Sunday, March 29, 2009

Penjudi tegar Bukit Selambau

Bukit Selambau memahat sejarahnya yang tersendiri apabila 15 orang calon diterima untuk bertanding merebut kerusi DUN pada 7 April nanti. Setelah masa bantahan tamat, suasana hari penamaan calon bertambah meriah apabila lebih 10,000 orang mengiringi calon PKR manakala sekitar 6,000 orang mengiringi calon BN. Calon-calon lain, yang bertanding atas tiket bebas tidaklah begitu hebat sokongannya.
Kelibat penyokong Bebas seolah-olah kurang bermaya semacam tidak mengharapkan kemenangan . Mungkin hanya sekadar untuk memancing agar ada pihak yang sanggup melobi bagi memecahkan undi Melayu dan India.
Terdapat seramai 8 orang calon berketurunan India, enam calon Melayu dan seorang calon Cina. Calon Bebas masing-masing enam orang di kalangan Melayu dan India. Seorang calon berketurunan Cina bertanding atas tiket Bebas bagi memancing pengundi Cina. Berdasarkan daftar pengundi dalam PRU ke-12, Bukit Selambau mempunyai seramai 35,157 pengundi.
Jika mengambil kira jumlah calon yang bertanding, bererti enam orang calon Melayu cuba merebut undi Melayu seramai 17,748 manakala 8 calon berketurunan India berebut untuk dapatkan sokongan 9,721 dan kelebihan mungkin ada di kalangan calon Cina kerana tidak mempunyai saingan piilihan oleh seramai 9,721 pengundi.
Itu hanyalah berdasarkan sentimen keturunan, tetapi yang jelas ia bukanlah faktor dominan. Faktor kaum diperkirakan sebagai faktor pinggiran berbanding faktor sokongan secara pukal terhadap sesuatu parti politik yang bertanding. Hanya dua calon yang menjadi rebutan sengit, iaitu BN dan PKR yang masing-masing meletakkan calon berketurunan India.
Desas-desus awal mengatakan jika PKR meletakkan calon berketurunan Melayu mungkin DUN Bukit Selambau boleh dikuasainya. Ini kerana BN terus dengan tradisinya, iaitu memberikan laluan kepada MIC sebagaimana dipersetujui dalam formula perkongsian kuasa walaupun peringkat awal, ada pihak mendesak supaya dikembalikan kepada UMNO.
Mungkin calon Bebas yang mewakili masyarakat Cina mempunyai sedikit kelebihan, tidak banyak persaingan dari aspek kaum. Ia mungkin juga akan menerima sedikit kelebihan kerana calon Bebas dalam PRU ke-12 turut menggunakan simbol kunci, berbanding lain-lain calon Bebas menggunakan simbol bas, kucing, ikan, kerusi, payung, buku, kapal terbang, tandan kelapa sawit, jam,ayam,basikal dan telefon.
Yang menjadi ramalan beberapa orang penjudi tegar ialah jika BN dan PKR kalah, calon Bebas keturunan Cina akan menang. Calon bebas keturunan Melayu akan mendapat undi yang lebih kecil kerana orang Melayu akan keliru untuk memilih mana satu calon yang mampu mewakili mereka. India juga begitu. Pada mulanya banyak penjudi tegar berpendapat, jika terdapat calon Bebas keturunan Melayu, dia pasti akan menang.
Setelah selesai penamaan calon, penjudi tegar membuat perhitungan baru dengan mencari petunjuk baru bagi memenangkan pertaruhannya. Jangkaan yang terhitung ialah pengundi Melayu akan mengundi kepada Mejar (B) Anuar kerana beliau mendapat sokongan ramai dan pernah aktif dalam UMNO. Calon Bebas Razi yang pernah menjadi Timbalan Pengurusi PKR Sungai Petani, walaupun mendakwa mendapat sokongan daripada penyokong PKR yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon luar bagi mewakili parti itu, dijangka akan kecundang.
Dia kecundang kerana tidak mempunyai kekuatan sendiri, hanya bergantung kepada naluri dan keinginan beberapa orang penyokong kuatnya. Orang Melayu lebih mengenali Mejar(B) Anuar daripada Razi. Begitu juga antara calon BN, Datuk Ganesan dan calon PKR, S. Manikumar. Antara Ganesan dan Manikumar, masyarakat Bukit Selambau lebih mengenali Ganesan kerana beliau adalah anak tempatan dan seorang pengamal undang-undang.
S. Manikumar bukan dilahir dan dibesarkan di Sungai Petani, tetapi mendapat restu kepimpinan atasan PKR kerana hubungan baiknya dengan Ketua Bahagian. Khabarnya, peniaga kereta itu telah banyak menabur budi sehingga membolehkannya dicalonkan sebagai mewakili PKR. Calon BN dikatakan sebagai proksi Presiden MIC, kerana itu peluang untuk menang dikirakan tipis atas sentimen pengundi India bencikan Datuk S. Samy Vellu. Itu sebahagian daripada perkiraan penjudi tegar.
Seperti dalam mana-mana pilihan raya kecil, penjudi tegar turut mempengaruhi keputusannya. Perhitungan mereka sekarang ialah BN kalah, PKR kalah tetapi yang menang ialah calon Bebas sama ada Mejar (B) Anuar ataupun Tan Hock Huat. Calon bebas wanita, L. Sarala boleh meneruskan melodi karaoke sha-la-la-la, kerana dianggap tidak mampu mempengaruhi sokongan pengundi India ataupun Melayu.
Tetapi ada kedengaran bahawa Mejar (B) Anuar sanggup menarik diri kerana tetap setia dengan Tun Dr. Mahathir. Jika Tun Dr. Mahathir akan kembali ke pangkuan UMNO, beliau akan ikut sama dan menarik diri. Faktor ini turut membuka ruang percaturan baru dalam minda penjudi tegar.
Penjudi tegar membuat analisis yang lain bahawa jika Mejar (B) Anuar menarik diri dan membantu calon BN, peluang kemenangan tetap ada. Ini mestilah dibantu oleh gelagat calon BN sendiri. Datuk S. Ganesan mesti merendahkan dirinya, tidak terlalu budaya kepeguamannya. Beliau harus merendahkan dirinya dan “pulang kepangkuan keluarga”.
Berbekalkan kesusahan dan keperitan hidupnya semasa kanak-kanak, berasal dari keluarga penoreh getah membina keyakinan untuk memperbaiki kehidupan, mampu menyuntik semangat pengundi India. Beliau juga harus lebih murah hati dan tidak meninggalkkan pengundi-pengundi yang ditemuinya membayar harga minuman di kedai-kedai kopi. Perlu bersalaman dengan semua orang.
Ingatlah bahawa ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Walaupun turun padang dan bersama orang yang susah, mesra dan berdampingan dengan mereka, tidak melunturkan statusnya sebagai seorang peguam. Malah, kredibilitinya akan melonjak kerana pengundi akan yakin dan percaya dengan kebolehannya dalam membantu menyelesaikan masalah pengundi. Pengundi memerlukan seorang wakil rakyat yang benar-benar mampu berkhidmat untuk mereka, dan bukannnya sekadar menabur janji dan memproklamasikan sindiran retorik.
TOKAI tetap bersyukur dan berterima kasih jika semua faktor yang diperhitungkan oleh penjudi tegar meleset. Biarlah pengundi tegar terus kalah, kerana berjudi itu adalah dosa besar dan dilarang oleh semua agama besar. Biarlah penjudi tegar kalah, yang menang ialah diri kita sendiri kerana tidak terpengaruh dengan andaiannya. Pengundi membuat keputusan berdasarkan kematangan memilih dan bukannya jika begini mestilah begitu, dan jika begitu mesti pula begini, tiada kesudahannya, yang ada hanya andaian semata-mata. Pengundilah menjadi faktor mutlak kemenangan seseorang calon dan bukannya penjudi tegar.

No comments:

Post a Comment