Saturday, May 23, 2009

BERMULALAH SATU EPISOD BARU PENANTI

PRK Penanti, suis perlumbaan sudah pun bermula. Setakat maklumat yang diterima hanyalah gerombolan petugas kempen PKR yang memulakannya tapi masih dalam gear pertama. Tapi mungkin di sepanjang perlumbaan selama sembilan hari ini ferrari kepunyaan PKR tak sempat nak masuk gear lima.

Pemandunya tidaklah sehebat Lewis Hamilton ataupun Hakinen dua beradik. Mansor nampaknya tidaklah sehebat mana, di lihat daripada kedutan dan garis-garis usianya, tak mampu lagi untuk berlari sederas raja pecut Malaysia yang pernah mencipta nama, Rabuan Pit. Mungkin kuasa angin yang ditalakan oleh pengaruh DSAI yang boleh membantu memberikannya kemenangan.

Pernah kalah bertanding. Jadi Setiausaha politik DSAI pun tak lama. Tapi mungkin kerana banyak bercakap mengenai politik secara ilmiah, pernah mengajar dan belajar sains politik , itulah modal yang ada padanya. Nak kata mempunyai ciri-ciri primodial dalam masyarakat Penanti, Mansor tidak ada apa pun. Dia orang Kedah,......

Mungkin Mansor akan menerima pukulan kilas oleh calon Bebas, yang dulunya banyak tahu mengenai perjuangan PKR. Aminah Abdullah, walaupun namanya agak berbau klasik, jangan lupa mampu menggugat kempen PKR kali ini. Dia tahu banyak, kerana pernah memimpin wanita PKR suatu ketika dulu, iaitu sebelum bosan dengan "catur politik dalaman PKR."

Calon-calon lain, iaitu tiga orang lagi atas tiket Bebas, rasanya tidak banyak membantu menggugat PKR, kecualilah penyokong-penyokong PAS Penanti melaksanakan "undi protes" dengan tidak mengundi calon PKR. Penanti merupakan satu-satunya kawasan tradisi dan kubu PAS di Pulau Pinang.

Ada yang bertanyakan saya, antara Mansor atau Aminah, siapa yang saya akan pilih. Jawapan saya hanyalah mudah, jika saya membuat pilihan pun pilihan saya tidaklah tempat. Saya bukanlah pengundi DUN Penanti, walaupun ada beberapa orang kaum kerabat yang mengundi di sini. Saya orang luar, tapi saya kerap mengunjungi Pulau Pinang, dan banyak juga pengetahuan mengenainya.

Mansor saya kenal dia. Saya kenal kerana dia pernah calon Keadilan dalam PRU 2004 di bahagian Pulau, tapi tewas. SAya pernah jumpa dia dan bercakap dengan dia sebelum memilih untuk bertugas sebagai Setiausaha Politik DSAI pada tahun 1997. Dia pernah berikan "kad niaganya", dan saya dalam diam membuat komen bahawa " akan hilanglah sengat akademiknya".

Bila bossnya disingkirkan, saya sekali lagi membuat ulasan secara diam "sayang, tidak lama jadi setiausaha politik. Belum pun cukup satu penggal. " Akhirnya saya jumpa beliau bersendirian beberapa kali di pasar Ramadhan sekitar pasar Bayan Baru dalam tahun 2000.

Puan Aminah saya tidak kenal secara peribadinya. Tapi berdasarkan "apa yang dicakapkannya" selepas penamaan calonnya disahkan oleh SPR, maka jelaslah banyak kisah yang bakal dipaparkan mengenai PKR. Saya menunggu, bukan sahaja tidak sabar, tapi akan saya analisis setiap hari di sepanjang kempen di Penanti ini. Meskipun tidak semuanya akan saya tulis, mungkin akan menjadi bahan yang amat berguna suatu hari nanti.

Mungkin boleh saya dokumenkan menjadi sebuah memoar mengenai sejarah perjalanan politik Malaysia sejak merdeka hinggalah ke PRU 13, insyaAllah.

No comments:

Post a Comment