Setiap kali tiba tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad SAW, setiap kali itulah kita diseru, dipapar, diminta, dianjurkan supaya meneladani peribadi mulia yang telah meninggalkan pengaruh yang besar dalam peradaban manusia, melangkaui semua sejarah manusia teragung baik dalam sumbangan pemikiran, tingkahlaku, kehidupan peribadi, kepimpinan, kemasyarakat mahupun kebijaksanaan membuat sesuatu keputusan.
Mungkin kita pernah mendengar pujian apabila Michael H.Hart meletakkan Nabi Muhamad SAW adalah manusia yang berada dalam urutan pertama sebagai manusia yang paling berpengaruh dalam sejarah. Mungkin juga kita pernah mendengr kata-kata Mahatma Gandhi yang melihat Nabi Muhamad SAW sebagai manusia yang paling agung dan berkeperibadian paling mulia, sehingga turut menjadi faktor motivasi segala tindakan dan keputusan bijaksana dalam memimpin rakyat India menuntut kemerdekaan.
Di celah-celah kekalutan kehidupan moden, yang diterjah dengan ganasnya oleh pelbagai aliran pemikiran dan sikap sinis (sama ada dalam kalangan kumpulan-kumpulan Islam sendiri ataupun bukan Islam), terasa kita sebenarnya masih mencari-cari sosok peribadi yang boleh dijadikan idola. Sosok peribadi yang saban hari muncul dalam zaman ini ternyata kurang menyenangkan, kerana adakalanya seseorang yang kita harapkan menjadi peneraju, akhirnya tidak pernah konsisten dalam setiap kali mengambil keputusan.
Lantas, saya mencari dari sudut sejarah. Mencari dari pelbagai sumber yang pernah dituliskan (terutamanya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu – termasuk terjemahan dari pelbagai bahasa asal— serta Indonesia), saya menemukan banyak sekali penulisan mengenai Nabi Muhamad SAW. Untuk membaca kesemua bahan-bahan tersebut, saya terasa amatlah sukar dan meletihkan, namun dari hampir tiga puluh buku kesemuanya, sesekali saya merasakan tidak banyak yang menyentuh emosi.
Saya mungkin tidak tersentuh dengan tulisan Nik Aziz mengenai Nabi Muhamad SAW, tetapi saya lebih memahami dengan baik dua buku karangan Karen Armstrong (keduanya telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia), yang banyak meminjam sumber-sumber klasik yang dikumpul dan dianalisis oleh Martin Lings (Abu Bakar Sirajudin). Terjemahan ke bahasa Melayu karya Martin Lings sudah pun diterbitkan dua tahun lalu sedangkan dalam bahasa Indonesia telah lama menjadi bahan bacaan, beberapa kali diulang cetak dan semakan.
Begitu juga dengan hasil tulisan Muhamad Hussain Heykal,
Hayat Muhamad (pertama kali diterbitkan pada tahun 1933 dan dianggap sebagai sebuah penulisan biografi terbaik), yang berasal dari bahasa Arab dan diterjemahkan oleh Ali Audah dalam bahasa Indonesia turut menjadi sumber rujukan penting, walaupun adakalanya terasa berat dan memenatkan. Setelah lama saya terhenti membaca dan mendapatkan buku mengenai Nabi Muhamad SAW, awal tahun ini saya membeli sebuah buku karangan Tariq Ramadhan, yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia pada tahun 2007 oleh R.Cecep Lukman Yasin.
Pada mulanya saya tidak begitu tertarik, sama ada hiasan kulit dan saiznya, tetapi yang mendorongkan saya membelinya ialah kerana pengarangnya merupakan cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, Hassan al-Banna. Saya ingin meninjau apakah tulisannya kali ini mampu menggugat atau meruntum emosi pembacaan saya setelah dikecewakan dengan bukunya terdahulu,
Teologi Dailog Islam-Barat:Pergumulan Islam Eropa (terjemahan Indonesia diterbitkan pada tahun 2002).
Setelah berjaya menghabiskan bab pertama buku
Muhamad: Rasul Zaman Kita, perasaan saya menjadi begitu tersentuh. Tariq berjaya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai penulis yang baik melalui sentuhan emosi yang kuat. Sebagai Presiden Jaringan Muslim Eropah, Tariq pernah mempelajari khazanah Islam klasik di Universiti Azhar di peringkat sarjana muda, falsafah dan sastera Perancis di peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Geneva. Beliau dilahirkan pada tahun 1962, dalam satu keluarga yang kuat berpegang kepada idealism perjuangan dan gerakan menentang sekularisme pemikiran.
Setelah membaca bahagian pengantarnya, semasa dalam tren komuter untuk pulang rumah pada petang Jumaat, sempena cuti tahun baru 2010, melantun rasa mengingatkan kenangan semasa kecil menyambut Maulidir-Rasul di sebuah surau. Setiap kali tiba hari itu, selain mengiringi mempelai dalam perjalanan ke rumah pengantin dalam istiadat perkahwinan Melayu, orang ramai berselawat memuji kemuliaan sifat dan peribadi Nabi Muhamad SAW.
Tujuan utama Tariq mengolah kehidupan Nabi Muhamad dalam konteks masa sekarang ialah “menjadikan kehidupan Rasul sebagai cermin bagi kita yang mampu menyelami hati dan fikiran mereka sendiri dan memahami berbagai persoalan hidup dan masalah social dan moral yang lebih luas.”(hal.16). Inilah kekuatan yang menarik minat saya membaca ke halaman-halaman berikut sehingga saya menemukan beberapa ramuan menarik, cukup memberansangkan pemikiran, memetakan langkah pencerahan dan cukup autentik.
Ketika Tariq menceritakan zaman kanak-kanak Rasullullah, saya cukup terkesan dengan penjelasannya yang berbeza dengan lain-lain tulisan yang pernah saya baca. Kehidupan Nabi ketika menerima asuhan Halimah di sebuah desa pedalaman Arab, terasa begitu eratnya hubungan baginda dengan persekitaran itu.
Hubungan yang akrab dengan alam menyebabkan tumbuhnya rasa keimanan Nabi yang mendalam, hasil renungannya menjadikan pola hubungan dengan Tuhan semakin terkait sehingga boleh memberikan makna bentuk dan ritual keagamaan. Alam yang penuh dengan tanda-tanda kebesaran Allah itu menandakan kebesaran-Nya, telah berjaya menanamkan rasa kepedulian spiritual dan alam sekitar yang tinggi.(hal 34-41, 258-259, dan 385-387).
Dengan mengutip peristiwa turunnya ayat 190, surah Ali-Imran, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” Ayat ini kemudiannya dihubungkan dengan runtuman emosi Nabi Muhamad SAW menangis sepanjang malam sebaik sahaja ianya diwahyukan. Kemudiannya, si Bilal bertanyakan Nabi mengenai sebab baginda menangis. Nabi menjelaskan kesedihan itu dengan bersabda: “Sungguh celaka orang yang mendengar ayat ini tapi tidak mahu merenungkannya!.”
Hubungan masakini dapat kita bayangkan betapa ganasnya manusia memusnahkan alam sekitar sehingga turut menjejaskan perjalanan semula jadi makhluk. Bukan sahaja secara tragisnya manusia mengalami banjir lumpur, banjir kilat, kegelonsoran tanah, rebut taufan malah berbangga dengan kemusnahan tersebut atas pelbagai alasan. Penerokaan hutan, atas nama pembangunan. Penebangan pokok atas alasan hasil bumi dan sumber ekonomi. Meratakan bukit tanpa memikirkan kelestarian, memusnahkan kehidupan dan meruntuhkan peradaban.
Dari emosi sedih itu, saya terbayangkan bagaimana runtuhnya Higlands Tower suatu ketika dahulu. Saya juga turut merasa sedih dengan tragedi yang pernah menganyutkan rumah orang Asli di Simpang Pulai akibat rakusnya pembalakan di hulu sungai. Saya menjadi sedikit skeptik apabila terbayangkan tragedi runtuhan rumah di Bukit Antarabangsa, atau banjir lumpur yang menenggelamkan lebih 16 buah kampong di Sodiarjo, Surabaya pada tahun 2004 lalu.
Tariq juga mengupas mengenai suasana kehidupan Nabi seharian. Tariq menggambarkan akhlak Nabi dengan penuh hikmah apabila bergaul dengan bukan Islam, cara Nabi bertutur dan menyelesaikan konflik kelompok. Itulah yang membangkitkan rasa kagum saya apabila membandingkan sisi pemimpin sekarang yang lebih banyak mencari helah, menuding jari dan melemparkan tuduhan. Jauh dari sifat kebijaksanaan dan penuh berhikmah.
Usaha Nabi meredakan konflik, Tariq melakarkan kaedah perundingan yang berkesan telah dilaksanakan dengan jayanya. Bagi Tariq, “ia merupakan sanggahan gambling terhadap kecenderungan pemikiran yang muncul secara sporadik di sepanjang sejarah pemikiran Islam – dan hingga saat ini – bahawa sebuah kesepakatan bisa dipandang sah secara moral oleh orang Islam sepanjang ia memiliki karakteristik keislaman dan/atau jika ia dilakukan sendiri oleh orang-orang Islam.”
Kesepakatan Nabi dalam sesuatu perkara sebelum menerima sesuatu wahyu, menurut Tariq, ialah untuk membela keadilan dan menentang penindasan, “pesan Islam sama sekali bukanlah sistem nilai tertutup berlawanan dan berseberangan dengan sistem nilai lainnya. Sejak awal, Nabi tidak memandang kandungan pesan yang dibawanya sebagai ungkapan murni keberbedaan yang bertolak belakang dengan nilai-nilai yang berasal dari masyarakat Arab atau masyarakat lainnya.” (hal.54).
Setlah berhijrah ke Madinah, Nabi diceritakan pernah berdiri menghormati pengkebumian jenazah seorang Yahudi. Para sahabat tergamam dan bertanya. Nabi dengan tegas menjawab:”Bukankah ia juga manusia?”(hal.179). Semasa dalam perjalanan hijrah, Nabi turut menggunakan jasa seorang Badwi bukan Islam sebagai petunjuk arah ke Madinah. Penunjuk arah itu bernama Abdullah ibn Urayqat, begitu juga dalam Perang Uhud, Nabi dibantu oleh seorang bukan Islam (hal. 239).
Ketika baginda dan Abu Bakar menghadapi saat genting, Nabi turut menggantungkan harapan dan kepercayaannya kepada seorang bukan Islam atas kepakarannya di padang pasir. Menurut Tariq:”semua laki-laki dan perempuan yang bergaul dengannya mungkin tidak memiliki keyakinan yang sama dengannya, tetapi mereka memiliki kualiti moral dan/atau kualiti kemanusiaan yang mulia.”(hal.164)
Nabi pernah bertindak tegas dengan kaum Yahudi ketika bermukim di Madinah. Nabi pernah menghalau keluar warga perkampungan Yahudi Bani Nadir (hal.249-255). Ketika Nabi sedang berusaha dan mencari jalan untuk menyelesaikan tuntutan tebusan atas pembunuhan dua orang Yahudi dari Bani Amir (sekutu Bani Nadir), yang dilakukan oleh Amr ibn Umayyah, baginda menerima tentangan dari Bani Nadir, termasuk ancaman bunuh. Baginda terus berunding dengan memberikan masa selama sepuluh hari untuk keluar dari kota Madinah, jika tidak, akan dikenakan hokum bunuh kerana tidak mematuhi kesepakatan yang telah dipersetujui sebelumnya.
Abbullah ibn Ubayy melancarakan provokasi dan akhirnya Nabi mengepung Bani Nadir. Kelompok Yahudi itu terpaksa menyerah diri, tetapi Nabi menarik balik ancaman terdahulu. Baginda tidak membunuh mereka, tetapi membenarkan mereka keluar dari kota Madinah bersama-sama harta kepunyaan mereka.
Begitu juga dengan pengusiran Bani Qaynuqa (hal.210-214). Antara ketegasan dan kelembutan cara penyelesaian Nabi mempunyai sentuhan kemanusiaan yang dalam. Lain-lain peristiwa yang menyentuh emosi ialah saat Nabi mengalami kekalahan dalam Perang Uhud dan melihat jasad tentera Islam yang disiat-siat oleh musuh, termasuk jasa Saidina Hamzah, bapa saudara baginda.
Baginda seakan berdendam dan sebagai manusia, akan merosakkan tiga puluh jasad tentera musuh. Ketika itu turunlah wahyu (ayat 126, surah al-Nahl). Ayat tersebut mengingtkan Nabi bahawa penghormatan terhadap jasad manusia adalah sesuatu yang wajib. Ini mengingatkan Nabi tentang etika perang, urutan keutamaan, menghormati setiap ciptaan Tuhan, maruah manusia, kebijaksanaan dan kesabaran, (hal.243-244).
Rendah diri, bukanlah unsure negative dalam perjalanan peribadi Nabi Muhamad. Tariq mengangkat peristiwa Hijrah berasaskan rasa rendah diri Nabi yang dipersoalkan oleh kaum kafir Mekah. Tiga cabaran tersebut hanya mampu diberikan jawapan keesokannya. Tetapi, dalam tempoh tersebut, tidak ada wahyu telah diturunkan (hal.116-120).
Dua bulan kemudian, Allah menurunkan wahyu (surah al-Kahf, ayat 23-24). Allah memberikan ingatan kepada Nabi bahawa status, pengetahuan dan nasibnya bergantung pada Rabb-nya, Pendidiknya, Yang Maha Esa dan Mahakuasa. Secara jelasnya, ayat-ayat yang terhimpun dalam surah tersebut mengandung tema kerendahan hati dan ketergantungan pada Tuhan. Mengapa kita sentiasa disunatkan agar membacakan surah ini pada hari Jumaat? Di sinilah saya menemukan jawapannya, bersama daya tarikah emosi yang disajikan melalui rentetan peristiwa oleh penulis.
Mengenai hijrah, Tariq mengangkatnya menjadi lebih luas, iaitu mencakupi ujian keimanan. Tulis beliau, “menuntut kaum muslim awal agar selalu belajar untuk tetap setia terhadap makna ajaran Islam di tengah perubahan tempat, budaya, dan memori…Masyarakat Islam awal harus membedakan antara hal-hal yang berasal dari prinsip-prinsip Islam dan hal-hal yang secara khusu terkait dengan budaya Mekah…Pengasingan merupakan sebuah pengalaman yang paling jelas dan mendalam tentang semua itu, kerana ia menyiratkan ketercabutan diri dengan tetap beriman kepada Tuhan yang sama, kepada makna yang sama, dalam lingkungan yang berbeda.”(hal.168-170).
Juga menarik ialah bagaimana Nabi berusaha mengubah kebiasaan dan amalan dalam masyarakat Arab yang tidak sesuai dengan Islam. Ketika di Madinah, seorang jiran berbangsa Parsi menjemput Nabi untuk makan bersama, pada suatu hari. Nabi tidak dibenarkan membawa isteri, maka Nabi menolaknya. Dalam tradisi masyarakat Arab, isteri tidak layak menghadiri majlis bersama suami. Setelah dua kali ditolak, undangan yang ketiga Nabi dibenarkan membawa Aisyah. Kahdiran Aisyah di ruang awam ini mencerminkan sikap Islam sebenar, tidak mendiskriminasikan wanita sebagaimana berlaku dalam dalam tradisi masyarakat Mekah (hal.233-234).
Dari sini kita dapat mempelajari sikap sesetengah pemimpin politik yang berjuang atas nama Islam, tidak mengikuti apa yang telah diteladani oleh Nabi Muhamad SAW apabila mengadakan sesuatu majlis sosial. Isteri boleh menjadi penentang kepada kemungkinan negative sepanjang majlis itu berlangsung, isteri turut menjadi pengawal dan pengimbang dalam setiap gerak geri ketika keseronokan mula mengambil alih. Dari situ juga kita memahami, kenapa Aisyah sering memuji perilaku Nabi malah menyifatkannya sebagai “akhlak al-Qur’an.” (surah al-Ahzab, ayat 21).
Walaupun buku ini tidaklah sedalam dan selengkap lain-lain biografi Nabi Muhamad SAW, penulis sebenarnya telah berjaya menggugat emosi saya untuk terus membuat pembacaan ke perkataan akhir. Pengarang pernah dinobatkan sebagai “pembaharuan dalam bidang kerohanian” oleh majalah Times, sebenarnya berupaya mengungkapkan makna yang segar tentang keteladanan yang boleh kita pungut dari Nabi Muhamad SAW.
Saya menjadi lebih mendekati peribadi Nabi Muhamad SAW lewat buku ini, tetapi, sayangnya tidak banyak daripada kita yang sanggup membaca buku-buku sedemikian. Ketebalan sejumlah 422 halaman, saya terasa amat terhad untuk kita mengetahui lebih banyak lagi telaga teladan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhamad SAW, tetapi itu mungkin dapat kita temukakan dalam beberapa buku yang lain, kerana menurut carian geogles, berdasarkan entri Nabi Muhamad SAW terdapat 1.57 juta bahan dan buku mengenai Nabi Muhamad SAW sebanyak 883,000 dalam bahasa Melayu dan lebih 2 juta dalam bahasa Inggeris. Bilakah kita mampu membaca semuanya?
Beberapa hari lagi kita akan menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhamad SAW, walaupun perarakannya telah menimbulkan pelbagi kontroversi poliitk, tidak bermakna kesyahduan kita kepada baginda luput. Biarkan kumpulan yang tidak ingin meraikan hari ulangtahun kelahiran itu, kerana mereka sebenarnya sudah terlampau mementingkan politik, dan inilah dilihat oleh Khalid Abou el Fadhl sebagai muslim puritan yang menghancurkan Islam sendiri. Dengan meneroka kembali keteladanan Nabi Muhamad SAW, marilah kita mulakan langkah memperbetulkan sikap kita dari dalam diri sendiri terlebih dahulu sebelum menuding jadi kepada orang lain. BAnyak sekiali yang kita boleh pelajari dari buku ini.
Judul Buku :
Muhamad : Rasul Zaman Kita Judul Asal :
In the Footsteps of the Prophet: Lessson from the life of Muhammad.Penulis : Tariq Ramadan
Penterjemah : R. Cecep Lukman Yasin
Penerbit : PT Serambi, Jakarta
Tebal : 422 halaman.