Tuesday, January 5, 2010

MENGENANG LEGASI TOK MAT

Saya bukanlah rapat sangat dengan Allahyarham Tok Mat. Tetapi Tok Mat memang saya kenal bukan sahaja sebagai Menteri Penerangan, tetapi juga sebagai rakan. Walau pun saya lebih muda, sesekali beliau turut bergurau dengan kami. Dalam keadaan tertentu, beliau sering mengajak kami berborak dan bersembang, dari perbualan secara tidak formal itulah lahirlah idea bernas, termasuk bagaimana nak meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin.

Seringkali semasa melakukan kerja-kerja secara berpasukan dan tanpa mengenal erti waktu pejabat, Tok Mat pasti menjengok kami. Tok Mat tahu menghargai kakitangannya yang bertungkus lumus menyiapkan atau menjayakan sesuatu program, dan setiap kalinya dia akan mengaturkan sesuatu sebagai penghargaan.

Kami masih ingat, bagaimana idea Semarak itu mula-mula tercetus. Ianya bermula dengan cakap-cakap beberapa orang dari kami di atas sebuah kusyen van lama (volkswegen combi, vannya sudah lama dilupuskan. Waktu itu, tidak ada kerusi yang empok seperti sekarang di ruang pejabat)yang berada di laluan tingkat 6. Mulanya dengan meneliti pola sokongan dan kami mendapat idea, pemimpin mesti turun ke bawah jika mahukan rakyat menghormatinya. Pemimpin tidak perlu menjauhkan diri, kerana kami mengambil falsafah "ular menyusur akan tidak akan hilang bisanya."

Beberapa hari kemudian idea terseebut telah sampai ke pengetahuan Tok Mat oleh seseorang. Idea itu mula dikembangkan, menjadi program setia. Ikatan kesetiaan perlu bermula dalam kakitangan Kementerian Penerangan terlebih dahulu sebelum dikembangkan kepada lain-lain agensi. Kerana itu, tidak memakai lencana setia dianggap satu kesalahan besar ketika itu.

Upaya itu kerana ada sedikit masalah kepimpinan politik. Saya teringat bagaimana Tok Mat bersungguh-sungguh untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Tun Dr. Mahathir apabila wujudnya Team A dan Team B. Ramai juga kakitangan Istana Kayangan (alias Angkasapuri) yang memilih menyokong kumpulan tertentu. Setelah tewasnya Team B, banyak cakap-cakap mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.

Selepas ramai pemimpin besar tidak bersama Tun Dr. Mahathir, Tok Mat mendapat ilham bagaimana untuk memulihkan kembali penyatuan dan perpaduan di kalangan pemimpin dan masyarakat. Dari situlah akhirnya satu program pemimpin bersama rakyat atau secara tentatifnya dinamakan pemimpin turun ke bawah, kodnya ialah turba.Idea asalnya ialah cadagan dilaksanakan di peringkat DUN , kemudiannya dikembangkan ke peringkat parlimen dan setelah semua selesai, barulah diadakan di peringkat negeri. Ternyata cara itu meletihkan dan memakan banyak belanja, Tok Mat akhirnya membuat keputusan untuk memulakan peringkat kebangsaan dan kemudiannya dikembangkan peringkat negeri, seterusnya parlimen.)

Landasan kepada program tersebut ialah mengembalikan nilai-nilai kesetiaan dan keyakinan kepada pemimpin. Dari situlah kemudiannya lahirnya lagu Setia (liriknya sumbangan Datuk Dusuki Ahmad, ketika itu Setiausaha Parlimen) lagu wajib yang sentiasa dinyanyikan. Diperkenalkan pula perhimpunan setia, setiap awal pagi hari pertama setiap minggu. Dalam perhimpunan itu kakitangan bawahan diberi peluang untuk menyampaikan suarasanya tanpa banyak sekatan. Cuma dihadkan kepada beberapa orang setiap minggu. Radio dan Televisyen diwajibkan menyiarkan lagu tersebut secara berulang-ulang dari pagi sampai malam.

Satu lagi kewajiban yang perlu ialah setiap kakitangan perlu memakai lencana setia. Pasukan keselamatan turut diarahkan memeriksa kakitangan yang keluar masuk memakainya.Setelah program tersebut menjadi semakin luas, diperluaskan menjadi program Semarak --Setia Bersama Rakyat. Kalau tidak silap, orang yang memberikan idea kependekan program tersebut ialah Datuk. Dr. Mohd Noor Ghani, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan ketika itu.

Program itu turut memberikan peluang kepada Perdana Menteri untuk bersama-sama rakyat, tetapi bukanlah di kawasan yang maju. Pilihan tempat ialah kawasan yang luar bandar yang jauh dengan kemudahan infrastruktur, bagi membolehkan pemimpin turut merasai kesukaran masyarakat luar bandar. Tempat pertama ialah Lubuk Jong, dalam kebun getah.

Program tersebut juga digerakkan bersama oleh kerajaan-kerajaan negeri. Mungkin waktu itu Tok Mat lebih mudah mendapat kerjasama daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan, iaitu Tan Sri Hussein Ahmad, kerana itulah dipilihnya Lubuk Jong.
Maka membaralah program semarak sehingga menjadi satu ikon baru Kementerian Penerangan. Kejayaan program Semarak turut dirakamkan oleh seorang penulis yang menulis buku Barisan Nasional: The Second Generation.

Untuk mendapat gambaran menarik mengenai usaha mencetuskan gagasan Semarak dan memulihkan keyakinan masyarakat kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir, kita boleh membaca autobiografinya sendiri yang dilancarkan bulan November lalu. Tajuknya juga amat menarik, Akhir Sebuah Impian, juga merupakan tajuk sebuah filem muzikal Indonesia yang pernah mendapat sambutan hangat di Malaysia, malah mempopularkan Broery Marantika dan Emilia Contessa.

Satu lagi ikon yang memangnya tidak terhapus dalam lambakan memori saya ialah bagaimana kakitangan Kementerian Penerangan berpadu tenaga untuk menyiapkan bendera gergasi. Bendera tersebut dijahit sendiri oleh kakitangan secara bergilir-gilir dan diselimutkan gagah bangunan Wisma TV. Bukan sahaja merupakan rekod bendera terbesar, malah mempopularkan pula satu lagi patriotik, mengenai benderaku.

Tok Mat amat percaya kuasa lagu, istilah yang digunakan oleh beliau ialah "song power", dan kerana itu banyak lagu-lagu patriotik muncul selepas itu. Kerana percayakan kepada kuasa lagu, Tok Mat turut menggunakan lagu untuk memprojekkan satu lagi agenda negara, iaitu kempen teknologi maklumat. Dengan menggunakan wajah manis dan riang Siti Nurhaliza, kempen IT semakin rancak dan kini telah berkembang luas.

Malah yang paling diingati mengenai Tok Mat ialah bagaimana beliau membina kembali keyakinan rakyat terhadap UMNO. Ketika UMNO bergolak Tok Mat muncul untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan pelbagai idea, tapi, sayangnya apabila UMNO tenang, Tok Mat semacam terbuang. Itulah agaknya yang dirumuskan melalui biografinya, Akhir Sebuah Impian.

Mungkin Tok Mat melihat kedudukan politiknya sama dengan harapan Emilia Contessa semasa menjalani kegelapan pandangan. Broery yang melanggarnya menyebabkan dia buta, mengambil peluang untuk menebus dosa, dan terus melayan Emilia dengan baik. Maka Emilia tetap mengharapkan Broery akan menjadi teman hidupnya, tetapi setelah usaha mengembalikan penglihatannya, Broery mula bimbang sama ada Emilia mengingatinya atau tidak, sebenarnya dialah yang melanggar dan menyebabkan buta. Impian hidup sebagai pasangan suami isteri berakhir, itulah juga berakhirnya riwayat politik Tok Mat apabila pada tahun 1999 tidak lagi bertanding.

Ketika itu UMNO sudah kembali tenang, dan tugasnya sebagai Setiausaha Agong UMNO menghidupkan semula UMNO dan memperkuatkan UMNO (Baru), memberikan keyakinan kepada pemimpin dan menggerakkan budaya IT tidak lagi diperlukan. Tok Mat menjadi rakyat biasa dan mengumpulkan bahan menulis buku tersebut dengan nada keras dan bergurau, sama seperti sikapnya semasa menjadi Menteri.

Tok Mat suatu ketika pernah dikaitkan dengan kumpulan Ghafar Baba, tetapi dalam senario pemilihan jawatan tertinggi yang paling hebat, Tok Mat sudah berubah. Waktu itu, Anwar Ibrahim mencabar Ghafar Baba, setelah Musa Hitam meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan Dr. Mahathir terus melantik Tengku Razaleigh dalam kabinet, sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Walau bagaimanapun, dalam pemilihan pucuk pimpinan parti pada tahun 1987, Tengku Razaleigh dan Musa Hitam bergabung tenaga untuk mencabar Dr. Mahathir dan calon-calon tertentu. Setelah tewas, akhirnya Tengku Razaleigh meletakkan jawatan sebagai Menteri manakala kumpulan 11 mencabar keputusan pemilihan UMNO di Mahkamah. Hakim Ajaib Singh akhirnya membuat keputusan, UMNO adalah tidak sah, maka bermulalah episod baru UMNO.

Tok Mat menjadi penyokong kepada kumpulan wawasan, dan kumpulan itu menang besar sehingga Anwar Ibrahim seterusnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apabila berlaku krisis pada tahuan 1998, gema serunai penerangan tidaklah begitu lantang. Tidak banyak program seumpama Semarak dilancarkan, kerana bijak pandai memikirkan ia memangnya tidak sesuai dengan masa dan ketika, atau kata Tok Mat SIKOTOL (situasi, kondisi dan toleransi).

Penggunaan bunga manggar atau hiasan bunga kebangsaan di lampu jalan juga merupakan satu lagi legasi yang dimulakan oleh Tok Mat, termasuk meminta supaya pokok Semarak Api ditanam di semua premis kepunyaan Kementerian Penerangan. Padang Semarak terus menjadi kenangan abadi kerana di situlah bermulanya perhimpunan setia, battle of the rock (menjadikan tempat anak muda yang menganggotai kumpulan membuat persembahan setiap malam minggu). Setiap akhir tahun Angkasapuri sentiasa menjadi tumpulan, kerana berlangsunnya Minggu Penyiaran dan Elektronik, Karnival Kampongku, dan sebagainya, sehinggalah Tok Mat pernah digelar Mat Pesta, kerana banyak menganjurkan pesta di perkarangan Angkasapuri.

Rumah kayu yang masih kedapatan di Angakasapuri, masih menjadi legasi Tok Mat. Pada zamannya terbina rumah-rumah tersebut, untuk kegunaan wartawan (Rumah Wartawan), untuk mesyuarat pegawai tinggi (Rumah Eksekutif), untuk kegunaan Puspanita (Rumah Puspanita) dan seterusnya kanak-kanak (Cumi dan Ciki).

Walaupun Tok Mat sudah pun meninggalkan ramai kenalan, ingatan kakitangan kepada Allahyarham masih kekal. Allahyarham bergaul dengan sesiapa sahaja, tanpa protokol. Allahyarham tetap bergurau dengan setiap kakitangan apabila bertemu, dan tatkala melaksanakan kerja-kerja yang memenatkan, tidak terasa, Tok Mat tetap hulur sebagai tanda terima kasih.

Suasana seperti itu tidak lagi terasa. Ramai yang membuat komentar, kerja tidaklah banyak seperti zaman Tok Mat, tetapi tension terlalu banyak. Ini kerana banyak sangat arahan dan kekangan, tetapi tiada motivasi. Mungkin juga benar, tetapi sekurang-kurangnya Tok Mat akan terus dikenang dan disedekahkan al-Fatihah oleh setiap kakitangan dan bekas kakitangan yang pernah bersamanya.

Saya tetap doakan semoga Allah SWT memberikannya perlindungan dan kesejahteraan. Tok Mat akan diterima di sisi-Nya. Amin.Kepada seluruh keluarga Tok Mat, saya ucapkan takziah.

1 comment: