Monday, July 27, 2009

NIK AZIZ JUAL MINYAK GELIGA LAGI

Tokai teringat dengan kisah penjual minyak geliga. Sewaktu masih remaja, selepas selesei sembahyang Jumaat, penjual-penjual ubat tradisional membuka gelanggang, sama ada di bawah pokok jati yang berusia ratusan tahun atau di pinggir jalan besar berkempen agar ada pembeli ubat-ubat yang dianggap mujarab, termasuk ubat kuatkan tenaga, menguatkan pinggang dan sakit-sakit sendi yang diadunkan berdasarkan petua tradisional.

Tokai namakannya ialah minyak geliga, kerana kegeligaan ramuannya itulah menyebabkan penjual mendakwa akan dapat menyembuhkan penyakit. Ramai juga orang dewasa mempercayainya, kerana kemudahan kesihatan waktu itu bukanlah seperti mana sekarang, dan sebahagian besarnya amat takut menemui doktor kerana jarum suntikan.

Sewaktu remaja, Tokai amat percaya dengan kata-kata pemimpin PAS kerana setiap malam Jumaat atau Khamis akan mengadakan ceramah agama. Semacam satu kemestian, kalau tidak ke mana, Tokai mesti hadir dalam ceramah-ceramah tersebut kerana takut dituduh "kurang agama" dan "tidak kuat Islam."

Pendekatan tersebut menyebabkan ramai orang kampung takut dituduh tidak Islam jika tidak mendengar ceramah Tok Guru, maklumlah untuk mendapatkan buku-buku agama amat sukar. Pertama disebabkan tidak mempunyai kemudahan kedai buku, dan jika ada pun buku-buku agama, budaya membaca adalah terlalu rendah.
Situasi itu mungkin berlaku kerana kurang kesedaran, kurang iltizam dan hanya menganggap "budak-budak sekolah sahaja perlu membaca." Ada juga syak wasangka, buku-buku yang ada bukan semuanya bagus, kecualilah buku yang menceritakan perihal sek suami isteri amat banyak mendapat sambutan. Kalau tak salah Tokai, tajuk buku tersebut ialah "Kemanisan Suami Isteri" bertulisan jawi dan kemudiannya telah dirumikan apabila semakin berkurang orang Melayu mampu membaca tulisan Jawi.

Berhubung dengan dengan sikap terbaru Nik Aziz, saya menyamakannya dengan seorang penjual ubat. Jika penjual ubat berusaha mendapatkan pembeli, maka Nik Aziz menggunakan strategi yang sama untuk memperolehi sokongan setelah menerima pukulan hebat menipiskan majoriti kemenangan PAS di Manek Urai.

Ada pendapat mengatakan kerana terlalu menolak dengan "kerajaan perpaduan" maka sebahagian pengundi dan simpati PAS mula mengubah haluan. Faktor-faktor lain yang menjadi penolak kepada PAS ialah tidak memerlukan pertolongan rakan-rakan PAS dari negeri lain, keretakan hubungan dengan Timbalan Presiden, mesti patuh dengan keputusannya kerana beliaulah nakhoda, kegagalan menyediakan infrastruktur berselindung di sebalik jaminan syurga turut membantu kemerosotan undi.

Mungkin setelah merenung jauh, Nika Aziz mendapat ilham untuk menghulurkan salam kerjasama dengan melupakan sengketa politik demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam. Sikap itu kemudiannya mendapat sokongan banyak pihak sehingga UMNO sendiri terpesona dengan salam persahabatan tersebut.

Rupa-rupanya salam persahabatan dan melupakan sengketa itu bukanlah merujuk kepada UMNO, ia merujuk salam hubungan kerajaan negeri dan kerajaan pusat. PAS seolah-olah tidak merelakan hubungan baik dengan UMNO kerana "tidak dapat melupakan peristiwa parti itu ditendang keluar daripada Barisan Nasional."

Sekali lagi Nik Aziz cuba menggunakan nalar lojik pemikiran politiknya dengan cuba menidakkan bahawa UMNO masih menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan pusat. Jika meneliti keputusan pilihan raya umum lalu, UMNO masih merupakan parti dominan di peringkat persekutuan kerana memenangi 79 kerusi (35.5 %) berbanding dengan lain-lain parti . Bukankah ini bererti UMNO masih menerajui kepimpinan kerajaan pusat?

Memang benar, menolak kerjasama dengan UMNO tidak bererti tidak sehaluan dengan kerajaan pusat. Tetapi, sebahagian besar kepimpinan kerajaan pusat adalah UMNO, secara tidak langsungnya menolak UMNO boleh disamakan dengan menolak kerajaan pusat sebahagian besarnya. Ini perlu difahami bahawa kerana sistem pentadbiran adalah berdasarkan parti yang menang, dan sebahagian dasar-dasar yang diputuskan oleh parti yang memerintah turut dilaksanakan oleh kerajaan pusat.

Dolak-dalik Nik Aziz akan menyebabkan lebih ramai lagi rakyat tersumbat fikirannya. Nik Aziz perlu faham apa lojiknya untuk "melupakan sengketa politik" apabila menolak hubungan kerjasama dengan UMNO.

Jika menggunakan kayu ukur bangsa, PAS pun tidak boleh menidakkan bahawa UMNO merupakan parti Melayu yang terkuat berbanding dengan lain-lain parti berasaskan Melayu. Jika menggunakan kayu ukur Islam, UMNO masih bertunjangkan Islam dan parti yang didokong oleh umat Islam terbesar di Malaysia. Kalau nak diukur daripada aspek mana pun, PAS perlu mengakui bahawa UMNO masih kuat sama ada dari aspek keahlian berbanding PAS ataupun sokongan pengaruh walaupun UMNO mengalami prestasi terburuk dalam sejarah pilihan raya di Malaysia pada tahun lalu.

Memang benar UMNO mengalami perpecahan tetapi tidak pula bermakna PAS tidak mengalami masalah yang sama. PAS juga sedang menuju zaman gerhananya bila mana pemimpin-pemimpin besar mereka seakan tidak boleh berunding semeja membuat perhitungan. Perbezaan pandangan telah menyebabkan PAS dilihat sebagai sebuah parti yang semakin berpihak kepada golongan-golongan tertentu.

Antara kumpulan Tuan Guru Haji Hadi dan kumpulan Tok Guru Nik Aziz sudah melambangkan bahawa nakhoda dan presiden sudah tidak sebulu lagi. Walaupun dinafikan, rakyat boleh membuat penilaian sendiri, kerana rakyat sekarang lebih terdedah dan berpengetahuan sebagaimana "kurang yakin lagi bahawa PAS boleh menjaminkan syurga untuk penyokong-penyokongnya."

Setiap orang Islam akan ditentukan syurganya oleh Allah SWT. Tetapi, untuk ke syurga setiap orang Islam perlu mengerjakan amal ibadat (secara soleh), bertakwa dan berbuat baik sesama manusia. Berbuat baik sesama manusia tidak bermakna memusuhi bukan Islam, mereka juga merupakan makhluk Allah SWT yang perlu diberikan perhatian dan pembelaan. Oleh itu, PAS tidak seharusnya mendabik dada bahawa syurga itu kepunyaan mutlak penyokong PAS. Ia adalah milik setiap orang Islam yang berusaha keras mendekatkan diri dengan Allah SWT dan meletakkan semua manusia sebagai rakan, keluarga dan anggota masyarakat dalam satu kesatuan ijtihad.

Berdasarkan kepada faktor-faktor tersebut nyatalah Nik Aziz akan sentiasa menjual minyak geliganya untuk memanaskan urat saraf politik negara. Tanpa minyak geliga itu, Nik Aziz mungkin akan terlontar jauh dalam pemikiran masyarakat kerana tenaga dan keupayaannya semakin beransur hilang gahnya.

No comments:

Post a Comment