Monday, June 8, 2009

DUKALARA ALMA JAYA

Walau pun sudah seminggu berlalu, saya masih belum boleh melupakan dua peristiwa yang berlaku sepanjang bertugas di PRK Dun Penanti. Saya dan rakan-rakan masih teringatkan tergigit kaki anak lipas semasa menikmati makanan lewat petang di sebuah restoran 24 jam di Taman Alma Jaya.
Ia berlaku ketika kami bertiga terasa amat lapar sekali, kerana tidak menjamah makan tengah hari pada hari tersebut. Disebabkan banyak kerja yang perlu diselesaikan, kami menangguhkan waktu makan tengah hari dengan berseloroh. Bila ada yang mengajak turun ke restoran, saya katakan "tunggu dulu. Habis nanti kita pergi makan dan balik berehat".
Hampir jam lima petang kami selesai. Beberapa tempat dicadangkan, namun kami hanya membuat keputusan untuk menikmati makan tengah hari lewat petang itu di restoran berhampiran dengan tempat tinggal kami. Kami bertiga setuju.
Menu hari itu agak istimewa, ada ayam kampung gulai, ulam, ikan bawal goreng dan sedikit daging goreng. Kami makan dengan lahapnya buat beberapa ketika sehinggalah hampir habis. Salah seorang terkejut melihat anak lipas berada dalam pinggannya setelah nasi dah pun hampir habis. Kami tergamam seketika dan memanggil salah seorang pelayan. Semacam buat tidak kisah, akhirnya kami memanggil yang lain. Semuanya buat-buat sibuk menonton demontrasi menggoreng keropok lekor.
Nasib baik kami boleh menahan loya. Tidak termuntah di dalam restoran tersebut. Tapi yang pasti ialah kami tidak mahu lagi mengunjungi restoran itu, mungkin sampai bila-bila.
Peristiwa kedua ialah saat kami seolah-olah mahu disepakterajang oleh pengurusan sebuah homestay yang kami sewa untuk tempoh selama sepuluh hari. Setelah pihak pengurusan bersetuju dengan harga yang kami minta, petangnya datang dua orang pekerja untuk menyerahkan kunci dan memungut bayaran. Saya membayarnya sebanyak RM1,000.00 sebagai bayaran penginapan dengan kadar RM 100 sehari.
Setelah lima hari menginap, rakan saya menerima telefon daripada pihak pengurusan. Mereka mencadangkan kami berpindah ke tempat lain bagi tarikh 30 dan 31 Mei 2009 kerana ada "orang lain nak masuk."
Bila telefon itu dihulurkan kepada saya, saya terus terang tidak setuju dengan cadangan itu. Bagi saya, itu sudah menunjukkan pihak pengurusan terlalu mementingkan wang, sedangkan persetujuan telah diberikan terlebih dahulu. Saya telah membayar kesemuanya. Apa tujuannya, dalam hati kecil saya membuat telahan. Mungkin ditawarkan dengan harga yang tinggi. Jika itulah alasannya, saya teringat peristiwa yang serupa beberapa tahun lalu.
Saya pernah menyewa sebuah rumah di Minden Heights, Pulau Pinang. Disebabkan kekurangan rumah, tuan rumah meminta kami keluar dengan alasan, anaknya yang baru kahwin akan tinggal di situ. Setelah diberi tempoh, kami mendapat rumah yang lain, tuan rumah itu memberikan sewa kepada satu kumpulan pekerja kilang. Sewanya digandakan dari RM 500 kepada RM 800, wal hal ikut persetujuannya kami semacam diikat kontrak untuk tempoh selama 10 bulan. Hanya sempat tinggal di rumah tersebut untuk tempoh tiga bulan sahaja.
Bila saya menjawab tidak setuju, pihak pengurusan homestay keesokannya meminta kami pindah sekali lagi. Ditawarkan pula sebuah homestay lain dan kemudahan sarapan pagi. Kami membuat keputusan, tidak akan berganjak dengan keputusan. Kontrak masih ada sehingga 2 Julai.
Pada 1 julai 2009, kira-kira jam 12 tengah hari pihak pengurusan sekali membuat ingatan keras kepada kami. Waktru check out ialah jam 1 tengah hari. Selepas jam 1, RM 10 akan dikenakan. Bila rakan saya menunjukkan amaran itu, saya mula membuat perhitungan. Untuk apa pihak pengurusan mengingatkan kami kerana tempoh sewaan masih ada semalaman lagi.
Kami yang sudah tidak tahan lagi dengan sikap itu membalas sms itu. Meminta supaya datang mengambil kunci dan kami akan check out jam 1 nanti. Tunggu sekian lama, tiga orang pekerja; dua wanita dan seorang lelaki Bangladesh tiba dengan menaiki Toyota Unser.
Seorang pekerja wanita, saya agak bukan rakyat tempatan kerana gaya bahasanya seolah-olah datang dari Selatan Thai memberitahu saya, deposit akan dipotong. Saya terus menjawab untuk apa? Awak janji pukul satu, saya tunggu hampir dua jam baru awak sampai. Kenapa nak potong deposit? Awak yang salah, kami beberapa kali menelefon. Jawapan yang diberikan ialah "on the way". Dari Kulim ke Alma Jaya takkanlah sampai dua jam, jaraknya kurang 15 kilometer.
Deposit sebanyak RM 200 dikembalikan. Tapi saya masih tidak berpuas hati kerana wang kami masih berbaki sebanyak RM 100. Saya meminta daripada pekerja tersebut dan menjelaskan, kami hanya tinggal selama 9 malam. Kami bayar 10 malam, tapi kerana "peringatan sms" itu kami tuntut bakinya.
"Homestay bukan seperti hotel," jawab pekerja itu.
"Habis, jam bukan kah 24 jam? Cuba kira, kami masuk 23 Mei dan keluar 1 Jun. Bukankah 9 malam. Jumlahnya RM 900. Saya mahu dikembalikan sebanyak RM 100". Pekerja tersebut cuba menelefon pengurusnya.
Pengurus memberikan akuan mengenai kesilapan tersebut. Pekerja wanita itu terus keluar dan menghidupkan kenderaan tanpa sebarang kata. Lelaki Bangladesh menghulurkan telefon kepada saya, rupa-rupanya tuan punya homestay masih mahu mengungkit-ungkitkan perkara itu walaupun setuju mengembalikan lebihan sewaan itu.
Melalui telefon pengurus wanita membuat leteran panjang. Malah menyalahkan kami kerana menyewanya dengan murah, maka berlakulah masalah tersebut. Saya tetap menegaskan, berdasarkan perundingan dan kedua-dua pihak telah bersetuju. Tak perlu diungkitkan lagi. Malah, pengurus wanita itu mengungkitkan dia rugi kerana kadar sewaan semalaman ialah RM 150, sedangkan kami hanya membayar RM 100.
Saya menjawab, itu bukan soalnya sekarang. Awak dan saya telah bersetuju mengenai harga sewaan itu. Jika awak tidak setuju, saya tidak akan menyewanya.
Nada suaranya semakin tinggi. Menafikan kesalahan oleh pihak pengurusan tersilap membuat kiraan, sebalik menyalahkan juru jualnya yang kurang bijak membuat perhitungan.
Jawab saya, persoalan ialah seluruh homestay harus menanggungnya. Jika pekerja membuat silap, pengurusan juga turut terpalit dengan masalah itu. Itulah yang sepatutnya puan lakukan kepada seluruh pekerja puan. Puan jadi seperti bangau oh bangau.
Soal bagaimana pihak pengurusan memarahi pekerja sendiri bukan urusan saya. Bagi kami semua, seluruh pihak termasuk pengurusannya harus bertanggungjawab dengan masalah itu. Ia adalah imej homestay.
Dia marah lagi. Semakin meninggi sehingga menyebabkan saya tidak mahu mendengar. Lantas saya mematikan panggilan telefon bimbit itu dan mengembalikan kepada pekerja Bangladesh tersebut.
Setengah jam kemudian, pekerja wanita itu datang kembali. Tanpa memandang ke arah saya, meminta seorang lagi pekerja wanita warga Indonesia menghulurkan baki wang sebanyak RM 100. Jam 4.30 petang baru kami benar-benar check out. Hati kecil kami terus membungkam, dah lah tinggal di homestay yang panas membara, hospitalitinya langsung tidak ada.
Semasa diserahkan kunci, tidak tergamak kami untuk bermalas-malasan di atas sofa di ruang tamu. Lantainya penuh debu, dan telapak kaki hitam terasa seolah-olah berjalan di atas debu. Kami tidak mahu membuang masa, terus mencari mop dan lapkan lantai. Beberapa kali terasa selesa. Kami tidak banyak onar, kerana kami faham homestay ini hampir sebulan tidak ada penghuninya.
Kami turut membasuh bilik air kerana bilik air yang berdebu dan kotor amat menjijikkan kami. Kami tidak boleh melabur dalam suasana itu.
Malm pertama, kami tidak dapat tidur kerana kepanasan. Walaupun ada terpasang kipas, tetapi kekisi angin telah ditutup dengan langsir. Tingkap seakan-akan berkarat, tidak dapat dibuka untuk membolehkan angin luar masuk. Yang tinggal hanya katil dua tingkat, kami menngkat tilam untuk ramai-ramai tidur di ruang tamu. Terasa kurang sikit panasnya.
Pengalaman kami di Sri Alma Homestay amat menyiksakan apabila tidak mengendahkan keselesaan pelanggan dan asyik mencaturkan keuntungan, maka kami turut membuat keputusan akan terus mengutuk pengurusannya. Kami tidak akan berkunjung lagi ke homestay itu, walaupun berpeluang lagi pada masa depan. Kami sudah serik, dan akan meminta rakan-rakan tidak ke sana takut berjangkit wabak yang sama. Sama saperti tekad kami tidak akan makan lagi di Pelangi Cafe, dan menyebut namanya sahaja kami terasa loya.
Itulah kenangan kami sepanjang sembilan hari di Bukit Mertajam. Kami akan tetap ke sana, tapi tidak akan menyewa Sri Alma Homestay dan makan di Pelangi Cafe lagi. Cukuplah, pengajaran itu mengingatkan kami sepanjang hayat.

No comments:

Post a Comment