Monday, January 4, 2010

si BOTAK dan si BONGKAK

Biarlah saya mulakan dengan cerita si Botak. Saya namakannya si Botak kerana memangnya ramai orang memanggil dengan nama itu di belakangnya. Bila berdepan, tidak seorang pun yang berani memanggil gelaran itu. Si Botak mempunyai kedudukan yang tinggi, kerana si Botak mempunyai kuasa, sekurang-kurangnya boleh menyebabkan si gentle dan si smart sesekali panas apabila dia bertindak.

Tapi yang sedihnya si Botak mempunyai lingkungan sahabatnya yang paling kuat mengampu. Sahabatnya tahu, tanpa kuat mengampu kedudukan di tempatnya akan menjadi celaru dan sesekali gerun juga dibuatnya. Bukan sahaja ditukarkan ke tempat-tempat yang sukar, tetapi boleh dinyahkan begitu, kerana dia mempunyai kuasa.

Sudah ada orang yang kena petisejukkan. Tapi kerana menjaga aura orang itu maka dilantiklah ke jawatan yang tidak pernah wujud, sehinggalah sampai masa untuk pencen. Si Botak boleh lakukan, kerana didorong oleh semangatnya yang satu, membina laluan agar terus diberikan peluang untuk memimpin.

Si Bongkak pula ialah berwajah ayu tetapi sayangnya tidak pernah mahu mendengar. Setiap kali dia bercakap mesti orang sambutnya dengan kata-kata "yes boss" atau arahannya dijawab "alrigth boss." Selepas itu, ramailah yang mengeluh kerana tidak dapat lakukan, kerana memangnya sesuatu yang sukar dan di luar lojik semasa.

Beberapa hari kemudian diulang kembali sejauhmanakah arahannya terlaksana. Semak dan kaji, rupa-rupanya sudah ada yang sasau dibuatnya. Tetapi si Bongkak terus berkata, kalau tidak mampu berhenti sahajalah, tetapi sebenar merujuk kepada kegagalannya sendiri. Dia memberikan arahan yang kurang difahami dan tidak munasabah. Dia hanya tahu sesuatu yang diminta itu dikerjakan tanpa banyak halangan, hatta yang ada hanyalah beberapa orang.

Anatar si Botak dan si Bongkak, wujud pula segolongan yang suka mengambil peluang. Mereka ini akan cuba memberikan komentar, kononnya orang itu tidak bagus dan orang itu hampas, yang terbaik ialah dirinya sendiri. Tujuannya jelas, melilaulah orang lain, kerana mereka inilah sebenarnya akan mudah melonjak ke atas. Tanpa memikirkan banyak prosedur, mereka boleh lakukan hatta membina syarat baru.

Berbanding dengan sesetengah orang terpaksa menerima seadanya. Nak naik ke atas, banyak halangan termasuk dikenakan tapisan dan temuduga tertentu. Tetapi, dalam sesetengah hal, ianya tidaklah seindah yang dilihat, temuduga hanyalah sekadar nak membuktikan prinsip kesaksamaan. Sudah ada calon sebelum keputusan sebanar temuduga kerana itulah pilihan di ketua.

Kita pun membilang hari, benarkah apa yang pernah ditelah itu menjadi kenyataan. Tup tap, nyatalah adanya. Maka kita pun yang tidak tersenarai menjawab tenang, itu bukan rezeki, maka biarlah. Tentunya ada peluang yang lain, maka kita pun menjadi tenang semula, asalkan tidak disergah si Botak dan dijelantarkan si Bongkak, kiranya oke tu.

Kita pun buat bodoh, tapi bukannya bodoh selama-lamanya. Suatu hari, yang bodoh ni juga akan dicari kerana yang cerdik sudah menumpang di dahan lain yang lebih subur dan hijau daunnya. Tak apa le, dah nasih, maka kita pun terus menelan air liur sendirian, doakanlah diri sendiri sentiasa sihat dan tidak dilanda stress. Akhirnya, kawan kita yang menjadi pelobi dan mencuri peluang sedang menerima rawatan akibat stress. Syukurlah,w alaupun umur pencen semakin hampir, kesihatan masih belum terganggu dan boleh berjalan kaki lebih 2 kilometer sehari.

Terima kasih ya Tuhan, Engkau telah memberikan kekuatan dan tidak menjadikan aku sebagai Si Botak dan Si Bongkak atau gabungan kedua-duanya sekali. Ya Allah, lindungilah segalanya, kerana aku sebenarnya masih memerlukan bimbingan-MU, aku masih kenal erti keluhuran dan kejujuran, berbanding mereka yang telah melupakan nilai-nilai demi melonjakkan diri dan kedudukan.

No comments:

Post a Comment