Wednesday, January 27, 2010

semua mahu masuk syurga Tok Guru

Oleh AZRAN FITRI RAHIM dan ASMA HANIM MAHMOOD
pengarang@utusan.com.my

BERGEGAR tiang-tiang khemah di hadapan Pejabat Perhubungan Pas Negeri Kelantan pada 15 Januari lalu apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memuntahkan amarahnya kepada laporan muka depan Mingguan Malaysia mengenai 'cah keting' yang disiarkan pada 17 Januari lalu.

"Kalau tak minta maaf, aku tak maaf, akhirat kelak mu (kamu) masuk neraka," rujuk Menteri Besar Kelantan itu kepada wartawan yang membuat laporan.

Mungkin Nik Abdul Aziz terlupa, sebagai politikus paling utama di negeri ini bahkan Malaysia, setiap kali beliau 'berdehem' itu juga adalah satu bahan berita apatah lagi apabila tiba-tiba menggunakan 'cah keting' untuk memberi maksud kepada doa yang dibaca.

Yang pastinya laporan yang tercetus adalah reaksi kepada doa yang diterjemahkan beliau sendiri pada minggu sebelumnya.

Malah berikutan laporan tersebut, beberapa pimpinan Pas turut mengakui wujudnya budaya cantas mencantas dalam parti itu, termasuklah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hasan Tantawi, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa dan Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir.

Jika merenung kembali kemelut berpanjangan bermula November lalu yang melibatkan kerajaan negeri dan Pas telah mengesahkan sememangnya berlaku 'cah keting' atau cantas mencantas dalam parti itu sendiri.

Sekiranya tidak, masakan semua masalah yang berpaksikan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu timbul. Semuanya berpunca dari dalam pentadbiran Nik Abdul Aziz sendiri malah turut mengheret sekali ahli keluarganya yang menggunakan medium baru 'blog' untuk menghentam individu tertentu.

Malah satu persatu isu sejak PMBK meletup ibarat gunung berapi memuntahkan lavanya sehingga tidak mampu lagi ditahan, telah membuatkan tok guru membacakan doa untuk melindungi diri daripada ditikam dari belakang. Jadi untuk apa Nik Abdul Aziz marah dengan laporan Mingguan Malaysia itu.

Kalau dilihat hari ini, apakah yang Nik Abdul Aziz atau Pas perlu marah sebenarnya? Sejak keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, komen mereka dicari dan Pas diberi ruang tanpa henti oleh akhbar arus perdana termasuk Utusan Malaysia.

Bak kata Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, ia adalah satu promosi yang sangat menarik kepada Pas sendiri.

"Kita dapati sebaik sahaja tiga hari selepas pilihan raya umum 2008 sampailah ke hari ini (iaitu 22 Januari 2010), akhbar belum habis bercakap tentang Pas. Ini satu hadiah yang sangat besar, kerana hampir 20 tahun mereka tak bercakap tentang Pas, jadi pendedahan tentang cah keting bukanlah masalah," katanya ketika ditemui selepas kuliah pagi Jumaat Nik Abdul Aziz baru-baru ini.

Dr. Abu Hassan berkata, tugas wartawan dan media adalah menjaga tamadun dan mereka adalah golongan yang membijakkan masyarakat.

Ujarnya, laporan mereka tidak sepatutnya dilihat sebagai satu ancaman kepada mana-mana pihak.

Katanya lagi, wartawan hanya menjalankan tugas mereka semasa membuat laporan dan semua pihak terutamanya Pas tidak sepatutnya memandangnya dari sudut yang negatif.

"Jika tidak suka, tidak perlu marah dan tidak perlu layan. Bila akhbar laporkan perkara-perkara begini, anggapkan ia sebagai hiburan.

"Wartawan itu tugas dia, sebab saya kata tadi, tugas seorang wartawan adalah menjaga tamadun. Kenapa kita nak mengecohkan, mengapa kita mencari negatif, kenapa tak cari positif di sebaliknya," katanya.

Kita semua mahu masuk syurga Tok Guru!

dipetik dari Utusan Malaysia, 28 Januari 2010

No comments:

Post a Comment