Tuesday, June 9, 2009

KENAPA MARAHKAN KERAJAAN PERPADUAN?

Lim Guan Eng begitu tertekan apabila Presiden Pas terus menganjurkan kerajaan perpaduan. Dalam muktamar tahun lalu, idea itu telah timbul dan dihangatkan kembali dalam ucapan dasarnya pada tahun ini.
Banyak pihak sedar, jika kerajaan perpaduan yang hendak direalisasikan, pasti akan memberikan kekuatan kepada kedudukan Islam, dan tentunya orang Melayu. Mungkin Haji Hadi faham, jika orang Melayu tidak bersatu dan terus bercakaran sesama sendiri, kedudukan Islam akan turut dipertikai dan dipersendakan.
Banyak perkara yang menyentuh perasaan orang Islam telah tersilap langkah oleh bukan Islam. Bukan hanya berkisar kepada sikap Barat terhadap Islam yang dianggap sebagai "hantu hijau" atau "musuh ketat" walaupun Barrack Obama cuba mengendurkan ketegangan tersebut dengan melakukan kunjungan ke negara-negara Arab. Barrack Obama dilihat tidak akan mampu melakukan tindakan untuk menghapuskan salah faham terhadap Islam selagi Yahudi menguasai lobi antarabangsa. Kenyataan Obama masih dilihat berbentuk retorik kerana belum ada tindakan untuk mendesak Israel tidak mengganyang Palestin, membedil penduduk Semenanjung Gaza dan membunuh orang Islam.
Walaupun Lim Guan Eng tidaklah setegas Karpal Singh mengenai Islam, beliau sebenarnya akan rasa bersalah apabila melihat perpaduan di kalangan masyarakat Islam. Bila orang Melayu yang beragama Islam bersatu bersama lain-lain kaum atas landasan Islam, kekuatan DAP akan tercabar.
DAP yang masih dilihat chinese based akan merosot kedudukannya apabila pengundi-pengundi yang beragama Islam tidak lagi menyokongnya. Begitu juga dengan PKR, walaupun terdapat orang Melayu di dalamnya, atas dasar Islam mereka mungkin akan keluar daripada gagasan tersebut kecualilah mereka yang begitu tegar dengan idealisme "kesamarataan" ciptaan parti itu, yang bakal memberi keuntungan kepada bukan Melayu. Penasihat PKR hanyalah perlukan kuasa kerana terlalu kemaruk untuk menjadi Perdana Menteri.
PAS pun bukan padu menyokong gagasan kerajaan perpaduan. Tapi, mereka yang ingin memperkuatkan kedudukan Islam dan mempunyai semangat perjuangan tersebut akan turut ikut jika kerajaan perpaduan benar-benar menjadi kenyataan. Umno sudah membuka ruang, dan bersedia berbincang jika PAS benar-benar inginkan. Mungkin PAS mula belajar daripada krisis politik di Thailand yang berpanjangan, menyebabkan lebih banyak nyawa menjadi sandaran dan pertemporan dengan masyarakat Islam masih belum ada penghujungnya waalupun sudah memasuki empat tahun.
Mungkin kerajaan perpaduan bukanlah dalam bentuk masing-masing parti dimansuhkan. Mungkin boleh mencontohi bagaimana kerajaan perpaduan yang sedang dilaksanakan di Zimbabwe boleh merungkaikan krisis politik yang berpanjangan. Sebelum kerajaan perpaduan dilaksanakan, Zimbabwe dilanda permusuhan dan sengketa politik sehingga menyebabkan ketidaktentuan politik dan peperangan sesama sendiri.
Pemimpin-pemimpin politik Zimbabwe akhirnya mempunyai resolusi. Dalam permusuhan, yang menjadi mangsa ialah rakyat Zimbabwe sendiri. Apa kesudahannya, akhir bersepakat untuk melaksanakan bentuk kerajaan perpaduan atas idealisme politik yang sama.
Mungkin Presiden PAS sedar, melalui toleransi dan kerjasama akan memudahkan segala cita-cita menjadikan Islam sebagai tata kehidupan terbaik di Malaysia mampu dilaksanakan. Untuk PAS melaksanakan bersendirian, ia dijangka tidak akan sampai ke mana, kerana telah terbukti sejak memerintah Kelantan masih mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat. Kerajaan Pusat dikuasai oleh BN.
Realiti kehidupan masyarakat Kelantan walaupun tidak kebulur, rata-ratanya amat sederhana sekali. Walaupun kesederhanaan itu dituntut oleh Islam, tidak bermakna peluang mendapat kekayaan dilepaskan kepada bukan Melayu. Untuk orang Melayu meningkatkan kedudukan ekonomi, kerajaan melakukan sesuatu. Untuk melakukannya, perlukan dana yang besar. Di mana PAS mampu. Nak korek emas di Gua Musang pun belum tentu mempunyai simpanan yang ekonomik.
Kalau terus menebang hutan dan membebaskan penerokaan tanah, pastinya menimbulkan masalah ekologi. Pemberian tanah untuk pembukaan ladang kelapa sawit sekitar kawasan rekreasi Stong akan mengorbankan kelestarian alam semula jadi. Air terjun Stong, indah dan perlu dipulihara sebaik mungkin kerana ia lebih alami.
Mungkin kedudukan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang akan mendapat kekuatan baru apabila kerajaan perpaduan menjadi kenyataan dalam Pilihan Raya Ke-13 nanti. Orang Melayu dan Islam kembali menyokong perjuangan itu, dan DAP mungkin tidak mampu memerintah Pulau Pinang. Hanya mungkin boleh menang di beberapa kawasan yang mempunyai majoriti Cina, tapi kawasan majoriti Melayu atau marginal, akan menghadapi kemungkinan kalah.
Itulah yang mungkin menjadi igauan Lim Guan Eng, ketakutannya sehingga meminta supaya PAS membincangkannya dalam mesyuarat parti-parti pakatan pembangkang. Mungkin PAS sedar kedudukan wakil rakyat parti itu bak melukut di tepi gantang bila dominasi kuasa adalah di tangan DAP atau PKR seperti berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Kedah tidak banyak menjadi masalah, PAS menerajuinya berbanding PKR dan DAP.

1 comment:

  1. Dear Sir,

    We have listed your blog at NOBLE. Please notice us if you disagree

    ReplyDelete