Tuesday, June 16, 2009

PEMUAFAKATAN FITRAH KEHIDUPAN MASYARAKAT MADANI (I)

Terdengar banyak sangat komen mengenai 1Malaysia, maka Tokai kadangkala tertanya-tanya juga apa sebabnya mereka mengeluarkan pelbagai komen negatif mengenainya.
Ada yang berkata, konsep 1Malaysia masih belum jelas dan kerana itulah banyak yang cuba menolak mauduknya sehingga terlalu negatif sekali. Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri sewaktu berucap di Sidang MAPA ke-12 tempoh hari bahawa ia memangnya berbentuk strategic ambigiuty, kekaburan strategi.
Maksudnya, Perdana Menteri memberikan ruang dan peluang kepada setiap rakyat untuk membahaskannya. Perbahasan dan perbincangan termasuk komen-komen yang dilontarkan akan menjadikan konsep itu semakin jelas. Semakin ramai orang salah anggapan, maka itu bermakna tindakan pembetulan akan menjadi lebih mudah, kerana banyak rakyat yang berminat.
Perdana Menteri mungkin sedar bahawa strategi sebegini pernah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir apabila memperkenalkan beberapa dasar utamanya. Antaranya ketika mula-mula bercakap mengenai Dasar Kependudukan Negara, Malaysia menyasarkan jumlah penduduk seramai 70 juta bagi memperkukuhkan sektor perniagaan domestik.
Ketika itu Tokai teringat dengan beberapa tafsiran. Pihak pembangkang mencadangkan agar diperbanyakkan kemasukan rakyat asing atau migrasi penduduk luar bagi memenuhi tuntutan tersebut. Ada juga penulis menganggarkan jika Malaysia mempunyai penduduk 70 juta, sebahagiannya akan membuat rumah atau tinggal di laut kerana tidak cukup tanah untuk penempatan.
(Tidak pula saya mengiyakan dakwaan bahawa ia merupakan legasi Tun Dr. Mahathir atau dikenali sebagai mahathirisme. Strategi sedemikian merupakan strategi universal, dan dilakukan oleh banyak pemimpin besar dunia, seperti kata seorang pemikir klasik, a man may learns wisdom even a foe. Kita boleh mencontohi sesiapa saja, jika ia menjadi teladan terbaik.Ini tidak bermakna, jika membenci seseorang itu kita harus menenggelamkan seluruh kebaikan yang pernah dilakukannya.)
Tanah menjadi terlalu padat dan tidak lagi mampu menampung pertambahan tersebut hingga melimpah ke dalam Laut China Selatan. Mengikut lakaran kartun itu lagi, saya terbayangkan mungkin ada pula syarikat pembinaan yang bakal mengkhususkan kepakarannya membina rumah di atas permukaan baru. Ini satu peluang baru dan boleh menggalakkan anak muda mengambil kursus kejuruteraan pembinaan dalam laut.
Saya turut teringat dengan kejutan masyarakat dunia dengan sebuah teori mengenai penduduk yang menggemparkan. Idea Robert Malthus yang khuatir dengan kadar pertumbuhan penduduk yang lebih cepat berbanding pertambahan makanan telah menyebabkan ramai pemikir mencadangkan langkah mengatasinya dengan menggalakkan ramai orang pergi berperang. Bila ramai orang pergi berperang, kemungkinannya akan ramai pula yang terkorban dan dengan ini masalah kekurangan makanan tidak menjadi masalah besar.
Pendapat yang skeptikal itu memang ada asasnya, tapi hingga sekarang bukan masalah tidak cukup makanan bagi penduduk dunia. Yang jelas ialah pengagihan makanan itu. Negara-negara miskin menjadi mangsa penindasan dan spekulasi negara-negara kaya, termasuk usaha untuk menukarkan bijirin yang dijadikan sumber makanan utama kepada biodiesel, maka dengan itu menaikkan harganya. Ramai penduduk negara miskin terperangkap dan menghadapi masalah.
Begitu juga dengan 1Malaysia, konsepnya jelas ingin meneruskan kesinambungan keharmonian kaum dan perpaduan di antara semua penduduk dan wilayah. Ia tidak membezakan berdasarkan sempadan etnik, semua warganegara mempunyai peluang sama sebagaimana ditetapkan oleh muafakat sosial atau dipersetujui sebagai kontrak sosial sejak pemimpin-pemimpin tiga kaum terbesar di Tanah Melayu bergabung untuk menunjukkan kepada British bahawa kita boleh hidup bersama dan tinggal secara aman dan damai.
Sebagai fitrah manusia, dari pelbagai latar belakang dan sosio-budaya dan agama, kita dikatakan sebagai makhluk sosial. Hampir 2,500 tahun lalu, Aristotle, seorang ahli falsafah yang banyak mempengaruhi pemikiran manusia hingga kini berpendapat:
"Man is by nature a social animal; an individual who is unsocial naturally and not accidentally is either beneath our notice or more than human. Society is something in nature that precedes the individual. Anyone who either cannot lead the common life or is so self sufficient as not to need to, and therefore does not partake of society, is either a beast or a god."
Ertinya, fitrah manusia secara asasnya bersifat kemasyarakatan. Kemasyarakatan ialah gabungan atau kumpulan individu yang mempunyai hasrat dan keperluan yang sama atau hampir sama. Lantaran itu, kita melihat bahawa kontrak sosial di Malaysia diasaskan mengikut keperluan bersama tiga kumpulan kaum terbesar ketika itu.
Namun, yang dipersoalkan sekarang ialah sekumpulan individu yang merasakan dirinya dipencilkan sedangkan hakikatnya dia sendiri yang cuba memisahkan dirinya dengan kumpulan yang pernah dianggotainya. Mungkin atas pelbagai alasan, sama ada berbentuk politik, peribadi atau pergeseran psikologi maka dia cuba mencari kaedah untuk meminggirkan kumpulan tersebut dan berusaha pula membentuk kumpulan baru.
Pembentukan kumpulan baru inilah telah menyebabkan mereka mula mempertikaikan apa yang dinamakan statusquo. Statusquo ini pula dianggap sebagai penghalang utama, maka perlu pula merobohkannya dan membina yang lain pula. Menggunakan skop baru dan penanda aras baru yang masih belum teruji sebagai acuannya.Inilah perjuangan yang cuba dilakukan oleh kumpulan politik baru, yang mula menampakkan keceluparan perjuangan dan kekalutan ideologi.
Hasrat yang hendak dibawa oleh Perdana Menteri melalui 1Malaysia, bukanlah berasaskan ideologi baru dan tindakan penuh kekalutan. 1Malaysia tetap meletakkan perpaduan sebagai tunjang manakala statusquo yang ada sebagai mekanisme utamanya. Cuma yang diperbaharui ialah iktikad, dipupuk kembali dengan nilai-nilai baru dan keperluan semasa.
Saya menjadi lebih berminat apabila ada pihak menyamakan 1Malaysia dengan konsep Malaysian Malaysia yang dicanangkan oleh Lee Kuan Yew melalui perjuangan PAP dan Malaysiafirst yang dicanangkan oleh Lim Kit Siang melalui DAP pada tahun 1960-an dan 1970-an hingga 1980-an .
Bezanya ialah Malaysian Malaysia (MM) terlalu menajamkan sentimen anti Bumiputera kerana menganggap hak istimewa yang diperuntukkan menyebabkan bukan Melayu tertekan atau dipinggirkan. Maka perlu diubah dan dilaksanakan persaingan secara terbuka berdasarkan prinsip siapa kuat dia dapat, atau hukum rimba survival of the fittest. Ia memperkenalkan konsep meritokrasi, ia mungkin boleh disamakan dengan cara pemberian pangkat kepada mereka yang mendapat khidmat cemerlang melalui SSB agaknya.
Yang mendapat cemerlang, akan mendapat semuanya. Manakala yang kurang cemerlang, akan terus dipinggirkan. Ini merupakan satu deraan psikologi, kerana yang tidak cemerlang itu bukan bermakna terlalu buruk pencapaiannya. Yang cemerlang itu bukanlah paling sempurna dan terbaik. Manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tertentu, maka prinsip meritokrasi dalam 1Malaysia tidak bermaksud seperti itu.
Dalam 1Malaysia, meritokrasi memberi erti sesuatu kedudukan atau pencapaian itu mestilah ada kewajarannya. Maka untuk menentukan kriteria dan kewajarannya, ia tetap berpaksikan Perlembagaan, Rukun Negara dan hak sebagaimana telah diterima sebagai kontrak sosial atau statusquo. Jika ada atau berlaku peminggiran hak telah berlaku, ianya akan diperbetulkan berdasarkan ketetapan tersebut.

No comments:

Post a Comment