Tuesday, February 2, 2010

FEBRUARI, BULAN KASIH SAYANG

Ketibaan bulan Februari tentunya amat dinantikan oleh pasangan teruna dara. Bulan Februari menjadi titik sejarah bagi mereka yang berhasrat atau meraikan kekasih. Kerana 14 Februari telah dipilih sebagai hari mengingat kekasih, maka hari-hari lain kita semacam tidak perlu melakukannya.

Hari memperingati kekasih adalah tradisi yang terlalu kuno, yang seharusnya tidak lagi kita rayakan. Kita tidak perlu mencari satu hari sebagai mengingati seseorang yang pernah berkasih, sedang menjadi kekasih hatta gundek atau sebagainya, kerana tradisi itu bermula dengan perebutan seorang wanita cantik, iaitu di zaman Greek.

Bayangkanlah zaman Greek, dan bukannya Grik, Perak. Kalau Grik Perak, dapatlah kita memahami bahawa ramai juga lelaki gatal akan melepasi sempadan itu untuk ke Pengkalan Hulu hingga melepasi sempadan dua negara. Untuk apa mereka ke situ, anda sendirilah yang boleh membukakan simpulan hajat itu.

Tapi, bagi saya Februari ini juga bakal membongkar banyak rahsi yang ingin kita tahu. Salah satunya ialah apabila cubaan untuk menangguhkan atau menggugurkan dakwaan Saiful Bakhari Azl telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi semalam setelah 18 bulan dicuba oleh Anwar Ibrahim.

Bayangkan, bagaimana dan apa yang berlaku sepanjang lapan belas bulan sejak dituduh menjadi peliwat bekas pembantu peribadinya sendiri. Saya sendiri sudah tidak sanggup lagi membatu untuk memperkatakan ketegaran Saiful membawa kes itu ke mahkamah. Walaupun, Anwar menang dalam kes pertama lebih sepuluh tahun lalu, atas keputusan mahkamah, kerana masalah teknikal, masih belum terjawab apakah berlaku dakwaan tersebut antara beliau dengan pemandunya, Azizan, adik angkatnya Susmita dan penulis ucapannya, Dr. Anis.

Setelah mengikuti pelbagai tulisan mengenai pembicaraan terdahulu, termasuk sebuah buku yang mempamerkan hujah dan kisah sepanjang jalan berliku di mahkamah, Anwar On Trial, yang diterbitkan tahun lalu oleh Strategic Information Research Department, kita masih belum menemui jawapan jelas apakah tuduhan liwat itu telah berlaku. Yang dapat kita baca ialah hujahan yang banyak melibatkan pencarian bukti secara teknikal. Kemenangan Anwar pada kes tersebut lebih berbentuk teknikal, berbanding peristiwa itu sendiri.

Kita pun mengharapkan perbicaraan kali ini lebih memusatkan kepada kebenaran dakwaan, kerana Saiful yang menjadi mangsa membuat pengakuan dan sanggup menghadapi apa sahaja. Beliau telah lama bersedia, kerana beliau yakin kebenaran akan menjelma akhirnya, ibarat cahaya di hujung terowong. Berbeza dengan kes lain, tidak seorang pun mereka yang terlibat tampil membuat aduan. Perbicaraan itu hanyalah berdasarkan hasil siasatan pihak polis, dan kerana itulah Anwar lebih dipercayai menjadi mangsa satu konspirasi.

Kali ini walaupun ada leteran, dakwaan Saiful itu sebagai siri konspirasi untuk tidak memudahkan laluan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, nampaknya jalan untuk merintis ke Putrajaya menjadi semakin sulit dan terpaksa mengambil selekoh yang semakin tajam. Anwar mesti melepasi perbicaraan kali ini yang khabarnya akan mengambil ruang dan masa yang panjang. Apabila dibicarakan, akan banyaklah perkara yang akan kita ketahui.

Yang menjadi bahan bukti akan dibawa ke Mahkamah, dan kerana bahan buktilah itulah Anwar sanggup berhabisan mempertahankan keinginannya di Mahkamah, sehinggalah peguam utamanya, Karpal Singh memberitahu bahawa perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijalankan petang ini (3 Februari 2010).

Menurut Karpal Singh, selepas menemui Presiden Mahkamah Rayuan di sini pagi ini, Tan Sri Alauddin akan menetapkan satu tarikh dalam minggu ini bagi menentukan satu semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Anwar untuk mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan bagi tujuan pembelaannya.

Pagi semalam, pasukan pembelaan Anwar mengemukakan permohonan agar keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat pada 29 Januari lepas itu, disemak semula.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah, yang diberitahu mengenai permohonan semakan semula itu, menetapkan agar perbicaraan bermula pada 2.30petang ini setelah menolak permohonan Anwar supaya ia ditangguh.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Permatang Pauh, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. Maka akan bermulalah episod seterusnya di Mahkamah, dan kita pasti akan mahu mendengarnya kerana ia melibatkan dua perkara, pertama ialah sama ada Anwar bersalah atau tidak.

Jika Anwar bersalah, tentunya moralnya akan memudarkan harapan untuk menjadi Perdana Menteri dan Pakatan Rakyat akan semakin berpecah. Jika Anwar menang, maka semakin melebarkan harapannya, dan tentu sekali Pakatan Rakyat memperoleh kembali sokongan setelah beberapa tindakan pemimpin dan penyokongnya semakin kehilangan arah. Ada yang menganggap, PKR dan Pakatan Rakyat ibarat "retak menanti belah", maka kemenangannya nanti membolehkan parti itu menanjak kembali.

Tetapi yang lebih penting ialah, kita boleh bertanya kepada Karpal Singh sendiri, apakah beliau sudah menukarkan pendiriannya terhadap Anwar yang pernah dikatakan telah menimbulkan banyak masih dan perludi singkirkan suatu ketika dahulu? Dalam hal ini, kenapa nak mempertahankan orang yang banyak "trouble" itu?

Namun, mungkinkah permulaan Februari yang cerah ini akan memberikan petunjuk kepada Saiful bahawa kebenaran akan menjelma nanti. Kita doakan semoga Saiful berjaya membuktikan dakwaannya, dan beliau sebenarnya bukan sengaja mereka-rekakan cerita. Berjuang menegakkan kebenaran, meskipun perjuangan tersebut terpaksa ditempuhi dengan ranjau dan duri.

Sekuntum mawar merah, sebuah puisi di bulan Februari, untuk Saiful Bahri..........

No comments:

Post a Comment