Wednesday, June 30, 2010

SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA: REFORMASI, REVOLUSI ATAU TRANSFORMASI?

Sekurang-kurangnya dalam tempoh beberapa minggu ini kita seakan terjerat dengan jargon besar yang berkaitan dengan sistem pendidikan negara. Semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), Perdana Menteri dalam merungkaikan pembangunan modal insan bertaraf dunia memerihalkan bagaimana hendak merombak sistem pendidikan negara agar pelajar yang keluar daripada sistem persekolahan akan dilihat signifikan dan kebolehpasaran.

Maka dalam usaha untuk merombak sistem pendidikan itulah terlahir pula dua jargon lain yang masing-masing melihat kepada bentuk perubahan yang diperlukan. Bagi mereka yang berpegang kepada prinsip reformasi telah mencadangkan agar dilakukan terlebih dahulu reformasi pendidikan sebelum melaksanakan cadangan memansuhkan dua peperiksaan berpusat pada peringkat awal, iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Menurut pandangan tersebut, reformasi pendidikan dilihat sebagai “halatuju dan pemerkasaan pendidikan negara” agar “sistem pendidikan negara mampu mengangkat potensi pelajar yang lebih berkeyakinan, berakhlak tinggi dan mampu bersaing di peringkat global.” (Kenyataan Media Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor seperti tersiar dalam Merdeka Review, 23 Jun 2010).

Sebenarnya kenyataan reformasi pendidikan ini bukanlah sesuatu yang baru dan tidak terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara. Kenyataan yang dibuat oleh sebuah sayap parti pembangkang lebih kuah dari sudunya, kerana tidak menyemak dengan jelas apa yang telah terkandung sebelumnya dan reformasi pendidikan yang dicadangkan itu sebenarnya bukanlah reformasi dalam ertikata sebenarnya. Ia lebih berbentuk perulangan dan penegasan kembali apa yang sedia terkandung dalam sistem pendidikan negara.

Jargon ketiga ialah apabila menilai pemansuhan UPSR dan PMR “merupakan satu revolusi dalam sistem pendidikan negara kita. Ia akan mengubah banyak perkara, dari sudut akademik, ekonomi dan sosial secara drastik dan menyeluruh.” Mungkin kita akan menjadi sedikit takut apabila perkataan revolusi disebut, kerana ia seringkali disusuli dengan perubahan secara cepat dan pantas.(Azmy Mohamed, Sistem peperiksaan perlu dirombak, Utusan Malaysia, 29 Jun 2010)

Ada juga orang membuat sindiran, revolusi di Malaysia tidak akan menghasilkan apa-apa kerana pengalaman penggunaan perkataan tersebut tidaklah membawa perubahan seperti yang diharapkan. Selepas menghadapi ketegangan kaum pada tahun 1969, kita mendengar perkataan revolusi mental, yang tujuannya jelas bagi mengubah perspektif pemikiran dan gaya berfikir orang Melayu bagi mencapai kecemerlangan atau setanding dengan lain-lain kumpulan etnik, kalaupun tidak dapat melonjak melebihi kedudukan mereka.

Dari revolusi mental itu berkembang kepada beberapa perubahan dasar yang turut merevolusikan sistem ekonomi orang Melayu, terutamanya dalam bidang pertanian dan sektor tradisi yang lain. Dari hasrat untuk merevolusikan sistem pertanian, maka timbul pula istilah reformasi pertanian memandangkan isu pemilikan tanah yang terhad dan tidak ekonomik bagi mengusahakan pertanian secara komersial.

Timbul juga usaha menubuhkan sistem pemasaran berpusat bagi mengelakkan eksploitasi sistem penaung-pelanggan atau monopoli-monopsoni. Hanya peniaga atau pemborong akan menentukan harga hasil pertanian, manakala petani akan terus dibelenggu kemiskinan kerana hasil yang diperoleh adalah kecil manakala orang tengah semakin kaya.

Cadangan pemansuhan UPSR dan PMR sebenarnya lebih merupakan satu daripada beberapa transformasi sistem pendidikan negara yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Jika kedua bentuk peperiksaan awam itu benar-benar dimansuhkan, tidak pula bermakna sistem pendidikan negara akan ketinggalan dan berundur kepada tahap yang lebih gelap.

Transformasi yang ingin dilaksanakan itu adalah atas kesedaran bahawa penekanan pendidikan tidak lagi perlu mengorientasikan kepada peperiksaan. Apabila keputusan peperiksaan terlalu menjadi sandaran, maka lahirlah pula persekitaran yang saling tertekan: ibu bapa mengharapkan anak-anak akan mendapat keputusan cemerlang, guru-guru terhimpit dengan tekanan menghabiskan kurikulum dalam masa relatif singkat, sekolah dan pengurusan sekolah semakin tertekan untuk memperoleh lebih ramai pelajar mendapat keputusan tertinggi, PIBG terus mengenakan pelbagai bayaran tambahan bagi membolehkan lebih banyak kelas tambahan dilaksanakan oleh pihak sekolah, penyedia khidmat sokongan (penerbit buku kerja dan buku tambahan) sentiasa kreatif memasuki sekolah mempromosinya, syarikat yang terbabit dengan pembelajaran online semakin banyak melobi sokongan dan guru-guru menjadi semakin terhimpit masanya kerana turut memperoleh pendapatan tambahan (penggubal soalan, pemeriksan kertas jawapan, menguruskan peperiksaan, mengajar kelas tiusyen dan mengendalikan kelas-kelas tiusyen).

Tentunya sebelum cadangan pemansuhan UPSR dan PMR dikemukakan pada awal bulan Jun lalu, masyarakat sudah meneliti satu lagi perubahan yang bakal dilaksanakan apabila menetapkan dasar 1Murid 1Sukan. Dengan cadangan tersebut, jika pemansuhan peperiksaan dilaksanakan, bererti kejayaan dasar 1Murid 1Sukan akan menjadi kenyataan. Ini kerana, sejak cadangan itu diutarakan rata-rata masyarakat khuatir apabila pelajar aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan kurang menyerlah dalam bidang akademik.

Ibu bapa sanggup menyediakan belanja besar bagi melengkapkan pencapaian akademik anak-anak dengan mengabaikan sebahagian lagi keperluan, iaitu membangunkan kecergasan melalui aktiviti sukan. Dengan menetapkan setiap orang sekurang-kurangnya mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, budaya itu dijangka mampu dikembangkan tanpa memikirkan ketinggalan dari aspek akademik.

Hubungan antara kecergasan dengan akademik adalah saling melengkapi. Umumnya amat percaya dan yakin melalui aktiviti sukan akan menjadikan seseorang itu sihat dan cergas. Kanak-kanak perlu membesar dalam setiap aspek, termasuk sukan kerana sukan turut menyemai semangat berpasukan dan ketekalan terhadap disiplin. Jadi dengan bersukan, kanak-kanak mempunyai potensi besar membangunkan kemahiran sosial dan membentuk sahsiah diri.

Terlalu menumpukan pencapaian akademik menyebabkan perkembangan kanak-kanak menjadi tidak seimbang. Maka, kerana itulah hasilnya kita dapat semakin ramai pelajar yang cemerlang dapat dihasilkan oleh sistem pendidikan setiap tahun, tetapi semakin bertompok masalah sosial. Mereka membesar dengan persekitaran akademik yang ketat, dan tidak berpeluang membesar dengan kemahiran sosial dan sahsiah yang juga penting dalam kehidupan seorang manusia.

Perkembangan sahsiah sedemikianlah agaknya yang sedang dirungkaikan kembali ke dalam sistem pendidikan negara. Meskipun sudah terungkap dalam falsafah pendidikan kebangsaan, namun atas desakan memenuhi tuntutan peperiksaan beberapa unsur sosial dan pembinaan sahsiah terpaksa diketepikan. Guru menjadi seseorang yang hanya mengajar keperluan akademik, tidak lagi bersifat pembimbing dan perhubungan menolong.

Metod pengajaran guru menjadi kaku dan kurang kreatif. Guru tidak dapat menterjemahkan kurikulum dalam bentuk pengajaran yang berkesan, kerana tertekan dengan tempoh masa menghabiskannya. Kaedah persediaan mengajar juga tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan inovatif, walaupun pada asasnya perlukan perbincangan dan muafakat dengan panitia matapelajaran. Guru-guru akan mempunyai lebih masa untuk membaiki metod pengajaran dan pembelajaran, kerana matlamat menghabiskan sukatan bagi memenuhi tuntutan peperiksaan tidak lagi menjadi faktor penghambat.

Dengan pemansuhan kedua bentuk peperiksaan berpusat ini akan menjadikan para pelajar dapat menerima masukan nilai-nilai penting dan amat diperlukan dalam hidup mereka. Para pelajar akan lebih menghayati dan memahami lebih mendalam setiap nilai yang diajar dalam setiap matapelajaran termasuk pendidikan moral, agama ataupun ketatanegaraan. Nilai-nilai moral, ketatanegaraan dan sivik sering diketepikan kerana nilai-nilai tersebut tidak dilihat sebagai keperluan yang besar dalam penilaian akademik.

Pemansuhan dua peperiksaan tersebut juga dapat memberikan ruang kepada guru untuk membuat penilaian ke atas seseorang pelaja berdasarkan minat dan bakat. Guru dapat membimbing para pelajaran bagaimana untuk menggilap setiap potensi yang ada kerana selepas menduduki peperiksaan di akhir 11 atau 12 tahun persekolahan, para pelajar lebih memahami arah mana yang bakal mereka ikuti.

Jika mempunyai kelebihan akademik, pelajar berkenaan boleh terus melanjutkan pelajaran ke aliran akademik. Jika mempunyai keputusan baik dalam bidang teknikal, peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal lebih jelas. Bagi yang mempunyai kemampuan akademik yang sederhana mereka bolah melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional. Pekerjaan dalam bidang vokasional amat luas dan semakin berkembang kerana itulah penekanan telah dibuat oleh Kementerian Pelajaran untuk memperkasakan pendidikan teknik dan vokasional.

Bagi mereka yang menghadapi kesukaran dalam bidang akademik, peluang untuk meneruskan pendidikan dalam bidang kemahiran menjadi pilihan utama. Mereka mungkin mempunyai kebolehan dan daya kreativiti tertentu, maka latihan dalam bidang kemahiran akan menjadikan potensi diri tidak terkandas dengan desakan terhadap akademik.
Sebenarnya kaedah ini telah lama dipraktikkan oleh negara-negara maju. Sweeden telah menghapuskan sistem peperiksaan pada peringkat rendah dan menengah. Peperiksaan awam hanya diadakan setelah seseorang pelajar mengalami tempoh pendidikan selama 11 atau 12 tahun. Apa yang lebih penting kepada negara tersebut ialah dapat menyediakan lebih banyak tenaga kerja dalam bidang teknikal, vokasional dan kemahiran.

Korea Selatan turut mentransformasikan sistem pendidikan mereka sehingga dalam masa yang singkat mampu melonjak sebagai sebuah negara kuasa ekonomi yang penting. Selepas trauma oleh kesan perang, Korea Selatan menjalin kerjasama erat dengan industri dan syarikat-syarikat besar bagi melatih para pelajar dengan kemahiran industri. Peringkat permulaan sekolah, tidak ada ujian berpusat dilaksanakan. Ujian berpusat hanya diadakan para peringkat menengah, iaitu setelah melepasi tahap persekolahan selama 11 tahun.

Jerman telah lama menggunakan model pendidikan yang sejagat. Peperiksaan hanya diadakan peringkat sekolah, manakala para pelajar yang akan menyambung pendidikan tinggi peringkat akademik, dikehendaki melalui satu ujian khusus kemasukannya. Setelah lulus, mereka akan menyambung pendidikan dalam bidang akademik. Bagi mereka yang berminat dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional, mereka boleh mengikutinya, kerana rata-ratanya tidak dikenakan sebarang yuran persekolahan.
Pendidikan yang dilaksanakan berdasarkan potensi setiap individu itulah yang mampu melonjakkan tahap pembangunan sesebuah negara. Pendidikan yang berorientasikan peperiksaan, setiap tahun bukan sahaja berupaya melahirkan pelajar cemerlang akademik, turut juga menjadikan mereka yang kurang pencapaian akademik terkandas peluang. Jumlah mereka yang kurang cemerlang akademik inilah sebahagiannya dikaitkan dengan masalah sosial, kerana tidak mempunyai peluang dan ruang untuk menggilap potensi, kecualilah menjadi pelesit jalanan, menganggotai kumpulan samseng dan sebagainya.

Ukuran kelulusan untuk mendapatkan pekerjaan semakin besar bersandarkan keputusan akademik kerana masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang wajar. Bagi mereka yang kurang cemerlang, peluang pendidikan adalah kecil dan terhad kerana seluruh sistem pendidikan memberikan tumpuan kepada nilai akademik. Ini dapat kita perhatikan apabila sekolah-sekolah vokasional ditukarkan kepada sekolah-sekolah akademik atas alasan, menguruskan sekolah vokasional memerlukan kos yang tinggi berbanding sekolah teknik.

Sekolah-sekolah teknik masih mengekalkan peratusan yang besar dalam aspek akademik berbanding sekolah vokasional dan kemahiran. Latihan kemahiran menjadi sesuatu yang kurang menarik, kerana persekitaran sekolah yang jauh dan tanggapan masyarakat yang skeptic. Masyarakat memandang kemahiran menjahit pakaian, hiasan dan sebagainya sebagai sesuatu yang tidak lagi komersial berbanding sebelum pencapaian akademik menjadi fokus.

3 comments:

  1. Saleha mana ni? Saleha Brahim ka..?

    ReplyDelete
  2. Emm..berapi artikel ni...tapi isi nya sampah...

    ReplyDelete
  3. Anda yang mengatakan sampah ni sebenarnya otaknya kosong.... Jangan pandai cakap tanpa nama.

    ReplyDelete