Tuesday, October 20, 2009

MUAFAKAT POLITIK KIAN TERCABAR

Berdasarkan teori hagemoni politik yang dikembangkan oleh Antonio Gramsci, sekurang-kurangnya terdapat tiga buah buku dalam pasaran telah cuba melihat politik Malaysia dalam perspektif tersebut. Teori hagemoni politik telah mula diperkenalkan pada tahun 1920 dan kemudiannya dikembangkan penulisannya semasa dalam penjara antara tahun 1926 hingga tahun 1937 , cuba menterjemahkan prinsip-prinsip perjuangan kelas dalam sesuatu sistem ekonomi melalui pendekatan marxisme, yang diketengahkan oleh Karl Marx dalam kerangka teori politik.

Buku-buku tersebut ialah, Ketuanan Politik Melayu: Pandangan Kaum Cina yang diterbitkan oleh Universiti Malaya pada tahun 2005 berdasarkan tesis ijazah kedoktoran oleh Thock Ker Pong. Ringkasnya, buku ini (KPM) cuba mengkaji peranan Huatuan, iaitu persatuan dan pertubuhan sosial masyarakat Cina dalam memperjuangkan kebajikan dan kepentingan masyarakat Cina di Malaysia.



Juga berdasarkan tesis kedoktoran, John Hilley cuba menganalisis zaman pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga tahun pilihan raya umum 1999, di mana kesan pemecatan Anwar Ibrahim telah memuncakkan pembangkang baru melalui buku Malaysia: Mahathirisme, Hegemoni dan Pembangkang Baru. Buku tersebut (MMH) diterbitkan pada tahun 2001 oleh Zed Books Ltd. London dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh PTS Publications dan diterbitkan oleh Institut Tejemahan Negara Malaysia pada tahun 2008.


Muhamad Nadzri Mohamed Noor cuba melihat perspektif hegemoni politik dalam konteks keputusan PRU ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil, iaitu Permatang Pauh (26 Ogos 2008), dan Kuala Terengganu (17 Januari 2009) melalui buku Politik Malaysia di Persimpangan: Praktik Politik dalam Pru 2008 dan Kontemporari. Buku ini (PMP) diterbitkan oleh Strategic Information Research Development Centre (SIRD) pada tahun 2009.

Sehingga tahun 2000, terdapat sejumlah 8,775 buah Huatuan yang berdaftar di Malaysia dan telah berjaya memainkan peranan yang penting dalam masyarakat Cina. Pada mulanya, p Huatuan ini ditubuhkan untuk berperanan sebagai penjaga kebajikan ahli-ahli namun selepas mengalami perkembangan semasa, kumpulan ini ada telah bertukar kepada perana politik dengan memperjuangkan isu kerakyatan dan bahasa secara lebih lantang. Perubahan itu menjadi lebih ketara menjelang kemerdekaan dan selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan, ia bertukar menjadi kumpulan pendesak yang mengkritik pelaksanaan beberapa dasar kerajaan, terutamanya dasar-dasar yang dilihat boleh menghakis hak dan kepentingan orang Cina di Malaysia.

Pada tahun 1982, sebuah Huatuan yang berpengaruh, iaitu Dongjiaozong telah bertindak melibatkan diri dalam politik di mana beberapa orang aktivis pendidikan Cina telah menyertai Parti Gerakan dengan azam yang kuat untuk mengubahsuai kuasa politik Barisan Nasional. Hasrat ini dijelmakan melalui slogan "enter the Barisan Nasional, Modify the Barisan". Hasrat ini dilihat berpunca daripada ikhtiar Huatuan untuk memberikan respons kepada hegomoni politik Melayu di mana kedudukan UMNO dalam Barisan Nasional adalah kuat dan berpengaruh.

UMNO yang menjadi parti politik dominan turut dilihat bukan sahaja mengancam kebajikan dan kedudukan orang Cina, malah turut mempengaruhi setiap langkah yang akan dilaksanakan oleh kerajaan. Keputusan-keputusan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dalam meningkatkan kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang, melalui pengluasan tindakan hak-hak istimewa misalnya menjadikan Huatuan "menggembleng tenaga komuniti Cina dengan effektif menegakkan hak dan kepentingan orang Cina" (KPM, hal. 2-3).

Muafakat antara kaum yang dirintis oleh Perikatan pada tahun 1953, (antara UMNO dan MCA, akhir tahun 1954, MIC menyatakan hasrat bersetuju menyertainya dan Manifesto Perikatan dirangka bagi menghadapi Pilihan Raya Persekutuan yang diadakan pada 27 Julai 1955), telah membuah kejayaan yang besar. Perikatan menang 51 kawasan daripada 52 kawasan yang dipertandingkan di mana UMNO menguasai 34 kawasan, MCA 15 kawasan, MIC satu kawasan dan 1 kawasan dikhaskan kepada calon yang mewakili rakyat keturunan Ceylon. Perikatan hanya kalah kepada PAS di Kerian, Perak. Calon PAS, Haji Ahmad Tuan Hussein memperoleh 8,685 undi manakala calon Perikatan, Haji Sulaiman Palestin mendapat 8,235 undi.

Dengan adanya kompromi dan pemuafakatan antara pemimpin UMNO dan MCA telah memudahkan pencapaian rundingan antara kaum menjelang kemerdekaan. Persetujuan antara kaum yang dikenali sebagai "racial bargain" memperlihatkan orang Cina (dan kaum imigran lain, termasuk keturunan India) memperoleh hak kerakyatan, yang dikenali sebagai "jus soli" manakala sebagai balasannya, mereka bersetuju untuk menerima kekuasaan politik dan hak istimewa orang Melayu, sehingga memudahkan proses rundingan kemerdekaan apabila Setiausaha Tanah Jajahan British, Alan Lynox Boyd dan Tunku Abdul Rahman menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London.



Secara jelasnya, kajian Thock Ker Pong itu telah memberikan gambaran bahawa pergerakan Huatuan, walaupun tidak mempunyai organisasi seperti sebuah parti politik, peranannya sebagai kumpulan berkepentingan "telah berjaya memobilisasikan masyarakat Cina Massa dalamqmendepani sesuatu isu yang membabitkan komuniti Cina." (KPM, hal.223). Justreu, para pemimpin dan aktivis Huatuan dilihat sebagai menepati model kumpulan kepentingan dan mendatangkan impak kepada perkembangan politik Malaysia.

Secara jujurnya, Thock Ker Pong mengakui bahawa budaya politik Malaysia yang betunjangkan politik komunal dan ketuanan Melayu "telah menyumbang kepada penghakisan hak dan kepentingan orang Cina" daripada penelitian perjuangan hutuan selama 30 tahun. Penemuan itu juga menggambarkan bahawa kebangkitan Huatuan merupakan natijah daripada hagemoni politik Melayu, didasari tuntutan hak kesamarataan, memberikan impak untuk menyerap dan menguasai atau memperlemahkan pergerakan Huatuan oleh BN/UMNO, tindakan co-optation menyebabkan berlakunya konflik dan perpecahan dalam Huatuan, perubahan perjuangan dari berbentuk komunal kepada non komunal, dan hegemoni politik Melayu akan kekal sebagai mitos dalam politik Malaysia.

Mengulas mengenai hegemoni politik Melayu setelah BN mencapai kemenangan besar pada tahun 2004, Thock Ker Pong menjelaskan bahawa "dominasi parti pemerintah itu di Parlimen dan seterusnya menyebabkan kuasa pembangkang menjadi semakin lemah. Dominasi BN sebenarnya ditunjangi oleh UMNO. UMNO menyumbang 109 kerusi atau 55.1 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen yang dimenangi BN. Manakala untuk DUN, parti itu menyumbang sebanyak 66.7 peratus atau 302 kerusi daripada keseluruhan kerusi BN berjumlah 453. Ini menunjukkan penghakisan kuasa politik UMNO yang dialami dalam pilihan raya umum 1999 akibat gerakan reformasi telah dapat ditangani...hagemoni politik UMNO tetap relevan dalam arena politik Malaysia." (KPM,hal.250-251).

Bagaimanapun, hagemoni politik Melayu menjadi sedikit masalah bila dibandingkan dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12. Menurut pengarang PMP, Muhamad Nadzri Mohamed Noor, "buat pertama kalinya semenjak ditubuhkan, Barisan Nasional (BN) gagal mempero.eh majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Bagi negeri Selangor, Perak dan Kedah inilah kali pertama kerajaan negeri jatuh ke tangan parti pembangkang...Buat pertama kalinya juga dalam banyak kawasan, pengundian tidak lagi berdasarkan kaum atau agama tetapi parti yang diwakili calon, sama ada parti pembangkang atau parti pemerintah...Fenomena ini memberi kesan besar kepada kedudukan dan kuasa BN (parti Perikatan sebelum 1974) sebagai parti pemerintah." (PMP, hal.1)

Kejayaan BN menguasai hegemoni politik pada tahun 2004, menurut analisis penulis buku PMP tidak pula mematikan sama sekali gelombang politik baru yang mula dapat dikesan dalam pilihan raya umum pada tahun 1999. Kemunculan semula gelombang politik baru ini dikaitkan dengan kegagalan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi yang "sering melaungkan slogan atau retorik dan memberikan harapan yang tinggi dalam membawa perubahan yang lebih bermakna berbanding kepimpinan sebelumnya. Namun masyarakat rata-rata tidak dapat melihat terjemahan laungan tersebut dalam konteks sebenar" (PMP, hal.47)

Kekecewaan masyarakat terhadap penterjemahan slogan itu menyebabkan pengundi tidak mengundi BN dan menyebabkan dominasi kuasa politik BN dianggap telah dilanda tsunami . Gelombang politik baru yang mula kembali bergema pada tahun 2005, telah mendesak masyarakat untuk mula memikirkan dan melihat politik negara secara lebih menyeluruh dan kritikal. Desakan ini akhirnya "telah membangkitkan rasa tidak puas hati atau penolakan kepada kepimpinan politik semasa dan ...mengocak gelombang politik baru kedua." (PMP,hal.48).

Keadaan menjadi semakin panas pada tahun 2007 dan awal 2008 apabila beberapa siri perhimpunan massa dan penggunaan ruang siber menjadi semakin meluas. Masyarakat mula memandang serong peranan saluran komunikasi tradisi, termasuk media arus perdana yang mempunyai kaitan yang jelas dan tidak langsung dengan BN. Kewujudan media baru yang kurang diberikan perhatian oleh BN menjadi platform melempiaskan kemarahan dan emosi benci kepada kepimpinan kerajaan. Ini telah diakui telah memberikan ruangan dan peluang yang baik kepada parti-parti pembangkang untuk mearih sokongan.

Petanda yang jelas juga berada dalam kalangan parti-parti pembangkang di mana perbezaan idealisme perjuangan telah berjaya disembunyikan dan telah terbina politik muafakat antara mereka bagi menumbangkan parti yang telah berkuasa sejak lebih 50 tahun. Muafakat antara mereka ialah menentang calon BN secara satu lawan satu. Kemenangan pembangkang itu menyebabkan lanskap politik Malaysia mengalami perubahan, dan seterusnya memperbesarkan political bashing antara parti dan dalam parti, terutamanya dalam komponena BN.

Kemunculan de facto PKR, Anwar Ibrahim turut mencetuskan gelombang politik baru kedua sehingga ramai pengundi seakan-akan mula memaafkan kesalahan beliau sebelumnya. Keyakinan yang besar terhadap Anwar Ibrahim menyebabkan parti pembangkang dilihat mempunyai wibawa dan mampu menyatukan perbezaan matlamat perjuangan.

Politik materialisme yang banyak membantu kemenangan BN, terutamanya melalui slogan politik pembangunan tidak lagi menjadi daya tarikan. Sebahagian besar pengundi terutamanya golongan muda sanggup melupakan keperluan tersebut, kerana yang lebih penting bagi mereka ialah pemenuhan tuntutan perjuangan secara ideologue, prinsip-prinsip persamaan, kebebasan, karisma, wibawa dan ketelusan. Kepimpinan kerajaan sudah dilihat semakin hilang pesonanya untuk menghormati rakyat kerana terlalu lama berada dalam zon selesa.

Berdasarkan senario PRU ke-12 dan lima keputusan PRK Kecil, iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai), penulis merumuskan bahawa "peperangan dalam meraih kedudukan hagemonik, yakni menguasai hati dan minda masyarakat (setakat Jun 2009) telah pun diambil oleh Pakatan Rakyat (PR). Justeru, dengan kedudukan dominan BN ke atas struktur politik dan kedudukan hagemonik PR di ruang umum, pertembungan dalam permainan politik di Malaysia kini adalah lebih kompetitif. Namun pada akhirnya, hasrat dan tindakan masyarakatlah yang menjadi penentu." (PMP, hal.111).

Kerana itulah pengarang PMP menganggap bahawa PRU 2008 "seolah-olah menandakan satu titik permulaan kepada pengakhiran kedudukan hagemonik BN dalam politik Malaysia." Namun demikian, berdasarkan perkembangan mutakhir, iaitu PRK Manik Urai dan Bagan Pinang, sedikit andaian ini boleh kita persoalkan. Sekurang-kurangnya, BN telah mula menampakkan sinar kembali apabila berjaya mengekalkan kedudukan dengan majoriti yang lebih besar di Bagan Pinang dan melemahkan penguasaan PAS dengan hanya mencapai kemenangan majoriti 65 undi di Manek Urai.

Berdasarkan dua keputusan tersebut, perubahan struktur dan dalaman UMNO dijangka dapat menyinarkan kembali hagemoni politik Melayu dibantu oleh keretakan dalam pakatan pembangkang. Pembangkang mula kehilangan arah apabila pengundi dan pemimpin mereka semakin meluas politiking, masih belum memperlihatkan penyatuan yang benar-benar sinergi.

Buku tulisan John Hilley lebih banyak menekankan bagaimana Tun Dr. Mahathir membina kekuatan dan seterusnya mengalami konflik dalam perhubungan dengan Anwar Ibrahim. Sepanjang tahun 1980 hingga 1990-an, Malaysia dilihat mempunyai pencapaian yang hebat, model kesungguhan membangunkan ekonomi, memasuki dan memainkan peranan utama dalam pasaran global, membentuk semangat baru keyakinan nasional dan merintis kerjasama dan kemakmuran sosial.


Walau bagaimanapun, imej tersebut sedikit tercalar pada tahun 1997 apabila "bertelagah dengan George Soros" dalam pergelutan krisis kewangan Asia. Menurut pengarang, perangnya menentang kapitalisme anomik dan spekulator pemangsa tidak menyenangkan pengurus dana antarabangsa atau ahli perniagaan Malaysia yang makin cemas, namun ia membayangkan paradoks hubungan Mahathir dengan Barat. Ini kerana dia bukan sahaja menginginkan imej "modenis" pertumbuhan sebagai tanda "pengesahan" daripada Barat--dengan itu memberikan ransangan bagi pelaburan dalam, kemajuan teknologi dan penciptaan kekayaan--tetapi ia juga menggunakannya sebagai lingua franca pascakolonial bagi mencabar norma Barat dan menganjurkan pencapaian Malaysia sebagai produk khusus melalui "cara Asia". (MMH, hal.3)

Menurut pengarang, Wawasan 2020 merupakan ikon kuasa Tun Dr. Mahathir yang penting kerana ia adalah simbol pertumbuhan pada alaf baru, penjanaan kekayaan dan pembinaan nusa pada skala yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Pada tahun 2002, Malaysia berusaha mendapatkan kedudukan atau status sebagai negara maju, Tun Dr. Mahathir cuba meransang imiginasi masyarakat melalui perkongsian kemakmuran , penyempurnaan perpaduan nasional, iaitu bangsa Malaysia, peralihan pandangan dari negara Barat ke Jepun dan menjadi simbol "tokoh negara Selatan."

Ketika berdepan dengan krisis kewangan pada tahun 1997, dan selepasnya menjadi krisis politik apabila Anwar Ibrahim digugurkan dalam jawatan politik dan kerajaan, Tun Dr. Mahathir telah memperlihatkan kemahirannya menguruskan pertelingkahan dalaman, melindungi kedudukannya dan memegang blok politik dengan kukuh. Menurut pengarang, "ketika menggunakan proses politik bagi mengalihkan perhatian daripada ekonomi fasa awal krisis, dengan mahirnya beliau mewajarkan penyingkiran Anwar. Tetapi ketika sokongan blok politik dapat dibendung, UMNO menjadi parti yang rosak teruk....ketika kelas menengah silang etnik menerima kemudaratan dan "keperihatinan moral "terbentuk dalam komuniti Melayu yang l;bih luas, UMNO kini terpisah daripada ikatan populis."(MMH, hal.127)

Berdasarkan analisis pengarang, zaman awal Mahathirisme (1981-1985) dalam keadaan tergesa-gesa untuk mencapai pertumbuhan, Mahathir beralih, "meskipun berhati-hati, daripada prinsip DEB kepada liberalisasi negara dan masyarakat sivil dan dalam masa yang sama berusaha memperkukuhkan kuasa eksekutif...Dalam mencari persetujuan bagi struktur ganjaran baru, Mahathir juga berusaha membentuk semula budaya politik, terutamanya melalui wacana tentang pembangunan kapitalis dalam hubungannya dengan kemodenan Islam." (MMH, hal.288). Dalam melakarkan perubahan tersebut, Mahathir mula memperkenalkan perubahan sistem kerja dan budaya kerja dengan menekankan monetized society, etos kerja baru dan peralihan minda.

Zaman Pertengahan Mahathirisme (1985 -1990), faham neoliberalisme banyak dijadikan rasional tindakan melalui kaedah penswastaan, pengkorporatan dan peralihan pemusatan hegemoni naungan negara kepada entiti baru yang lebih fleksibel dan dikawal oleh BN/UMNO. Ia turut memperlihatkan penekanan yang lebih besar kepada perkembangan dan pembudayaan tekonologi maklumat dan sektor kewangan.

Ancaman kesan perebutan jawatan dalam UMNO dan Operasi Lalang pada tahun 1987, telah melebarkan politik kepuakan dan konflik kelas DEB. Usaha memeriksa semula pembinaan negara oleh Mahathir telah menyebabkan "konflik yang saling membinasakan, iaitu penggunaan populisme autoritarian dan penyingkiran politik yang menghalang projek berkenaan. Berikutan keputusan yang baik oleh BN semasa pilihan raya 1990, terdapat beberapa pergerakan kembali ke arah kawalan hegemoni, dan ini ini dibuktikan oleh dasar "pengenduran" terhadap media. " (MMH, hal.288) Dari segi ideologi, pembaharuan dan kemodenan Islam berjaya dilahirkan secara bijaksana melalui lingua franca The Challenge (buku asal dalam bahasa Melayu, Menghadapi Cabaran, terbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur pada tahun 197 ).
Zaman Penghujung Mahathirisme (1991-1996), terdapat pengukuhan dalam blok kuasa dan sokongan nasional malah rakyat didesak untuk menjadi lebih kompetitif dalam pasaran global. Usaha menggalakkan modal asing, memikat orang bukan Melayu dan seruan diwujudkan kerjasama etnik lebih tertumpu sekitar Wawasan dan Bangsa Malaysia. Ketika ini, DEB telah tamat tempoh dan digantikan dengan Rangka Rancangan Jangkapanjang dan Dasar Pembangunan Nasional yang mengambil kira usaha mengatasi sembilan cabaran strategik Wawasan 2020.

Di peringkat global, Mahathir bertindak "sebagai jurucakap dan model peranan bagi negara Selatan... Walau bagaimanapun, ketika kebanyakan rakyat Malaysia berasa gembira dalam konteks ini, strategi pelaburan Mahathir yang berkait dengan Wawasan di Kelantan langsung tidkak melemahkan kemunculan projek PAS. ..Hingga kini, Mahathir menghampiri status terhormat. Hasil daripada proses dalaman, usaha Mahathir untuk memecahbelahkan PAS dengan parti gabungannya di Kelantan juga memperlihatkan Razaleigh kembali kepada UMNO pada 1997." (MMH, hal. 289)

Antara tahun 1997 hingga 2000, krisis Mahathirisme menyaksikan langkah ekonomi ketika kecemasan, turut menyaksikan "cubaan berbentuk paksaan", menggunakan penyimpangan politik dan ideologi bagi menutup unsur ekonomi, dan penakanan terbalik dalam pemulihan ekonomi bagi melindungi kegagalan politik selepas penyingkiran Anwar."

Ketiga-tiga kajian dan analisis yang menggunakan pendekatan Gramsci memberikan kita gambaran bahawa kompleks hubungan kuasa telah melangkaui standard gabungan politik yang menandakan pembinaan blok sejarah dan cara kelas utama membentuk hagemoninya. Menurur Gramsci, hagemoni ialah dominasi kelas borjuis terhadap kelas-kelas lain dalam sesebuah negara melalui manifestasi nilai dan norma.

Hagemoni dapat dicapai melalui penggunaan paksaan dan persetujuan hasil daripada satu kepimpinan yang berlandaskan moral dan intelektual. Dalam hal ini, hagemoni dilihat sebagai penguasaan sesuatu kumpulan sosial atau kelas dalam sesebuah negara. UMNO sebagai kelas politik yang dominan telah berjaya menguasai kumpulan gabungan, iaitu BN dalam struktur kelas kuasa.

Kumpulan peneraju mempunyai kuasa dan kemmapuan untuk menyuarakan kepentingan kumpulan yang lain. Ini tidak bermakna kumpulan penaraju mampu memaksakan ideologi tajaanya ke atas kumpulan bersekutu, ia perlu dilaksanakan melalui proses transformasi yang bersifat pendidikan dan politik. Usaha UMNO melakukan perubahan melalui transformasi budaya politik baru telah memberikan inisiatif kepada parti gabungan untuk melaksanakan perubahan bagi terus mengekalkan hagenomi politik di Malaysia. Inilah yang menjadi cabaran terhadap BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti setelah memperlihatkan prestasi kurang baik setahun lalu.

Hubungan antara kelas dominan dengan kelas yang didominasi dalam kerangka teori Gramsci adalah inklusif dan sejagat dalam usaha membentuk kepentingan dan keperluan bersama. Hubungan ini dilaksanakan secara persetujuan dan seterusnya berkembang menjadi pertimbangan politik yang baru, yang lebih dinamik dan ampuh.

Teori hagemoni yang diperkenalkan oleh ahli sosiologi Itali itu walau bagaimanapun pada akhirnya hendak menuju kepada pembentukan sebuah negara sempurna melalui gabungan masyarakat politik dan sivil. Terdapat beberapa masalah dalam menuju negara sempurna, terutama dalam negara-negara yang dicirikan oleh masyarakat majmuk, kerana asas etnisiti akan menolaknya secara ransangan persaingan dan konflik. Ini dapat dilihat apabila terlalu banyak persoalan berhubung kedudukan kaum-kaum tertentu dijadikan bahan tawar menawar politik, sehingga menyebabkan konsep yang diterima sebelumnya dipersoalkan secara terbuka.

Misalnya, selepas kekalahan teruk dalam pilihan raya umum yang lalu, kaum India, Cina dan Melayu mempersoalkan mengenai terma kontrak sosial yang telah lama dipersetujui kerana ia tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa. Persetujuan mengenai 30 peratus ekuiti ekonomi bumiputera dilihat menjadi kekangan kepada keadilan ekonomi, kesaksamaan gender semakin melebar sehingga mewujudkan fenomena "siling kaca", penggunaan kouta kemudahan pendidikan dan lain-lain perkara berkaitan dengan agama (termasuk penggunaan perkataan Allah oleh penganut Kristian, hak penganut Islam kembali ke agama asal atau memilih agama lain, dan menjalar kepada persoalan hukum sebat dalam Undang-Undang Syariah).

Mungkinkah dengan memperkenalkan slogan1Malaysia bakal memberikan warna yang baru dalam politik muafakat di Malaysia. Mungkin kita akan dapat membandingkannya dengan sentuhan Dr.Mahathir dalam Wawasan 2020 telah berjaya meningkatkan sokongan kepada BN pada tahun 1995 dan mengalami sedikit penurunan kesan reformasi pada tahun 1999, ia amat bergantung kepada pelan pemulihan yang sedang dilakukan oleh UMNO dan BN.

No comments:

Post a Comment