanpa mempunyai prasangka keterlaluan, saya bertanyakan beliau sejak bila memperoleh gelaran tersebut dan di mana. Kawan saya itu hanya membisu, dan apabila didesak beliau menceritakan bahawa “sengaja diletakkan” kerana “ingin memambahkan keyakinan orang apabila berhubung dan bertukar-tukar pendapat.”

Entah macam mana minda saya terus mengingatkan zaman persekolahan kami sejak di sekolah rendah hinggalah peringkat menengah. Rakan saya yang mempamerkan gelaran keilmuan itu, seingat saya berhenti bersekolah apabila mendapat pangkat 3 Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1974. Saya meneruskan pengajian ke tingkat enam dan seterusnya menyambung pengajian universiti tetapi tidaklah sampai ke peringkat kedoktoran kerana “tidak yakin mampu menyelesaikan tahap pengajian tersebut.” Walaupun keinginan itu masih ada.

Pencarian saya tidak terhenti setakat itu, setiap kali menemui rakan-rakan lama saya akan bertanyakan mengenai “proses pengajiannya sehingga mendapat ijazah kedoktoran.” Sekian ramai rakan lama yang saya temui, tiada seorang pun boleh mengesahkan “pengembaraan mencari ilmu bagi mendapatkan ijazah kedoktoran” tersebut.

Akhir tahun lalu, saya bertemu kembali dengan rakan lama itu, dan kali ini beliau sudah lupa dengan pertanyaan asal saya. Dia menghulurkan kad nama yang baru, tetapi tidak lagi menunjukkan mempunyai ijazah kedoktoran, hanyalah sekadar mempamerkan jawatannya dalam syarikat yang ditubuhkan sendiri.

Saya tidak juga berhasrat untuk mendesak agar beliau memberikan butiran lanjut mengenai gelaran akademik yang pernah dipakainya. Perbualan kami hanya sekadar bertanyakan khabar dan bercerita mengenai pencapaian anak-anak. Dua orang anak beliau telah pun berjaya menamatkan pengajian universiti untuk ijazah pertama.

Tetapi apabila saya mula berteori dengan beliau sekadar ingin menguji tahap pengetahuannya, beliau sering mengelak dengan pelbagai alasan. Ingin cepat kerana mengejar masa untuk ke lapangan terbang ataupun menemui seseorang.

Beberapa tahun lalu saya pernah mengalami pengalaman yang menakutkan apabila mendapat khabar untuk mendapatkan ijazah kedoktoran “tidak perlu menulis disertasi”, cukup dengan hanya menghadiri kelas dan mengaudit pengalaman bekerja. Pada mulanya saya turut tertarik, tetapi apabila menemui pihak yang menawarkan proses pembelajaran sedemikian, saya menjadi takut dan tawar hati.

Takut kerana jumlah perbelanjaan yang diajukan kepada saya ialah melebihi RM 20,000 manakala nama universiti yang akan menganugerahkan tidak pernah saya dengar dan apabila disemak melalui laman web, saya gagal menemuinya. Tetapi menurut penjelasannya, university tersebut merupakan sebuah universiti yang berprestij di Eropah, dan proses pembelajarannya boleh dilakukan dalam negara, melalui kemudahan dan kecanggihan teknologi.

Apa yang penting ialah membayar yuran tersebut menurut pelan bayaran insuran yang ditetapkan. Keperluan lain seperti menyediakan kertas kerja atau kertas projek untuk dinilai akan disediakan oleh pihak yang menguruskan pengajian tersebut dalam negara. Peluang untuk lulus adalah terjamin, dan kerana itu saya menangguhkan cita-cita itu kerana saya tidak yakin dengan ijazah yang akan diberikan.

Saya pernah mendengar cerita bahawa ada pihak yang menawarkan ijazah kedoktoran itu bukanlah melalui proses yang betul, iaitu melalui tradisi keilmuan. Mereka ingin menipu, dan bagi mewajarkan tindakannya maka dikeluarkan ijazah tersebut dengan mencetak sendiri menggunakan mesin pengimbas dan komputer.

Walau pun begitu, saya kadang-kadang menjadi skeptical apabila mendapat tahu bahawa ada kakitangan akademik tempatan turut “menolong pelajarnya mendapatkan ijazah kedoktoran” dengan bayaran tertentu. Kakitangan akademik tersebutlah yang akan menulis teori, analisis manakala hanyalah membuat sedikit kajian, memahami sedikit teori tersebut dan menjawab beberapa soalan yang diberikan terlebih dahulu semasa mempertahankan disertasi itu.

Namun, jika mengikut proses keilmuan tertentu, seseorang itu mungkin mengambil masa yang panjang untuk melepasi tahap akademik yang membolehkannya mendapat ijazah kedoktoran. Ada rakan saya mengambil masa selama lima tahun untuk lulus dan ramai juga yang kecundang walaupun ada pendapat mengatakan “lebih mudah memperolehinya jika belajar di luar negara.”

Ketegasan kerajaan dalam memantau kegiatan pemberian dan pembelian ijazah palsu ini amatlah diperlukan, kerana tanpanya mutu pendidikan negara akan menjadi sesuatu yang kehilangan martabat keilmuannya. Tradisi keilmuan berdasarkan kesabaran, kegigihan dan keupayaan intelektual tidak akan mencapai tahap yang membanggakan dan hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau semakin jauh.

Generasi yang meyanjung tinggi penyimpangan tradisi ilmu dan gelaran sosial palsu boleh kita sama dengan penjarah. Mereka inilah yang akan merosak dan memusnah nilai sosial yang menjadi kebanggaan umum, dan membentuk keupayaan intelektual serta kemuliaan darjah kebesaran itu sendiri.

No comments:

Post a Comment