Wednesday, July 8, 2009

RETAK MENANTI BELAH PAKATAN PEMBANGKANG

PAKATAN PEMBANGKANG –DAP, PKR dan PAS- dalam pilihan raya umum lalu melafazkan kesepakatan untuk menentang Barisan Nasional sebagai gabungan parti-parti politik altrenatif. Gabungan tersebut berjaya mendapat tempat di kalangan pengundi dengan menguasai undi popular sebanyak 46.41 peratus berbanding Barisan Nasional 50.14 peratus.

Keputusan tersebut telah menyebabkan ramai pihak menganggap telah berlakunya tsunami politik di Malaysia apabila BN yang telah mentadbir negara sejak merdeka tergugat dengan hanya berupaya menguasai 140 kerusi parlimen (63.1 peratus). Pakatan Pembangkang dianggap mempunyai “kekuatan” apabila menguasai 82 kerus parlimen dan berjaya mengurangkan kuasa 2/3 majoriti BN dalam Dewan Rakyat.

Dengan mendabik dada sebagai “pilihan rakyat”, pakatan pembangkang mencipta kejutan politik yang berpanjangan sehingga menimbulkan gelombang pilihan raya hampir setiap masa. Dengan berjaya menguasai Pulau Pinang, Kedah, Perak (sebelum bertukar tangan kepada BN pada bulan April 2009 berdasarkan keputusan Paduka Sultan Perak mengenai kedudukan Menteri Besar), Selangor dan kekal di Kelantan, pakatan pembangkang yakin mampu menumbangkan BN dalam pilihan raya ke-13 nanti.

Kemenangan tersebut membuktikan kesepakatan parti-parti pembangkang mengenai “pertandingan melawan BN” mebuah hasil” dan membentuk gagasan bersama melalui “kahwin kontrak.” Kahwin kontrak mereka adalah atas dasar “ingin tidur serumah”, tetapi tetap tidak jelas mengenai jurang perbezaan pandangan dan tingkahlaku politik.

Setelah sebelas bulan menjadi Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaludin menerima kejutan apabila tiga orang wakil rakyat (dua daripada PKR dan seorang dari DAP) membuktikan kepada Paduka Sultan Perak hilang kepercayaan kepada pakatan pembangkang dan menyokong BN. Akibatnya, jawatan Menteri Besar diserahkan kepada Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan kemelut politik Perak semacam diserbu dengan budaya “sembah dehaka.”

Keputusan Mahkamah Rayuan semalam (7 Julai 2009) telah mengesahkan “tindakan Paduka Sultan Perak adalah betul semasa melaksanakan kuasa prerogatifnya untuk meredakan pergolakan politik Perak dan mengekalkan maruah negeri itu” menjadikan bekas Menteri Besar itu seakan-akan berputih mata.

Perubahan kuasa di Perak itu telah dianggap oleh pakatan pembangkang sebagai “satu rampasan kuasa” dan “menjatuhkan kerajaan orang Cina”. Ini kerana, sejak mula percubaan membentuk kerajaan negeri telah berlaku sedikit perebutan DAP mendakwa partinya mempunyai kelebihan pengaruh berbanding lain-lain parti. DAP menang 18 kerusi, PAS 6 kerusi dan PKR 7 kerusi manakala BN 28 kerusi DUN. Jika mengambilkira jumlah kerusi masing-masing parti jelas BN memperolehi 47.45 peratus dan boleh membentuk kerajaan.Tetapi, BN tidak berbuat demikian kerana menghormati keputusan “pilihan rakyat” walaupun parti-parti lainya tidak mempunyai jumlah mencukupi secara bersendirian.

Kuasa pentadbiran diserahkan kepada pakatan pembangkang. Tetapi disebabkan Paduka Sultan Perak memerlukan seorang Menteri Besar daripada orang Melayu dan beragama Islam, maka Datuk Seri Nizar Jamaludin walaupun ramai pengundi Perak mengetahui bahawa calon tersebut mempunyai darah campuran Cina di sebelah ibu. Datuk Seri Nizar mempunyai hubungan keluarga dengan Ngeh dan Nga, yang merupakan wakil rakyat DAP.

Setelah pecahnya penguasaan pakatan pembangkang di Perak, parti-parti gabungan semakin mengalami keretakan dalaman. Kahwin mutaah antara mereka semakin dicabar oleh beberapa peristiwa yang berlaku termasuk cadangan kerajaan perpaduan. Cadangan mengadakan rundingan kerajaan perpaduan menyebabkan PAS menghadapi krisis dalaman yang tidak membolehkan Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa turun berkempen dalam pilihan raya kecil Manek Urai. Nasaharudin dikatakan “malu muka” untuk berdepan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana tidak menghormatinya “larangan berbincang mengenai kerajaan perpaduan” kerana serik dengan persahabatan dalam BN selepas PAS disingkirkan pada tahun 1978.

Nasharudin yang mendapat tempat bertanding di Parlimen Bacuk diminta melepaskan jawatan (Timbalan Presiden dan wakil rakyat) oleh Datuk Nik Aziz dan ditarik balik beberapa hari kemudian apabila pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang membuat keputusan menolak rundingan kerajaan perpaduan. Presiden PAS yang menimbulkan idea itu dilihat oleh sesetengah pihak dalam PAS dan di luar PAS “terpaksa” berbuat demikian kerana parti-parti tersebut telah “menenggek.” PAS seharusnya tidak berdiam diri apabila wakil rakyat mereka tidak diberikan sebarang jawatan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang. PAS juga dikatakan takut untuk menagih kawasan apabila berlakunya kekosongan kerusi DUN Penanti apabila Mohd Fairus “dipaksa” meletakkan jawatan demi menebus maruah PKR yang tidak berfungsi di kalangan pengundi DUN tersebut sejak menang dalam pilihan raya umum ke-12.

Walaupun dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1, Fairus tidak banyak mempedulikan penduduk setempat dan beliau sendiri anak tempatan. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah membidas tindak tanduk Fairus dan memberikan tempoh selama sebulan untuk membetulkan perilaku tersebut semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh bulan Ogos 2008. Mungkin kerana amaran dan nasihat tersebut tidak menjadi, akhirnya Fairus menjadi mangsa “tuduhan rasuah bersabit dengan operasi kuari “ dan menerima wang dari penguasa kuari tersebut semasa menghadiri kursus di luar negara.

PAS Kedah menghadapi masalah apabila DAP dengan rasminya keluar daripada gabungan tersebut dan wakil rakyat tunggalnya semacam berpatah arang. PAS dilihat tidak menghormati bukan Melayu apabila tidak menyekat perobohan rumah lapah babi di Kampong Berjaya, Alor Setar dan menaikkan kuota pemilikan rumah kepada 50 peratus untuk Bumiputera. Lain-lain dakwaan ialah PAS berhasrat untuk merobohkan kuil dan tokong yang didirikan oleh bukan Islam di beberapa tempat. Turut dipertikaikan ialah sikap kerajaan PAS yang tidak mengambil peduli mengenai rungutan penduduk Paya Nahu, Sungai Petani apabila pemaju tidak membayar cagaran elektrik dan air kepada pembeli rumah pangsa tersebut. Penduduk berpendapatan rendah mempersoalkan di manakah janji PAS untuk mengatasi masalah mereka semasa kempen pilihan raya kecil Bukit Selambau pada awal Mei lalu.

Di Pulau Pinang, DAP semakin terhimpit apabila menyingkirkan wakil PKR dalam Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Johari Kassim. Seramai 9 ahli MPSP memboikot perlantikan Yang Di Pertua MPSP oleh Kerajaan Negeri yang memberikan laluan kepada penjawat awam walhal mengikut dakwaan mereka perlu diberikan kepada PKR (dahulunya dikuasai oleh UMNO). Ini kerana secara tradisinya diberikan kepada parti politik sebagaimana Majlis Perbandaran Pulau Pinang diberikan kepada DAP (dahulunya dikuasai oleh Gerakan).

Selepas isu tersebut, Lim Guan Eng menghadapi tentangan kuat daripada penduduk Kag. Buah Pala yang mendesak supaya beliau meletakkan jawatan dan pulang ke Melaka. Ketua Menteri menyalahkan kepimpinan kerajaan terdahulu dan mengambil sikap mudah bagi menyelesaikan tuntutan 23 buah keluarga India ke atas tanah seluas 6.5 ekar yang dipunyai oleh Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Pulau Pinang(Kooperasi).

Keputusan Mahkamah berpihak kepada Koperasi dan penyampaian bailiff untuk mengosongkan tanah tersebut mendapat tentangan. Penduduk terus mendesak Ketua Menteri supaya campur tangan dan mengambil tindakan menggunakan Akta Pengambilan Tanah dengan mebayar pampas an kepada pemilik dan pemaju. Setelah didesak dan diasak oleh pelbagai pihak, akhirnya beliau memberikan kata dua bahawa “Kerajaan Negeri tidak mampu dan meminta Koh Tsu Koon memohon kepada kerajaan Pusat untuk menyelesaikannya.”

Sikap itu semakin menyemarakkan kemarahan penduduk Kg. Buah Pala kerana mereka terus mempersoalkan janji yang pernah dibuat semasa berusaha mendapat sokongan penduduk. Hindraf yang turut mendakwa peminggiran masyarakat India dijadikan rakan kongsi untuk meraih sokongan oleh Pakatan Rakyat dan penduduk memberikan mandate itu kepada pakatan pembangkang. Kemenangan pakatan pembangkang diharap memeberikan kelegaan kepada penduduk, tetapi ternyata “hanyalah janji” selama lebih 15 bulan tidak ada penyelesaian dilakukan. Karpal Singh yang mewakili parlimen Bukit Gelugor (Kg. Buah Pala termasuk dalam kawasan itu) dikatakan tidak sedikit pun membantu memberikan sokongan semasa penduduk menghadapi perbicaraan di Mahkamah mengenai tuntutan tersebut.

Karpal Singh pernah mengkritik Anwar Ibrahim dan dianggap sebagai “tidak bermoral dan perlu disingkirkan” apabila tidak sebulu dengan tindakan penasihat PKR itu. Karpal Singh juga dilihat telah berjaya memaksa perjuangan pemimpin PAS mengenai “pembentukan negara Islam” dan melaksanakan undang-undang Islam apabila mendesak “langkah mayatnya terlebih dahulu”. PAS begitu akur dengan tuntutan rakan-rakannya menyebabkan sesetengah penyokong mereka mempersoalkan kepimpinan PAS termasuk memperujikan pengaruh kepimpinan ulamak dalam Muktamar PAS ke 55 baru-baru ini. Telah timbul puak erdogan dalam PAS yang mengharapkan kepimpinan tertinggi harus diberikan kepada golongan professional.

Namun, kumpulan erdogan menghadapi tentangan dan kecundang semasa muktamar tersebut. Kumpulan ulamak mendapat tempat dan menyebabkan beberapa orang calon kepimpinan PAS yang menyokong Datuk Nik Aziz dari Kelantan tewas teruk. Mungkin kerana melihat calon-calon dari Kelantan itu tewas, Mursyidul Am PAS semakin “garang percakapannya” kerana menganggap “ada pihak yang cuba menjatuhkan kedudukannya” seperti yang didedahkan oleh anaknya, Nik Abduh melalui laman blognya sendiri sebelum muktamar tersebut.

Pas juga tersepit dengan gelagat kepimpinan PKR di Selangor di mana wakil-wakil rakyat PAS tidak diberikan kedudukan yang strategic. Dr. Hasan Ali diberikan tanggungjawab mengenai hal ehwal Islam dan tidak banyak kuasa, hanyalah dilihat terus menggunakan masjid berkhutbah secara retorik kepada penduduk. Masih belum ternampak satu program yang konkrit untuk mempertingkatkan syiar Islam di Selangor kecualilah “mengharamkan Islam Hadhari.” Beliau turut menyokong penerusan projek ternakan babi secara moden ayng menerima bantahan penduduk Kg. Tumbuk Darat, Sepang, Selangor.

Beliau turut menyokong “perlakuan separa bogel Elizabeth Wong semasa tidur di rumahnya” yang menjadi hangat apabila didedahkan melalui internet. Meskipun dengan alasan masalah peribadi, tetapi jika menurut pengertian budaya masyarakat, kesopanan dan kesusilaan mestilah dipelihara. Tidur separuh bogel adalah satu perilaku yang tidak sopan, walaupun ia merupakan hak peribadi seseorang. Di sini di manakah wibawa PAS dalam mempersoalkan perilaku dan bukannya mempertahankan hak peribadi kerana Islam sentiasa mengingatkan bahawa menjauhi setiap perbuatan yang boleh mengudang aib setiap masa.

Itulah retak yang sedang menanti belah di kalangan pakatan pembangkang. Gelagat tidak sebulu atas prinsip asas perjuangan parti masing-masing sedang menuju ke tikungan tajam yang bakal menyebabkan kahwin mutaah itu berakhir. Masa dan ketika akan menentukan, kerana kesepakatan dalaman masih jauh daripada persefahaman untuk tidur sebantal, apatah lagi menikmati malam-malam hidup sebagai suami isteri dengan penuh keindahan dan berkat.

No comments:

Post a Comment