PERBEZAAN PENDAPAT atau pandangan merupakan sifat semulajadi manusia dan semacam tidak boleh dielakkan. Ini kerana sesuatu pendapat itu lahir berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan perspektif bagaimana sesuatu perkara itu dilihat. Namun, perbezaan pendapat atau pandangan itulah sepatutnya berupaya memperkayakan pemikiran dan budaya. Tidak bermakna perbezaan pendapat atau pandangan itu boleh dijadikan sebagai senjata untuk menyerang pihak lain, sebaliknya perlu disatukan bagi menentukan lahirnya sebuah muafakat.
Disebabkan terlalu ingin menegakkan perbezaan pendapatlah maka berlakunya perppecahaan. Ciri-ciri perbezaan itu pula dijadikan sebagai senjata untuk memperlekeh dan merendah-rendahkan pihak tertentu sehingga menyebabkan orang lain terseret ke jurang yang semakin dalam. Mungkin inilah hakikat yang cuba nak digambarkan oleh Raja Muda Perak, Dr. Raja Nazrin Shah apabila memulakan titah utamanya menggunakan kisah enam orang buta dengan seekor gajah.
Analogi tersebut menjadi semakin bermakna apabila baginda cuba menghuraikan bermula dengan perbezaan pendapat, dua parti terbesar mewakili Melayu-Islam tidak sehaluan. PAS yang lahir sebagai sayap agama UMNO asalnya, berpecah menjadi sebuah parti politik dan menjadikan Islam sebagai ideologi perjuangannya. Setelah cuba menjadi saingan UMNO, PAS terus membuat asakan bahawa keduanya berbeza dari asas.
Hingga hari ini PAS terus mendakwa bahawa perjuangannya masih tidak berubah dan tidak akan berubah. PAS akan tetap mempertahankan Islam, kerana itulah menentang “ketuanan Melayu” yang diperjuangkan oleh UMNO sejak mula tertubuh pada tahun 1946 lagi. Kerana terlampau memperjuangkan “ketuanan Melayu” maka UMNO didakwa telah mengkhianati Islam dan PAS sendiri. UMNO mensabotaj usaha menegakkan hukum hudud di Kelantan dan menyekat pemberian royalti hasil minyak, sama ada di Kelantan ataupun Terengganu kerana ditadbir oleh kerajaan yang berbeza fahaman politik.
Raja Nazrin Shah cuba menggambarkan suasana perbalahan dan perbezaan perjuangan antara dua parti terbesar Melayu-Islam itu bukan sahaja mengundang keretakan. Ia telah membawa kepada belah.
Titah baginda, “retak-retak yang berkemungkinan membawa belah, semakin melukakan jantung insan Melayu, semakin menghiris hiba hati kecil umat Islam. Sesungguhnya insan Melayu dan umat Islam sentiasa meletakkan harapan – tidak berhenti memanjatkan doa, agar Melayu dan Islam berpisah tiada –agar Melayu dan Islam kekal bersatu.”
Titah utama itu dilafazkan dalam Muzakarah Cendekiawan Islam yang diadakan di Ipoh, Perak pada 14 Julai 2009, di mana ayahandanya, Paduka Sultan Perak merasmikannya. Apa yang lebih menarik titah itu turut mengimbas perjalanan sejarah politik negara dengan mengambil latar perbezaan ideology yang telah menyebabkan berlakunya sengketa hingga ke hari ini. Dengan merenung peristiwa-peritiswa silam, baginda merasa sedih dan kesal kerana:
“Sepatutnya politik yang berakarkan bangsa dan berpokokkan Islam berupaya memperkuatkan modal pengupayaan umat – menyuburkan pohon yang kukuh, tidak goyang ditiup angin—tidak goncang dilanda ribut.Namun peranan saling melengkapi nyata tidak berlaku. Realiti politik tidak memperlihatkan kembar politik ini bersifat identical.
“Asas-asas utama perjuangan untuk kemerdekaan, untuk agama, untuk bangsa, untuk Negara, gagal mencantumkan roh dua tenaga politik Melayu-Islam ini. Sub-budaya matlamat, perbezaan penekanan serta kaedah perjuangan lebih dominan dan beransur-ansur menjadi factor pemisah. Tulisan jami-tulisan rumi, kopiah putih-songkok hitam, baju Melayu-jubah Arab, meletakkan Melayu Islam itu berada dalam dua aliran sungai yang mengalir selari tetapi enggan bertemu,” titah baginda dengan nada kecewa.
Mungkin baginda Dr. Raja Nazrin Shah amat mengharapkan adanya satu usaha untuk membolehkan dua parti yang pada asalnya satu, berpisah dan pernah bersama walaupun singkat kembali bertaut bagi memperkuatkan kedudukan bangsa Melayu dan kekuatan Islam. Ini kerana, “percantuman dua kembar politik ini pernah berlaku berikutan peristiwa hitam 13 Mei 1969. …meskipun berlaku dalam tempoh yang singkat, merupakan puncak kepada perpaduan bangsa dan ummah di tanah air ini, yang sekali gus memperkukuhkan modal pengupayaan umat.”
Ketika itu, Dr. Raja Nazrin menganggapnya sebagai “era penyatuan, era yang paling produktif kepada bangsa dan ummah, era yang telah menghasilkan dasar-dasar yang dapat mengoptimumkan kebaikan ummah, antara yang paling signifikan ialah Dasar Ekonomi Baru.”
Percantuman itu juga menjadikan Malaysia semakin gigih memacu pertumbuhan dan membangun kelengkapan termasuk modal insan. Pentas politik Melayu-Islam menjadi kuat dan kental sehingga tidak menyebabkan orang-orang bukan Melayu terus merungkaikan kata sepakat yang telah dipersetujui baik sebelum mencapai kemerdekaan mahupun semasa cuba mengseimbangkan tahap pemilikan ekonomi dan usaha menyusun semula masyarakat yang terlalu terikat dengan lokasi ruang usaha tinggalan penjajah.
Bandar semacam menjadi monopoli orang Cina, desa seolah-olah hak mutlak orang Melayu dan ladang-ladang sebagai penempatan warisan kaum India. Gambaran itu semakin terhapus apabila peluang pekerjaan bertambah di bandar, peningkatan tahap pendidikan di kalangan penduduk menyebabkan berlakunya perhijrahan penduduk desa, pembangunan industri dan peluasan usaha ekonomi menjadikan belantara hutan berubah menjadi taman-taman perumahan.
Selepas penyatuan dan penggabungan, atas perbezaan keinginan menjadikan dua buah parti politik kembar Melayu-Islam bercakaran. Sebelum keputusan pilihan raya umum ke 12, percakaran tersebut tidaklah sampai kepada menggugat dan mempersoalkan wibawa bangsa dan mencabar agama. Tetapi, apabila PAS sanggup melenturkan orientasi perjuangan, dengan menenggelamkan matlamat menubuhkan sistem pemerintahan Islam, mendaulatkan undang-undang Islam, bersahabat dengan kaum yang pernah menjadi sasaran dan umpatan “kafir” dan “taghut”, institusi yang berunsurkan kemelayuan, keislaman dan statusquo dipersendakan dengan sinis dan tajam.
Kontrak sosial dianggap punca kepada diskriminasi kaum sehingga menyebabkan bukan Melayu rasa tertekan dan terpinggir. Kontrak sosial turut dijadikan bahan tohmahan kononnya bukan Melayu menjadi warganegara kelas kedua dan ketuanan Melayu menjadikan bumiputraisme menyamai dasar apartheid. Dalam hal ini, PAS membiarkan sahaja kontrak social dikritik dan diherdik, kerana yang lebih pentinga ialah “ketuanan Islam.”
Kerana itu, Dr. Raja Nazrin berkali-kali mengingat bahawa “betapa hibanya bangsa menonton ironi yang berlaku. Di manakah salah ibu mengandung hingga insan yang seagama enggan bersaudara. Islam tidak sentiasa menjadi landasan pilihan dalam mengharungi perjalanan hidup.
“Tergelincir dari landasan bagaikan satu norma dan bangsa Melayu hanya kembali kepadanya pada waktu-waktu menghadapi kegelapan dan kesulitan, pada waktu-waktu permulaan hayat ketika menyambut kelahiran bayi, ketika jodoh dipertemukan , dan ketika pengakhiran hidup apabila jasad disemadikan di liang lahad.”
Apabila berusaha mencari jalan penyelesaian dan merintis kembali lebuhraya muafakat, perbezaan pendapat menjadi semakin lantang menentang. Dari dalam PAS sendiri mengajukan pertikaman yang hampir memudaratkan ikatan politik kerana ingin menyambung survival pengaruh, perintis jalannya diberikan tumbukan kuat tanpa berupaya bangkit. Nasharudin yang baru memenangi jawatan Timbalan Presiden PAS untuk penggal kedua dihentam keras supaya meletakkan jawatan termasuk ahli parlimen Bachok.
Mungkin juga benar, kemerosotan undi semasa pilihan raya kecil Manek Urai mempunyai kaitan langsung dengan sikap keras kepala dan tidak mahukan rundingan perpaduan. Ketiadaan Nasharudin berkempen sejak awal, dan ketika isu kerajaan masih panas, menyebabkan sebahagian penyokong beliau berpatah arang. Jika terlibat sekali pun mungkin gerak kerjanya menjadi kurang kemas dan sekadar melepaskan tanggungjawab kerana takut dituduh tidak setia kepada parti.
Dengan UMNO mereka seolah-olah dikenakan “hukum rejam”, dan kerana itu sanggup membuat tuduhan dengan menyamakan perjuangan umpama ajaran sesat Ayah Pin dan bertindak seperti Chin Peng. Masyarakat Melayu semakin dikelirukan dengan tuduhan tersebut, tetapi hanyalah untuk beberapa hari sahaja. Bila terlalu kuat menyindir dan “melarang jentera parti dari luar Kelantan datang membantu”, menyentak perasaan dan semangat bagi memperkuatkan sokongan. Kerana itu, pengundi muda beralih arah.
Itulah gambaran sebuah kedegilan yang akhirnya membawa padah. Keengganan menyahut semboyan penyatuan umat Melayu-Islam telah melebarkan lagi perbezaan pandangan dan ianya akan menyebabkan PAS akan terus mengalami asakan naluri bantah dari dalam. Jika terus menjadi prasangka dan pegangan, suatu hari nanti PAS juga akan menjadi tidak relevan.
Melayu-Islam perlu kembali bersatu bagi menghadapi cabaran yang “menyentuh identiti, menyentuh maruah, menyentuh martabat, menyentuh kelangsungan bangsanya. Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat” kerana ,”bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu-Islam yang berilmu, yang professional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality jauh lebih kecil. Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.”
Kerana itu, Dr. Raja Nazrin Shah mengingatkan telah munculnya “ketaksuban baru, menjelmakan budaya asabiyah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh.
“Akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain. Baik kata-kata yang diucapkan—mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah…Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu. Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa.”
Inilah hakikat yang bakal berlaku sekiranya perbezaan pendapat dan perselisihan fikiran terus dijadikan asas perbezaan Tentunya 6 orang buta itu tidak akan dapat melengkapkan cirri-ciri seekor gajah jika di antara mereka saling mempertahankan apa yang dirasainya. Jika perspektif setiap orang itu dikumpul, dibincang dan ditemukan satu keputusan muafakat, kesemua mereka akan mendapat gambaran lengkap mengenai seekor gajah.
Begitu juga dengan PAS dan UMNO. Jika dua buah parti politik yang sama-sama berlandaskan perjuangan Melayu dan Islam boleh berbincang, bermuafakat dan bersatu, tentunya kekuatan masing-masing dapat digembelingkan sebagai satu tenaga modal pengupayaan ummah, hasilnya amat menajubkan. Kekuatan PAS sebagai perancang strategi dan pelaksana pembangunan spiritual dan keupayaan UMNO sebagai peneraju pembangunan fizikal akan mampun menyanggah bebanan tanggapan serong peradaban barat tentang Islam. Islam akan menjadi lebih bermaruah, wibawa dan bukan lagi sebagai “hantu hijau” yang mesti dijauhi.
Seruan Dr. Raja Nazrin Shah boleh dijadikan pedoman dan pegangan.
“Bersatulah dalam semangat dan roh agama suci Islam yang sama-sama mengakui Hakikat keesaan Allah, Tuhan yang satu, dan Nabi Muhammad SAW itu adalah Rasul junjungan, Quran itu kitab pegangan, dan secara bersama sepakat menghadap kiblat melakukan ibadat sembahyang, serta menerima orang Islam itu sebagai saudara.Semoga barang disimpangkan oleh Allah SWT juga, Melayu Islam dibumi ini daripada ditimpa petaka—dihujani bala, hingga tak bernegara lagi.”