Wednesday, July 29, 2009

MANIFESTASI POLITIK ISLAM DI ASIA TENGGARA



Konsep politik dalam Islam sering dimanifestasikan dengan sikap tertutup dan pandangan yang amat kasar sehingga menjerumuskan bahawa pelaku-pelaku politik dengan keganasan, ortodoks dan ektremis. Pola kelakuan itulah akhirnya menyebabkan wajah politik Islam diukur dengan bilangan keganasan, permusuhan dan perseteruan ideologi walaupun dalam kalangan penganut Islam sendiri, misalnya antara Sunni dan Syiah, konsep pemerintahan berasaskan khalifah dan penguasaan ulamak.

Di tengah-tengah kekalutan itu, Gordon P. Means seorang profesor emeritus sains politik Universiti MacMaster, Amerika Syarikat ingin membuktikan bahawa politik Islam tidak seharusnya dikaburi oleh pandangan-pandangan yang skeptik dan sengaja dilakukan seolah-olah menggambarkan bahawa Islam itu sebagai satu tatacara kehidupan yang menganjurkan perlakuan ganas.

Beliau yang pernah berada di Malaya pada tahun 1954, menggambarkan bahawa “sebelum pilihan raya pertama, parti-parti politik diasaskan hanyalah sebagai tujuan memenuhi keperluan pemimpin-pemimpin bergiat dalam politik.” Namun setelah mengalami proses yang panjang, bergaul dan mengenali lebih dekat dengan penduduk setempat, akhirnya beliau menyedari bahawa pemimpin-pemimpin politik Melayu mampu berbincang dan menganalisis isu-isu politik dengan kaedah yang rasional, rational calculus.Beberapa lama dahulu beliau pernah menulis Malaysian Politics (1976), dan Malaysian Politics:The Second Generation (1991)

Pada tahun 1962 dihantar oleh kerajaan Amerika Syarikat bagi menjawat jawatan sebagai profesor pelawat Smith –Mundt di Universiti Malaya. Pada mulanya dijangka untuk membantu membangunkan kurikulum pengajian dasar-dasar awam dan dilantik sebagai Senat Universiti. Ketika itu, Tanah Melayu sedang dalam proses menilai pilihan sistem politik di ambang pembentukan Persekutuan Malaysia dan pada tahun 1970-an, beliau mula menyedari dengan kemasukan lebih ramai para pelajar Melayu luar bandar ke pusat-pusat pengajian tinggi awam menjadikan minat penyertaan pelajar dalam politik, peningkatan penggunaan bahasa Melayu, amalan-amalan budaya dan latar belakang pendidikan asal telah menambahkan lagi rencah politik negara.Politik Malaysia di kampus lebih berbentuk keperluan primordial.

Perkembangan tersebut menyebabkan Gordon P. Means mula menyedari bahawa politik Islam akan terus mewarnai politik masa depan Asia Tenggara. Berdasarkan pengalaman berada di Malaysia dan mengadakan kajian-kajian berkaitan tingkahlaku politik di beberapa buah negara Asia Tenggara, beliau akhirnya berjaya menulis sebuah buku yang cuba meninjau kesan dan cabaran mengenai politik Islam dalam perpsektif yang lebih luas.

Buku setebal lebih 400 halaman ini, Political Islam in Southeast Asia, P.Jaya: Strategic Information and Research Develompmen Centre, 2009, membahagikan kepada 5 bahagian utama. Bahagian Pertama cuba melibatkan pemahaman asas mengenai Islam, undang-undang Islam, kedudukan Islam semasa penjajahan dan legasinya ke atas politik tempatan. Bahagian Kedua berhubung dengan cabaran-cabaran politik selepas kemerdekaan Indonesia dan Malaysia.

Bahagian Ketiga ialah mengenai kebangkitan Islam semasa Indonesia dipimpin oleh Suharto, Malaysia oleh Dr. Mahathir dan kebangkitan semangat Jihad di Asia Tenggara selepas revolusi Iran dan pengembangan ideologi poliitik yang dipelopori oleh Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan Maududi. Bahagian Empat membincangkan mengenai pemberontakan dan kumpulan-kumpulan pemisah Moro (Filipina), Aceh (Indonesia), dan Patani (Thailand). Bahagian Kelima merungkaikan mengenai demokrasi dan Islam di Indonesia, etnisiti dan Islam di Malaysia, dan Islam dalam peralihan kebangkitan baru di Asia Tenggara.

Menyoroti perkembangan politik ketika Dr. Mahathir berada ditampok kekuasaan, pengarang melihat bahawa pada tahun pertama banyak menekankan kepada dasar-dasar asas yang dirangka selepas tragedi 13 Mei 1969, iaitu meningkatkan kedudukan ekonomi dan memperbanyakkan penglibatan orang Melayu dalam sektor ekonomi moden, membentuk dasar-dasar baru yang lebih dinamik bagi mencabar kaedah berfikir kakitangan awam , memberikan jaminan bahawa tidak ada perubahan mengenai Dasar Ekonomi Baru dan Rukunegara.

Sebaik sahaja mengambil alih pentadbiran negara, Dr. Mahathir yang pernah disifatkan oleh Tunku Abdul Rahman sebagai “ultra Malay” mengambil peluang membebaskan tahanan ISA, melepaskan pengharaman buku Malay Dilemma dan dalam masa yang sama membentangkan pindaan undang-undang Akta Pertubuhan bagi membolehkan kerajaan berkuasa mengawal dan membubarkan kumpulan-kumpulan berkepentingan, pertubuhan-pertubuhan professional dan bukan kerajaan (NGO). Di sebalik memberikan ruang untuk berbincang mengenai politik, Dr. Mahathir turut menggalakkan pertumbuhan kritikan diam, silent critics dan mengurangkan tuntutan mengenai hak-hak asasi manusia.

Bagi membendung ancaman politik dan tuntutan pertubuhan-pertubuhan yang memperjuangkan atas platform Islam, Dr. Mahathir telah berjaya membawa masuk Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1981. Kesan kemasukan Anwar Ibrahim, pengikut-pengikut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah berpecah, di mana sebahagian pemimpinnya mengikuti jejak Anwar manakala sebahagian yang lain memasuki PAS dan terus berjuang dalam ABIM.

Pada tahun 1982, Dr. Mahathir menghadapi ujian pertama melalui pilihan raya umum dan berjaya dengan cemerlang menghadapi persaingan ideologi politik dengan PAS hasil kemasukan Anwar ke dalam UMNO. Menurut pengarang, Anwar dibentuk sebagai “an image of a leader on the move, seeking to build a modern dynamic economy that would be increasingly based on industrialization and producing for world market.For Mahathir, the new emphasis on Islam was expected to generate social and political changes to enable Malays to adapt to demand of an industrialized, highly productive economy. He also viewed Islam as a means to create “Muslim/Malay unity” to ensure Malay support for UMNO and to retain Malay hegemony within the political systems.” (hal. 125).

Usaha juga turut dilakukan bagi mempiawaikan amalan dan doktrin masyarakat Islam termasuk kaedah pencerapan bagi menentukan tarikh permulaan puasa dan hari raya yang sering bercanggah antara satu negeri dengan negeri lain kesan pemakaian dua kaedah yang berlainan, iaitu berdasarkan rukyah dan melihat anak bulan. Dr. Mahathir melihat kaedah ini tidak sepatutnya dilaksanakan secara berbeza kerana ia boleh memberikan gambaran buruk mengenai Islam. Apabila mengumumkan cadangan menggunakan kaedah rukyah, Sultan Johor mencabar Dr. Mahathir kerana dianggap biadab dan tidak menghormati kuasa Raja-Raja Melayu berhubung dengan hal ehwal Islam.

Permulaan itu dianggap oleh pengarang sebagai usaha memberikan makna yang lain kepada percikan amalan Islam othordok yang telah sekian lama digunapakai di Malaysia.Beliau mula menyusun semula kedudukan agensi-agensi kerajaan berkaitan hal ehwal Islam termasuk Bahagian Hal Ehwal Islam kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mahathir turut memperkenalkan dasar-dasar pentadbiran yang menekankan nilai-nilai Islam dan ini telah memberikan tamparan hebat kepada PAS yang pernah menuduh dan mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO tidak memperjuangkan Islam. Oleh kerana itu, UMNO dan penyokong-penyokongnya adalah kafir kerana tidak meletakkan gagasan “Islam sebenar” dan memperjuangkan pembentukan sebuah “negara Republik Islam”. Atas dakwaan tersebut, Haji Hadi Awang, Naib Presiden PAS ketika itu menganjurkan supaya rakyat tidak perlu membayar cukai kepada kerajaan dan menyatakan seseorang yang menentang UMNO, jika dia mati, kematiannya adalah syahid.

Semasa pentadbiran Dr. Mahathir, kes-kes yang melibatkan penyelewengan agama semakin banyak dikesan, antaranya penerbitan buku-buku yang mempertikaikan kesahihan hadis, pergerakan Darul Arqam, konflik orientasi Islam dengan Anwar, satu kepimpinan dua visi (Mahathir dengan Wawasan 2020 dan Anwar dengan Kebangkitan Asia), reformasi kesan pemecatan Anwar dan kes semburit, pilihan raya umum 1999 (imej Dr. Mahathir sebagai diktator, zalim dan kejam), negara Islam dan kontroversi hukum hudud (BN dengan PAS, PAS dengan DAP dan sebagainya).

Mengenai reformasi dan kes semburit , pengarang menjelaskan “Anwar mounted a near-revolutionary rhetoric against “cronyism, corruption, and nepotism” to energize his supporters and encourage their continuing mass protests. ..he was a victim of a “conspricay at the highest levels,” and his lawyers followed this defense strategy. As a result, his defense did not effectively address issues of his illegal acts. As the trials proceeded, the presiding judge became ever more determined to limit Anwar’s political accusations against an unnamed Mahathir. As the trial dragged on, the public became more aware of the excesses of an authoritarian system, and most Malaysians were appelled at the lurid accounts of sexual encounters that became part of daily news report.” (hal.139)

Dengan menggunakan pengalaman dan pengetahuan mengenai tingkah laku politik gerakan Islam di Asia Tenggara, pengarang melihat bahawa politik Islam akan terus menjadi tunjang politik sekurang-kurangnya bagi Malaysia dan Indonesia. Beberapa isu yang dianggap sensitif sebelum ini, mula dibahaskan secara terbuka termasuk keperluan memperbaharui struktur politik dan jaringan pemikiran Islam liberal (termasuk tuntutan Sister in Islam). Perkembangan-perkembangan yang berlaku di peringkat antarabangsa, termasuk dasar negara barat memerangi keganasan, ledakan 11 September 2001, masyarakat madani dan etos masyarakat akan membentuk national psyche baru dalam politik Islam.

Walau bagaimanapun, apa yang jelas menurut analisis pengarang, setelah Dr. Mahathir melepaskan baton kuasanya, Abdullah Ahmad Badawi juga gagal “to assure Malays supremacy and guarantee stable political support from Malaysia’s largest religio-ethnic community, neither these two leaders was prepared to propose significant reforms to that structure of authority, perhaps because they were products of that systems…By 2008, with the return of Anwar Ibrahim to the Malaysian political scene, a new configurations of politics was beginning to be formed.” (hal 369-370)

Secara keseluruhannya, buku ini memang menarik untuk dikupas dan dibaca bagi membolehkan kita memahami perubahan-perubahan politik masa depan yang mula ditandai oleh kebangkitan Islam. Dengan tidak menjeruk rasa sangsi terhadap pandangan penganalisis dalam kerangka pemikiran pertembungan antara agama, pengarang berupaya memberikan gambaran kebangkitan Islam berdasarkan perspektif bebas prejudis. Ini mungkin kerana kefahaman pengarang mengenai Islam dan pengaruhnya ke atas masyarakat Melayu (Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina) banyak membantu mencerakinkan manifestasi dan kemunculannya.

No comments:

Post a Comment