Tuesday, March 2, 2010

Heboh, hukum sebat pesalah syarie

Isu sebatan Kartika Sari Dewi muncul kembali setelah tiga wanita dan teman lelaki masing-masing telah disebat atas kesalahan berzina di Penjara Wanita, Kajang baru-baru ini. Kartika yang disabitkan kesalahan meminum arak telah dihukum sebat, tetapi pelaksanaannya masih tertangguh. Malang buat Kartika, hukuman sebat belum dilaksanakan, tetapi suaminya menjatuhkan talak.

Yang menjadi lebih kejam ialah apabila orang Islam sendiri memperlekehkan hukum tersebut, kerana fahamannya sudah lama terserap liberal dan rasionalisme barat. Kita tidak tahu apakah yang telah berselirat dalam pemikiran mereka, tetapi yang jelas ialah apabila mengatakan bahawa hukuman tersebut menghina wanita.

Saya teringat kepada kata-kata seorang bukan Islam, walaupun teguran beliau merupakan sesuatu yang mudah tapi penuh berkesan. Kalau kita menerima sesuatu, maka harus menerima sistemnya. Maknanya, kalau kita membelikan sebuah televisyen baru, maka kita harus menerima bersama-samanya manualnya, termasuk kaedah fine-tuning, pengesahan warna, cara menyimpan data, dan sebagainya. Begitu juga dengan Islam, apabila kita menerimanya sebagai pegangan hidup kita, maka kita perlu memahami peraturan dan hukum-hukumnya kerana itulah ciri-ciri penting yang membezakan kita dengan penganut agama lain.

Maka tidak ada sebab kita hendak menolak hukuman tersebut. Hukum tersebut telah termaktub dalam ajaran Islam dan pernah dilaksanakan semasa Nabi Muhamad saw lagi. Sebelum kedatangan Inggeris, atau penjajah hukum itu pernah menjadi penunjang kepada masyarakat tradisi yang sudah pun mengakui dirinya sebagai Islam.

Setelah kemasukan penjajah, menerima sistem pendidikan bawaan mereka, maka kita menjadi semakin lupa kepada tradisi kita. Apatah lagi apabila kita akhirnya menyerap sebegitu banyak rasionalisme mereka yang terlalu berpihak kepada konsep dan ideologi kebebasan. Maka kita sedikit demi sedikit mengendurkan peraturan Islam, kita pun menjadi semakin gelagab apabila peraturan sedemikian cuba ditegakkan kembali.

Saya juga menjadi semakin kelitu apabila seorang pemimpin PAS bernama Dr. Zulkifli Ahmad mengatakan, PAS tidak akan terperangkap dengan strategi UMNO dalam isu sebat. Nampaknya, Dr. Zulkifli sendiri cuba menelan ludah dan kahaknya sendiri kerana PAS pernah beria-iakan untuk melaksanakan hukum Islam, tiba-tiba masuk dalam perangkap yang sengaja dilukahkan oleh bukan Islam.

PAS ibarat cacing kepanasan. Setelah sekian lama menuduh UMNO tidak melaksanakan hukum Islam, akhirnya ternganga macam buaya lapar, tapi tanpa gigi setelah hukuman tersebut dilaksanakan setelah peraturan syariah diluluskan sekian lama. PAS secara rasmi belum membuat bantahan, kerana sebenarnya PAS sendiri takut dengan apa yang berlaku setelah hukum hududnya tidak berjaya dilaksanakan.

Jadi, tiadalah sebab nak takutkan dengan orang lain. Maka disinilah seharusnya setiap orang Islam bersama-sama mencari jalan bagaimana nak memahamkan bukan Islam mengenai hukuman tersebut, kerana kesalahan yang dilakukan itu termasuk dalam dosa besar. Islam mengharamkan arak, kerana arak akan menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawabnya dan cenderung melakukan sesuatu perkara yang buruk termasuk jenayah.

Zina, dalam semua agama samawi menolaknya. Perbuatan tersebut sebenarnya lebih hina daripada hukum Islam sendiri. Hukum sebatan sekadar memberikan pengajaran dan ingatan, bahawa melakukan hubungan sah tanpa ikatan perkahwinan yang sah adalah satu pencerobohan kemanusiaan yang dahsyat, walaupun atas dasar sukarela. Ia boleh kita umpamakan seperti menemui sesuatu barang berharga.

Walaupun barangan yang dijumpainya tidak diketahui pemiliknya, secara moralnya seorang Islam tidak dibenarkan mengambil kerana itu bukan haknya. Maka barangan tersebut perlu diserahkan kepada pihak tertentu yang diberikan tanggungjawab menjaga amanah, dan bila ada pihak yang menuntutnya secara sah, maka penjaga amanah tersebut wajib memulangkannya.

Dalam hal ini, jika seseorang memikirkan keuntungan, tentunya akan mengambil barangan tersebut tanpa berhasrat untuk memulangkan balik kepada pemiliknya. Begitu juga denga analogi zina, walaupun berlaku dalam suasana suka sama suka, ia tetap dianggap berdosa dan salah kerana antara pelakunya tidak mempunyai hak yang sah. Ia tetap dianggap sebagai tidak sah alias ceroboh, maka telah melakukan kesalahan.

Inilah yang berbeza dengan masyarakat Barat. Tetapi, yang kita hairan ialah apabila membuat penilaian seseorang, akan tetap dicari kelemahan berhubung dengan seks tanpa nikah. Lihat sahaja kes Tiger Woods, Ashley Cole, ataupun Monica Lewinsky. Kerana hubungan luar nikah itulah akhirnya menyebabkan masyarakat barat tetap memandang mereka sebagai manusia yang rendah moral.

Jadi, tidak sebab kenapa kita nak menolak satu hukuman yang bertujuan untuk menjadikannya sebagai pengajaran agar ianya dapat dibendung, dicegah dan seterusnya dikembalikan kesucian hubungan antara lelaki dan perempuan secara sah. Mereka mungkin tidak sedar, di Malaysia sekarang sudah ada telahan data bahawa setiap 17 minit dan 17 saat akan lahir seorang bayi luar nikah. Bayangkan, apa akan jadi dengan anak-anak yang tidak minta dilahirkan sedimikian itu akan membesar apabila ada yang mengatakan "anak haram."?

Itu hasilnya dari hubungan haram. Bagaimana pula dengan hubungan yang berlandaskan wang, yakni pelacuran. Undang-undang sivil yang ada sekarang tidak dapat menjentik rasa takut mereka, maka sekurang-kurangnya peraturan Syariah itu dapat mengekang mereka yang beragama Islam dari terus terjerumus. Tak payah le nak meniru-niru bukan Islam, kerana mereka tetap dengan peraturannya. Mereka akan melihat perspektif mereka sendiri berdasarkan rasionalisme sendiri walaupun agama mereka turut melarang zina, minum arak, judi, mencuri, berbohong dan sebagainya. Mereka akan tetap lakukan, kerana itu adalah budaya mereka yang disanjung ialah wang, kerana wang itu adalah kuasa. Apa pun mesti ada wang, kalau tidak wang mati pun susah.

Tapi, bagi orang Islam wang bukanlah segala-galanya. Isnyaalah kalau tidak berwang pun mereka akan tetap dikafan dan dikuburkan apabila mati. Belum ada lagi kedengaran jenazah orang Islam dicampakkan ke tong sampah kerana tidak mampu diuruskan pengkebumiannya, kecualilah mereka yang menjadi sasaran penjenayah.

Jadi, orang Islam yang menentang hukum Islam haruslah sedar siapa dia sebenarnya? Tak payah memakai topeng rasionalisme undang-undang barat kerana mereka sebenarnya sedang menuju kehancuran sosial dan budaya moral. Hakisan moral mereka setiap hari semakin nipis, yang tinggal hanyalah kemegahan materialisme, spiritual sudah lama larut dalam keserakahan ciptaan sendiri.

No comments:

Post a Comment