Datuk Abd. Manaf Haji Ahmad, 75 tahun, bekas wakil rakyat, pejuang UMNO yang bersama menentang Malayan Union pada 14 Februari 1946, sebelum ini menghasilkan beberapa buku sama ada dalam bidang politik Islam dan politik UMNO, kini menyusun pula Kontrak Sosial berasaskan beberapa tulisan penganalisis politik tempatan dan mantan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.
Buku ini pernah diterbitkan oleh Mudah Urus Enterprise pada tahun 2007 dengan jodol Kekal Bersatu di Bawah Konsep Kontrak Sosial sempena ulangtahun ke 50 kemerdekaan negara. Dengan beberapa penambahan, buku asal ini diterbitkan kembali oleh Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd pada tahun ini, iaitu setelah dua tahun edisi pertama diterbitkan.
Setelah membaca kedua-duanya, edisi pertama dua tahun lepas dan edisi terbaru beberapa jam lepas, saya mendapati masih banyak kekurangan. Saya mengharapkan kelemahan-kelemahan dalam edisi pertama dahulu, ejaan yang bercelaru dan hampir setiap muka ada saja kesilapan dapat diatasi dengan pembacaan peruf yang teliti. Alhamdullillah dalam edisi kedua ini ada sedikit perubahan, namun kesilapan ejaan masih terjumpa di sana sini. Begitu juga dengan ejaan nama tokoh, misalnya Lennox-Boyd (ms 221) , Lennox Boyd atau Alan Lennox Boyd (ms 247).
Pada mulanya saya memikirkan orang yang berlainan, tetapi sangkaan saya adalah salah. Seharusnya perlu ditetapkan secara jelas mengenai ejaan terutamanya bagi nama orang. Kesalahan ini mungkin dianggap kecil, tetapi bagi saya ia sesuatu yang amat besar kerana nama tersebut adalah nama khas dan merujuk kepada orang yang sama.
Cara penyusunan buku ini sama ada edisi pertama dan kedua saya tetap beranggapan ianya masih bercelaru kerana adakalanya melompat-lompat dan berulangan di bab yang lain. Ini menyebabkan saya kadangkala keliru dan memaksa saya merujuk kepada sumber lain (terutama sumber asal bahagian tersebut diperoleh). Sebahagian besar sumber tulisan yang diambil oleh penulis, terutama buku-buku yang disebutkan di hampir setiap muka surat saya menyimpannya.
Jika tujuan penulisan atau penyusunan buku ini untuk generasi muda, saya berpendapat ia akan gagal. Setiap rentetan peristiwa yang tulis itu tidaklah memberikan gambaran yang cukup berkesan, hanya sekadar menonjolkan inisiatif dan langkah-langkah yang diambil. Seharusnya lebih analisis diberikan, tambahan pula cara penulisan dan gayanya kurang menarik.
Saya berpendapat membaca kembali buku tulisan Tunku Abdul Rahman, iaitu Looking Back (diterbitkan oleh Pustaka Antara pada tahun 1977 atau 1978 atau edisi terjemahan, Coretan Kenangan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj:Tahun-tahun Penting bagi Malaya dan Malaysia, terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, 2007); Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu, terbitan Pustaka Antara 1981; Mubin Sheppard, Tunku: His Life and Times, Pelanduk Publications (M) Sdn. Bhd 2007; Ooi Kee Beng, Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Times, ISEAS, Singapura 2007; dan Ramlah Adam, Dato' Onn Jaafar: Pengasas UMNO, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2005 dan UMNO: Organisasi dan Kegiatan Politik 1946-1951, Nawi Book Store, Kota Bahru, 1978 lebih menarik dan berkesan berbanding buku susunan atau tulisan Dato' Abdul Manaf ini.
Buku-buku tersebut merupakan sumber utama petikan yang digunakan oleh Datuk Abdul Manaf sepatutnya menjadi lebih baik dan menarik jika disusuli dengan analisis berdasarkan pengalaman beliau yang pernah berjuang dan matang dalam politik UMNO. Seharusnya pengalaman beliau bersama menentang Malayan Union pada tahun 1946 dijadikan sebagai daya penarik utama orang membaca buku ini.
Saya yang cuba mencari kelebihan dan keistimewaan buku tidak menemui sebarang perkara yang tidak terdapat dalam buku-buku yang dirujuk dan dijadikan asas petikan oleh pengarang. Sebelum meneruskan pembacaan mengenai rundingan atas kapal perang British, hasrat membakar Lake Club (Kelab Taman Tasik) dan sebagainya, saya sudah membuat telahan bahawa pengarang cuba mengulangi apa yang pernah ditulis oleh lain-lain penulis lebih awal.
Sangkaan saya memang benar, kerana tidak ada fakta baru sebaliknya gambaran yang cuba dilakukan lebih mengecewakan berbanding lain-lain penulis yang lebih awal merakamkan peristiwa-peristiwa tersebut.
Saya umumnya, saya menganggap penyusunan atau penulisan buku ini tidak berbaloi kerana hanyalah mengulangi apa yang pernah ditulis oleh orang lain tanpa melibatkan tafsiran dan analisis baru yang lebih meyakinkan orang muda mengenai rentetan sejarah yang membawa kepada pemuafakatan kontrak sosial.
Anak saya menganggap buku ini hanyalah sebuah beberan sejarah orang tua untuk memaksa anaknya mendengar, tetapi sayangnya anak itu hanyalah merasakan ia tidak mampu menjejaki nuraninya. Jika begitu, ia harus disusun, disunting dan ditulis kembali berdasarkan gaya penulisan baru yang lebih memancing minat membaca orang muda ataupun generasi pertengahan umur yang lahir selepas merdeka, yang merupakan lebih separuh penduduk negara ini dan perlu ditanam dengan nilai-nilai sejarah.
No comments:
Post a Comment