Tuesday, March 31, 2009

Komplot Politik Zina

Tokai terpinga bila seorang anak muda sambil menunggu goreng pisang panas masak membeberkan beberapa ungkapan janggal. Janggal kedengaran dan janggal sekali maksud pemakaian ungkapan tersebut.
Tokai tidak pernah dengar ada ungkapan komplot politik zina. Waktu Tokai mula memahami teori politik asas berdasarkan kerangka Harold Laski ataupun Lasswell, komplot politik sering dikatakan sebagai usaha berkumpulan satu kumpulan seminat untuk mendapatkan pengaruh.
Berdasarkan perspektif politik Lasswellian yang terkenal dengan “siapa mendapat apa”, Tokai amat faham kemuncak tujuan politik ialah mendapat kuasa. Bagi mendapatkan kuasa, kumpulan seminat akan berusaha keras mempengaruhi kabanyakan rakyat atau mengumpul sebanyak mungkin penyokong.
Dengan menggunakan landasan demokrasi, mereka yang memimpin kumpulan seminat akan berkempen dan seterusnya memperjelaskan ideologinya bagi meraih sokongan mendapatkan kuasa melalui persetujuan atau kini dikenali sebagai pengundian.
Setelah politik diinstitusikan, maka lahirlah peraturan-peraturan tertentu bagi menyekat salah guna kuasa, kaedah berkempen demi menghormati prinsip-prinsip kebebasan dan hak peribadi seseorang. Kemudian, kerana usaha mendapatkan kuasa itu kadangkala menggunakan himpitan dan desakan emosi, maka rayuan dan pujukan bersandarkan ketakutan mula digunakan.
Dalam politik Amerika Syarikat yang dianggap bapak demokrasi, unsur-unsur peribadi masih melingkari kempen politik mereka. Dalam kes perebutan jawatan presiden misalnya, Barrack Obama dihubungkaitkan dengan sikapnya terhadap Islam bagi melumpuhkan kekuatan pengaruh dan menghakis keyakinan pengundi beragama kristian.
Gandingan calon Naib Presiden Joe Biden dan Sarah Pilih. Peribadi Sarah Pilin dihentam dengan begitu tajam sehingga mengaitkan hubungan sulit anak perempuannya yang sedang hamil. Dianggarkan Sarah Pilin akan menyokong dasar bersekedudukan tanpa nikah kerana memihak kepada keterlanjuran anaknya.
Tokai menjadi tertarik apabila komplot politik dikaitkan dengan zina. Pada mulanya anggapan Tokai ialah dalam politik ada komplot untuk membenarkan zina, tetapi ternyata andaian itu meleset apabila pemuda itu terus membeber.
“Cuba pak cik fikir, kahwin belum, nikah pun belum, tapi boleh berpeluk tanpa segan silu. Batasan agama, nilai moral dan budaya tidak ada langsung. Yang ada ialah kehendak mereka. Kehendak gila!!”
Tokai bertanya “Kehendak gila”
“Gila kuasa. Nak sangat jadi Perdana Menteri. Yang haram pun sanggup dihalalkan.”
“Apa yang haramnya.”
“Ye le! Kalau nak nikah mesti ada majlisnya. Khutbah, kenduri dan tandatangan surat kahwin. Ini habuk pun tak ada?”
“Kan Bukit Selambau banyak habuk?”tanya Tokai.
“Itu habuk kerana debu atau asap kereta. Ini bersekedudukan tanpa nikah. Kalau dia benar-benar nikah, mana surat nikahnya. Siapa Tok Kadhi, di mana dia nikah?”Balas pemuda itu.
“Berapa ringgit nak beli goreng pisang ni?” tanya penjual goreng pisang.
Pemuda itu cuba menyeluk poketnya. Tokai menjelaskan, “Tak apa lah. Saya bayar berapa ringgit pun tak apa. Saya belanja.”
“Saya nak dua ringgit,” jawab pemuda itu.
Sementara menunggu penjual goreng pisang membungkusnya, Tokai meminta agar pemuda itu sudi berbual panjang mengenai teori komplot politik zina. Tokai ingin benar mendapat pengetahuan baru, maklumlah Tokai dah lama tidak membaca teori-teori terbaru dalam ilmu politik yang semakin dinamis sifatnya. Setiap saat berkembang sebagaimana berkembangnya rangka pemikiran manusia, dan Tokai amat malas untuk menyemak bahan-bahan daripada internet kerana lebih banyak sampah daripada pengetahuan dan maklumat sebenar.
Tokai mengajak pemuda itu untuk duduk dan bersembang sambil menikmati goreng pisang panas. Kami memilih untuk menuju ke sebuah warung kopi bersebelahan kerana kebetulannya tidak ramai pengunjung ketika itu.
Setelah masing-masing memperkenalkan diri, pemuda itu terasa amat senang sekali dengan Tokai. Tokai tidak banyak membantah, sebaliknya cuba menjadi seorang pendengar yang baik, kerana teori itu amat menarik sekali.
Beberan pemuda itu sampai ke kemuncaknya apabila mengatakan bahawa Pakatan Rakyat mengamalkan “komplot politik zina.” Pakatan Rakyat tidak pernah berkahwin, dan kerana itulah ia bukanlah sebuah parti politik yang sah. Ia adalah sebuah parti politik haram, ia hanya ditubuhkan berdasarkan “persetujuan bersama untuk bersekedudukan” menyamai teruna dan dara di Amerika Syarikat tinggal serumah tanpa ikatan perkahwinan. Itulah yang berlaku dalam parti-parti politik yang bergabung dalam Pakatan Rakyat.
Parti itu tidak pernah didaftarkan. Oleh kerana itu ia tidak wajar dinamakan pakatan rakyat. Ia wajar dinamakan “komplot politik zina” atau “pakatan politik bersekedudukan tanpa nikah.”Ia tetap haram di sisi undang-undang dan peraturan negara. Ia juga menggambarkan sudah dan sedang berlaku penggasiran moral dan melanggar etika kehidupan berpolitik.
Tetapi yang lebih penting bagi Tokai ialah parti manakah yang menjadi pengantin perempuan, parti mana pula yang mempelai. Dalam sesetengah hal, pemuda itu memberikan analogi bahawa PAS menjadi pengantin manakala PKR adalah mempelai. Dalam kes yang lain, PAS mempelai manakala DAP adalah pengantin. Pun adakalanya PKR pengantin dan DAP mempelai, tapi di Kelantan PAS adalah pengantin lelaki manakala PKR adalah pengantin perempuan.
Sebagaimana sifatnya “politik bersekedudukan” akan goyah dan pecah. Intensiti penceraiannya menjadi lebih tinggi kerana prosesnya tidak rumit, tidak ada prosedur yang perlu diikuti. Boleh datang dan pergi sesuka hati, kerana ikatan hanya terbina atas platform nafsu, iaitu nafsu untuk berkuasa. Ia bukan berdasarkan paltform ideologi yang kukuh dan bersefahaman dalam hal-hal bersama yang memperkukuhkan ikatan “perkahwinan.”
Kerana itulah dalam banyak hal cabar mencabar berlaku. Karpal marah perjuangan negara Islam Pas sehingga mengugut supaya melangkah mayatnya sebelum menegakkan gagasan tersebut. Hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana DAP tidak setuju, begitu juga idea “kerajaan perpaduan” menyebabkan Lim Guan Eng memohon supaya Presiden Pas memberikan penjelasan.
Karpal marahkan Anwar, dan meminta supaya disingkirkan serta bertaubat. Kalau serumah “bersekedudukan” masih bercakaran sesama sendiri, bagaimana nak memerintah negara. Kalau setiap kali bercakap banyak menggunakan jargon politik, memfitnah dan menyalahkan “pasangan”, tak ubah cerita orang berzina di mana-mana tempat. Sewaktu ingin mendapatkan kuasa atau memuaskan nafsu, sanggup menerima apa sahaja, tetapi selepas itu mula mengutuk “pasangannya tidak bagus”, “pilihan tidak tepat,” “prestasinya begitu dan begini.” Ia bagaikan benar, bila keletah politik pakatan pembangkang “bersekedudukan itu” tidak pernah aman, kecualilah ketika berkempen mencari sokongan dan menghadapi pilihan raya.
Itulah teori baru politik Malaysia yang menarik perhatian Tokai yang diperoleh daripada analisis anak muda yang kecewa melihat perkembangan semasa sepanjang kempen DUN Bukit Selambau. Tokai tabik dengan anak muda itu kerana berupaya menjelaskan satu teori baru, teori yang mungkin boleh dijadikan bahan kajian dan pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, kerana turut menyelitkan rangka pemikiran kelam kabut sebagaimana diulas oleh penulis buku Strategi Kemenangan Anwar, Mutharasan, yang diterbitkan pada tahun lepas oleh Focus Media Enterprise.

No comments:

Post a Comment