Wednesday, June 30, 2010

SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA: REFORMASI, REVOLUSI ATAU TRANSFORMASI?

Sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa minggu ini kita seakan terjerat dengan jargon besar yang berkaitan dengan sistem pendidikan negara. Semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), Perdana Menteri dalam merungkaikan pembangunan modal insan bertaraf dunia memerihalkan bagaimana hendak merombak sistem pendidikan negara agar pelajar yang keluar daripada sistem persekolahan akan dilihat signifikan dan kebolehpasaran.

Maka dalam usaha untuk merombak sistem pendidikan itulah terlahir pula dua jargon lain yang masing-masing melihat kepada bentuk perubahan yang diperlukan. Bagi mereka yang berpegang kepada prinsip reformasi telah mencadangkan agar dilakukan terlebih dahulu reformasi pendidikan sebelum melaksanakan cadangan memansuhkan dua peperiksaan berpusat pada peringkat awal, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurut pandangan tersebut, reformasi pendidikan dilihat sebagai “halatuju dan pemerkasaan pendidikan negara” agar “sistem pendidikan negara mampu mengangkat potensi pelajar yang lebih berkeyakinan, berakhlak tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.” (Kenyataan Media Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor seperti tersiar dalam Merdeka Review, 23 Jun 2010).

Sebenarnya kenyataan reformasi pendidikan ini bukanlah sesuatu yang baru dan tidak terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Kenyataan yang dibuat oleh sebuah sayap parti pembangkang lebih kuah dari sudunya, kerana tidak menyemak dengan jelas apa yang telah terkandung sebelumnya dan reformasi pendidikan yang dicadangkan itu sebenarnya bukanlah reformasi dalam ertikata sebenarnya. Ia lebih berbentuk perulangan dan penegasan kembali apa yang sedia terkandung dalam sistem pendidikan negara.

Jargon ketiga ialah apabila menilai pemansuhan UPSR dan PMR “merupakan satu revolusi dalam sistem pendidikan negara kita. Ia akan mengubah banyak perkara, dari sudut akademik, ekonomi dan sosial secara drastik dan menyeluruh.” Mungkin kita akan menjadi sedikit takut apabila perkataan revolusi disebut, kerana ia seringkali disusuli dengan perubahan secara cepat dan pantas.(Azmy Mohamed, Sistem peperiksaan perlu dirombak, Utusan Malaysia, 29 Jun 2010)

Ada juga orang membuat sindiran, revolusi di Malaysia tidak akan menghasilkan apa-apa kerana pengalaman penggunaan perkataan tersebut tidaklah membawa perubahan seperti yang diharapkan. Selepas menghadapi ketegangan kaum pada tahun 1969, kita mendengar perkataan revolusi mental, yang tujuannya jelas bagi mengubah perspektif pemikiran dan gaya berfikir orang Melayu bagi mencapai kecemerlangan atau setanding dengan lain-lain kumpulan etnik, kalaupun tidak dapat melonjak melebihi kedudukan mereka.

Dari revolusi mental itu berkembang kepada beberapa perubahan dasar yang turut merevolusikan sistem ekonomi orang Melayu, terutamanya dalam bidang pertanian dan sektor tradisi yang lain. Dari hasrat untuk merevolusikan sistem pertanian, maka timbul pula istilah reformasi pertanian memandangkan isu pemilikan tanah yang terhad dan tidak ekonomik bagi mengusahakan pertanian secara komersial.

Timbul juga usaha menubuhkan sistem pemasaran berpusat bagi mengelakkan eksploitasi sistem penaung-pelanggan atau monopoli-monopsoni. Hanya peniaga atau pemborong akan menentukan harga hasil pertanian, manakala petani akan terus dibelenggu kemiskinan kerana hasil yang diperoleh adalah kecil manakala orang tengah semakin kaya.

Cadangan pemansuhan UPSR dan PMR sebenarnya lebih merupakan satu daripada beberapa transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jika kedua bentuk peperiksaan awam itu benar-benar dimansuhkan, tidak pula bermakna sistem pendidikan negara akan ketinggalan dan berundur kepada tahap yang lebih gelap.

Transformasi yang ingin dilaksanakan itu adalah atas kesedaran bahawa penekanan pendidikan tidak lagi perlu mengorientasikan kepada peperiksaan. Apabila keputusan peperiksaan terlalu menjadi sandaran, maka lahirlah pula persekitaran yang saling tertekan: ibu bapa mengharapkan anak-anak akan mendapat keputusan cemerlang, guru-guru terhimpit dengan tekanan menghabiskan kurikulum dalam masa relatif singkat, sekolah dan pengurusan sekolah semakin tertekan untuk memperoleh lebih ramai pelajar mendapat keputusan tertinggi, PIBG terus mengenakan pelbagai bayaran tambahan bagi membolehkan lebih banyak kelas tambahan dilaksanakan oleh pihak sekolah, penyedia khidmat sokongan (penerbit buku kerja dan buku tambahan) sentiasa kreatif memasuki sekolah mempromosinya, syarikat yang terbabit dengan pembelajaran online semakin banyak melobi sokongan dan guru-guru menjadi semakin terhimpit masanya kerana turut memperoleh pendapatan tambahan (penggubal soalan, pemeriksan kertas jawapan, menguruskan peperiksaan, mengajar kelas tiusyen dan mengendalikan kelas-kelas tiusyen).

Tentunya sebelum cadangan pemansuhan UPSR dan PMR dikemukakan pada awal bulan Jun lalu, masyarakat sudah meneliti satu lagi perubahan yang bakal dilaksanakan apabila menetapkan dasar 1Murid 1Sukan. Dengan cadangan tersebut, jika pemansuhan peperiksaan dilaksanakan, bererti kejayaan dasar 1Murid 1Sukan akan menjadi kenyataan. Ini kerana, sejak cadangan itu diutarakan rata-rata masyarakat khuatir apabila pelajar aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan kurang menyerlah dalam bidang akademik.

Ibu bapa sanggup menyediakan belanja besar bagi melengkapkan pencapaian akademik anak-anak dengan mengabaikan sebahagian lagi keperluan, iaitu membangunkan kecergasan melalui aktiviti sukan. Dengan menetapkan setiap orang sekurang-kurangnya mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, budaya itu dijangka mampu dikembangkan tanpa memikirkan ketinggalan dari aspek akademik.

Hubungan antara kecergasan dengan akademik adalah saling melengkapi. Umumnya amat percaya dan yakin melalui aktiviti sukan akan menjadikan seseorang itu sihat dan cergas. Kanak-kanak perlu membesar dalam setiap aspek, termasuk sukan kerana sukan turut menyemai semangat berpasukan dan ketekalan terhadap disiplin. Jadi dengan bersukan, kanak-kanak mempunyai potensi besar membangunkan kemahiran sosial dan membentuk sahsiah diri.

Terlalu menumpukan pencapaian akademik menyebabkan perkembangan kanak-kanak menjadi tidak seimbang. Maka, kerana itulah hasilnya kita dapat semakin ramai pelajar yang cemerlang dapat dihasilkan oleh sistem pendidikan setiap tahun, tetapi semakin bertompok masalah sosial. Mereka membesar dengan persekitaran akademik yang ketat, dan tidak berpeluang membesar dengan kemahiran sosial dan sahsiah yang juga penting dalam kehidupan seorang manusia.

Perkembangan sahsiah sedemikianlah agaknya yang sedang dirungkaikan kembali ke dalam sistem pendidikan negara. Meskipun sudah terungkap dalam falsafah pendidikan kebangsaan, namun atas desakan memenuhi tuntutan peperiksaan beberapa unsur sosial dan pembinaan sahsiah terpaksa diketepikan. Guru menjadi seseorang yang hanya mengajar keperluan akademik, tidak lagi bersifat pembimbing dan perhubungan menolong.

Metod pengajaran guru menjadi kaku dan kurang kreatif. Guru tidak dapat menterjemahkan kurikulum dalam bentuk pengajaran yang berkesan, kerana tertekan dengan tempoh masa menghabiskannya. Kaedah persediaan mengajar juga tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan inovatif, walaupun pada asasnya perlukan perbincangan dan muafakat dengan panitia matapelajaran. Guru-guru akan mempunyai lebih masa untuk membaiki metod pengajaran dan pembelajaran, kerana matlamat menghabiskan sukatan bagi memenuhi tuntutan peperiksaan tidak lagi menjadi faktor penghambat.

Dengan pemansuhan kedua bentuk peperiksaan berpusat ini akan menjadikan para pelajar dapat menerima masukan nilai-nilai penting dan amat diperlukan dalam hidup mereka. Para pelajar akan lebih menghayati dan memahami lebih mendalam setiap nilai yang diajar dalam setiap matapelajaran termasuk pendidikan moral, agama ataupun ketatanegaraan. Nilai-nilai moral, ketatanegaraan dan sivik sering diketepikan kerana nilai-nilai tersebut tidak dilihat sebagai keperluan yang besar dalam penilaian akademik.

Pemansuhan dua peperiksaan tersebut juga dapat memberikan ruang kepada guru untuk membuat penilaian ke atas seseorang pelaja berdasarkan minat dan bakat. Guru dapat membimbing para pelajaran bagaimana untuk menggilap setiap potensi yang ada kerana selepas menduduki peperiksaan di akhir 11 atau 12 tahun persekolahan, para pelajar lebih memahami arah mana yang bakal mereka ikuti.

Jika mempunyai kelebihan akademik, pelajar berkenaan boleh terus melanjutkan pelajaran ke aliran akademik. Jika mempunyai keputusan baik dalam bidang teknikal, peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal lebih jelas. Bagi yang mempunyai kemampuan akademik yang sederhana mereka bolah melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional. Pekerjaan dalam bidang vokasional amat luas dan semakin berkembang kerana itulah penekanan telah dibuat oleh Kementerian Pelajaran untuk memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional.

Bagi mereka yang menghadapi kesukaran dalam bidang akademik, peluang untuk meneruskan pendidikan dalam bidang kemahiran menjadi pilihan utama. Mereka mungkin mempunyai kebolehan dan daya kreativiti tertentu, maka latihan dalam bidang kemahiran akan menjadikan potensi diri tidak terkandas dengan desakan terhadap akademik.
Sebenarnya kaedah ini telah lama dipraktikkan oleh negara-negara maju. Sweeden telah menghapuskan sistem peperiksaan pada peringkat rendah dan menengah. Peperiksaan awam hanya diadakan setelah seseorang pelajar mengalami tempoh pendidikan selama 11 atau 12 tahun. Apa yang lebih penting kepada negara tersebut ialah dapat menyediakan lebih banyak tenaga kerja dalam bidang teknikal, vokasional dan kemahiran.

Korea Selatan turut mentransformasikan sistem pendidikan mereka sehingga dalam masa yang singkat mampu melonjak sebagai sebuah negara kuasa ekonomi yang penting. Selepas trauma oleh kesan perang, Korea Selatan menjalin kerjasama erat dengan industri dan syarikat-syarikat besar bagi melatih para pelajar dengan kemahiran industri. Peringkat permulaan sekolah, tidak ada ujian berpusat dilaksanakan. Ujian berpusat hanya diadakan para peringkat menengah, iaitu setelah melepasi tahap persekolahan selama 11 tahun.

Jerman telah lama menggunakan model pendidikan yang sejagat. Peperiksaan hanya diadakan peringkat sekolah, manakala para pelajar yang akan menyambung pendidikan tinggi peringkat akademik, dikehendaki melalui satu ujian khusus kemasukannya. Setelah lulus, mereka akan menyambung pendidikan dalam bidang akademik. Bagi mereka yang berminat dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional, mereka boleh mengikutinya, kerana rata-ratanya tidak dikenakan sebarang yuran persekolahan.
Pendidikan yang dilaksanakan berdasarkan potensi setiap individu itulah yang mampu melonjakkan tahap pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, setiap tahun bukan sahaja berupaya melahirkan pelajar cemerlang akademik, turut juga menjadikan mereka yang kurang pencapaian akademik terkandas peluang. Jumlah mereka yang kurang cemerlang akademik inilah sebahagiannya dikaitkan dengan masalah sosial, kerana tidak mempunyai peluang dan ruang untuk menggilap potensi, kecualilah menjadi pelesit jalanan, menganggotai kumpulan samseng dan sebagainya.

Ukuran kelulusan untuk mendapatkan pekerjaan semakin besar bersandarkan keputusan akademik kerana masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang wajar. Bagi mereka yang kurang cemerlang, peluang pendidikan adalah kecil dan terhad kerana seluruh sistem pendidikan memberikan tumpuan kepada nilai akademik. Ini dapat kita perhatikan apabila sekolah-sekolah vokasional ditukarkan kepada sekolah-sekolah akademik atas alasan, menguruskan sekolah vokasional memerlukan kos yang tinggi berbanding sekolah teknik.

Sekolah-sekolah teknik masih mengekalkan peratusan yang besar dalam aspek akademik berbanding sekolah vokasional dan kemahiran. Latihan kemahiran menjadi sesuatu yang kurang menarik, kerana persekitaran sekolah yang jauh dan tanggapan masyarakat yang skeptic. Masyarakat memandang kemahiran menjahit pakaian, hiasan dan sebagainya sebagai sesuatu yang tidak lagi komersial berbanding sebelum pencapaian akademik menjadi fokus.

Friday, May 7, 2010

Keghairahan Zaid memerangkap diri

DATUK Zaid Ibrahim seharusnya tidak marah apabila beliau disifatkan biadab kerana dilihat menghina titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai larangan berpolitik di masjid dan surau.

Sememangnya atas alasan apa sekali pun, Zaid yang cuba menunjukkan kepakarannya dalam bidang undang-undang tidak berhak membuat ulasan mengenai titah Sultan Selangor. Baginda telah mengeluarkan titah, justeru semua pihak perlu mematuhinya termasuklah orang luar seperti Zaid yang cuba mencari rezeki politik di negeri baginda.

Zaid tidak perlu berhujah dari segi undang-undang kerana bagi orang Melayu, setiap titah raja-raja selagi ia tidak melanggar hukum-hakam agama dan dianggap nasihat yang baik-baik, maka mereka perlu mematuhinya.

Justeru, tidak perlu Zaid cuba mencetuskan polemik baru dalam arena politik negara dengan membangkitkan soal titah Sultan Selangor. Tambahan pula Zaid bukanlah anak Selangor tetapi anak Kelantan yang pada bulan lalu secara tiba-tiba ingin menabur bakti kepada rakyat di Hulu Selangor.

Kalau benar Zaid hendak mengabadikan diri dalam arena politik di Selangor kerana maklumlah beliau pun sudah menyatakan telah berpuluh tahun tinggal di negeri itu, maka belajarlah menghormati peraturan negeri itu.

Kita faham Zaid mungkin ingin membalas jasa baik Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah membersihkan imej Zaid di kalangan ahli Pas apabila merestui pemilihan Zaid sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor, 25 April lalu.

Penulis yang membuat liputan pilihan raya itu memahami bahawa 'restu' daripada Nik Abdul Aziz amat penting kerana kesalahan Zaid terhadap Pas bukanlah kecil. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab menentang pelaksanaan hukum hudud oleh kerajaan Kelantan. Walaupun kemudiannya perkara itu tidak dibawa ke mahkamah, namun ia sudah cukup melukakan hati penyokong Pas. Oleh itu, Zaid cuba membalas budi Nik Abdul Aziz dan dalam keghairahan itu, ia memerangkap diri sendiri.

Isu titah baginda mengenai larangan tersebut sebenarnya sudah reda, apabila Nik Abdul Aziz pun sudah menerangkan bahawa beliau tidak berhasrat mempertikaikan titah berkenaan. Tetapi secara tiba-tiba, Zaid muncul seolah-olah ingin menjadi 'peguam tidak dijemput' apabila mempertahankan kenyataan Menteri Besar Kelantan itu dengan menegaskan Nik Abdul Aziz tidak melanggar titah Sultan Selangor.

Walaupun dalam tulisannya, Zaid cuba berlapik dengan menulis, "Saya yakin baginda berniat ikhlas dan jujur..." tetapi keseluruhan tulisan itu menunjukkan ada kecenderungan Zaid mempersoalkan adakah wajar titah baginda dipatuhi atau tidak.

Kalau Zaid tidak mempunyai niat sedemikian, kenapakah beliau menggunakan ayat berikut: "Titah itu, adalah pendapat peribadi baginda. Ia bukan arahan, perintah atau 'decree.' Dalam sistem Raja Berperlembagaan, sultan tidak boleh mengeluarkan arahan atau perintah seperti zaman raja-raja Melaka dahulu.

Menurut Perlembagaan, apa-apa kehendak baginda mestilah disalurkan melalui Majlis Agama Negeri yang bermesyuarat dan keputusan mesyuarat itu akan diwartakan atau dijadikan 'gazette' tentang apa-apa peraturan yang dikira perlu seperti mengeluarkan fatwa yang sah dan sebagainya. Pendapat sultan hanyalah pandangan peribadi. Sekurang-kurangnya, ia boleh dianggap sebagai nasihat yang baik - untuk semua pihak, bukan bagi mana-mana individu atau kumpulan sahaja."

Oleh itu, Zaid tidak boleh melenting kalau pelbagai pihak kini menghentam beliau habis-habisan kerana dianggap menghina titah sultan dan bersikap keterlaluan seolah-olah menggambarkan Sultan Selangor sebagai seorang sultan yang tidak berpelajaran.

Mungkin Zaid gembira kerana apa yang beliau bangkitkan sudah menjadi polemik dan ini sekali gus diharapkan akan meningkatkan imej beliau di kalangan ahli-ahli Pas. Namun ia bukanlah bermakna Zaid sudah diterima sepenuhnya oleh Pas.

Semua orang tahu perangai Pas yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi mencari kuasa politik, ia termasuklah 'memaafkan' orang seperti Zaid, yang suatu ketika dulu menyamakan sikap Pas dengan parti-parti bertopengkan agama yang lain seperti Parti Likud di Israel dan Parti Bharatiya Janata (BJP) di India yang percaya mereka dipilih Tuhan untuk memerintah dunia.

Zaid juga pernah menuduh Pas tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti Parti Komunis Malaya (PKM) yang telah diharamkan dan meminta kerajaan mengharamkan Pas.

Bagaimanapun Zaid perlu faham, tidak semua orang Melayu adalah ahli Pas dan tidak semua orang Melayu berpolitik seperti beliau apatah lagi berperangai seperti beliau. Oleh itu, kalau pun Zaid hendak menjadi 'jagoan baru' kepada PKR dan sekali gus menambah jumlah 'ayam sabung' bagi Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, janganlah sampai dilihat menghina institusi raja-raja.

Kalau Zaid berhasrat untuk terus bermastautin di Selangor dan bercita-cita mencari rezeki politik di negeri itu, maka hormatilah segala titah ucapan sultan serta patuhilah undang-undang negeri Selangor terutamanya apa yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam apa juga perkara dan tindakan yang hendak beliau lakukan.

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
Utusan Malaysia, 7 Mei 2010

MUSTAHIL HUSAM TAK TAHU!!!!!!

kontroversi sumbangan lebih RM 4 juta bagi menguruskan aktiviti gerak saraf memburuk-burukkan kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi atas hasrat ingin mengekalkan kuasa politik Kelantan, nampaknya Husam sedang menyembunyikan tangan setelah bayangan melempar batu semakin jelas.

Husam yang merupakan orang yang membawa masuk Syed Azidi ke Pejabat Menteri Besar Kelantan dan mempengaruhi Tok Guru agar diberikan tanggungjawab mengurus media nampaknya cuba membina helah baru agar tidak kelihatan beliau terlibat dalam perancangan gerak saraf mempropagandakan PAS sebagai sebuah parti yang terbaik manakala BN mengamalkan dasar yang zalim dan tidak mesra.

Syed Azidi merupakan orang yang banyak membaca dan membuat kajian terhadap pelbagai sumber agar penemuan itu boleh digunakan untuk menghentam setiap dasar yang dilaksanakan oleh BN. Sebagai contoh, Husam dan Syed Azidi telah menulis sebuah buku kecil berjodol Minyak: Kemana Wang Dilarikan, diterbitkan oleh Global Media Channel (GMC), syarikat yang mengendalikan aktiviti komunikasi PAS yang menerima wang lebih RM 4 juta.

Buku tersebut mempersoalkan lebihan penghasilan minyak berbanding penggunaan dan ini tidak seharusnya boleh digunakan untuk tidak menaikkan harga minyak. Teori yang ditafsirkan oleh kedua penulis tersebut merupakan asas perkiraan yang tidak mengambil kira kos pengeluaran, kos penapisan dan kos pengangkutan lalu membuat kesimpulan bahawa "kita mempunyai minyak sendiri dan minyak yang kita keluarkan mencukupi untuk memenuhi keperluan kita sendiri, kita boleh memutuskan diri kita daru kenaikan harga minyak dunia."

Husam yang pernah mengikuti pengajian ekonomi dari UKM nampaknya cuba memutarbelitkan situasi bahawa dengan tidak menaikkan harga minyak dalam negeri, tentunya minyak juga akan menjadi semakin tidak cukup. Banyak penyeludupan, dan dengan menaikkan harga minyak pun masih banyak orang menggunakan sempadan untuk menyeludup minyak. Husam pun tidak pernah berusaha untuk mencegah penyeludupan, kerana mungkin beliau maklum itu adalah sumber pendapatan sebahagian masyarakat.

Semakin murah minyak dalam negara, semakin banyaklah penyeludupan termasuk ada kaedah menggunakan kereta lama dengan mengubahsuaikan tangki dan membina tangki tambahan sehingga boleh mengisi minyak melampaui keperluan sebenar. Itulah sikap PAS bukan berusaha mencegah penyeludupan, tapi teori yang dianjurkan menggalakkan lebih banyak penyeludupan.

Saya pun tidak faham kenapa Setiausaha Akhbar Menteri Besar sekarang mempersoalkan sumbangan Kickdefella. Beliau sebenarnya merupakan segelintir manusia yang tidak suka mengiktiraf sumbangan orang lain sebelumnya, sebaliknya cuba menggelapkan sumbangan orang, seolah-olah tidak pernah wujud. Kerana marahkan keceluparan dan cabaran itulah agaknya mungkin Syed Azidi sudah tidak mampu lagi membendung gelojak rasa dan sanggup memberikan isyarat, sebenarnya PAS dan konco-konconya melaksanakan perang gerak saraf dengan pelbagai cara termasuk berbobhong sebagaimana dirintis oleh Goebels, penasihat propaganda kepada Hitler.

Kalaupun Husam tidak mahu digelar sebagai GOEBELS bagi PAS, saya tetap beranggapan bahawa beliaulah merupakan perancang utamanya, manakala Syed Azidi merupakan orang yang menterjemahkan perancangan strategi itu kepada tindakan dan peperangan melalui media. Ini kerana Syed Azidi lebih mahir mengenainya walaupun Husam mempunyai kaitan dengan beberapa buah penerbitan akhbar propembangkang. Ramai orang tahu, Husam berada di belakang tabir bagi akhbar propembangkang antaranya, Siasah, Wasilah manakala seorang lagi rakan baiknya dalam ABIM dan kini menjadi wakil rakyat PAS menguasai Harakah.

Ramai orang tahu, tapi Husam sebenar tidak mahu mengakui penglibatannya kerana strategi yang dirancang terbongkar sudah sebagaimana tokoh utama PKR yang sudah jelas melakukan peperangan propaganda kerana ingin membalas dendam dan inginkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Pendedahan itu datangnya dari dalam parti itu sendiri, kerana Mat Sabu pernah mengatakan, untuk mendapatkan rahsia kita perlu mencari seseorang yang pernah menjadi kawan rapat, tetapi kini berubah menjadi musuh.

Syed Azidi sudah menjadi musuh PAS dan Husam sendiri kerana EXCO kanan itu semakin kehilangan kepercayaan ahli PAS. Husam tidak popular dan sudah kehilangan taring dalam kepimpinan PAS pusat, kalah dan dimalukan sebagai tokoh yang tidak menyengat dan amat bergantung kuat atas sokongan Tok Guru. Tok Guru menghentam "kerajaan perpaduan" kerana Husam merasakan jika cadangan itu terus diperkatakan, hasrat untuk Anwar jadi Perdana Menteri selepas pilihan raya ke-13 nanti semakin gelap. Anwar menang antikan "kerajaan perpaduan" dan Husam bijak membuat percaturan sehingga membuatkan Tok Guru melenting. Persoalannya, mungkinkah Syed Azidi yang menulis kemarahan Tok Guru dalam blog MUrsyidul Am PAS.

Saya yakin Tok Guru tidak menulis sendiri, tapi memberikan restu dan meluluskan tulisan tersebut. Bahasanya tidaklah sama dengan bahasa Tok Guru, kerana saya pernah membaca sebuah buku yang pernah ditulis oleh Tok Guru semasa PAS berada dalam BN. Buku tersebut diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan diberikan jodol Kenapa Saya Tidak Beragama Kristian?. Saya mencari kembali buku tersebut, tapi belum menemuinya kecualilah fotokopinya sahaja, kerana suatu waktu YADIM meminta saya untuk melihat kembali kesesuaian untuk diterbitkan semula. Walau bagaimanapun, cadangan tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Thursday, March 25, 2010

PEMBANGKANG MEMFITNAH 1MALAYSIA

3 April lalu genap setahun kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Keenam, Dato’ Sri Najib Tun Haji Abdul Razak setelah mengambilalih baton kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi yang banyak menerima kritikan dan cemohan ekoran prestasi BN yang buruk dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Sebelum dicemuh, Tun Abdullah Badawi juga melakarkan imej yang terbaik dari segi prestasi BN kerana dalam pilihan raya umum ke-11 yang diadakan pada 21 Mac 2004 pembangkang hanya mampu menguasai 20 kerusi Dewan Rakyat. BN menguasai 198 kerusi berbanding keseluruhan 219 kerusi Dewan Rakyat (DR) yang dipertandingkan. Parti Keadilan Rakyat hilang empat kerusi dan hanya mampu mengekalkan kerusi Permatang Pauh dengan undi majoriti 590. Walaupun Kelantan terus dikuasai oleh PAS, kedudukannya menjadi kurang stabil dengan hanya majoriti 3 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Ekoran pencapaian itu, BN dikatakan mempunyai kedudukan terbaik sejak tahun 1978, iaitu setelah PAS keluar dari gabungan dan bertanding atas platformnya sendiri, masih belum membentuk pasukan pembangkang yang kuat. BN mendapat undi popular sebanyak 63.9 peratus manakala UMNO menguasai 109 kerusi DR. Prinsip yang diperjuangkan ketika itu (2004) ialah “bekerja bersama-sama saya dan bukan kerana saya” yang akhirnya melahirkan pendekatan Islam Hadhari selepas kemenangan bersejarah itu.

Pilihan raya umum ke-12, bukan sahaja turut mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kelemahan kepimpinan Tun Abdullah, percakaran dalam komponen BN, kritikan bekas Perdana Menteri (keluar UMNO), kemunculan pakatan pembangkang yang kuat telah mengubah senario politik sehingga dianggap berlakunya tsunami. Pelan peralihan kuasa kepimpinan telah dipercepatkan, oleh desakan dari dalam dan luar BN, menjadikan persoalan perjuangan politik dan penerusan perjuangan rakyat mengambil gema politik yang menyeluruh dan membingitkan.

BN yang hanya mampu meraih undi popular 50.6 peratus menghadapi tentangan bertubi-tubi dari pakatan pembangkang (undi popular pembangkang 49.4 peratus) sehingga menjadikan suasana politik semacam tanpa kesudahan. Hanyalah selepas peralihan kuasa berlaku, Dato’ Sri Najib telah berjaya “mententeramkan” keadaan politik negara yang pernah berada dalam tahan cemas, terutamanya tatkala calon-calon tewas dalam pilihan raya kecil sejak dari Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008.

Kebangkitan semula Anwar Ibrahim dan kembali ke DR, menjadikan pembangkang semakin galak mencanangkan pelbagai perancangan menguasai rakyat, termasuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008. Kegagalan menjadi Perdana Menteri dalam misinya Jalan Ke Putrajaya, perubahan kepimpinan negara, kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat menunaikan janji, wawasan kepimpinan baru yang lebih mesra dan berusaha mendekati rakyat melalui beberapa perubahan dasar, kegigihan melaksanakan transformasi pentadbiran awam dan mengapongkan kembali secara berkesan imej negara di peringkat antarabangsa menyebabkan pembangkang semakin kehilangan pengaruh.

Kekalutan yang melanda kumpulan pemimpin dalam PKR, pendedahan dan pemaparan imej yang menjolok tatasusila, terlalu mengongkong kuasa menyebabkan parti itu semakin kehilangan gemanya. Ia turut ditambah dengan kemelut yang melanda Ketua Pembangkang, yang sudah diadili oleh rakyat sebagai tokoh yang “tidak konsisten”, mempermainkan undang-undang dan sanggup menggunakan apa cara sekalipun demi memenuhi tujuan politik.

Apabila mendapat maklumat dan gema suara masyarakat menerima gagasan 1 Malaysia, pembangkang sekali lagi cuba bermain api dengan mengaitkan pendekatan tersebut dengan 1Israel, yang digagaskan oleh Ehud Barak pada tahun 1999. Ehud Barak ketika itu cuba menyatukan parti politik di Israel bagi menghadapi kemunculan HAMAS, akhirnya kecundang dan gagasan 1Israel tinggal kenangan pada awal tahun 2000.

Setelah menghadapi serangan dari kawan rapatnya, Anwar mencari helah bagi memesongkan pemikiran rakyat, termasuk menuduh pemberian kontrak kepada APCO Worldwide dari Amerika Syarikat itu mempunyai kaitan dengan 1Isreal kerana sebahagian besar pemiliknya berbangsa Yahudi. Ini sengaja dilakukan oleh Anwar bagi membangkitkan sentiment kebencian orang Islam terhadap Yahudi, khususnya Israel.

Sebelum tuduhan itu dilakukan, Anwar sudah dilekatkan imej berkawan rapat dengan pemimpin-pemimpin Yahudi, termasuk Maldeline Albright (Bekas Setiausaha Negara di bawah Bill Clonton), Camdeasus (orang kuat Tabung Kewangan Antarabangsa yang menawarkan pakej menyelamatkan krisis nilai matawang pada tahun 1997/1998 yang tidak dipersetujui oleh Tun Dr. Mahathir), Paul Wolfowitz (pemimpin Bank Dunia yang terlibat skandal dengan seorang wanita) dan al Gore (bekas Naib Presiden Amerika Syarikat di era Bill Clinton dan kecundang mendapat sokongan sanet berhubung dengan Protokol Kyoto).

Setelah hubungan baik tersebut menjadi pertautan yang kuat bagi mendapatkan sokongan politik, Anwar tidak duduk diam berusaha mengatasi krisis moral yang dihadapinya pada masakini. Oleh kerana “tidak sanggup bersumpah” atas dakwaan meliwat bekas pegawai peribadinya, Anwar cuba mempertikaikan sistem undang-undang dan proses penghakiman.

Biarpun prosesnya hanya baru bermula, Anwar menggunakan rangkaian antarabangsa agar dapat mendesak Dato’ Sri Najib menggugurkan kes liwatnya kerana dilihat sebagai satu lagi bentuk konspirasi melenyapkan karier politiknya.

50 orang anggota parlimen Australia membuat bantahan, kini Anwar menggunakan Organisasi Parlimen Antarabangsa mendesak kes liwatnya digugurkan. Ini menunjukkan satu lagi penafian Anwar terhadap usaha menegakkan keadilan melalui undang-undang kerana berdasarkan peraturan, setiap orang berhak mendapat pembelaan sekiranya membuat aduan.

Dalam hal ini, Saiful telah membuat aduan kepada polis mengenai perbuatan bekas majikannya. Maka dalam mana-mana peraturan apabila aduan diterima, pihak polis akan menjalankan siasatan dan jika mempunyai bukti maka ia perlu diadili menurut undang-undang. Walau bagaimanapun, kerana Anwar sudah menunjukkan kelemahannya, maka digunakan pelbagai kaedah bagi membolehkan kes tersebut digugurkan.

Persepsi masyarakat berbelah bahagi. Namun pada umumnya menganggap Anwar memang sengaja mencari helah bagi mengelakkan lebih banyak lagi perlakuan buruknya terdedah, kerana sepanjang perbicaraan itu berlangsung, tentunya banyak maklumat akan didedahkan termasuk dari pengadu, pakar perubatan dan sebagainya.

Anwar telahpun menggunakan hasil pemeriksaan yang dibuat oleh seorang doktor dari PUSRAWI yang pernah menimbulkan kontroversi kerana doktor tersebut hanya membuat pemeriksaan umum. Hasil pemeriksaan umum itu kemudiannya disebarkan sebagai “tidak berlakunya” kes tersebut, walhal doktor juga meminta supaya Saiful membuat pemeriksaan di hospital kerajaan selanjutnya. Perakuan itu telah “dipadamkan” sehingga menampakkan bukti yang Anwar tidak bersalah.

Dengan mengalihkan tuduhan ada 1Malaysia ditiru dari 1Israel manakala syarikat yang terlibat dengan strategi komunikasi peringkat antarabangsa, APCO Worldwide dengan keganasan Israel, maka masyarakat dapat mengalihkan persepsi terhadap gagasan yang semakin difahami oleh rakyat.

Seharusnya masyarakat boleh memikirkan dengan matang bahawa kerosakan imeh negara di peringkat antarabangsa adalah kerana sikap sesetengah pempimpin politik yang kemaruk kuasa. Akibat kemaruk kuasalah pemimpin-pemimpin tersebut sanggup memburuk-burukkan negara dan kerajaan melalui pelbagai tohmahan, termasuk menggunakan media yang memangnya terkenal dengan prinsip churnalism (pinjam istilah yang dibahas oleh Nick Davies).

Churnalism ialah satu istilah yang dikaitkan dengan pemberitaan yang tidak mengamalkan konsep “telling the truth” dan membuat laporan hanya berdasarkan “news wire” di mana para pelapornya tidak perlu mencari maklumat dan menyemak maklumat bagi mengesahkan sesuatu berita. Strategi inilah yang selalunya digunakan oleh pengamal media yang berhasrat untuk menjatuhkan sesebuah negara demi kepentingan ekonomi dan penjajahan bentuk baru.

Seperti kata Perdana Menteri, dakwaan pembangkang itu adalah fitnah semata-mata yang bertujuan merosak dan mencemarkan gagasan itu apabila dilihat semakin diterima oleh rakyat. Pembangkang “tak berani serang gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar. Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali."

Anwar menjadi semakin bimbang, dalam pilihanraya umum ke-13 beliau bakal kecundang lagi kerana sejarah membuktikan retoriknya hanya mampu menarik minat orang untuk mendengar, tetapi tidak cukup kuat membujuk. Anwar hanya bercakap dalam irama seorang penglipur lara, yang hatinya sendiri penuh kekecewaan dan hasrat membalas dendam apabila gesekan biolanya semakin tidak lagi gemersik seperti saat-saat beliau berada di kemuncaknya.

Anwar sebenarnya sedang berperang dengan psikologi dalam dirinya sendiri. Bagi tidak menampakkan rasa cemas dan gundah gulana, maka dicubanya mendaki semula ke puncak sedangkan puncak bukit itu sudah tidak menerimanya lagi. Penghuni di puncak bukit semakin sedar dan yakin bahawa Anwar akan terus berada di kaki bukit, kemuncaknya semakin tegar dan kuat berpegang kepada melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.

Lagu rakyat yang baru diciptakan oleh Anwar menjadi semakin sumbang, yang nilai budaya yang tidak dapat diterima oleh pelbagai peringkat masyarakat, kecualilah dari mereka yang tidak mengenal erti “jauhari” dan kerana itulah sentiasa “menikam” walaupun tikaman itu hanyalah sekadar “menikam angin.” Tsunami politik yang dilihat pernah melanda BN sebenarnya sedang berpatah balik melanda Pakatan Pembangkang dengan kekuatan melebihi badai semalam dan gigitan bena perang di Permatang Pauh yang mengusulkannya sebagai Ketua Pembangkang.

PKR semakin rebah dan “ketuanan rakyat” yang dipeloporkan semakin kehilangan rohnya. Yang masih tersisa ialah buih-buih kecil yang hanya menunggu masa untuk pecah dan bakal menjadi sebuah elegi politik baru yang penuh keliru.

Ini kerana menurut Perdana Menteri, "Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa" Gerakan massa ini sudah berupaya memudarkan harapan yang terbina melalui “ketuanan rakyat” yang dianggap oleh sesetengah pihak “ketuanan DAP”, kerana Anwar hanyalah inginkan jawatan sebagai Perdana Menteri, ia sentiasa menjadi “seekor raksaksa yang berubah-ubah”, atau “sesumpah” kerana terlalu ingin beradaptasi dengan alam. Akhirnya, alam akan menelan sehingga adaptasi itu hanyalah sebuah pengalaman ngeri yang membingungkan.

Kita memerlukan gagasan I1Malaysia kerana kita ingin memperbaiki suasana kehidupan kita. Kita yang hidup dalam persekitaran budaya, pemikiran dan cara hidup yang berbeza berhasrat membina kekuatan dengan cara memahami sejarah, dan kerana perbezaan itulah kita sebenarnya berkesinambungan membina tekad, hidup rukun damai dan bersatu. Memangnya, belum ada model terbaik yang menggambarkan adanya perpaduan mutlak, kerana itulah kita cuba mengikis perbezaan sebanyak mungkin.

Perdana Menteri turut mengakui bahawa masih terdapat beberapa halangan kepada kejayaan 1Malaysia yang dicetuskan oleh kumpulan yang memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan. Ini kerana, "Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya. Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia."

1Malaysia berbeza dengan 1Israel. 1Israel tidak memberikan ruang kepada penduduk Palestin, kerana mereka bukanlah bangsa pilihan. 1Malaysia tidak mengindoktrinasikan konsep pembersihan etnik, tapi 1Israel jelas tidak menghormati bangsa lain. Inilah yang perlu kita perbetulkan, kerana pembangkang sudah ketandusan modal setelah Dato’ Sri Najib memperlihatkan kesungguhannya membawa Malaysia ke destinasi yang lebih cemerlang dan kemilaunya semakin jelas terpancar.

Pembangkang masih lagi meraba-raba dalam gelap dan kerana itulah sentiasa mencari jalan memasang lukah yang semakin robek itu. Akhirnya, ikan tidak terkena lukah, yang menjadi penghuni ialah dendam kesumat dan kekecewaan yang mendalam. Ikan sudah tahu, lukah-lukah tang terpasang semakin reput dan punah.

BENTENG PAKATAN RAKYAT KIAN SENGET

Tsunami politik dikatakan berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum ke-12 diumumkan menyebabkan Barisan Nasional dihentam hebat oleh ombak-ombak rasa tidak senang rakyat. Atas semangat itulah Pakatan Rakyat terus mencipta ombak pilihan raya sepanjang masa sehingga menjadikan perdebatan mengenai politik menjadi terlalu panjang meskipun keputusan siapa yang mentadbir negara telah disahkan secara jelas.

Selepas dua tahun keputusan tersebut, hentakan ombak tsunami yang pernah melanda Barisan Nasional semakin membadai benteng sementara yang dibina oleh Pakatan Rakyat tanpa tetulang konkrit yang kukuh. Sehingga kini, parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat masih belum mendaftarkanya sebagai sebuah pertubuhan secara sah manakala konsep perkongsian kuasa antara mereka secara teorinya tidak sempurna.

Konsep perkongsian kuasa antara parti dalam Pakatan Rakyat masih berbentuk sementara dan berasaskan matlamat yang rapuh atau bagi setengah pihak menamakannya sebagai perkahwinan mutaah. Perkahwinan mutaah boleh dibubarkan bila-bila masa tanpa mempunyai sebab yang jelas dan memohon perisytiharan secara sah, ianya berdasarkan “kalau suka saya terima, kalau tak suka saya tolak.”

Tsunami dalam Pakatan Rakyat mengenai perkongsian kuasa mula menghadapi masalah sejak mula ianya ingin dibentuk. Penentuan awal Menteri Besar Perak, yang dibayangkan oleh wakil rakyat DAP akhirnya menemui jalan buntu apabila Paduka Sultan Perak hanya memperkenankan calon yang beragama Islam. Ekoran dari itu, pemimpin DAP mula menunjukkan penentangan meskipun akhirnya merestui wakil rakyat PAS, Datuk Seri Nizar Jamaludin yang hanya mempunyai jumlah kerusi tercorot berbanding DAP dan PKR.

Benteng politik PKR menjadi semakin goyah apabila dua orang wakil rakyatnya mengisytiharkan diri keluar parti dan berdiri sebagai wakil rakyat bebas tetapi menyokong BN. Seorang lagi wakil rakyat DAP membuat keputusan yang sama sehingga menjadikan kedudukan Menteri Besar Perak berubah dalam tempoh hanya 11 bulan hayat kuasa pentadbiran negeri. Perak pernah menjadi negeri terkuat dari segi pengaruh DAP suatu ketika, kembali menjelma semula dalam pilihan raya umum ke-12.

Keriuhan rancangan menyelamatkan benteng Pakatan Rakyat terus diperlakukan secara lebih berstrategi dengan hayunan semangat menukar kerajaan pusat apabila penasihat PKR selesai menjalani tempoh “tahanan berpolitik” pada 14 Mac 2008 dan kembali ke gelanggang politik apabila menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008. Dengan menetapkan destinasi perjalanan ke Putrajaya dalam kempen yang muncul sebagai terbesar dan terhebat dalam sejarah pilihan raya kecil, Anwar menjadi semakin garang dan lantang mengkambinghitamkan sesiapa sahaja yang dilihat sebagai penghalangnya.

Dengan menggunakan pelbagai muslihat dan tipu daya, perubahan kepimpinan kerajaan pusat pada 16 September 2009 dilebarkan hingga terasa ke tulang sumsun sebahagian besar rakyat. Rakyat turut yakin bahawa hasrat itu akan tercapai, kerana lukah yang ditahan di tengah pergentingan rasa tidak puas hati wakil-wakil rakyat BN kerana kurang diberikan tempat dalam perlantikan kabinet oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan momentum kritikan bekas Perdana Menteri mengenai kepimpinan penggantinya itu telah membantu meningkatkan harapan.

Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelum tarikh tersebut menjadi realiti perubahan kepimpinan, Pakatan Rakyat kian cemas apabila sebahagian besar mereka yang dikatakan berjanji “akan menyeberang” menyertai kelompok mempelajari teknik pertanian di Taiwan. Maka, kerana tidak mahukan ianya menjadi halangan besar, ahli parlimen Batu dan rakan-rakannya ditugaskan untuk memburu meskipun perburuan itu tidak menoktahkan sebarang hasil, satu perhimpunan telah dibuat di Stadium Melawati dengan mengisytiharkan kemasukan Datuk Zaid Ibrahim ke kubu PKR.

Datuk Zaid Ibrahim yang menghadapi masalah kerana turut tidak diterima oleh bekas bahagian UMNO yang pernah dipimpinnya, pernah mengkritik prosedur undang-undang negara dan tidak bersetuju dengan beberapa perkara dasar telah meletakkan jawatan sebagai menteri cabinet yang diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri ketika itu untuk mereformasikan sektor undang-undang dan kehakiman negara.

PKR menganggap dengan kemasukan Datuk Zaid Ibrahim parti itu mendapat suntikan lebihan kuasa pecut, tetapi rupa-rupanya setiap pendedahan yang dibuat oleh beliau tidak menjadikan parti itu semakin diyakini. Zaid akhirnya mengalami desakan emosi untuk mengendurkan aktiviti apabila usahanya untuk memperkukuhkan PKR Sabah menerima halangan dari Azmin Ali yang menjadi tokoh harapan dan Naib Presiden tambatan calon Perdana Menteri.

Tertangguhnya idea pertukaran kerajaan pada 16 September 2008 menjadikan pemimpin PKR bukan sahaja kempunan tetapi juga kehilangan arah perjuangan yang kental. Bagi membendung kesan pendulum tersebut, Anwar terus menyakinkan sekutunya dalam Pakatan Rakyat bahawa akan menjadi realiti dalam masa terdekat dan merubah sasaran berikutnya kepada pilihan raya umum ke-13.

Seperti dikupas oleh Niccolo Machiavelli (1469-1527), seorang ahli falsafah politik Itali zaman renainsance, terdapat dua kaedah untuk mendapat kuasa, iaitu dengan undang-undang dan menguji kekuatan. Pakatan Rakyat menggunakan undang-undang dengan pelbagai ruang yang difikirkan boleh membantu, termasuk mencabar kesahihan perkenaan Paduka Sultan Perak perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, mendefinasikan semula kuasa-kuasa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding Undang-undang Tubuh Negeri Perak, mencabar keputusan pemecatan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir, saman malu dan sebagainya bagi menggambarkan bahawa undang-undang yang ada tidak berpaksikan prinsip keadilan. Walau bagaimanapun, rakyat mula berfikir dan berubah arah kerana setiap keputusan yang menyebelahi pembangkang dianggap adil manakala keputusan berlawanan dianggap sebagai zalim.

Dengan melemparkan pelbagai tujahan kata-kata dan serangan bertubi-tubi menjadikan beberapa institusi yang berhubung dengan penguatkuasaan dan pemeliharaan keselamatan negara semakin bergoncang dan dipersoalkan. Ini turut memaksa badan-badan tersebut menilai semula perkhidmatannya dan membaiki kelemahan bagi membolehkan rakyat melihat penyampaian perkhidmatan menjadi yang terbaik. Arah dan tujuan perkhidmatan awam menjadi semakin berubah, sehingga secara radikalnya penjawat awam mengalami trauma kerana turut dibebankan dengan kesalahan politik.

Benteng pertahanan PKR seterusnya menjadi semakin terjerat apabila idea kerajaan perpaduan antara “PAS dan UMNO/BN” ditimbulkan sebagai cadangan. Bukan sahaja pemimpin kerajaan mengharapkan ianya bakal berlaku, malah pemimpin tertinggi PAS mengharapkan demikian bagi memperkuatkan benteng pertahanan Islam kerana bukan Islam yang berada dalam Pakatan Rakyat semakin mendesak dan bercadang meliberalkan beberapa kekangan yang dilihatnya sebagai keterlaluan.

Walau bagaimanapun, kerana “memegang kepada janji politik”, Mursyidul Am PAS menjadi hysteria dan bertempik kuat untuk menghalangnya, termasuk mengkritik tokoh akademik yang membuat ulasa mengenai senario tersebut. Sebahagian penyokong PAS menjadi cemas dan keliru, manakala Anwar dan DAP secepat kilat memulakan proses mencerna semula pemuafakatan, dan bersama-sama membuat pengisytiharan bahawa “pintu rundingan kerjasama sudah tertutup.”

Kunci yang dipegang antara mereka nampaknya bukanlah terlalu kebal kerana selepas itu wakil rakyat PKR menjadi kian terhakis pesonanya terhadap kepimpinan dan kerjasama antara parti dalam Pakatan Rakyat. PAS Selangor menjeruk rasa marah apabila usaha untuk mengekang penjualan arak secara terbuka di kedai-kedai runcit, kuasa ahli politik yang dipertanggungjawabkan ke atas hal-ehwal Islam diperkecilkan oleh Menteri Besar yang dipengaruhi oleh DAP dan bukan Islam dalam PKR, melanjutkan operasi kelab malam di kawasan tumpuan pelancong, isu kepala lembu berbanding kepala babi hutan, melawat mangsa banjir dan sebagainya melenturkan harapan pembelaan dan pembudayaan mesra pengundi.

Wakil Rakyat PKR membuat keputusan dengan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dan ini menyebabkan kekuatan suara PKR tidaklah selantang ketika tsunami melanda BN. Penambahan wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat menjadikan DAP semakin dominan dan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang sedikit tercabar. Walau bagaimanapun, kerana menghormati kesungguhan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, veteran DAP yang pernah mencadangkan dua jawatan Timbalan Perdana (satu untuk orang Melayu dan satu lagi bukan Melayu) tidak mahu dilihat terdesak mengambil sikap memberikan laluan kepada beliau.

Namun, ucapan sulong wakil rakyat Bayan Baru sebagai wakil bebas di Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu menjadikan ketua pembangkang hampir sesak nafas. Dengan mengajak bersama wakil rakyat dari PKR keluar dewan, Anwar pada malamnya berangkat ke luar negara dengan alasan untuk berucap mengenai kepelbagaian agama dalam masyarakat berbilang kaum dan menemui rakan karibnya yang pernah membantu reformasi jalanan pada tahun 1998 di London.

Anwar yang bakal memberikan penjelasan pada hari Selasa di atas dakwaannya bahawa APCO Worldwide adalah syarikat yang mempromosikan 1Israel turut menjadi syarikat yang mencetuskan 1Malaysia dijangka akan mencari kaedah retorik yang berlawanan. Ini adalah strategi lazim yang digunakan oleh beliau sebagaimana telah dibincangkan oleh Muthurasan, penulis buku Strategi Kemenangan Anwar. Muthurasan memanggilnya sebagai teori kelam-kabut atau chaos. Teori tersebut turut dikenali sebagai teori kupu-kupu yang sifatnya akan berjangkit dari satu dahan ke dahan yang lain walaupun antaranya tiada kaitan.

Jika benar 1Malaysia ditiru dari 1Israel, tidak bermakn kedua gagasan itu mempunyai persamaan. Gagasan 1Israel lebih menekankan kepada pembinaan kekuatan sikap rakyat Israel agar membenci semua etnik yang berlainan kerana bangsa Yahudi merupakan bangsa pilihan. 1Malaysia mengutamakan perpaduan antara kaum, dan antara pelbagai etnik tidak pula disarankan agar etnik yang berbeza dihapuskan. Penghapusan etnik menjadi matlamat terselindung dalam 1Israel, terutamanya bangsa Palestin.

Perkembangan terbaru ialah sikap pelampau Yahudi yang cuba menanamkan kebencian terhadap seorang supermodel yang dikatakan sedang bercinta dengan Leonardo di Capro, hero filem Titanic. Pelampau Yahudi menegaskan melalui perkahwinan campuran, akan melenyapkan identiti Yahudi dan ini merupakan sesuatu yang wajib dihalang.

Berbanding 1Malaysia, tidak ada halangan perkahwinan campur asalkan perkahwinan tersebut tidak bertentangan dengan budaya dan agama pasangan masing-masing.
Realiti politik baru nampaknya sedang menyanggah kembali terjahan ombak tsunami dari BN kepada Pakatan Rakyat. Apakah terjahan kedua ini akan menenggelamkan kapal Pakatan Rakyat yang semakin bocor dan senget sehingga tidak lagi mampu belayar mengharungi samudera pilihan raya umum ke-13? Atau hanyalah sekadar menenggelamkan papan catur strategi Anwar untuk ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri kerana beliau terlalu riak dan takbur bahawa dirinya sahajalah yang mampu dan terbaik?

Walau apapun telahannya nanti, sudah ada petanda yang jelas bahawa benteng Pakatan Rakyat yang dibina tanpa tetulang konkrit itu semakin tidak mampu menahan terjahan ombak tsunami yang ditolak oleh arus songsang ombak realiti politik baru yang muncul setelah gagalnya impian 16 September 2008. Bentengnya semakin senget, mungkinkah akan rebah? Takdir menentukan segala-galanya.

Sunday, March 21, 2010

Apa Dah Jadi: Kapal Semakin Karam, Nakhoda pula Hilang Kompas

Kata orang tua-tuan, kalau nak tahu rahsia seseorang carilah seseorang yang pernah berkawan rapat dan berpatah arang dengan temannya itu. Maka lengkaplah sudah episod pembohongan 16 September 2009 walaupun pernah suku sakat yang tidak bersetuju mengatakan ketika itu Anwar hanyalah bemimpi jumpa jerangkong dalam longkang dan tong sampah.

Tetapi ketika itu tidak ramai yang percaya kerana pemekaran teori chaos (nak tahu lebih lanjut bacalah buku Strategi Kemenangan Anwar tulisan Muthurasan yang memuji habis sehingga kita sendiri turut terleleh air liur ketika itu)kerana tsunami politik masih kuat gelombangnya.

Tapi, sehari sebelumnya, Anwar mengatakan "perlukan beberapa hari lagi" sama ada kerana masalah teknikal atau tidak ketemu 49 orang wakil rakyat BN di Taiwan (lawak bodoh lebih teruk dari Mr. Bean masukkan ikan dalam kotnya)ataupun alasan lain, ramai pihak mula curiga. Kerana itulah tidak mencari kecelaruan pada tarikh tersebut, 16 September 2009, ada kiriman SMS menjelaskan "telah angkat sumpah depan potret Yang di Pertuan Agong" dan ketika itu Anwar berada di atas katil hospital sakit jiwa.

Rabu lalu (17 Mac 2010) lengkaplah sudah gambaran bohong Anwar yang dibuat oleh bekas orang kuatnya, dan kini menjadi penentang kuatnya. Kerana tidak sanggup lagi mendengar, maka puak-puak Anwar pun angkat kaki meninggalkan Dewan Rakyat. Anwar sendiri pada malamnya berlepas ke London untuk menermui Al-Gore, rakan baiknya yang turut timbul semasa reformasi jalanan pada tahun 1998.

Sebelum itu, seorang peguam yang pernah mempertahankan Anwar semasa berhadapan dengan kes liwatnya dengan Azizan, Dr. Anis Munaweer dan Susmita, Zulkifli Noordin turut mempersoalkan mengenai firauan kecil dalam PKR. Beliau tidak sanggup berhadapan dengan jawatan kuasa disiplin yang dianggotai oleh bukan Islam sedangkan pokok persoalannya ialah mengenai penggunaan kalimah Allah.

Maka Zulkifli menjadi semakin tawar hati. Akhirnya dipecat dari PKR dan diminta supaya mengosongkan kerusi, tetapi beliau enggan kerana antaranya adalah dua perkara yang berlainan. Beliau dipilih oleh pengundi, dan beliau bukannya keluar dari PKR, tetapi PKR telah memecatnya. Maka kedudukan beliau sebagai wakil rakyat masih, dan adalah tidak wajar meletakkan jawatan.

Ini tidak disenangi oleh banyak pihak dalam PKR yang disifatkan sebagai firaun kecil yang sedang melancarkan konspirasi. Zulkifli, masih belum membuat pendedahan mengenai bekas bossnya, tetapi, kali ini jika beliau membuka tembelang, Anwar bukan saja semakin berpinar, malah haluan kapalnya tidak lagi dapat dikemudikan. Lautan dan gelora yang ditempuh itu menyebabkan kompasnya terpatah jarum telunjuk, akan menyebabkan banyak lagi akan terjun menyelamatkan diri.

Tatkala inilah Anwar sebenarnya akan tahu betapa masinnya air laut politik. Kalau dahulu dia pernah menerjah Ghafar Baba untuk "merampas kuasa" maka kali ini dia akan merasakan betapa pedihnya setelah ditimpa guruh dan kilat yang diciptakannya sendiri dan menghasilkan tsunami. Gelora hatinya untuk ke Putrajaya tidak menatijahkan realiti, tetapi sebuah tragedi ngeri berdarah yang sukar dipadamkan dalam sejarah politik moden Malaysia.

Ketika itulah ramai akan menganggap Anwar bukan sahaja mempunyai watak Hang Jebat, juga mempunyai wajah-wajah lain seperti raksasa yang sering bertukar rupa atau sesumpah yang hanya bersalin warna? Hakikatnya, ke mana Anwar nak bawakan diri....mungkin Nawawee boleh ciptakan sebuah lagu baru yang mungkin menjadi evergreen sepanjang masa.....ke mana kan ku bawa, hati yang lara. Hajat nak ke Putrajaya. Hanya sampai di Permatang Pauh. Tersekat di Bagan Pinang. Alahai, nasibku yang malang, oh nonaku Azizah, oh puteriku rupawan...manakan ku bawa...hatiku yang rawan..mana nak ku sorokkan wajahku yang semakin kepucatan.....baliklah ke pangkal jalan. Bertaubatlah, tak payah nak sibuk dengan politik.

Adalah lebih hebat jika Anwar terus saja menjadi ahli falsafah, kerana banyak sangat idea dan kata-kata yang menyiku emosi orang. Itulah kehebatannya, perluaskanlah pandangan sehingga saujana tidak lagi memandang langit semakin tinggi, tapi penuh panoramik dan berkaki.

Itulah kompas kehidupan. Tidak perlu kita lupa, langit yang dijunjung itulah naungan yang telah menjadikan kita dewasa, mengerti pahala dan dosa.

Tuesday, March 2, 2010

Heboh, hukum sebat pesalah syarie

Isu sebatan Kartika Sari Dewi muncul kembali setelah tiga wanita dan teman lelaki masing-masing telah disebat atas kesalahan berzina di Penjara Wanita, Kajang baru-baru ini. Kartika yang disabitkan kesalahan meminum arak telah dihukum sebat, tetapi pelaksanaannya masih tertangguh. Malang buat Kartika, hukuman sebat belum dilaksanakan, tetapi suaminya menjatuhkan talak.

Yang menjadi lebih kejam ialah apabila orang Islam sendiri memperlekehkan hukum tersebut, kerana fahamannya sudah lama terserap liberal dan rasionalisme barat. Kita tidak tahu apakah yang telah berselirat dalam pemikiran mereka, tetapi yang jelas ialah apabila mengatakan bahawa hukuman tersebut menghina wanita.

Saya teringat kepada kata-kata seorang bukan Islam, walaupun teguran beliau merupakan sesuatu yang mudah tapi penuh berkesan. Kalau kita menerima sesuatu, maka harus menerima sistemnya. Maknanya, kalau kita membelikan sebuah televisyen baru, maka kita harus menerima bersama-samanya manualnya, termasuk kaedah fine-tuning, pengesahan warna, cara menyimpan data, dan sebagainya. Begitu juga dengan Islam, apabila kita menerimanya sebagai pegangan hidup kita, maka kita perlu memahami peraturan dan hukum-hukumnya kerana itulah ciri-ciri penting yang membezakan kita dengan penganut agama lain.

Maka tidak ada sebab kita hendak menolak hukuman tersebut. Hukum tersebut telah termaktub dalam ajaran Islam dan pernah dilaksanakan semasa Nabi Muhamad saw lagi. Sebelum kedatangan Inggeris, atau penjajah hukum itu pernah menjadi penunjang kepada masyarakat tradisi yang sudah pun mengakui dirinya sebagai Islam.

Setelah kemasukan penjajah, menerima sistem pendidikan bawaan mereka, maka kita menjadi semakin lupa kepada tradisi kita. Apatah lagi apabila kita akhirnya menyerap sebegitu banyak rasionalisme mereka yang terlalu berpihak kepada konsep dan ideologi kebebasan. Maka kita sedikit demi sedikit mengendurkan peraturan Islam, kita pun menjadi semakin gelagab apabila peraturan sedemikian cuba ditegakkan kembali.

Saya juga menjadi semakin kelitu apabila seorang pemimpin PAS bernama Dr. Zulkifli Ahmad mengatakan, PAS tidak akan terperangkap dengan strategi UMNO dalam isu sebat. Nampaknya, Dr. Zulkifli sendiri cuba menelan ludah dan kahaknya sendiri kerana PAS pernah beria-iakan untuk melaksanakan hukum Islam, tiba-tiba masuk dalam perangkap yang sengaja dilukahkan oleh bukan Islam.

PAS ibarat cacing kepanasan. Setelah sekian lama menuduh UMNO tidak melaksanakan hukum Islam, akhirnya ternganga macam buaya lapar, tapi tanpa gigi setelah hukuman tersebut dilaksanakan setelah peraturan syariah diluluskan sekian lama. PAS secara rasmi belum membuat bantahan, kerana sebenarnya PAS sendiri takut dengan apa yang berlaku setelah hukum hududnya tidak berjaya dilaksanakan.

Jadi, tiadalah sebab nak takutkan dengan orang lain. Maka disinilah seharusnya setiap orang Islam bersama-sama mencari jalan bagaimana nak memahamkan bukan Islam mengenai hukuman tersebut, kerana kesalahan yang dilakukan itu termasuk dalam dosa besar. Islam mengharamkan arak, kerana arak akan menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawabnya dan cenderung melakukan sesuatu perkara yang buruk termasuk jenayah.

Zina, dalam semua agama samawi menolaknya. Perbuatan tersebut sebenarnya lebih hina daripada hukum Islam sendiri. Hukum sebatan sekadar memberikan pengajaran dan ingatan, bahawa melakukan hubungan sah tanpa ikatan perkahwinan yang sah adalah satu pencerobohan kemanusiaan yang dahsyat, walaupun atas dasar sukarela. Ia boleh kita umpamakan seperti menemui sesuatu barang berharga.

Walaupun barangan yang dijumpainya tidak diketahui pemiliknya, secara moralnya seorang Islam tidak dibenarkan mengambil kerana itu bukan haknya. Maka barangan tersebut perlu diserahkan kepada pihak tertentu yang diberikan tanggungjawab menjaga amanah, dan bila ada pihak yang menuntutnya secara sah, maka penjaga amanah tersebut wajib memulangkannya.

Dalam hal ini, jika seseorang memikirkan keuntungan, tentunya akan mengambil barangan tersebut tanpa berhasrat untuk memulangkan balik kepada pemiliknya. Begitu juga denga analogi zina, walaupun berlaku dalam suasana suka sama suka, ia tetap dianggap berdosa dan salah kerana antara pelakunya tidak mempunyai hak yang sah. Ia tetap dianggap sebagai tidak sah alias ceroboh, maka telah melakukan kesalahan.

Inilah yang berbeza dengan masyarakat Barat. Tetapi, yang kita hairan ialah apabila membuat penilaian seseorang, akan tetap dicari kelemahan berhubung dengan seks tanpa nikah. Lihat sahaja kes Tiger Woods, Ashley Cole, ataupun Monica Lewinsky. Kerana hubungan luar nikah itulah akhirnya menyebabkan masyarakat barat tetap memandang mereka sebagai manusia yang rendah moral.

Jadi, tidak sebab kenapa kita nak menolak satu hukuman yang bertujuan untuk menjadikannya sebagai pengajaran agar ianya dapat dibendung, dicegah dan seterusnya dikembalikan kesucian hubungan antara lelaki dan perempuan secara sah. Mereka mungkin tidak sedar, di Malaysia sekarang sudah ada telahan data bahawa setiap 17 minit dan 17 saat akan lahir seorang bayi luar nikah. Bayangkan, apa akan jadi dengan anak-anak yang tidak minta dilahirkan sedimikian itu akan membesar apabila ada yang mengatakan "anak haram."?

Itu hasilnya dari hubungan haram. Bagaimana pula dengan hubungan yang berlandaskan wang, yakni pelacuran. Undang-undang sivil yang ada sekarang tidak dapat menjentik rasa takut mereka, maka sekurang-kurangnya peraturan Syariah itu dapat mengekang mereka yang beragama Islam dari terus terjerumus. Tak payah le nak meniru-niru bukan Islam, kerana mereka tetap dengan peraturannya. Mereka akan melihat perspektif mereka sendiri berdasarkan rasionalisme sendiri walaupun agama mereka turut melarang zina, minum arak, judi, mencuri, berbohong dan sebagainya. Mereka akan tetap lakukan, kerana itu adalah budaya mereka yang disanjung ialah wang, kerana wang itu adalah kuasa. Apa pun mesti ada wang, kalau tidak wang mati pun susah.

Tapi, bagi orang Islam wang bukanlah segala-galanya. Isnyaalah kalau tidak berwang pun mereka akan tetap dikafan dan dikuburkan apabila mati. Belum ada lagi kedengaran jenazah orang Islam dicampakkan ke tong sampah kerana tidak mampu diuruskan pengkebumiannya, kecualilah mereka yang menjadi sasaran penjenayah.

Jadi, orang Islam yang menentang hukum Islam haruslah sedar siapa dia sebenarnya? Tak payah memakai topeng rasionalisme undang-undang barat kerana mereka sebenarnya sedang menuju kehancuran sosial dan budaya moral. Hakisan moral mereka setiap hari semakin nipis, yang tinggal hanyalah kemegahan materialisme, spiritual sudah lama larut dalam keserakahan ciptaan sendiri.

Orang Melayu Pulau Pinang Semakin Terpinggir

Oleh Kamal Ahmad
bhrencana@bharian.com.my

Dasar kerajaan negeri DAP hakis hak keistimewaan, kuasa beli hartanah Bumiputera
MELAYU tidak mampu lagi tinggal di Pulau Pinang berikutan kenaikan harga rumah dan percukaian hartanah. Di mana mereka tinggal sekarang? Kebanyakan dalam rumah kecil dan sesak seperti Tanjung Tokong dan Rifle Range.

Mereka turut menghuni rumah pangsa satu bilik, di atas tanah wakaf, tanah terbiar, 'tanah tumpang' atau tanah Tol kerajaan. Berdasarkan ringkasan laporan disediakan bersama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan tanah Melayu di sebelah pulau merosot berikutan perpindahan mereka ke Daerah Barat Daya selain Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah.

Ramai Melayu turut berhijrah ke negeri lain seperti Kedah dan Perak. Semua kawasan ini dianggap tidak strategik, nilai ekonominya rendah, kurang membangun serta kawasan pertanian. Bukan Bumiputera menjadi majoriti di Daerah Timur Laut dan Seberang Prai Selatan. Kawasan itu sangat pesat termasuk membabitkan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan projek Penang Global City Centre (PGCC), sedangkan pemilikan tanah Melayu di daerah itu semakin mengecil.

"Orang Melayu yang tinggal di kawasan miskin dan sesak dalam bandar ini akan melahirkan fenomena dinamakan kemiskinan bandar yang kesannya antara lain gejala sosial. Mereka juga berada pada kedudukan paling bawah dalam rantaian nilai.
"Kalau kerajaan negeri menyedari masalah Melayu terpinggir di Pulau Pinang maka perlu dan tiba masanya untuk mereka duduk bersama mencari satu pelan tindakan baru untuk menyelesaikan keadaan sekarang ini. Kita lihat tidak ada (tindakan kerajaan)," kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMM), Rizal Faris Mohideen Kadir.

Beliau berkata, pelan tindakan baru untuk Pulau Pinang bukan semata-mata bagi kepentingan Melayu malah mencakupi soal isu pelancongan, mengekalkan status Tapak Warisan Dunia dan soal pembangunan.

"Bila permasalahan Melayu seperti isu meroboh gerai, merampas barang perniagaan dan tindakan menyaman tidak selesai, ini seolah-olah organisasi Melayu tidur dan tak buat kerja pada hal kami menjuarai isu ini sejak hari pertama lagi.

"Akhirnya, kami bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pulau Pinang termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpakat serta nekad bahawa sudah cukup kita berunding, beri teguran dan nasihat. Kini tiba masanya orang Melayu menunjukkan kemarahan kepada kerajaan negeri.

"Berapa lama kita nak duduk dan lihat. Takkan sehingga lenyap orang Melayu (di Pulau Pinang), baru kita nak ambil tindakan," katanya merujuk kepada tindakan orang Melayu mengadakan perhimpunan di Bangunan Komtar, baru-baru ini.

Rizal turut mendakwa Lim Guan Eng melakukan penghantaran delegasi termasuk perdagangan ke Singapura bagi memperhebatkan perhubungan Pulau Pinang dengan republik itu.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim, berkata kerajaan negeri juga difahamkan hendak menggubal undang-undang baru berhubung notis meroboh gerai haram tidak lagi memerlukan tempoh 30 hingga 50 hari tetapi dilakukan dalam masa 24 jam tanpa perlu sebarang notis.

"Juga difahamkan, kerajaan negeri hendak 'menghalalkan' peniaga Batu Feringgi yang merangkumi 99 peratus Cina. Kenapa ada sikap sebegini?" katanya.

"Saya nampak matlamat kerajaan negeri mudah saja. Melayu (di Pulau Pinang) hendak dijadikan seperti di Singapura. Lee Kuan Yew dan Lim Guan Eng umpama mentor dan protege. Kehadiran Kuan Yew dulu memang inilah matlamatnya untuk ajar Guan Eng bagaimana untuk sisihkan Melayu Pulau Pinang dan seolah-olah kami hidup bergantung kepada dia.

"Kita bukan bermusuh dengan penduduk Cina dan India yang ada tetapi masalahnya ialah Guan Eng. Itu adalah fokus masalah kita," kata anak jati Kampung Melayu Tanjung Tokong itu.

Beliau mengimbas kembali janji pemimpin parti pembangkang dalam kempen pilihan raya umum 2008 lalu, bahawa perkampungan Melayu di Tanjung Tokong akan dijadikan tanah warisan. Tetapi selepas mengambil alih kerajaan negeri, mereka mendakwa tiada kuasa dan kawasan itu adalah tanah Kerajaan Persekutuan.

"Bagi saya, ini satu pembohongan dan penipuan yang sejelas-jelasnya kepada orang Melayu di Tanjung Tokong yang memberi kepercayaan kepada mereka, kononnya mengundi mereka adalah demi mempertahankan tanah berkenaan. Hari ini, orang Melayu di Tanjung Tokong masih lagi berhempas pulas dan berjuang untuk mempertahankan tanah itu," katanya.

Perkampungan yang dihuni 3,000 penduduk itu adalah tanah Tol yang sudah dibatalkan hak milik oleh kerajaan negeri. Dengan mencadangkan statusnya ditukar kepada kampung warisan maka kampung itu akan dikekalkan.

"Kalau berani, kami cabar kerajaan negeri untuk datang dan robohkan perkampungan kita. Lihatlah apa tindakan kita. Jadi kami kini umpama tinggal di perkampungan setinggan sebab tidak tahu tanah itu hak milik siapa. Dia nak halau kami bila-bila masa saja boleh," katanya.

Beliau difahamkan kawasan itu hendak dimajukan dengan pangsapuri mewah yang mencecah RM1 juta seunit dan penduduknya yang 100 peratus Melayu akan dipindahkan ke lokasi lain.

"Bagaimana orang Melayu di kampung itu yang kerja kilang dengan gaji RM1,000 sebulan nak beli rumah itu? Semua ini bertujuan menghalau orang Melayu dari pulau ini dan pulau ini hanya boleh diduduki orang yang berpendapatan tinggi," katanya.
Sebaliknya, kerajaan negeri menjemput penduduk Singapura dan Hong Kong datang mendiami Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka.

Jais turut mendedahkan dasar komuniti perniagaan dan sektor swasta Cina di negeri itu yang mewajibkan syarat menguasai bahasa Mandarin untuk calon yang mahu mencari pekerjaan. "Perkara itu adalah mustahil bagi orang Melayu. Ini benda yang tak masuk akal dan kita sedar bahawa inilah agenda dia sebenarnya dan ke mana arah dia nak bawa Pulau Pinang ini memang cukup jelas bagi kita," katanya.

Nota: Tolong tengok juga bagaimana projek-projek mewah telah dibangunkan di sekitar kampong Melayu Batu Maung (contohnya South Bay) yang tentunya menakutkan. Kawasan Relau pun sudah habis, kini Balik Pulau menjadi sasaran untuk dibangunkan pelabagai projek mewah, termasuk kawasan pelancongan baru di Pulau Betong. Siapa beb yang dapat banyak faedah, akhirnya semakin ramai Melayu berpindah ke Kulim kerana kilang pun banyak sudah pindah operasinya. Orang Melayu banyak mengharapkan kerja kilang, tapi apa dah jadi apabila sewaktu perayaan Melayu, mereka gandakan kerja lebih masa, tetapi bila perayaan bukan Melayu, kilang ikut lebaran.

Ramai lagikah Melayu Pulau Pinang tak sedarkan diri bagaimana sedikit demi sedikit kuasa dan kedudukan mereka sedang dihakis?

Friday, February 12, 2010

MENJADIKAN NABI MUHAMAD SAW IDOLA SETIAP MUSLIM



Setiap kali tiba tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad SAW, setiap kali itulah kita diseru, dipapar, diminta, dianjurkan supaya meneladani peribadi mulia yang telah meninggalkan pengaruh yang besar dalam peradaban manusia, melangkaui semua sejarah manusia teragung baik dalam sumbangan pemikiran, tingkahlaku, kehidupan peribadi, kepimpinan, kemasyarakat mahupun kebijaksanaan membuat sesuatu keputusan.

Mungkin kita pernah mendengar pujian apabila Michael H.Hart meletakkan Nabi Muhamad SAW adalah manusia yang berada dalam urutan pertama sebagai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah. Mungkin juga kita pernah mendengr kata-kata Mahatma Gandhi yang melihat Nabi Muhamad SAW sebagai manusia yang paling agung dan berkeperibadian paling mulia, sehingga turut menjadi faktor motivasi segala tindakan dan keputusan bijaksana dalam memimpin rakyat India menuntut kemerdekaan.

Di celah-celah kekalutan kehidupan moden, yang diterjah dengan ganasnya oleh pelbagai aliran pemikiran dan sikap sinis (sama ada dalam kalangan kumpulan-kumpulan Islam sendiri ataupun bukan Islam), terasa kita sebenarnya masih mencari-cari sosok peribadi yang boleh dijadikan idola. Sosok peribadi yang saban hari muncul dalam zaman ini ternyata kurang menyenangkan, kerana adakalanya seseorang yang kita harapkan menjadi peneraju, akhirnya tidak pernah konsisten dalam setiap kali mengambil keputusan.

Lantas, saya mencari dari sudut sejarah. Mencari dari pelbagai sumber yang pernah dituliskan (terutamanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu – termasuk terjemahan dari pelbagai bahasa asal— serta Indonesia), saya menemukan banyak sekali penulisan mengenai Nabi Muhamad SAW. Untuk membaca kesemua bahan-bahan tersebut, saya terasa amatlah sukar dan meletihkan, namun dari hampir tiga puluh buku kesemuanya, sesekali saya merasakan tidak banyak yang menyentuh emosi.

Saya mungkin tidak tersentuh dengan tulisan Nik Aziz mengenai Nabi Muhamad SAW, tetapi saya lebih memahami dengan baik dua buku karangan Karen Armstrong (keduanya telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia), yang banyak meminjam sumber-sumber klasik yang dikumpul dan dianalisis oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajudin). Terjemahan ke bahasa Melayu karya Martin Lings sudah pun diterbitkan dua tahun lalu sedangkan dalam bahasa Indonesia telah lama menjadi bahan bacaan, beberapa kali diulang cetak dan semakan.

Begitu juga dengan hasil tulisan Muhamad Hussain Heykal, Hayat Muhamad (pertama kali diterbitkan pada tahun 1933 dan dianggap sebagai sebuah penulisan biografi terbaik), yang berasal dari bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ali Audah dalam bahasa Indonesia turut menjadi sumber rujukan penting, walaupun adakalanya terasa berat dan memenatkan. Setelah lama saya terhenti membaca dan mendapatkan buku mengenai Nabi Muhamad SAW, awal tahun ini saya membeli sebuah buku karangan Tariq Ramadhan, yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia pada tahun 2007 oleh R.Cecep Lukman Yasin.

Pada mulanya saya tidak begitu tertarik, sama ada hiasan kulit dan saiznya, tetapi yang mendorongkan saya membelinya ialah kerana pengarangnya merupakan cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna. Saya ingin meninjau apakah tulisannya kali ini mampu menggugat atau meruntum emosi pembacaan saya setelah dikecewakan dengan bukunya terdahulu, Teologi Dailog Islam-Barat:Pergumulan Islam Eropa (terjemahan Indonesia diterbitkan pada tahun 2002).

Setelah berjaya menghabiskan bab pertama buku Muhamad: Rasul Zaman Kita, perasaan saya menjadi begitu tersentuh. Tariq berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penulis yang baik melalui sentuhan emosi yang kuat. Sebagai Presiden Jaringan Muslim Eropah, Tariq pernah mempelajari khazanah Islam klasik di Universiti Azhar di peringkat sarjana muda, falsafah dan sastera Perancis di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Geneva. Beliau dilahirkan pada tahun 1962, dalam satu keluarga yang kuat berpegang kepada idealism perjuangan dan gerakan menentang sekularisme pemikiran.

Setelah membaca bahagian pengantarnya, semasa dalam tren komuter untuk pulang rumah pada petang Jumaat, sempena cuti tahun baru 2010, melantun rasa mengingatkan kenangan semasa kecil menyambut Maulidir-Rasul di sebuah surau. Setiap kali tiba hari itu, selain mengiringi mempelai dalam perjalanan ke rumah pengantin dalam istiadat perkahwinan Melayu, orang ramai berselawat memuji kemuliaan sifat dan peribadi Nabi Muhamad SAW.

Tujuan utama Tariq mengolah kehidupan Nabi Muhamad dalam konteks masa sekarang ialah “menjadikan kehidupan Rasul sebagai cermin bagi kita yang mampu menyelami hati dan fikiran mereka sendiri dan memahami berbagai persoalan hidup dan masalah social dan moral yang lebih luas.”(hal.16). Inilah kekuatan yang menarik minat saya membaca ke halaman-halaman berikut sehingga saya menemukan beberapa ramuan menarik, cukup memberansangkan pemikiran, memetakan langkah pencerahan dan cukup autentik.

Ketika Tariq menceritakan zaman kanak-kanak Rasullullah, saya cukup terkesan dengan penjelasannya yang berbeza dengan lain-lain tulisan yang pernah saya baca. Kehidupan Nabi ketika menerima asuhan Halimah di sebuah desa pedalaman Arab, terasa begitu eratnya hubungan baginda dengan persekitaran itu.

Hubungan yang akrab dengan alam menyebabkan tumbuhnya rasa keimanan Nabi yang mendalam, hasil renungannya menjadikan pola hubungan dengan Tuhan semakin terkait sehingga boleh memberikan makna bentuk dan ritual keagamaan. Alam yang penuh dengan tanda-tanda kebesaran Allah itu menandakan kebesaran-Nya, telah berjaya menanamkan rasa kepedulian spiritual dan alam sekitar yang tinggi.(hal 34-41, 258-259, dan 385-387).

Dengan mengutip peristiwa turunnya ayat 190, surah Ali-Imran, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” Ayat ini kemudiannya dihubungkan dengan runtuman emosi Nabi Muhamad SAW menangis sepanjang malam sebaik sahaja ianya diwahyukan. Kemudiannya, si Bilal bertanyakan Nabi mengenai sebab baginda menangis. Nabi menjelaskan kesedihan itu dengan bersabda: “Sungguh celaka orang yang mendengar ayat ini tapi tidak mahu merenungkannya!.”

Hubungan masakini dapat kita bayangkan betapa ganasnya manusia memusnahkan alam sekitar sehingga turut menjejaskan perjalanan semula jadi makhluk. Bukan sahaja secara tragisnya manusia mengalami banjir lumpur, banjir kilat, kegelonsoran tanah, rebut taufan malah berbangga dengan kemusnahan tersebut atas pelbagai alasan. Penerokaan hutan, atas nama pembangunan. Penebangan pokok atas alasan hasil bumi dan sumber ekonomi. Meratakan bukit tanpa memikirkan kelestarian, memusnahkan kehidupan dan meruntuhkan peradaban.

Dari emosi sedih itu, saya terbayangkan bagaimana runtuhnya Higlands Tower suatu ketika dahulu. Saya juga turut merasa sedih dengan tragedi yang pernah menganyutkan rumah orang Asli di Simpang Pulai akibat rakusnya pembalakan di hulu sungai. Saya menjadi sedikit skeptik apabila terbayangkan tragedi runtuhan rumah di Bukit Antarabangsa, atau banjir lumpur yang menenggelamkan lebih 16 buah kampong di Sodiarjo, Surabaya pada tahun 2004 lalu.

Tariq juga mengupas mengenai suasana kehidupan Nabi seharian. Tariq menggambarkan akhlak Nabi dengan penuh hikmah apabila bergaul dengan bukan Islam, cara Nabi bertutur dan menyelesaikan konflik kelompok. Itulah yang membangkitkan rasa kagum saya apabila membandingkan sisi pemimpin sekarang yang lebih banyak mencari helah, menuding jari dan melemparkan tuduhan. Jauh dari sifat kebijaksanaan dan penuh berhikmah.

Usaha Nabi meredakan konflik, Tariq melakarkan kaedah perundingan yang berkesan telah dilaksanakan dengan jayanya. Bagi Tariq, “ia merupakan sanggahan gambling terhadap kecenderungan pemikiran yang muncul secara sporadik di sepanjang sejarah pemikiran Islam – dan hingga saat ini – bahawa sebuah kesepakatan bisa dipandang sah secara moral oleh orang Islam sepanjang ia memiliki karakteristik keislaman dan/atau jika ia dilakukan sendiri oleh orang-orang Islam.”

Kesepakatan Nabi dalam sesuatu perkara sebelum menerima sesuatu wahyu, menurut Tariq, ialah untuk membela keadilan dan menentang penindasan, “pesan Islam sama sekali bukanlah sistem nilai tertutup berlawanan dan berseberangan dengan sistem nilai lainnya. Sejak awal, Nabi tidak memandang kandungan pesan yang dibawanya sebagai ungkapan murni keberbedaan yang bertolak belakang dengan nilai-nilai yang berasal dari masyarakat Arab atau masyarakat lainnya.” (hal.54).

Setlah berhijrah ke Madinah, Nabi diceritakan pernah berdiri menghormati pengkebumian jenazah seorang Yahudi. Para sahabat tergamam dan bertanya. Nabi dengan tegas menjawab:”Bukankah ia juga manusia?”(hal.179). Semasa dalam perjalanan hijrah, Nabi turut menggunakan jasa seorang Badwi bukan Islam sebagai petunjuk arah ke Madinah. Penunjuk arah itu bernama Abdullah ibn Urayqat, begitu juga dalam Perang Uhud, Nabi dibantu oleh seorang bukan Islam (hal. 239).

Ketika baginda dan Abu Bakar menghadapi saat genting, Nabi turut menggantungkan harapan dan kepercayaannya kepada seorang bukan Islam atas kepakarannya di padang pasir. Menurut Tariq:”semua laki-laki dan perempuan yang bergaul dengannya mungkin tidak memiliki keyakinan yang sama dengannya, tetapi mereka memiliki kualiti moral dan/atau kualiti kemanusiaan yang mulia.”(hal.164)

Nabi pernah bertindak tegas dengan kaum Yahudi ketika bermukim di Madinah. Nabi pernah menghalau keluar warga perkampungan Yahudi Bani Nadir (hal.249-255). Ketika Nabi sedang berusaha dan mencari jalan untuk menyelesaikan tuntutan tebusan atas pembunuhan dua orang Yahudi dari Bani Amir (sekutu Bani Nadir), yang dilakukan oleh Amr ibn Umayyah, baginda menerima tentangan dari Bani Nadir, termasuk ancaman bunuh. Baginda terus berunding dengan memberikan masa selama sepuluh hari untuk keluar dari kota Madinah, jika tidak, akan dikenakan hokum bunuh kerana tidak mematuhi kesepakatan yang telah dipersetujui sebelumnya.

Abbullah ibn Ubayy melancarakan provokasi dan akhirnya Nabi mengepung Bani Nadir. Kelompok Yahudi itu terpaksa menyerah diri, tetapi Nabi menarik balik ancaman terdahulu. Baginda tidak membunuh mereka, tetapi membenarkan mereka keluar dari kota Madinah bersama-sama harta kepunyaan mereka.

Begitu juga dengan pengusiran Bani Qaynuqa (hal.210-214). Antara ketegasan dan kelembutan cara penyelesaian Nabi mempunyai sentuhan kemanusiaan yang dalam. Lain-lain peristiwa yang menyentuh emosi ialah saat Nabi mengalami kekalahan dalam Perang Uhud dan melihat jasad tentera Islam yang disiat-siat oleh musuh, termasuk jasa Saidina Hamzah, bapa saudara baginda.

Baginda seakan berdendam dan sebagai manusia, akan merosakkan tiga puluh jasad tentera musuh. Ketika itu turunlah wahyu (ayat 126, surah al-Nahl). Ayat tersebut mengingtkan Nabi bahawa penghormatan terhadap jasad manusia adalah sesuatu yang wajib. Ini mengingatkan Nabi tentang etika perang, urutan keutamaan, menghormati setiap ciptaan Tuhan, maruah manusia, kebijaksanaan dan kesabaran, (hal.243-244).

Rendah diri, bukanlah unsure negative dalam perjalanan peribadi Nabi Muhamad. Tariq mengangkat peristiwa Hijrah berasaskan rasa rendah diri Nabi yang dipersoalkan oleh kaum kafir Mekah. Tiga cabaran tersebut hanya mampu diberikan jawapan keesokannya. Tetapi, dalam tempoh tersebut, tidak ada wahyu telah diturunkan (hal.116-120).

Dua bulan kemudian, Allah menurunkan wahyu (surah al-Kahf, ayat 23-24). Allah memberikan ingatan kepada Nabi bahawa status, pengetahuan dan nasibnya bergantung pada Rabb-nya, Pendidiknya, Yang Maha Esa dan Mahakuasa. Secara jelasnya, ayat-ayat yang terhimpun dalam surah tersebut mengandung tema kerendahan hati dan ketergantungan pada Tuhan. Mengapa kita sentiasa disunatkan agar membacakan surah ini pada hari Jumaat? Di sinilah saya menemukan jawapannya, bersama daya tarikah emosi yang disajikan melalui rentetan peristiwa oleh penulis.

Mengenai hijrah, Tariq mengangkatnya menjadi lebih luas, iaitu mencakupi ujian keimanan. Tulis beliau, “menuntut kaum muslim awal agar selalu belajar untuk tetap setia terhadap makna ajaran Islam di tengah perubahan tempat, budaya, dan memori…Masyarakat Islam awal harus membedakan antara hal-hal yang berasal dari prinsip-prinsip Islam dan hal-hal yang secara khusu terkait dengan budaya Mekah…Pengasingan merupakan sebuah pengalaman yang paling jelas dan mendalam tentang semua itu, kerana ia menyiratkan ketercabutan diri dengan tetap beriman kepada Tuhan yang sama, kepada makna yang sama, dalam lingkungan yang berbeda.”(hal.168-170).

Juga menarik ialah bagaimana Nabi berusaha mengubah kebiasaan dan amalan dalam masyarakat Arab yang tidak sesuai dengan Islam. Ketika di Madinah, seorang jiran berbangsa Parsi menjemput Nabi untuk makan bersama, pada suatu hari. Nabi tidak dibenarkan membawa isteri, maka Nabi menolaknya. Dalam tradisi masyarakat Arab, isteri tidak layak menghadiri majlis bersama suami. Setelah dua kali ditolak, undangan yang ketiga Nabi dibenarkan membawa Aisyah. Kahdiran Aisyah di ruang awam ini mencerminkan sikap Islam sebenar, tidak mendiskriminasikan wanita sebagaimana berlaku dalam dalam tradisi masyarakat Mekah (hal.233-234).

Dari sini kita dapat mempelajari sikap sesetengah pemimpin politik yang berjuang atas nama Islam, tidak mengikuti apa yang telah diteladani oleh Nabi Muhamad SAW apabila mengadakan sesuatu majlis sosial. Isteri boleh menjadi penentang kepada kemungkinan negative sepanjang majlis itu berlangsung, isteri turut menjadi pengawal dan pengimbang dalam setiap gerak geri ketika keseronokan mula mengambil alih. Dari situ juga kita memahami, kenapa Aisyah sering memuji perilaku Nabi malah menyifatkannya sebagai “akhlak al-Qur’an.” (surah al-Ahzab, ayat 21).

Walaupun buku ini tidaklah sedalam dan selengkap lain-lain biografi Nabi Muhamad SAW, penulis sebenarnya telah berjaya menggugat emosi saya untuk terus membuat pembacaan ke perkataan akhir. Pengarang pernah dinobatkan sebagai “pembaharuan dalam bidang kerohanian” oleh majalah Times, sebenarnya berupaya mengungkapkan makna yang segar tentang keteladanan yang boleh kita pungut dari Nabi Muhamad SAW.

Saya menjadi lebih mendekati peribadi Nabi Muhamad SAW lewat buku ini, tetapi, sayangnya tidak banyak daripada kita yang sanggup membaca buku-buku sedemikian. Ketebalan sejumlah 422 halaman, saya terasa amat terhad untuk kita mengetahui lebih banyak lagi telaga teladan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhamad SAW, tetapi itu mungkin dapat kita temukakan dalam beberapa buku yang lain, kerana menurut carian geogles, berdasarkan entri Nabi Muhamad SAW terdapat 1.57 juta bahan dan buku mengenai Nabi Muhamad SAW sebanyak 883,000 dalam bahasa Melayu dan lebih 2 juta dalam bahasa Inggeris. Bilakah kita mampu membaca semuanya?

Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad SAW, walaupun perarakannya telah menimbulkan pelbagi kontroversi poliitk, tidak bermakna kesyahduan kita kepada baginda luput. Biarkan kumpulan yang tidak ingin meraikan hari ulangtahun kelahiran itu, kerana mereka sebenarnya sudah terlampau mementingkan politik, dan inilah dilihat oleh Khalid Abou el Fadhl sebagai muslim puritan yang menghancurkan Islam sendiri. Dengan meneroka kembali keteladanan Nabi Muhamad SAW, marilah kita mulakan langkah memperbetulkan sikap kita dari dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuding jadi kepada orang lain. BAnyak sekiali yang kita boleh pelajari dari buku ini.

Judul Buku : Muhamad : Rasul Zaman Kita
Judul Asal : In the Footsteps of the Prophet: Lessson from the life of Muhammad.
Penulis : Tariq Ramadan
Penterjemah : R. Cecep Lukman Yasin
Penerbit : PT Serambi, Jakarta
Tebal : 422 halaman.

NANA NANA, ACI TAK BUKA PINTU, APEK KUNCI PAGAG?

Tahun Baru Cina, saya sekeluarga berada di Taman Pagar Buloh, Pulau Pinang. Maklumlah, memang pantang ada hari cuti, tentunya ada kenduri, walaupun Tahun Baru Cina, sebenarnya kami menghadirkan diri ke rumah pengantin, kebetulannya ada hubungan kekeluargaan. Jengok sana jengok sini terjumpalah kawan lama. Agak tersipu malu kerana suatu ketika dulu dia memang jaki kat saya.

Dia jaki kerana saya tidak menjadi mana-mana ahli parti politik, tetapi saya mempunyai ramai kenalan orang politik. Saya boleh berbincang, memberikan pendapat dan sesekali menasihatkan ahli politik agar tidak melakukan perkara yang sama dan berulang-ulang, kerana akan memburukkan lagi keadaan.

Saya hanya memberikan nasihat, tetapi terpulanglah kepada ahli politik itu untuk menjadikannya sebagai sesuatu yang berguna. Oleh kerana waktu itu, hampir 15 tahun beliau berada dalam kancah kuasa, maka nasihat kita tidak ada maknanya. Walaupun demikian, saya terus memberikan nasihat atau pendapat sekiranya kami bertemu.

Kebetulan, Tahun Baru Cina ini kami bertemu. Lazimnya saya memberikan pandangan dan nasihat, tetapi kali ini dia pula bertindak memberikan nasihat kepada saya, kerana saya sudah ketinggalan dari sudut pandangan politik dan tidak banyak perubahan kerjaya. Saya tetap bekerja makan gaji, dan gajinya tidaklah seberapa, belum mampu beli mercedes. Dia sudah ada tiga mercedes, termasuk siri 350, Kompressor dan untuk isteri dibelikan B170.

Saya memang tak mampu beli, kerana harganya mencecah lebih dari jumlah gaji saya selama 5 tahun. Tapi, sekurang-kurangnya, saya tidaklah sampai kena maki dan sumpah oleh pengundi, kerana saya tidak pun pernah dan teringin menjadi calon.

Saya hanya inginkan sebuah kehidupan yang bahagia dan sejahtera. Saya tidak memerlukan monumen yang melambangkan prestij sedemikian kerana ia hanyalah sebuah petanda jelas kesombongan diri. Saya menjadi keliru sesekali macam seorang ahli falsafah yang sedang menghadapi wacana besar, dan berada di atas sebuah gunung. Adakalanya, saya lebih takut dan kerdil dari seekor pepijat, tapi baunya tetap menusuk hidung.

Ahli politik itu, sudah berhenti dari dunia akademik, tetapi menjadi ahli politik sepenuh masa. Bila BN tumbang dalam PRU ke-12, ahli politik itu menjadi penyokong sebuah parti alternatif. Dia turut heret orang lain masuk, termasuk mak anjang, pak anjang dan Chombi yang tidak pernah kahwin. Semuanya, sesekali pandang sepi ke arah kami, kerana kami belum masuk mana-mana parti.

Rugi, nanti sekali lagi pilihan raya kita menang. Kita jadi pemerintah, bukan sahaja kekal di Pulau Pinang, tetapi juga pegang Putrajaya. Saya tidak mahu panaskan telinga, hanya menjawab selamba, Putrajaya tu tang mana nak pegang? Tiang masjid ke? Bulatan terbesar (bukit) ke? Jambatan ke? Alamanda?. Kalau nak pegang, tak payah tunggu pilihan raya. Bila-bila masa pun boleh, kerana ianya milik awam. Jangan nak rosak dah le, nanti kena tangkap tau?

Ramai antara kami ketawa, tetapi, puak yang satu lagi rasa seolah-olah dipermainkan. Saya memangnya berhasrat demikian, tapi tak tergamak untuk menyerang secara serius. Saya cuba lucukan suasana, agar perbincangan tidak menjadi lebih panjang dan membungkam emosi.

Benar saperti dijangka, selepas itu perbincangan ditutup. Cuma masih kedengaran ialah sekumpulan yang lain bercakap pasal itu dan ini, tetapi mengeluh sendirian kerana semakin lama semakin kurang Melayu tinggal di Pulau Pinang. Banyak yang pindah ke Sungai Petani, Kulim, Bagan Serai dan Ipoh kerana tidak mampu beli rumah. Harganya, memang mahal kerana tanah menjadi semakin sukar.

Pun terpandanglah "the Light", yang dahulunya disifatkan akan dibangunkan sebuah bandar ala Manhattan di sekitar Batu Uban dan Gelugor, di atas kawasan tanah yang sedang ditebusguna. Cantik, tapi harganya menyebabkan orang Melayu putih mata. Nak harapkan minah kilang beli, memang tak mampu. Malah kilang pun pandai atur strategi, kalau musim Hari Raya Aidilfitri ada kerja lebih masa dengan bayaran berganda. Tetapi, bila Tahun Baru Cina, tidak ada kerja lebih masa, malah ada ketikanya terus diberikan cuti, tak banyak belanja, bayar elaun lebih masa berganda sebagaimana disyaratkan oleh peraturan untuk hari kelepasan am.

Yang sedihnya apabila ramai juga nana tanjung belum sedar, walaupun apek semakin membanyakkan kunci, mengunci apa sahaja yang berkaitan dengan Melayu. Sedikit demi sedikit mula dinyahkan secara halus, dan akhirnya, bila terngadah dan melihat kecantika kondo seperti KLCC, melangut tinggi: Siapa pembelinya? Siapa penghuninya?

TAHUN BARU CINA DAN HARI KEKASIH

Tahun Baru Cina (TBC) akan jatuh pada 13 dan 14 Februari. Hari kedua ialah hari memperingati kekasih, tetapi jangan pula kita sebagai orang Islam terlalu kepingin untuk menyambutnya. Kita perlu tahu bahawa, pada tarikh yang sama merupakan tarikh kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol, yang duganyang oleh tentera Salib.

Kita juga kena ingat, selain kejatuhan empayar Islam, tarikh 14 Februari itu merupakan saat di mana Saint Valentino mati dibunuh oleh Kerajaan Rom. Saint Valentino adalah seorang paderi yang menjalinkan hubungan dengan seorang anak penguasa penjara, di saat kematiannya menulis sepucuk surat dan berakhir dengan "dari VelentineMu."

Julia Robert mengesyorkan pada hari kekasih, pasangan yang menyambutnya dicadangkan melondeh pakaian bagi membuktikan kasih sayang dalam majlis tari menerik. Ah, betapa bodohnya cadangan tersebut, jangan pula masyarakat Islam Malaysia jadi seperti malam menyambut tahun baru dengan mandi buih seperti pernah berlaku beberapa tahun lalu di Bangsar Park.

Jangan kerana ingin membuktikan cinta kepada kekasih, sanggup melakukan perkara yang ditegah dan menodai kehormatan anda sebagai seorang gadis yang bermaruah. Tak payah nak ikutkan anjuran puak-puak Yahudi yang memangnya akan melaksanakan apa sahaja atas nilai komersial. Jangan pergi ke hotel yang menganjurkan, sepatutnya pada malam itu boleh kita beramai-ramai membaca Yaasin agar ditunjukkan jalan kebenaran kepada umat Islam yang sedang hangat dilanda politik pecah belah. Agar yang bergaduh dan berselisih pendapat, kembali ke pangkal jalan dan Islam menjadi semakin kuat.

Memanglah manusia pernah digelar sebagai social animal, tapi kita jangan ikut perangai harimau. Walaupun dijinak, akhirnya akan menerkam tuan juga. Kita janganlah taksub dengan belang harimau sehingga sanggup menjadikan diri tercalar sana dan tercalar sana. Kita sedang membina harapan, agar masyarakat sejahtera dan tenteram. Tapi kalau ikut perangai harimau, tak tahu apa apa akan berlaku, budayanya siapa kuat dia dapat. Akan diterkam apa sahaja kerana itu adalah habitat semulajadinya.

Selamat menyambut Tahun Baru Cina, tapi jangan gila iseng nak sambut Hari Memperingati Kekasih. Biarlah, ros merah layu sendirian kerana tak laku pada tahun ini.

Thursday, February 11, 2010

politik dan ahli politik

Setelah mendapat tahu keputusan bahawa Dr. Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak yang sah, dan mendengar beberapa komen rakan-rakan yang ada dalam Oldtown Kopitiam, masing-masing mempunyai kami mempunyai kesimpulan sendiri.

Saya mengambil jalan tengah, walaupun siapa yang mendapat kerusi tersebut, yang lebih penting ialah khidmatnya terhadap rakyat. Seseorang yang bergelar wakil rakyat perlulah menyedari tanggungjawab utamanya ialah mensejahterakan rakyat. Ini tidak pula bermakna, demi untuk mensejahterakan rakyat, rakyat perlu diberikan gula-gula dan akhirnya rakyat dilanda penyakit yang kian ramai pengidapnya, iaitu diabetes.

Setelah mendapat mandat, wakil rakyat haruslah saban masa mencari peluang mendekatkan diri dengan rakyat untuk menyelesaikan masalah dan memudahkan urusan secara kolektif dengan pihak-pihak tertentu. Urusan dan tanggungjawab secara kolektif adalah lebih penting, dan kerana itu, tidak harus tunduk kepada permintaan seorang dua golongan yang suka mengambil kesempatan.

Jika mengambil peluang bukan secara kolektif, maka wakil rakyat itu akan dicap terlalu mirip kepada sesuatu yang bakal menyebabkannya bermasalah, termasuklah nepotisme, kronisme, klanisme, rasis dan sebagainya. Bila bercakap mengenai semuanya itu, teringat saya kepada sebuah wawancara menarik yang disiarkan oleh sebuah stesen tv.

Zulkifli Nordin, seorang wakil rakyat PKR dari Bandar Baru/Kulim, Kedah lantang mengkritik DAP. Menurut beliau, pakatan rakyat (kalau boleh dipanggil demikian, kerana secara rasminya pakatan rakyat masih belum sah, belum berdaftar)tidak memerlukan DAP kerana parti tersebut lebih memperjuangkan kepentingan orang-orang Cina.

Lantaran itu, Zulkifli tidak pernah takut untuk berkata sedemikian, kerana yang penting bagi beliau ialah memperkuatkan kedudukan Islam, dan sudah semestinya adalah orang Melayu. Orang Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan, sekurang-kurangnya di Malaysia, kerana ikatan tersebut telah dilembagakan secara jelas.

Kerana cintakan kepada Islam, beliau sanggup menerima risiko apabila turut mengkritik PAS, terutamanya Khalid Samad berhubung dengan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan amalan bai'ah yang dilakukan oleh Khalid. Khalid menjadi semakin nanar dengan serangan tersebut apabila Zulkifli mencabarnya, termasuk mendesak agar meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat PAS.

Mujurlah ada seseorang yang bernama Zulkifli yang lantang dan berani. Kalau tidak, apa yang dibuat oleh PAS akan diterima sebagai sesuatu yang "halal" dalam parti tersebut, kerana sebelum ini, pemimpin telah banyak membuat kesilapan termasuk mengatakan Nabi Muhamad juga mengamalkan kronisme, Tuhan mencarut, Allah juga samseng, bukan Islam boleh mengkritik dan mencemuh Islam kerana mereka bukan Islam, doa melaknat orang lain (tentunya musuh politik), dan sebagainya.

Bagi Zulkifli tindakan tersebut bukanlah sesuatu yang ada dalam budaya Islam. Sebagai satu bentuk cara hidup yang mementingkan prinsip kesederhanaan, berbaik sangka, berani kerana benar, persaudaraan sesama Islam, etika dan moral yang tinggi perlu dijadikan asas berpolitik. Kita tidak memerlukan politik sempit, yang hanya tahu mencari peluang dan memanipulasi keadaan demi memperoleh sokongan pengundi.

Mungkin Zulkifli benar-benar memahami etika politik dan jolokan yang pernah diberikan kepada bidang politik. Politik pernah dijelmakan sebagai satu konsep "political animal" kerana adakalanya kerana politik orang sanggup berbunuhan, kerana mempunyai faedah politik orang sanggup berbohong, malah menipu diri sendiri. Itulah maksudnya, political animal yang pernah dipopularkan sejak sekian lama, malah manusia juga pernah dianggap sebagai "social animal" oleh Aristotle.

Saya yang kurang mahir dengan sepak tendang politik, akhirnya berfikir sendirian kenapa dalam ayat-ayat al-Qur'an banyak sekali cerita yang hendak disampaikan oleh Allah SWT kepada manusia menggunakan binatang. Dalam al-Qur'an ada disebut tentang gajah, burung ababil, semut, unta, khinzir, keldai, lembu (sapi) betina, dan sebagainya. Ruangan ini tidak akan menceritakan mengenai sifat-sifat binatang yang digambarkan dalam al-Qur'an.

Saya hanya ingin mengungkapkan apa tujuan Allah SWT membawakan cerita-cerita tersebut untuk pengetahuan manusia? Tentunya, Allah SWT memohon manusia supaya dapat belajar mengenai sifat-sifat binatang tersebut, kerana sebahagiannya turut mengidentikasikan sifat manusia.

Dalam kehidupan manusia memang banyak sekali sifat binatang, tetapi kata sesetengah yang lain, dalam sifat-sifat kehidupan binatang, tidak ada manusia. Apa maknanya?
Manusia yang diberikan akal fikiran dan dijadikan secara berpasangan, harus menghormati hukum penciptaan itu. Manusia tidak perlu melanggar peraturan penciptaan tersebut, kerana melanggarnya, bererti telah mencabar sifat semulajadi manusia itu sendiri dan hakikat kejadiannya sendiri.

Maksudnya, jika perempuan dijadikan sebagai rakan karib seorang lelaki, maka hubungan itu hendaklah berterusan hingga ke akhir hayat. Seorang lelaki telah melanggar sifat kejadiannya apabila hanya sanggup berkahwin sesama lelaki, begitu juga dengan lain-lain tindakan abnormal seperti lesbian dan gay. Cerita bagaimana duta terperangkap dengan "isterinya yang bermisai, kerana tidak melihat sebelum berkahwin disebabkan tradisi memakai niqab" mempunyai moral yang tinggi bagi seorang lelaki.

Bila ingin berkahwin, cubalah mendapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai bakal oasangan itu. Janganlah sekadar berkenalkan di Hari Memperingati Kekasih, terus berkenaan, kerana sekarang sudah berkembang mereka yang mahu menjadikan diri mereka dalam kumpulan jantina ketiga. Kalau dalam borang, angka 1 biasanya menoktahkan jantina sebagai lelaki, angka 2, perempuan, tetapi buat masa ini secara rasmi belum ada jantina ketiga secara rasmi. Maksudnya masih belum diiktiraf.

Berlainan yang budaya barat, boleh kahwin sesama jenis. Apakah nikmatnya kahwin sesama jenis, tidak ramai yang tahu, kecualilah mereka yang pernah menjalani proses tersebut. Walau bagaimanapun, sudah kedapatan di Malaysia, walaupun berkahwin berlainan jantina, perlakuan seks sesama jenis atau dikenali sebagai di luar tabie terus berlaku. Saya tidak mahu menyebutnya, tetapi mungkin kita boleh baca melalui akhbar tentang perlakuan demikian.

Yang menarik lagi ialah apabila ada seorang wanita turut bermain politik dengan mendampingi diri orang lelaki berduit, bagi memujuknya berkahwin. Walhal, dari segi tabienya, wanita tersebut tidak dibenarkan berkahwin kerana sudah dipunyai dan masih belum terlepas ikatan tersebut. Apa dah jadi ni, mungkin kita boleh mendapat iktibar dari beberapa cerita binatang dan memahami sedikit perilaku politik masyarakat binatang.

Kita mungkin teringat kisah mengenai anaconda, sejenis ular yang besar. Ketika musim mengawan. ular betina akan berada di persimpangan aliran air memasang badan untuk mengumpulkan sebanyak mungkin ular jantan. Setiap ular jantan boleh mendekati dan mengawan dengan ular betina itu, tetapi tidak bermakna sperma yang dibekalkan akan diterima untuk disenyawakan oleh ular betina. Hanya jantan terpilih sahaja dibenarkan.

Begitu juga dalam masyarakat Black Widow, sejenis labah-labah. Semasa mengawan, jika labah-labah jantan tidak hati-hati, keseronokan itu akan mengakhiri segala-galanya. Dirinya akan diterkam dan dijadikan makanan oleh labah-labah betina semasa proses mengawan itu sampai ke kemuncaknya.

Ahli politik pun ada yang mewarisi sifat-sifat tersebut, sehingga melupakan hakikat dirinya dipilih oleh rakyat. Aoabila berada di puncak kuasa, maka lupa bahawa rakyatlah yang telah menentukan kedudukannya pada ketika itu. Tetapi, apabila musim tiba lagi, akan turunlah ia ke gelanggang menagih janji lagi, "untuk bangsa, agama dan negara."

Tetapi selepas mendapat kuasa, telah lupa segalanya, kerana itulah ada orang mengembirikan wakil rakyat sebagai manusia yang tidak boleh dipercayai. Satu tinjauan pendapat suatu ketika (tidak terlalu lama berlalu)lalu mendapati bahawa ahli politik merupakan golongan yang paling tidak dipercayai, diikuti oleh pengamal undang-undang.

Maka kerana itulah adakalanya kita kurang yakin dengan apa yang dinyatakan oleh sesetengah ahli politik, walaupun bilan berdepan dnegan kita bercakap berdegar-degar dan penuh tertib, kononnya "saya tidak akan lupakan tuan-tuan dan puan-puan." Tetapi, belum pun sampai tempoh kedua, "nama kita yang pernah menolongnya, tidak lagi diingat dan dihubungi untuk bertanyakan khabar."

Makanya, kita pun membuat penilaian, "dia dah jadi orang besar, kita masih orang kerdil", maka "orang kerdil mestilah menerima hakikat." Walau pun kita "oerang kerdil" tidak pula bermakna kita kan menjadi kerdil selama-lamanya, kita masih mempunyai idealisme kita sendiri untuk menjatuhkan "orang besar yang pernah berada dalam kekerdilan kuasa seperti kita dahulu."

Itulah hakikat politik, orang yang pernah berkawan dan menjadi rakan sekelas dulu, akhirnya bila kita tegur dan ceritakan kisah silam, tidak mampu mengingatinya, kerana dia sudah jadi orang besar. Apatah lagi bila "orang kerdil yang sekarang jadi orang besar" itu rupa-rupanya, dia adalah "tokoh politik" yang memimpin tempat kita bekerja dan mencari rezeki.

Tak apalah, hidup ini sementara. Dalam kesemntaraan itulah, gasaklah apa yang "orang kerdil jadi orang besar" nak buat, kerana itulah adalah hakikat dalam sistem politik yang mementingkan kuasa dan mengekalkan kuasa.

Wednesday, February 10, 2010

Beraraklah Mendung di Langit Politik Perak

Keputusan lima panel lima hakim sebulat suara mengisytiharkan bahawa Dr. Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah pada 9 Februari lalu adalah berkat doa sebahagian rakyat yang cintakan keamanan dan kedamaian. Meskipun kelihatan di sekitar Istana Kehakiman Putrajaya sekelompok penyokong bekas Menteri Besar berkumpul, bersembahyang hajat dan berdoa, nampaknya Allah SWT lebih merestui keikhlasan BN untuk meneruskan pentadbiran Perak, sekurang-kurangnya beberapa tahun sebelum diuji sepenuhnya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Meskipun ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, memangnya itulah tabiat mereka yang kecewa akan membuat pelbagai andaian bagi menggambar atau menutupi kekecewaannya. Mereka tentunya amat mengharapkan keputusan bekas Menteri Besar selama 11 bulan itu kembali berkuasa, kerana hanyalah bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Rayuan sebelumnya “menerima rayuan” setelah dikatakan telah “diketepikan dan dirampas” secara tidak berperlembagaan.

Pertelingkahan itu bermula apabila dua orang wakil rakyat PKR dan seorang wakil rakyat DAP tidak lagi menyokong kepimpinan kerajaan gabungan Perak yang diterajui oleh PAS tetapi diurustadbirkan oleh DAP, dan memberikan sokongan kepada BN. Perubahan sokongan itu menyebabkan “parti yang membentuk kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa yang cukup, iaitu majoriti.” Bila kedudukan itu berubah, maka BN menuntut supaya berlaku perubahan kepimpinan kerana BN sudah berada dalam suasana majoriti.

Tanpa sokongan tiga wakil rakyat yang “mengisytiharkan keluar parti masing-masing”, BN dan gabungan PAS-DAP-PKR di Perak masing-masing mempunyai 28. Apabila tiga wakil rakyat menunjukkan sokongan kepada BN, secara lojiknya BN mempunyai kuasa majoriti. Keadaan ini menyebabkan gabungan PAS-DAP-PKR tidak berpuas hati, lantas membuat pelbagai tindakan termasuk menggantungkan wakil rakyat tersebut, melancarkan provokasi “BN rampas kerajaan yang sah”, “DUN Perak perlu dibubarkan dan serahkan kepada kuasa rakyat”, sehinggakan politik negeri itu dilihat tidak stabil.

Hampir setahun, akhirnya semalam kemelut tersebut selesai apabila lima panel hakim sebulat suara mengesahkan tindakan yang diambil oleh Paduka Sultan Perak berdasarkan kuasa baginda menurut Undang-undang Tubuh adalah sah. Setelah keputusan tersebut diketahui, ramailah pihak yang tidak berpuashati menganggapnya sesuatu yang tidak adil dan mendakwa sistem kehakiman negara telah dipergunakan oleh pihak tertentu.
Penyokong bekas Menteri Besar beranggapan bahawa keputusan itu adalah selari dengan keputusan membenarkan membuat rayuan sebelum ini. Apabila berlaku di sebaliknya, maka seorang penulis yang saya anggap penyokong kuat gabungan tersebut menilai betapa bobroknya sistem kehakiman negara kita (Josh Hong , penganalisis politik dan kolumnis Merdeka review.)

Menurut penulis tersebut: “Pada awalnya, saya menjangkakan bahawa kemungkinan wujudnya senario "sebulat suara" agak rendah, memandangkan lima orang hakim ini perlu mempertimbangkan kesan yang menyusul daripada penghakiman tersebut. Dengan kata lain, walau mereka ingin memihak kepada UMNO sekalipun, mereka juga perlu mengambil kira prinsip Raja Berperlembagaan dan kesan sejarahnya.

Tanpa diduga, Malaysia sememangnya "boleh". Hakim telah mengangguk kepada campur tangan pemerintah (raja) , mengakibatkan sistem perlembagaan negara kita menjadi "contoh negatif" di kalangan negara Komanwel selepas ini.”

Itulah kesimpulan yang dibuat oleh Josh Hong yang cuba menidakkan prinsip kedudukan raja-raja Melayu dalam sistem perundangan negara. Beliau mungkin tidak memahami bahawa, dalam peruntukan undang-undang, raja-raja mempunyai budi bicaranya dalam menentukan sesuatu perkara yang berhubung kait dengan pentadbiran negeri, kerana raja itu dilihat sebagai satu simbol kedaulatan dan keabsahan kuasa.

Dalam hal itulah Paduka Sultan Perak membuat keputusan, iaitu berdasarkan kuasa majoriti dan tidak membubarkan DUN Perak sebagaimana digesa, didesak dan dijaja ke sekeliling daerah oleh parti-parti gabungan tersebut. Beliau mesti faham, baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan atau membuat sesuatu pertimbangan walaupun tidak selaras dengan nasihat yang diberikan oleh pentadbir negeri. Dalam hal ini, usaha Nizar untuk membubarkan DUN tanpa terlebih dahulu merujuk atau mendapat perkenaan Paduka Sultan Perak adalah sesuatu yang aneh dan ganjil. Nizar telah bertindak bersendirian, dan kerana itu beliau sanggup melancarka strategi lain agar berupaya menggugah kepimpinan BN.

BN tidak mudah goyah walaupun pelbagai tohmahan dilakukan sepanjang kempen pilihan raya kecil Bukti Gantang selepas beberapa hari krisis itu berlaku, kepimpinan Dr. Zambry yang mendekati rakyat, berupaya memulihkan keyakinan terhadap BN. Hasil susun atur program dan mengambil pendekatan mesra rakyat, parti gabungan itu semakin kehilangan arah.

Nizar yang pernah berdegil terus mempertahankan rumah kediaman dan kenderaan rasmi yang dibelinya, akhirnya menyedari bahawa ia adalah suatu kesilapan besar. Setelah beberapa bulan berdegil tidak mahu pindah, Dr. Zambry tetap membenarkannya, akhirnya Nizar mengambil keputusan berpindah ke sebuah rumah yang lain. Tetapi, Toyota Camry yang dibeli sebagai kenderaan rasmi walaupun tidak diserahkan , sudah menerima tamparan hebat apabila terlibat dalam kemalangan ketika Nizar sendiri memandunya untuk ke sebuah klinik gigi.

Walaupun pemimpin yang tidak mendapat sokongan majority it uterus berkokok sumbang, nampaknya tidak mematahkan semangat Dr. Zambry. Sebaik sahaja menerima keputusan tersebut, Dr. Zambry bersama rakyat bersyukur dan berjanji akan terus mendekati rakyat dan berkhidmat dengan penuh mesra.

Kelompok penentang akan terus mencari jalan kerana bagi mereka, selagi DUN Perak tidak dibubarkan dan diadakan pilihan raya negeri, selagi itulah mereka akan melontarkan dakwaan dan tuduhan. Walau apa pun, BN tidak seharusnya mengikut rentak mereka kerana keadaan ekonomi negara masih belum mengizinkan lebih banyak wang dibelanjakan bagi tujuan tersebut. Kuasa politik di Perak masih kuat dan BN akan menjaidi bertambah kuat dengan kemenangan tersebut walaupun mahkamah memberikan ruang kepada Nizar untuk “menyemak semula keputusan tersebut.”

Rasanya politik Perak tidak akan menghadapi suasana yang lebih celaru berbanding ketika kuasa diserahkan kepada BN. BN boleh mengadakan siding DUN dengan lancer, dan jika diganggu lagi oleh kelompok tesebut, gangguan tersebut hanya sekadar ingin menguji sejauh manakah pengaruh mereka masih ada dan berbaki.

Semakin ramai ahli PKR kembali ke pangkuan UMNO. Semakin ramai ahli DAP mengambil sikap “tunggu dan lihat” apakah berikutnya parti itu tetap memberikan kesan setelah DAP secara keseluruhannya berhadapan dengan pelbagai masalah. Hubungannya dengan PAS dilihat seamkin retak apabila DAP dengan lantang tidak mahu menerima perjuangan asal dan hakikat akan lahirnya sebuah negara Islam bernama Malaysia.

Pemimpin PAS mula menyedari kedudukan mereka akan hancur jika terus berdampingan dengan DAP. Pengalaman sejarah banyak memberikan pengjaran bahawa, PAS pernah kecundang apabila berusaha “melenturkan prinsip perjuangan Islam” dan bersengkongkol dengan DAP. Meskipun, DAP pernah mendakwa, PAS pernah diselamatkan oleh parti itu suatu ketika dahulu. Sebenarnya, PAS mampu berhadapan dan bertanding bersendirian tanpa perlu bergantung kepada DAP.

DAP sebagai salah satu parti yang awal, mempunyai banyak pengalaman sebagai pembangkang, sebenarnya masih mengamalkan budaya membangkang walaupun sudah menjadi pentadbir negeri. Sikapnya yang cuba melontarkan kesalahan kepada orang lain, tidak mahu mendengar, susah menerima cadangan oirang lain, semakin bercelaru hubungannya dengan PKR di Pulau Pinang.

Walaupun ada sekelompok UMNO konservatif yang melihat Perdana Menteri telah mendapat suntikan moral, tetapi masih belum cukup untuk mengubati luka kerana disimbah keputusan mahkamah membenarkan bukan Islam menterjemahkan God kepada Allah. Peristiwa ini memangnya bakal menjadi “silent protest”, jika keputusan rayuan nanti terus mengekalkan keputusan yang telah diberikan kepada Herald- The Catholic Weekly, akhir tahun lalu.

Atas momokan segelintir mereka yang kecewa, turut menuduh bahawa media perdana telah melakukan serangan ke atas Pakatan Rakyat. Sebenarnya, serang menyerang dalam media bukan sahaja dilakukan oleh media perdana, malah media yang dipunyai oleh parti pembangkang sudah lama menyerangnya. Cuma yang berbeza ialah media perdana lebih menumpukan perhatian kepada parti-parti kerajaan, tetapi media yang lain, tetap mendakwa seolah-olah “kerajaan tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan pun untuk rakyat.” Itu tidak mereka akui, kerana mereka sedar tujuan utamanya untuk menjatuhkan kerajaan dan memperoleh kuasa.

Dalam hal ini, terpulanglah kepada pengundi untuk menentukannya. Jika sebelum pilihan raya umum ke-12 berlangsung, media baru banyak memperkatakan sesuatu yang menguntungkan pembangkang, kini semakin banyak media baru menyindir dan mempersoalkan pembangkang. Apakah ini bukannya satu petunjuk bahawa media baru sudah mula membuat penilaian berdasarkan kacamata objektif, dan bukannya sebelah mata?

Tidakkah ini membuktikan bahawa semakin luas pembohongan ingin dimomokkan, maka semakin terbongkarlah rahsia sebenar ketidakharmonian hubungan antara pengemudi Kapal Pakatan Rakyat yang semakin bocor dan tidak mampu mengharungi perubahan cuaca.
Bukankah itu pentandanya, hubungan atas dasar dendam tidak akan bertahan lama kerana perjuangan yang kekal sepanjang zaman ialah perjuangan yang jelas, bermatlamat untuk semua berdasarkan prinsip keadilan dan kesaksamaan, dan bukannya “sama rata, sama rasa.” Prinsip “sama rata, sama rasa” adalah prinisip using yang dikumandangkan oleh fahaman Karl Marx, dan kini semakin hancur dan diketepikan.

Mendung politik Perak semakin meninggalkan ufuk, dan bermulalah sebuah ratib yang tidak akan berkesudahan oleh mereka yang tidak pernah puas dan memberontak, kerana anarkisme memanglah sisi yang sentiasa hidup sepanjang sejarah.