Thursday, July 30, 2009

PRK PERMATANG PASIR UJIAN KEKEBALAN PENGARUH PAS

Kematian Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman jam 7.15 pagi 31 Julai 2009 di Institut Jantung Negara menjadikan DUN Permatang Pasir ujian kekebalan pengaruh PAS di Pulau Pinang. Pada tahun 2004, Pas menang dengan majoriti 679 manakala pilihan raya umum 2008 menang dengan majoriti lebih besar iaitu 5,433.

Allahyarham memenangi kerusi DUN Permatang Pasir sebanyak 3 kali, iaitu PRU ke-10 (1999), PRU ke-11 (2004) dan PRU ke-12 (2008). 10 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut. Pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang selama 14 tahun.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008, Permatang Pasir merupakan salah satu dun dalam parlimen tersebut, calon PKR telah memperoleh12,034 undi berbanding calon BN, YB Datuk Arif Shah 4,381.

Menurut satu sumber, SPR dijangka akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos 2009. Ini bermakna bahawa PRK ini tetap akan berlangsung dalam bulan Ramadhan. Maka, banyaklah pasar-pasar Ramadhan baru akan muncul di sekitar Permatang Pasir nanti.

Menurut penilaian umum, kerusi Permatang Pasir merupakan kubu kuat PAS di Pulau Pinang kerana dalam pilihan raya umum 2004, ketika BN memperolehi kemenangan besar, PAS berupaya menang dengan majoriti 679 undi. Ketika BN menghadapi tsunami politik dalam pilihan raya umum 2008, PAS berupaya mengekalkan kedudukan dengan menambah majoriti yang besar iaitu 5,433 mengalahkan calon BN, Ahmad Shahar.Permatang Pasir merupakan satu-satu kerusi yang diwakili dan dimenangi oleh PAS dalam pilihan raya umum 2008.

Berdasarkan senario ini, maka PAS akan terus ingin mengekalkan pengaruhnya dengan ahli parlimen Permatang Pauh agar terus memberikan laluan kepada calon parti itu sebagai meneruskan legasi politiknya di Pulau Pinang. Jika beberapa bulan dahulu Pergerakan Pemuda PAS mendesak agar kerusi DUN Penanti yang "terpaksa" dikosongkan oleh Mohd Fairus diberikan kepada calon mereka tidak kesampaiaan kerana PKR meletakkan Mansor Othman bagi mengisi jawatan Timbalan Ketua Menteri 1.

Namun yang menjadi perbincangan sekarang ialah bilakah tarikh pilihan raya kecil itu akan diadakan? Jika berdasarkan pertimbangan tertentu, mungkin pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan dalam minggu kedua bulan Ramadhan kerana beberapa pertimbangan tertentu perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Umat Islam dijangka akan mula berpuasa pada 22 Ogos (Sabtu) dan pada 31 Ogos ialah hari ulangtahun kemerdekaan. Minggu depan SPR dijangka akan bermesyuarat untuk menentukan tarikh bagi penamaan calon dan kemungkinan akan dibuat pengumuman selepasnya. Ketika ini belum ada kenyataanrasmi daripada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN tersebut dan dijangka akan dikeluarkan sebaik sahaja mendapat surat pengesahan daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dalam masa terdeka.

Mungkin juga pertengahan Ogos akan ditetapkan hari penamaan calon dan jika berlaku pertandingan ia akan berlaku dalam bulan Ramadhan sama ada minggu pertama atau kedua. Tempoh bekempan mungkin antara tujuh atau lapan hari mengikut kebiasaannya. Oleh itu, jika diadakan sebelum tarikh menyambut kemerdekaan, ia tetap berlaku dalam bulan puasa.

Pilihan raya kecil pernah beberapa kali dilaksanakan dalam bulan puasa. Jadi tidak ada masalah jika dilaksanakan dalam bulan puasa, tetapi ini mungkin memberikan sedikit kelebihan kepada PAS kerana dalam DUN Permatang Pasir mereka sudah lama menguasai masjid dan surau. Usaha parti lain untuk menggunakan kemudahan tersebut dijangka akan menghadapi kesukaran seperti mana dalam pilihan raya-pilihan raya kecil sebelumnya.

Yang menjadi lebih menarik ialah pasar-pasar Ramadhan tentunya akan menerima pengunjung yang lebih ramai pada tahun ini kerana pekerja-pekerja parti dari luar akan mula berkampung di sana. Tentunya sewaan rumah akan menjadi lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit, tiga atau empat kali ganda daripada kebiasaannya.

Dengan adanya pilihan raya kecil Permatang Pasir ini, hanya tinggal satu lagi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh tidak disentuh oleh pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum 2008, iaitu DUN Seberang Jaya yang dimenangi oleh Datuk Arif Shah Omar Shah, calon BN yang telah ditewaskan oleh Anwar Ibrahim semasa PRK Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008.

Mungkinkah sepanjang kempen PRK Permatang Pasir ini tidak akan berlaku caci maki atau jenaka seks oleh pemimpin PAS sebagaimana berlaku di DUN Penanti dahulu masih berada dalam teka teki. Ramai yang yakin, PAS akan terus menggunakan cara itu walaupun kempen dijangka akan turut berlaku dalam bulan puasa. Itu adalah cara tradisi dan mauduk kempen PAS, terutamanya Mohamad Sabu (ayam laga) dan Mahfuz Omar (tukang lawak ).

Apakah Tuan Guru Nik Aziz akan terus mengedarkan fliers dengan wajah sedih berdoa mencari simpati pengundi dengan lontaran spiritualnya? Ia dijangka akan terus dilakukan kerana Tok Guru memang pakar dalam bidang tersebut walaupun kurang memberikan kesan ketika kempen PRK Manek Urai awal bulan Julai lalu. Kalau di Permatang Pauh dahulu, Tok Guru terus merayu agar pengundi menyokong calon PKR, kali ini Tok Guru akan dilihat semakin bersungguh-sungguh lagi bagi mempertahankan penguasaan tunggal PAS.

Jika PAS kecundang, maka PAS akan dilihat bukanlah mempunyai pengaruh di Pulau Pinang. Ia hanya sekadar di pinggiran , mencukupkan asam garam perencah politik pembangkang di Pulau Pinang. Apakah janji Lim Guan Eng kali ini bagi membantu PAS mempertahankan kedudukannya? Adakah akan ada jawatan EXCO untuk PAS kerana sebelumnya ada penyokong PAS mempersoalkan "perkongsian kuasa" yang diamalkan dalam pakatan pembangkang lebih didominasi oleh DAP.


No comments:

Post a Comment