Wednesday, June 24, 2009

BADUT WAYANG KULIT

Pak Dogol bercawat kote kejar Wak Yah dengan parang puting. Setelah seluruh kelir putih ketawa terbahak-bahak melihat punggung tonggek Pak Dogol, terhenjut-henjut menarik nafas lelah, Wak Yah cukup cerdik. Wak Yah nyusut celah tunggul tembusu sebesar tiga pemeluk dan ketawa berdekah-dekah melihat telatah PAk Dogol.

Tanpa banyak berfikir, Pak Dogol jadi seolah-olah pahlawan tua menghunus parang puting untuk berperang dengan Wak Yah. Wak Yah yang lebih muda dan bijak, guna strategi dan menyembunyikan diri. Bila dia tahu Hanuman akan melintasi kawasan itu, ia memasang harapan akan bersama berjalan menuju ke meja bulat perundingan. Sepanjang perjalanan itu, bertemankan semangat keras Hanuman, Wak Yah akan ceritakan sikap Pak Dogol terhadapnya.

Kerana marahkan usaha WAk Yah untuk memasuki negeri cantik panglima baik yang sekian lama menjadi musuh ketat kerana nak dapatkan puteri lindungan bulan dan anak dara lembayung senja, Pak Dogol marah sekali. Pak Dogol telah membuat muafakat dengan Samad, Kuning, Panah dan Busar di tepi kelir putih untuk bersama mengambil tanah sekangkang berhantu.

Samad bercadang menjadikan tanah sekangkang berhantu itu sebagai tempat dia membina kehidupan barunya setelah sekian lama kempunan nak panjat pokok jambu laut. Panah sangat berminat dengan tanah sekangkang berhantu itu kerana banyak ditumbuhi oleh pokok badang, untuk memudahkan dia membuat anak panah beracun.
Panah, yang sudah lama punah kerana tingkahlakunya sendiri yang kurang beradab dan cemburu, bijak menyusun strategi untuk menghancurkan kesejahteraan penghunu dan seluruh makhluk dalam negara bernama Makmur. Bagi Busar pula tempat itu akan dijadikan lapangan sasar temasya dagang serba-serbi asalkan boleh mendapatkan wang. Busar lebih pentingkan wang, yang lain tidak boleh dikirakan sebagai keperluan kerana kekekayaanlah yang kan mengukur segala-galanya.
PAk Dogol yang sudah lama bermimpi untuk beristerikan anak dara lembayung senja kerap mengeluarkan kata-kata pedas. Jangan ada sesiapa yang cuba melawan cakapnya, kerana ia adalah nakhoda utama pelayaran menuju ke tanah sekangkang berhantu. Usaha dipedulikan siapa yang memerintah, kerana yang memerintah itu sedang menggelonsor ke bawah.
Tiba-tiba Tok Dalang menghentikan persembahan wayang kulit itu. Tok Dalang merasakan, penonton sudah terlalu tegang dengan perbalahan itu. Hanuman beljum lagi mengamuk, jadi eloklah dia berhenti. Jika Hanuman mengamuk nanti akan terhamburlah kata-kata, terurailah sebuah makna yang bernama pakatan dalam keterpaksaan, walaupun terpaksa ia tetap dilakukan bagi membolehkan tanah sekangkang berhantu menjadi milik bersama. Boleh dikongsi, sama-sama bangunkan walaupun adakalanya rumah di sebelah masih berbau busuk dan di penuhi najis. Janji boleh dapat, itu yang penting.

No comments:

Post a Comment