Thursday, June 4, 2009

KEJAM DAN GANASNYA KOMUNIS


Membawa balik Chin Peng bagi menghabiskan usianya di Malaysia dianggap sebagai malapetaka yang bakal menimpa keharmonian rakyat. Para pejuang, khususnya bekas anggota keselamatan bukan sahaja menentang usaha tersebut malah ada yang sanggup mengelar leher Chin Peng apabila menjejakkan kaki ke negara ini. Kenapa rakyat begitu marah dengan Chin Peng?
Chin Peng atau nama sebenarnya ialah Ong Boon Hwa. Dikatakan dilahirkan pada 21 Oktober 1924 di Sitiawan Perak. Namun, kerana gagal membuktikan tempat kelahirannya melalui dokumen rasmi, Chin Peng dianggap telah gagal membuktikan kerakyatannya secara rasmi. Atas kegagalan itulah Chin Peng tidak dibenarkan pulang berdasarkan undang-undang.
Bulan Mei lalu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang mencadangkan agar hasrat Chin Peng itu dipertimbangkan semula atas alasan kemanusiaan. Dua parti politik lain, iaitu DAP dan PKR menyokong cadangan tersebut kerana menganggap perjuangan Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM) juga merupakan gerakan menuntut kemerdekaan daripada penjajah, khususnya British. Cuma yang berbeza ialah PKM berhaluan kiri manakala parti-parti komponen Perikatan (atau selepas tahun 1974 Barisan Nasional) berhaluan kanan.
Natijahnya, perjuangan berhaluan kiri dan kanan adalah sama menurut pandangan sesetengah pihak yang simpati dengan Chin Peng. Namun bagi kerajaan, Chin Peng bukanlah pejuang kemerdekaan kerana kegiatan militant yang dipimpinnya telah mengundang banyak kemarahan, trauma dan kekejaman kepada rakyat kebanyakan dan merosakkan banyak harta benda.
Menurut anggaran sesetengah pihak, seramai 1,883 anggota keselamatan terkorban dan 2,560 cedera. Orang awam yang terkorban ialah 2,473, 1,385 cedera dan 810 menjadi tawanan komunis. Seramai 6,710 gerila komunis terkorban dan 3,989 orang berjaya ditawan. Itu adalah gambaran semasa gerakan menghapuskan pengganas komunis sepanjang darurat antara tahun 1948 hingga 1960.
Selepas perintah darurat ditarik balik, PKM masih meneruskan gerakan militannya. Pada tahun 1973, PKM memulakan siri pembunuhan ke atas pegawai-pegawai Cawangan Khas apabila menjadikan Timbalan Penguasa Polis (TPP), Wong Lin Hoon sebagar sasaran pertama. Pada 12 Julai 1973, Ketua Inspektor Chin Kou ditembak mati di Serdang, Kedah. Oktober 1973, Detektif Sarjan Chong Kek Oh ditembak mati di Sungai Siput, Perak.
Detektif Konstabel Lee See Kaw ditembak mati di Malim Nawar, Perak pada 3 Januari 1974. 20 April 1974, Detektif Sarjan Lee Yoon Chin ditembak mati di Melaka dan empat hari kemudian, Detektif Konstabel Ong Soon Chua dibunuh di Chemor, Perak. Pada 6 Jun 1974, PKM bertindak dengan lebih berani apabila menembak mati Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Pada tahun 1974, PKM bertindak balas apabila Tun Abdul Razak, Perdana Menteri berjaya melakukan lawatan dan menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara China. Sebagai usaha memsabotaj dan bertindak balas ke atas hubungan diplomatic dengan negara China itu, PKM meletupkan jentera dan kelengkapan lain yang digunakan untuk membina Lebuh Raya Timur-Barat. PKM bimbang dengan terbinanya lebuh raya tersebut, pergerakan pasukan keselamatan akan menjadi lebih mudah dan berupaya menyekat aktiviti ganas PKM.
Tahun 1975, PKM berazam untuk menjadikannya sebagai tahun pertempuran, year of combat. Tindakan ganas dan perjuangan gerila diperhebatkan apabila 26 Ogos 1975, mengebom Tugu Negara dan dua minggu kemudian, melempar bom tangan ke Kem Pasukan Polis Hutan di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur menyebabkan dua orang anggota terkorban dan 41 cedera. Pada 13 November 1975, Tan Sri Khoo Chong Kong, Ketua Polis Perak ditembak mati bersama-sama pemandunya, Sarjan Yeung Peng Cheong, di Ipoh, Perak .
Menurut rekod, antara tahun 1975 hingga 20 Disember 1982 terdapat 609 pertempuran dengan komunis telah berlaku. Sepanjang tempoh tersebut, 134 anggota keselamatan terkorban dan 556 cedera manakala di pihak komunis, 123 orang terkorban. Seramai 111 anggota PKM berjaya ditawan atau menyerah diri. Sebanyak 184 kem anggota PKM berjaya dikesan.
Kemarahan masyarakat Malaysia terhadap Chin Peng dan Parti Komunis Malaya (PKM) adalah disebabkan aktiviti militannya yang telah menyebabkan banyak nyawa terkorban dan harta benda musnah. Paling perit ialah PKM sanggup menyembelih orang awam yang menghalang kegiatan mereka. Bagi penduduk Sungai siput mungkin masih lagi trauma apabila komunis menyembelih pengurus ladang Peng Soon yang berbangsa Inggeris.
Perjuangan PKM tidak boleh dianggap sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan kerana perjuangan mereka ialah membentuk sebuah negara berasaskan republik dengan berideologikan komunis. Ada dakwaan yang mengatakan PKM turut memperjuangkan kemerdekaan adalah tidak benar kerana setelah Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British, PKM tetap melancarkan tindakan ganas, menyerang lading-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus ladang.
Ahli PKM terus menyanjung Chin Peng yang mula melancarkan tindakan ganas dan menyerang pasukan keselamatan. Chin Peng pada usia 15 tahun amat menyanjungi perjuangan Chiang Kai Shek yang menguasai Selatan China dan Taiwan. Mula menyanjungi perjuangan komunisme apabila terpengaruh dengan sebuah buku kecil karang Mao Tze Tung, On Protected War, yang amat membenci Jepun.
Pada tahun 1941, Jepun menyerang Tanah Melayu, iaitu setahun selepas Chin Peng diterima untuk menyertai Parti Komunis Malaya, iaitu satu cawangan Parti Komunis China di seberang laut. Dalam masa yang sama, Chin Peng turut mengangotai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu.
Sebuah pasukan gerila yang dikenali sebagai Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) telah ditubuhkan dan Chin Peng dilantik sebagai pemimpinnya. Dengan bantuan senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan, Force 136 dan MPAJA menjadi semakin kuat. Pada tahun 1942, MPAJA menyerang hendap tentera Jepun di Sungai Perak, berhampiran Pasir Salak.
Setelah Jepun menyerah kalah dan British kembali berkuasa, tamatnya Perang Dunia II, kumpulan radikal meneruskan perjuangan mereka di dalam hutan. Chin Peng dan rakan-rakannya bertindak ganas membunuh dan menyeksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan penyokong British. Pemimpim-pemimpin tempatan sepert penghulu, ketua kampong dan para imam turut dibunuh bagi memantapkan perjuangan PKM.
Tindakan kumpulan radikal ini telah menyebabkan orang Melayu bangkit menentang MPAJA dan PKM, misalnya Panglima Salleh Selempang Merah. PKM gagal membendung kemarahan orang Melayu dan meminta bantuan Tunku Abdul Rahman untuk campur tangan.
Bila British kembali berkuasa di Tanah Melayu, gerakan radikal Bintang Tiga yang dianggotai oleh MPAJA dan PKM gagal merampas Tanah Melayu melalui gerakan bersenjata. Kesan daripada kegagalan itu, MPAJA telah dibubarkan. Namun atas jasanya menentang pendudukan Jepun melalui MPAJA dan Force 136, Chin Peng telah dianugerahkan Order of the British Empire. Namun tekadnya masih kuat untuk membentuk sebuah republik komunis, dan meneruskan perjuangan bersenjata melawan British.
Dilantik sebagai Setiausaha Agung PKM ketika berusia 23 tahun, iaitu setelah beliau berjaya membunuh Lai Tek di Thailand. Lai Tek dibunuh kerana disyaki sebagai pembelot dan melarikan wang PKM. Bagi mendapat sokongan orang Melayu, Chin Peng telah mengubah perspektif ideologi komunisme asal daripada tidak mempercayai Tuhan kepada berbaik-baik dengan golongan agama.
Teori asal Karl Marx yang bersifat atheism telah dipinda menjadi sosialisme dan bagi mendekatkan diri dengan orang Melayu yang beragama Islam, konsep sosialisme Islam diperkenalkan.Dengan kemasukan beberapa orang Melayu seperti Rashid Maidin, Abdullah CD, Suraini Abdullah dan Abu Samah, perjuangan PKM telah menampakkan penggunaan agama sebagai usaha propaganda.
Walau pun berjuang di hutan, pemimpin-pemimpin tersebut digambarkan sentiasa menunaikan sholat lima waktu dan mendekati surau-surau berhampiran kem mereka. Rashid Maidin dikatakan sebagai seorang yang warak dan mengajar al-Qur’an kepada cucunya dan beberapa orang budak kampong.
Namun perjuangan PKM tetapi tidak menerima sambutan dan sokongan di kalangan kebanyakan orang Melayu. Orang Melayu sebahagian besarnya menganggotai pasukan keselamatan merasakan komunis adalah musuhnya yang paling besar, kerana sebahagian besar anggota PKM adalah orang China. PKM tetap dianggap sebagai sebuah pertubuhan yang berasaskan etnik Cina.
Sejak awal penubuhannya, pergerakan komunis mengembangkan pengaruhnya melalui sekolah dan persatuan belia Cina termasuk kesatuan sekerja terutamanya di Bandar. Kader komunis giat menghadapi para majikan bagi menuntut keadilan dan hak kaum buruh dan persekitaran itu tidak banyak melibatkan kepentingan orang Melayu.
Percubaan turut dilakukan oleh tokoh-tokoh PKM dengan membawa masuk beberapa orang kader mereka daripada Indonesia bagi mempengaruhi penduduk tempatan yang berasal dari Indonesia. Walau bagaimanapun, percubaan ini tidak banyak mendatangkan hasil apabila kerajaan Indonesia sendiri menentang ideologi komunis. Kegagalan pemberpontakan PKI (Parti Komunis Indonesia) pada tahun 1926 memberikan tamparan hebat kepada perjuangan komunis dan tokoh-tokohnya seperti Alimin, Tan Malaka, Hasanoesi, Sutan Pateh, Moesno dan Boeisoejitro melarikan diri ke Singapura dan Pulau Pinang.
Propganda komunis dianggap berkesan apabila orang Melayu mula sedar mengenai semangat kebangsaan dan perjuangan mendapatkan kemerdekaan. Namun, kerana kebanyakan orang Melayu sudah menyertai pelbagai pertubuhan Melayu di negeri-negeri, selepas Perang Dunia Kedua, ideologi komunis dianggap sebagai lebih mirip perjuangan untuk orang Cina. Salah satu pertubuhan Melayu terawal, iaitu Kesatuan Melayu Malaya (KMM) mula bekerjasama dengan Jepun di mana dianggap sebagai musuh oleh orang Cina. Ini menimbulkan pertentangan antara orang Melayu dan orang Cina.
Disebabkan kekejaman tentera Jepun, ada segelintir orang Melayu menyertai MPAJA, yang dipimpin oleh PKM, khususnya Chin Peng.Dengan meletusnya kebangkitan orang Melayu menentang Malayan Union pada tahun 1946, menyebabkan orang Melayu tidak memberikan perhatian kepada pergerakan komunis. Malayan Union menjadi wadah penyatuan orang Melayu, dan akhirnya dengan licik rancangan itu ditarik balik. Ini memberikan tekanan kepada pergerakan komunis dan merapatkan perjuangan orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan.
Semasa Bintang Tiga berkuasa, iaitu sebelum kedatangan semula British dan Jepun menyerah kalah, tindakan gelojoh mengambilalih kuasa dan membalas dendam membangkitkan kemarahan orang Melayu. Beberapa permusuhan kaum antara Melayu-Cina tercetus di beberapa tempat di Semenanjung. Ramai orang Melayu yang pernah menyertai MPAJA mengambil langkah keluar dari PKM.
Bagi mendapatkan sokongan kembali daripada orang Melayu, British menganggap MPAJA dan PKM adalah musuhnya, walaupun pada masa pendudukan Jepun menjadi sekutu kuatnya. PKM tersepit. Orang Melayu semakin ramai menyertai pasukan keselamatan yang ditubuhkan oleh British untuk menentang komunis yang kemudiannya dikenali sebagai pengganas.
Gerakan penyebaran ideologi komunis di Tanah Melayu dapat dikesan bermula pada awal tahun 1920. Dengan penemuan beberapa risalah yang berupa laporan berita mengenai China dan Rusia ; propaganda mengenai wanita dan buruh; kaedah menerapkan ideologi komunis di Rusia, pemberontakan Rusia 1917 dan manifesto parti komunis Amerika; sebuah buku tulisan Tsz-Yan mengenai analisis komunis China bertajuk Komunis dan Negara China; dan risalah Parintis (pioneer) yang menganggap Moskow sebagai pentas dunia bagi menyelamatkan penduduk dunia yang tertindas dan mengutuk kuasa imperialis.
Komunis menjadi lebih aktif apabila Alimin (pemimpin komunis Indonesia) berkunjung ke Singapura pada bulan Jun 1924 dalam perjalanannya menuju ke Canton untuk menghadiri Pesidangan Buruh Seluruh Pasifik. Semasa berada di Singapura, dalam masa yang singkat beliau telah berjaya merekrut beberapa orang penduduk tempatan sebagai kader komunis.
Gerakan komunis bertambah kuat apabila Tan Malaka berjaya mendesak Parti Komunis China (PKC) yang beribupejabat di Canton agar menghantar wakilnya bagi mengembangkan ideologi komunis di Singapura. PKC menerima cadangan tersebut.
Seawal tahun 1920, penyebaran ideologi komunis telah dimulakan di kalangan orang Cina yang menetap dan bekerja sebagai buruh di Tanah Melayu. Penyebaran surat berita terbitan Rosta & Delta News Agency dari Canton yang melaporkan berita-berita dari China dan Rusia; Buruh dan Wanita yang mengandungi propaganda tentang wanita dan buruh; risalah mengenai kaedah menerapkan ideology komunis di Rusia, pemberontakan Rusia 1917 dan manifesto parti komunis Amerika; dan sebuah buku yang bertajuk Komunis dan Negara China karya Tsz-Yan, yang menganalisis mengenai komunisme China.
Pada tahun 1922, satu lagi risalah komunis Parintis (Pioneer) yang diterbitkan oleh parti Bolsheviks telah dikeluarkan. Risalah tersebut memaparkan mengenai kekejaman imperialis memeras dan mengeksploitasi orang Asia, menganggap Moskow sebagai pentas dunia yang berusaha menyelamatkan penduduk yang tertindas.
Chin Peng dan PKM menjadi stigma kepedihan masyarakat Malaysia yang mendalam dan tidak dapat dimaafkan. Walaupun ada pihak melontarkan cadangan agar kekejaman yang pernah dilakukan itu dimaafkan, sebagaimana sifat masyarakat Malaysia, nampaknya rasa marah dan dendam semakin menebal. Ada yang sanggup menjadi orang pertama akan memenggal leher Chin Peng apabila berjaya menjejaki kakinya di bumi Malaysia.
Membawa balik atau membenarkan Chin Peng kembali akan menambahkan lagi duka nestapa masyarakat Malaysia, terutamanya bekas-bekas perajurit yang menerima kesan buruk daripada perjuangan pengganas komunis. Apakah Dr. Teng Hock Nan, Dr. Tan Seng Giaw merupakan orang yang akan mengusung duka nestapa mangsa dan keluarga anggota keselamatan?
Adakah DAP, PKR dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu sudah ketandusan modal untuk berkempen sehingga sanggup mengundang trauma kembali bergema dalam masyarakat Malaysia? Alangkah kaburnya harapan dan sukar memahami sejarah pedih masyarakat, yang akhirnya bakal mengundang padah.

5 comments:

  1. kami org2 muda... tak berminat hal2 sejarah nih..

    ReplyDelete
  2. patutla orang muda sekarang bangang sejarah.buta sejarah.

    ReplyDelete
  3. yela2.. ko teror sejarah...

    ReplyDelete
  4. aku orang muda jugak...tapi sejarah janganla abaikan.jagala dia macam jaga diri sendiri juga.

    ReplyDelete
  5. kalau buta sejarah bukan bermakna tidak boleh celik sampai bila-bila. Masih ada masa untuk mempelajari dan memahami sejarah, tanyalah diri sendiri dari mana kita berasal, dan ke mana kita nak pergi. Tapi yang lebih teruk ialah buta hati, pandang, baca, tanya dan bercakap pun tak mahu. Membisu lebih dahsyat dari tunggul, bukannya Tunggul-Tunggul Gerigis, novel Shahnon Ahmad tu....

    ReplyDelete