Friday, July 10, 2009

DUSTA ADALAH DOSA BESAR DALAM MUAMALAH,


Selepas bersembahyang Jumaat di Masjid Jamek, Tokai singgah sebentar di Wisma Yakin kerana sudah berjanji dengan seorang kawan lama. Beliau telahpun bersara kira-kira tiga tahun lalu, dan tiba di Kuala Lumpur dengan bas awal pagi untuk mendaftarkan kemasukan anak bongsunya di salah sebuah IPTS di Kuala Lumpur.

Beliau memohon saya membantunya untuk mendapat sedikit diskaun untuk membelikan beberapa buah buku agama. Kebetulan saya merupakan pelanggan tetap dan sering mengunjungi beberapa buah kedai buku di Wisma Yakin dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saya menunjukkan jalan dan memperkenalkan kepada pemilik kedai yang menjual buku-buku tersebut.

Saya tinggalkan kawan lama itu kerana saya perlu pulang ke pejabat. Sambil duduk di dalam LRT, saya membelek-belekkan sebuah buku terjemahan yang memikat minat saya untuk membacanya berasaskan tajuknya, The Big Ten Of Moslem's Mistakes (Kesalahan-kesalahan Besar Umat Islam), tulisan Dr. Mustapha Murad Shubhi, pensyarah Fakulti Dakwah, Universiti Alazhar, Mesir.

Asal buku tersebut berbahasa Arab, Akhthauna fi al-Ibadat wa al-Mua'amalat, diterbitkan pada tahun 2005 oleh Dar al-Fajr li al-Turats. Diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan dicetak pada tahun lalu. Penerbitnya ialah PT Rajagrafindo Persada.

Tebalnya lebih 900 muka surat. Saya tidak dapat mengagak berapa lama saya akan dapat habiskan. Tetapi, saya amat tertarik dengan himpunan firman Allah SWT dan hadith Rasullullah SAW yang dijadikan petunjuk bahawa berdusta itu termasuk dalam senarai dosa-dosa besar dalam bermuamalah.

"Sesungguhnya Allah tidak akan menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta", Al-Mukmin:28
"Kemudian, marilah kita bermubahalah pada Allah dan kita minta agar lanknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta." Ali Imran:61.

Sabda Rasulullah SAW,"Sesungguhnya dusta itu menghantarkan kepada kekejian dan kekejian itu menghantarkan ke neraka, tidaklah seseorang terus berdusta sehingga ia ditulis sebagai pendusta di sisi Allah."

Sabda Rasullullah SAW ,"Tanda-tanda orang munafik ada tiga, jika berbcara ia berdusta, jika berjanji ia mengingkari, jika diberi amanah ia berkhianat."
Sabda Rasullullah SAW, "Jauhilah prasangka kerana sesungguhnya prasangka adalah perkataan paling dusta.
"

Firman Allah SWT, " Dan janganlah kamu pada apa yang disebutsebut oleh lidahmu secara dusta "Ini halal dan ini Haram", untuk mengada-ngaakan kebohongan pada Allah. SEsungguhnya orang-orang yang mengada-ngadakan kebohongan pada Allah tiada beruntung." Al-Nahl:116.

No comments:

Post a Comment