Thursday, June 25, 2009

TERURAIKAH MANEK-MANEK DI MANEK URAI?

PAS pernah membuat baiah, akan mempertahankan Manek Urai walaupun dengan darah. Rupa-rupanya PAS menganggap bahawa Manek Urai hak mutlak miliknya maka sanggup melakukan apa sahaja demi kemenangan, termasuk bermandikan darah.
Maka hati kecil Tokai yang agak lama tidak mengunjungi Manek tertanya-tanya: Apakah benar akan berlaku "pertumpahan darah" di Manek Urai sepanjang kempen PRK kali ini? Siapakah pahlawan terbilang yang sanggup mengorbankan darahnya itu? Sudahkah PAS mempunyai keris Taming Sari untuk menghunus setiap orang yang ingin berlawan?
Setahu Tokai, nanti di Manek Urai ramai yang akan bercawat kote. Tapi bukan bertewah seperti pahlawan sumo. Mereka bertegang leher, jadi burung hantu berkempen dari rumah ke rumah untuk mempengaruhi pengundi agar parti yang didokonginya menang. Bukannya bercawat kote untuk mengajak orang bergaduh.
Kalaulah begitu sikapnya PAS, maka marilah kita ramai-ramai tolak calon PAS. Selama ini banyak menganggap mereka yang bergerak mengatasnamakan Islam sebagai pelampau, jika ia berlaku nanti bertambah-tambah lagi senarai ganas. Kita mengharapkan tidak akan berlaku pergaduhan dan pertumpahan darah kerana pilihan raya seperti telah dan sedang berlaku di Iran.
Sepanjang sejarah pilihan raya yang melibatkan Manek Urai, sebanyak 11 kali PAS menang dengan kiraan 8-3 mengalahkan calon UMNO. Tapi itu tidak bermakna, kali ini PAS tidak boleh kalah. PAS ialah parti yang diasaskan oleh manusia untuk mencapai sesuatu hasrat dan mendapatkan mandat untuk berkuasa. Begitu juga dengan UMNO.
Ia bukan parti yang tertera dalam al-Qur'an dan kerana itu jika pengundi tidak mengundi PAS ia bukanlah satu dosa. Jika pengundi mengundi UMNO tidak bermakan apabila pulang ke alam barzah akan terus dimasukkan ke neraka. Dosa dan pahala adalah milik setiap orang tanpa mengambil kira ia adalah pengundi UMNO ataupun PAS.
Jika mengundi PAS dan menjadi penyokong tegarnya tidak bermakna akan masuk syurga tanpa mempunyai keimanan dan menjauhkan perkara-perkara yang mungkar. Tidakkah "dengan hanya mengundi PAS" tetapi tidak pernah sembahyang ,berbuat baik, berpuasa sepanjang bulan Ramadhan dan menjauhi larangan Allah SWT itu sebagai kayu ukur untuk menentukan seseorang itu masuk syurga? Jika bukan itu kayu pengukurnya, bermakna mengundi PAS juga boleh dianggap sebagai perbuatan mungkar.
Janganlah terlalu taksub dengan tok-tok guru yang mengajar kerana belum tentu apa yang diajarkannya benar-benar sahih dan menepati kehendak Al-Qur'an dan teladan Rasullullah SWT. Tok Guru Nik Aziz pun bukan teladan terbaik untuk kita kerana dia sanggup menuduh Tuhan samseng, Tuhan juga mencarut, berkawan dengan syaitan dan nakhoda kapal yang diktator. Tidak ada orang boleh membantah, kerana dialah seolah-olah yang betul dan maksum.
Tidak ada sifat maksum yang diberikan oleh Allah SAW ke atas manusia. Sifat itu diberikan oleh Allah SWT kepada para malaikat, kerana malaikat melaksanakan tugas dan amanat Allah SWT tanpa sekelumit pun soalan.
Tok Guru Nik Aziz banyak sekali onarnya. Cuba teliti ucapan-ucapan dan komen pedasnya. Paling terbaru apabila "memerintahkan" Nasharudin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden dan wakil rakyat Bachok kerana nak membuka laluan merundingkan kerajaan perpaduan bagi menjadikan Malaysia makmur, menyatukan tekad menghadapi cabaran semasa dan membundarkan iltizam memperkukuhkan Islam. Mahu tidak mahu, untuk memperkukuhkan Islam perlu merujuk kepada memperkuatkan orang Melayu, kerana 100 peratus orang Melayu itu beragama Islam secara lahir dan batinnya.
Cuba kita uji mengenai orang Melayu. Walau sejahat atau nakal sekalipun, bila sebutkan perkataan babi, orang Melayu akan membenci dan mengutuknya. Tapi, bagaimana dengan Tan Sri Khalid, bila sebut babi dia turut memberikan ruang untuk menempatkan penternakan babi di Tumbuk Darat, Selangor dalam projek moden yang memakan belanja lebih sejuta ringgit. Walaupun bukan duit kerajaan Selangor, tapi mengorbankan kawasan untuk tujuan tersebut adalah juga bermakna bersubahat dengan salah satu larangan besar dalam Islam.
Pengundi Manek Urai boleh fikir. Pengundi Manek Urai tentu lebih faham setakat ini apa yang PAS laksanakan untuk memudahkan urusan mencari rezeki. Sudahkah PAS menyediakan kemudahan seperti mana yang diinginkan? Jika belum, uraikanlah manek-manek yang selama ini menjadi impuls sokongan terhadap PAS. Pas hanya banyak bercakap, seolah-olah kita hanya boleh hidup tanpa perlu bekerja.
Tanpa bekerja mana kita nak belanja sekolah anak?Bila tidak ada duit, mana nak beli beras kerana PAS tidak pernah buat rancangan untuk menanam padi. Dia hanya buat rancangan mengajar tentang agama, tetapi tidak pernah ajar kita bagaimana nak jadikan susu getah sebagai tayar kereta, tilam empok, dan sebagainya. Kalau tak percaya, tanyalah Tok Guru sendiri mana dia?
Cukup dah, PAS telah lama mengsengsarakan orang Melayu Kelantan. Termasuk saya sendiri, yang membesar dalam keluarga PAS totok, tapi bila bercakap mengenai politik sanggup sampai ke pagi. Tapi apabila suruh dan mengajar mengejar ilmu, baca buku setengah jam pun tak terdaya. Buku jatuh atas dada, kerana waktu itu pakai pelita minyak tanah.
Tapi, kerana saya sedar dengan mengikut idealisme PAS saya tidak akan ke mana. Maka saya membuat perhitungan saya sendiri, keluar dari sekolah pondok masuk ke aliran kebangsaan. Akhirnya, walaupun saya tidak boleh jadi ustaz yang amat petah membaca dan mentafsir al-Quran sesuka hati, saya tahu bahawa apa yang dinamakan fadhu ain dan fadhu kifayah. Jika hanya mementingkan fardhu ain, kita mengutamakan diri sendiri. Fadhu kifayah juga harus diutamakan dalam kehidupan kita.
Fadhu ain menghubungkan kita dengan Allah SWT manakala fadhu kifayah, hubungan kita dengan sesama manusia. Maka itulah setiap orang Islam itu bersaudara, sakit peha kiri peha kanan turut terasa ngilunya. Bukan seperti yang dianjurkan PAS, kalau bukan PAS semuanya berdosa walaupun sesama Islam. Bila bukan memakai label PAS berhasrat menyambut seruan penyatuan dan perpaduan, maka berhamburlah kata-kata nista dan celaan. Apakah itu sifat mulia seorang Islam yang dinamakan mukmin?
Saya lebih percaya kata-kata Imam Ghazali berdasarkan beberapa karangannya termasuk Ihya Ulumudin berbanding kata-kata Tok Guru yang bercampur umpatan dan cacian kepada orang yang sehaluan dengannya. Islam membenarkan perbezaan pendapat, malah tidak pernah mengkafirkan mereka yang berbeza pendapat kecualilah yang melakukan perbuatan-perbuatan syirik. Apakah dengan menyokong UMNO itu termasuk dalam perbuatan syirik?
Marilah kita sama-sama uraikan manek-manek yang sekian lama sudah terbelit itu. Kita jadikan manek-manek itu lebih bernilai daripada kristal berjenama Islam yang syumul, agar kita termasuk dalam kategori insanul-kamil.

No comments:

Post a Comment