Wednesday, February 10, 2010

Beraraklah Mendung di Langit Politik Perak

Keputusan lima panel lima hakim sebulat suara mengisytiharkan bahawa Dr. Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah pada 9 Februari lalu adalah berkat doa sebahagian rakyat yang cintakan keamanan dan kedamaian. Meskipun kelihatan di sekitar Istana Kehakiman Putrajaya sekelompok penyokong bekas Menteri Besar berkumpul, bersembahyang hajat dan berdoa, nampaknya Allah SWT lebih merestui keikhlasan BN untuk meneruskan pentadbiran Perak, sekurang-kurangnya beberapa tahun sebelum diuji sepenuhnya dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Meskipun ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, memangnya itulah tabiat mereka yang kecewa akan membuat pelbagai andaian bagi menggambar atau menutupi kekecewaannya. Mereka tentunya amat mengharapkan keputusan bekas Menteri Besar selama 11 bulan itu kembali berkuasa, kerana hanyalah bersandarkan kepada keputusan Mahkamah Rayuan sebelumnya “menerima rayuan” setelah dikatakan telah “diketepikan dan dirampas” secara tidak berperlembagaan.

Pertelingkahan itu bermula apabila dua orang wakil rakyat PKR dan seorang wakil rakyat DAP tidak lagi menyokong kepimpinan kerajaan gabungan Perak yang diterajui oleh PAS tetapi diurustadbirkan oleh DAP, dan memberikan sokongan kepada BN. Perubahan sokongan itu menyebabkan “parti yang membentuk kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa yang cukup, iaitu majoriti.” Bila kedudukan itu berubah, maka BN menuntut supaya berlaku perubahan kepimpinan kerana BN sudah berada dalam suasana majoriti.

Tanpa sokongan tiga wakil rakyat yang “mengisytiharkan keluar parti masing-masing”, BN dan gabungan PAS-DAP-PKR di Perak masing-masing mempunyai 28. Apabila tiga wakil rakyat menunjukkan sokongan kepada BN, secara lojiknya BN mempunyai kuasa majoriti. Keadaan ini menyebabkan gabungan PAS-DAP-PKR tidak berpuas hati, lantas membuat pelbagai tindakan termasuk menggantungkan wakil rakyat tersebut, melancarkan provokasi “BN rampas kerajaan yang sah”, “DUN Perak perlu dibubarkan dan serahkan kepada kuasa rakyat”, sehinggakan politik negeri itu dilihat tidak stabil.

Hampir setahun, akhirnya semalam kemelut tersebut selesai apabila lima panel hakim sebulat suara mengesahkan tindakan yang diambil oleh Paduka Sultan Perak berdasarkan kuasa baginda menurut Undang-undang Tubuh adalah sah. Setelah keputusan tersebut diketahui, ramailah pihak yang tidak berpuashati menganggapnya sesuatu yang tidak adil dan mendakwa sistem kehakiman negara telah dipergunakan oleh pihak tertentu.
Penyokong bekas Menteri Besar beranggapan bahawa keputusan itu adalah selari dengan keputusan membenarkan membuat rayuan sebelum ini. Apabila berlaku di sebaliknya, maka seorang penulis yang saya anggap penyokong kuat gabungan tersebut menilai betapa bobroknya sistem kehakiman negara kita (Josh Hong , penganalisis politik dan kolumnis Merdeka review.)

Menurut penulis tersebut: “Pada awalnya, saya menjangkakan bahawa kemungkinan wujudnya senario "sebulat suara" agak rendah, memandangkan lima orang hakim ini perlu mempertimbangkan kesan yang menyusul daripada penghakiman tersebut. Dengan kata lain, walau mereka ingin memihak kepada UMNO sekalipun, mereka juga perlu mengambil kira prinsip Raja Berperlembagaan dan kesan sejarahnya.

Tanpa diduga, Malaysia sememangnya "boleh". Hakim telah mengangguk kepada campur tangan pemerintah (raja) , mengakibatkan sistem perlembagaan negara kita menjadi "contoh negatif" di kalangan negara Komanwel selepas ini.”

Itulah kesimpulan yang dibuat oleh Josh Hong yang cuba menidakkan prinsip kedudukan raja-raja Melayu dalam sistem perundangan negara. Beliau mungkin tidak memahami bahawa, dalam peruntukan undang-undang, raja-raja mempunyai budi bicaranya dalam menentukan sesuatu perkara yang berhubung kait dengan pentadbiran negeri, kerana raja itu dilihat sebagai satu simbol kedaulatan dan keabsahan kuasa.

Dalam hal itulah Paduka Sultan Perak membuat keputusan, iaitu berdasarkan kuasa majoriti dan tidak membubarkan DUN Perak sebagaimana digesa, didesak dan dijaja ke sekeliling daerah oleh parti-parti gabungan tersebut. Beliau mesti faham, baginda mempunyai kuasa untuk memutuskan atau membuat sesuatu pertimbangan walaupun tidak selaras dengan nasihat yang diberikan oleh pentadbir negeri. Dalam hal ini, usaha Nizar untuk membubarkan DUN tanpa terlebih dahulu merujuk atau mendapat perkenaan Paduka Sultan Perak adalah sesuatu yang aneh dan ganjil. Nizar telah bertindak bersendirian, dan kerana itu beliau sanggup melancarka strategi lain agar berupaya menggugah kepimpinan BN.

BN tidak mudah goyah walaupun pelbagai tohmahan dilakukan sepanjang kempen pilihan raya kecil Bukti Gantang selepas beberapa hari krisis itu berlaku, kepimpinan Dr. Zambry yang mendekati rakyat, berupaya memulihkan keyakinan terhadap BN. Hasil susun atur program dan mengambil pendekatan mesra rakyat, parti gabungan itu semakin kehilangan arah.

Nizar yang pernah berdegil terus mempertahankan rumah kediaman dan kenderaan rasmi yang dibelinya, akhirnya menyedari bahawa ia adalah suatu kesilapan besar. Setelah beberapa bulan berdegil tidak mahu pindah, Dr. Zambry tetap membenarkannya, akhirnya Nizar mengambil keputusan berpindah ke sebuah rumah yang lain. Tetapi, Toyota Camry yang dibeli sebagai kenderaan rasmi walaupun tidak diserahkan , sudah menerima tamparan hebat apabila terlibat dalam kemalangan ketika Nizar sendiri memandunya untuk ke sebuah klinik gigi.

Walaupun pemimpin yang tidak mendapat sokongan majority it uterus berkokok sumbang, nampaknya tidak mematahkan semangat Dr. Zambry. Sebaik sahaja menerima keputusan tersebut, Dr. Zambry bersama rakyat bersyukur dan berjanji akan terus mendekati rakyat dan berkhidmat dengan penuh mesra.

Kelompok penentang akan terus mencari jalan kerana bagi mereka, selagi DUN Perak tidak dibubarkan dan diadakan pilihan raya negeri, selagi itulah mereka akan melontarkan dakwaan dan tuduhan. Walau apa pun, BN tidak seharusnya mengikut rentak mereka kerana keadaan ekonomi negara masih belum mengizinkan lebih banyak wang dibelanjakan bagi tujuan tersebut. Kuasa politik di Perak masih kuat dan BN akan menjaidi bertambah kuat dengan kemenangan tersebut walaupun mahkamah memberikan ruang kepada Nizar untuk “menyemak semula keputusan tersebut.”

Rasanya politik Perak tidak akan menghadapi suasana yang lebih celaru berbanding ketika kuasa diserahkan kepada BN. BN boleh mengadakan siding DUN dengan lancer, dan jika diganggu lagi oleh kelompok tesebut, gangguan tersebut hanya sekadar ingin menguji sejauh manakah pengaruh mereka masih ada dan berbaki.

Semakin ramai ahli PKR kembali ke pangkuan UMNO. Semakin ramai ahli DAP mengambil sikap “tunggu dan lihat” apakah berikutnya parti itu tetap memberikan kesan setelah DAP secara keseluruhannya berhadapan dengan pelbagai masalah. Hubungannya dengan PAS dilihat seamkin retak apabila DAP dengan lantang tidak mahu menerima perjuangan asal dan hakikat akan lahirnya sebuah negara Islam bernama Malaysia.

Pemimpin PAS mula menyedari kedudukan mereka akan hancur jika terus berdampingan dengan DAP. Pengalaman sejarah banyak memberikan pengjaran bahawa, PAS pernah kecundang apabila berusaha “melenturkan prinsip perjuangan Islam” dan bersengkongkol dengan DAP. Meskipun, DAP pernah mendakwa, PAS pernah diselamatkan oleh parti itu suatu ketika dahulu. Sebenarnya, PAS mampu berhadapan dan bertanding bersendirian tanpa perlu bergantung kepada DAP.

DAP sebagai salah satu parti yang awal, mempunyai banyak pengalaman sebagai pembangkang, sebenarnya masih mengamalkan budaya membangkang walaupun sudah menjadi pentadbir negeri. Sikapnya yang cuba melontarkan kesalahan kepada orang lain, tidak mahu mendengar, susah menerima cadangan oirang lain, semakin bercelaru hubungannya dengan PKR di Pulau Pinang.

Walaupun ada sekelompok UMNO konservatif yang melihat Perdana Menteri telah mendapat suntikan moral, tetapi masih belum cukup untuk mengubati luka kerana disimbah keputusan mahkamah membenarkan bukan Islam menterjemahkan God kepada Allah. Peristiwa ini memangnya bakal menjadi “silent protest”, jika keputusan rayuan nanti terus mengekalkan keputusan yang telah diberikan kepada Herald- The Catholic Weekly, akhir tahun lalu.

Atas momokan segelintir mereka yang kecewa, turut menuduh bahawa media perdana telah melakukan serangan ke atas Pakatan Rakyat. Sebenarnya, serang menyerang dalam media bukan sahaja dilakukan oleh media perdana, malah media yang dipunyai oleh parti pembangkang sudah lama menyerangnya. Cuma yang berbeza ialah media perdana lebih menumpukan perhatian kepada parti-parti kerajaan, tetapi media yang lain, tetap mendakwa seolah-olah “kerajaan tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan pun untuk rakyat.” Itu tidak mereka akui, kerana mereka sedar tujuan utamanya untuk menjatuhkan kerajaan dan memperoleh kuasa.

Dalam hal ini, terpulanglah kepada pengundi untuk menentukannya. Jika sebelum pilihan raya umum ke-12 berlangsung, media baru banyak memperkatakan sesuatu yang menguntungkan pembangkang, kini semakin banyak media baru menyindir dan mempersoalkan pembangkang. Apakah ini bukannya satu petunjuk bahawa media baru sudah mula membuat penilaian berdasarkan kacamata objektif, dan bukannya sebelah mata?

Tidakkah ini membuktikan bahawa semakin luas pembohongan ingin dimomokkan, maka semakin terbongkarlah rahsia sebenar ketidakharmonian hubungan antara pengemudi Kapal Pakatan Rakyat yang semakin bocor dan tidak mampu mengharungi perubahan cuaca.
Bukankah itu pentandanya, hubungan atas dasar dendam tidak akan bertahan lama kerana perjuangan yang kekal sepanjang zaman ialah perjuangan yang jelas, bermatlamat untuk semua berdasarkan prinsip keadilan dan kesaksamaan, dan bukannya “sama rata, sama rasa.” Prinsip “sama rata, sama rasa” adalah prinisip using yang dikumandangkan oleh fahaman Karl Marx, dan kini semakin hancur dan diketepikan.

Mendung politik Perak semakin meninggalkan ufuk, dan bermulalah sebuah ratib yang tidak akan berkesudahan oleh mereka yang tidak pernah puas dan memberontak, kerana anarkisme memanglah sisi yang sentiasa hidup sepanjang sejarah.

No comments:

Post a Comment