Monday, July 27, 2009

AL-FATIHAH, SEMOGA ALLAH MENERIMAMU PENUH BERKAT

Awal Ahad, kira-kira jam 12.45 malam saya menerima SMS memberitahu bahawa sutradara Yasmin Ahmad telah meninggal hampir sejam lalu setelah berada dalam keadaan koma selama tiga hari. Hari Allahyarham terjatuh semasa membentangkan projek terbarunya, saya seakan terkedu. Saya mengikuti perkembangannya melalui siaran berita dan adakalanya menghubungi rakan-rakan yang saya kenali, termasuk wartawan.

Walaupun tidak kesemua filem-filem arahannya saya tonton, tetapi melalui perbincangan media sejak kemunculannya sebagai pengarah filem, saya membuat kesimpulan bahawa garapan idea dan perspektifnya telah banyak menyimpang dari klise filem-filem Melayu. Ia juga melampaui skop dan pola penceritaan drama-drama Melayu yang disiarkan oleh tv, yang penuh hasad dengki, pergaduhan, tetapi jarang memberikan fokus kasih sayang secara lebih luas. Kalau ada pun ia lebih berbentuk dan bersifat melankolik, kasih sayang kerana perasaan cinta yang terhalang ataupun kehilangan seseorang.

Tetapi jalinan kasih sayang yang cuba dibawa oleh Allahyarham Yasmin ialah binaan yang kuat berasaskan pertautan psikologi asas manusia. Manusia memerlukan rakan-rakan dan berhubung antara satu sama lain, walaupun tidak berkongsi dalam kontinum cinta. Ia berkongsi perasaan dalam hubungan sesama insan. Termasuk iklan-iklan yang disiarkan sepanjang musim perayaan, ia melangkaui batasan cinta antara lelaki dan perempuan. Nuansa kasih sayangnya begiu kuat, mendalam dan meluas. Itulah kelebihan karya seninya.

Lupakan sebarang kontroversi yang pernah berlaku, kerana itulah sifat manusia. Apabila mempamerkan sesuatu yang dianggap unik dan mencabar pengalaman tradisi, ia akan diserang, dikritik dan disindir sinis, tetapi itulah yang membezakan Yasmin dengan lain-lain sutradara. Yasmin berusaha mentafsirkan fenomena menjadi sesuatu yang mendalam dan bererti buat manusia sejagat melalui kreativiti seni dan somboisis kehidupan baru yang semakin berada di luar kotak dan membesar.

Amin, semoga Allah SWT mencucuri rahmat-Nya dan menempatkan beliau di kalangan orang-orang yang beriman.

No comments:

Post a Comment