Monday, November 2, 2009

DAP SYORKAN 20 TAHUN KONTRAK SETIA PAKATAN

Bagi menjayakan prinsip bersama, kekal berkredibiliti dan integriti, parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) telah diminta untuk memberikan komitmen kepada gabungan itu selama 20 tahun. Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta semuanya itu perlu dilakukan ekoran telah berlaku kegelinciran sokongan rakyat yang ketara sejak 8 bulan lalu, terutama apabila PAS mengalami kekalahan besar di Bagan Pinang, Port Dickson dan kemerosotan undi majoriti di Manik Urai.

Menurut Lim Kit Siang, kemerosotan sokongan juga dikenalpasti berpunca dari kegagalan pemimpin PR mengamalkan sikap bertanggungjawab dan disiplin untuk meyakinkan pengundi Malaysia dalam kredibilitinya, perpaduan, integriti dan tujuan bersama. Turut tidak menafikan kelemahan dalam PR, penasihat DAP itu berpandapat “kita harus membetulkannya” dan tidak boleh dilakukan secara “sambil lewa”.

Inilah pengakuan pertama yang pernah kita dengar dari PR dalam memperkatakan kelemahan gabungan itu walaupun sejak kegagalan usaha peralihan kerajaan lebih setahun lalu, masyarakat umum semakin hilang kepercayaan. Meskipun PR masih memenangi pilihan raya kecil di beberapa tempat selepas Permatang Pauh, kecuali Batang Ai dan Bagan Pinang, gabungan parti tersebut dilihat semakin tidak sehaluan dan sering timbul konflik.

Sejak kehilangan kuasa di Perak, PR dilihat semacam janda meroyan apabila mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri di bawah pokok ketapang, kemudiannya bersidang di sebuah hotel secara terancang dan yang lebih memuakkan rakyat ialah “membuat kecoh semasa pembukaan Sidang Dun” bulan Mei lalu. Terbaru ialah kekalutan bekas Menteri Besar, Nizar Jamaludin dari PAS tetapi banyak dipengaruhi oleh DAP membuat permohonan peribadi melalui media kepada Paduka Sultan Perak untuk menangguhkan siding Dewan Undangan Negeri yang dijangka akan diadakan pada 28 Oktober nanti.

Dengan menggunakan alasan Datuk R. Ganeshan (Speaker lantikan BN setelah berjaya kembali berkuasa) telah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, perkara 36(a) (5). Datuk R. Ganeshan dikatakan telah menyamar sebagai Speaker, walhal perlantikan beliau adalah sah berbanding V. Sivakumar (bekas Speaker PR) yang masih menanggap dirinyalah speaker sebenar. Sivakumar seakan diserang histeria yang kronik dan mengalami gangguan “gila meroyan” kerana turut berhasrat memanggil kesemua ADUN PR untuk bersidang. Walaupun sudah diarahkan mengembalikan “jubah speaker”, beliau masih enggan.

Kebimbangan Lim Kit Siang itu memangnya mempunyai asas yang kukuh kerana pemimpin-pemimpin gabungan itu semakin berkonflik sesama mereka dalam melaksanakan sesuatu perkara. Antara DAP dan PAS masih belum “termaaf” apabila Karpal Singh terus tidak bersetuju dengan usaha menegakkan syariat Islam, dan PAS pula semakin terdesak apabila segelintir ahlinya melihat sikap liberal yang diamalkan boleh menjejaskan reputasi, disusuli ketegangan antara Dr. Hasan Ali dengan Speaker DUN Selangor mengenai kaedah siasatan penjawat awam oleh SELCAT, campur tangan EXCO lain mengenai penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu dan “kepala lembu” kerana membantah pembinaan kuil Hindu.

Tok Guru Nik Aziz menyifatkan gerakan anti-Hindu yang berlaku di Shah Alam itu adalah lebih buruk berbanding dengan gerakan anti-Islam di United Kingdom. Dan, kerana itu sedikit sebanyak telah menjejaskan kredibiliti penyokong PAS terhadap wajah Islam Nik Aziz sehingga dianggap terlalu liberal ke atas bukan Islam, tetapi terlalu keras kepada orang Islam. Orang bukan Islam semacam dihalalkan untuk menghina Islam lantaran kedudukannya yang tidak memahami Islam, tetapi sebaliknya orang Islam yang mengkritik perilaku bukan Islam dianggap melampau dan keterlaluan.

Krisis di Selangor menjadi semakin hebat apabila pemimpin-pemimpin tertinggi PAS berdiam diri dan menerima tekanan PKR, sehingga EXCO yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam “tidak dibenarkan membuat kenyataan terbuka.” Presiden PAS, Haji Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Setiuasaha Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Dr. Hassan Ali akhirnya menerima kecaman daripada Mursyidul Am PAS kerana pro-UMNO dan masih ingin meneruskan hasrat membentuk kerajaan perpaduan. Kesannya, Menteri Besar Kelantan sejak tahun 1990 mengesyorkan agar diadakan Muktamar Khas bagi menentukan kedudukan empat orang pemimpin utama PAS itu dan beliau sanggup menerima padahnya termasuk perpecahan dalam PAS.

Perkembangan lain yang mungkin menjadi pertimbangan Lim Kit Siang ialah kerana kegagalan anaknya sendiri dalam menyelesaikan kemelut penduduk Kg. Buah Pala di Pulau Pinang. Setelah menuding jari kepada kepimpinan terdahulu dalam “pemindahan hak milik tanah itu”, Lim Guan Eng terperangkap dengan janji-janji PR untuk mengembalikan tanah tersebut kepada penduduk asal. Ketua Menteri daripada DAP itu juga dilihat terlalu berpura-pura bila berhadapan dengan pengundi Melayu, kononnya pentadbiran kerajaan negeri akan mengambil semangat keadilan dan kemakmuran pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz, telah berdepan dengan persoalan asas, iaitu sejauhmanakah kefahamannya mengenai Islam.

Masyarakat Islam mempersoalkan, antara Khalifah Umar dengan Lim Guan Eng adalah dua personaliti yang berbeza. Khalifah Umar adalah pemimpin yang begitu tinggi keimanan dan memahami seacara mendalam prinsip-prinsip Islam, manakala Lim Guan Eng secara asasnya bukan Islam. Sandiwara menggunakan tiket penerbangan kelas ekonomi telah memakan dirinya sendiri apabila diketahui itu hanya dilakukan untuk mengabui pengundi, walhal untuk perjalanan ke Singapura hamper setiap minggu meneruskan idea chinese belt menggunakan penerbangan kelas pertama atau bisnes. Beliau terus memperjuangkan kedudukan bukan Melayu, termasuk langkah menubuhkan sebuah universiti di Pondok Upih, Balik Pulau dengan kerjasama Universiti Nanyang.

Kebimbangan Lim Kit Siang mungkin sedikit sebanyak terpengaruh dengan apa yang sedang melanda PKR. Selain penasihatnya yang sedang menghadapi kes liwat dengan pembantu peribadi, keputusan mahkamah ke atas Wakil Rakyat (Parlimen) Batu, Tian Chua yang dijatuhkan hukuman denda RM 3,000 dan penjara 6 bulan (belum dilaksanakan kerana dibenarkan membuat rayuan) atas kesalahan menggigit telinga polis yang sedang menjalankan tugas dua tahun lalu, dan sepuluh orang lagi yang sedang menghadapi tuduhan menyertai perhimpunan haram. Antaranya ialah, Naib Presiden PKR (Azmin Ali), Ahli Parlimen Subang (R. Sivarasa), Ahli Parlimen Kuala Krai (Dr. Hatta Ramli), Ahli Parlimen Titiwangsa (Dr. Lo’Lo’ Ghazali) dan Ahli Parlimen Bagan Serai (G. Gobalakrishnan).

Proses perubahan dan mengembalikan UMNO kepada landasan yang sebenar turut membimbangkan PR, dan kerana itulah pemimpin-pemimpin mereka cuba bertindak secara berlawanan. Iltizam dari kemenangan Bagan Pinang telah dijadikan asas motivasi perhimpunan tahunan UMNO menjadikan PR seakan-akan sedang dilanda kepanasan kronik kerana orang Melayu mula menerima UMNO kembali. Kemenangan di Bagan Pinang dan kemerosotan majoriti yang teruk bagi PAS di Manek Urai menukarkan persepsi umum terhadap kekuatan PAS sebenar. PAS semakin berkecamuk dan bertelagah sesama sendiri, kuasa menentukan hala tuju parti bukan lagi ditentukan oleh presiden tetapi ditentukan oleh Mursyidul Am PAS, kerana Nik Aziz masih lagi nakhodanya.

Paling menarik ialah berlangsungnya satu perbincangan menarik antara Wong Chin Huat dan Yong Kai Ping (editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina). Berdasarkan pemerhatian mereka mengenai beberapa pilihan raya kecil, khususnya kejayaan BN mempertahankan kerusi Bagan Pinang, Wong Chin Huat berpendapat “mustahil untuk PR memperolehi lebih 50 % sokongan Melayu dalam masa terdekat.”

Bagi Wong, berdasarkan pengiraan kasarnya seandainya PR memperoleh 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, PR hanya mampu menguasai 103 kerusi di Semenanjung. PR masih memerlukan sebanyak 9 kerusi lagi untuk menubuhkan kerajaan, dan tentunya daripada Sabah dan Sarawak. Jika PR hanya mampu meraih 50% undi kaum India, 75% undi kaum Cina dan mengekalkan undi Melayu di tahap 40%, PR hanya mampu memperoleh 90 kerusi di Semenanjung. Jika undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan dapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku dalam PRU ke-12.

Untuk meraih undi terbesar daripada kaum Melayu, melepasi 50% memanglah satu hal mungkin boleh dianggap mustahil,dan PR akan terasa serba salah, kerana komunalisme masih besar pengaruhnya dalam proses politik di Malaysia. Walaupun PR meletakkan perjuangan dalam konteks “samarasa dan samarata”, pengundi Melayu tetap akan menganggap itu adalah perjuangan bukan Melayu yang amat bimbang dengan dominasi Melayu. Dalam tuntutan tersebut, secara lojiknya orang Melayu akan kembali bersatu untuk mempertahankan kedudukannya. Apatah lagi bila ketuanan Melayu terus dikaitkan dengan Islam, dan PR semakin dilihat kurang motivasi dan kesungguhan dalam hal ini. PAS telah dilihat semakin meliberalkan perjuangan asalnya, manakala PKR hanyalah sekadar memenuhi tuntutan balas dendam dan keghairahan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Yong Kai Peng, persoalan ini amatlah penting kerana “legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu” merupakan “persoalan struktur” yang perlu dihadapi oleh bukan sahaja oleh PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan Negara ini. Setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu system “Negara Melayu”, di mana sector perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.

Walaupun pandangan Yong Kai Peng itu sebahagiannya boleh dianggap berbau politik, terutamanya mengenai “negara Melayu” , tanpa melakukan perbandingan dengan apa yang dilakukan oleh PAP terhadap orang Melayu di Singapura, ada sedikit kecenderungan memukul sikap PR dengan “naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu.” Seharusnya Yong Kai Peng lebih banyak membuat perbandingan bagaimana kepimpinan Cina Singapura telah berjaya meminggirkan orang Melayu melalui dasar meritokrasi dan helah politik Lee Kuan Yew.

Dari segi pendidikan dan politik, mungkin Yong Kai Peng boleh merujuk kepada kajian yang dibuat oleh Liy Zubaidah, dasar yang diamalkan oleh PAP menyebabkan kuasa dan kedudukan Melayu Singapura semakin terpinggir. Orang Melayu tidak diwajibkan menyertai perkhidmatan nasional, alias latihan tentera pada tahap umur tertentu. Ini telah sengaja dilakukan oleh Lee Kuan Yew untuk tidak mengambil orang Melayu menanggotai pasukan pertahanan Singapura yang kini merupakan yang terkuat di Asia selepas Taiwan.

Kontrak selama 20 tahun diperlukan oleh Penasihat DAP itu melambangkan bahwa, sekurang-kurang dalam tempoh tersebut tidak ada politicking dalam PR. BIla tidak ada politicking, DAP boleh melakukan apa sahaja, termasuk menggunakan pelbagai usaha mendesak supaya PAS mengendurkan falsafah perjuangan membentuk Negara Islam, sebaliknya terus bermain dengan konsep negara berkebajikan. Melalui cara ini, DAP akan mampu memeperkukuhkan kedudukannya, dan selepasnya, mungkin akan menyebabkan PAS semakin kerdil. PKR memangnya tidak boleh diharapkan secara jelas, kerana perjuangannya masih belum jelas, hanya diketahui dan ditentukan oleh kelompok 3A (Anwar, Azizah dan Azmin Ali). Orang lain tidak mempunyai kuasa untuk menentukan halatuju perjuangan PKR, termasuklah Zaid Ibrahim dan Chua Jui Meng.

Kemasukan Zaid Ibrahim pada mulanya dianggap memberikan kekuatan kepada PKR, kini menghadapi masalah apabila Azmin Ali menentang perlantikannya sebagai Pengerusi PKR Sabah. Chua Jui Meng yang kecewa dengan MCA yang tidak lagi memberikan peluang bertanding dalam PRU ke-12 memasuki PKR dengan alasan bersetuju apa yang diketengahkan oleh Wan Azizah, iaitu menolak ketuanan Melayu. Memangnya telah diduga sejak sekian lama pertubuhan politik bukan Melayu dan Huatuan (pertubuhan bukan kerajaan di kalangan orang Cina) akan memberikan reaksi negatif terhadap konsep tersebut.

Chua Jui Meng pula nampaknya semakin tersasar apabila menilai "ketuanan Melayu" telah menyebabkan kedudukan bukan Melayu sebagai tersisih. Nampaknya Chua Jui Meng terlalu berusaha untuk memulihkan imej politiknya sehingga berusaha memualkan fakta sejarah sebenar. Chua lupa bahawa kedudukannya menjadi terkenal dalam politik Malaysia adalah kerana beliau turut menyokong "ketuanan Melayu" semasa berada dalam MCA dan menjadi Menteri kabinet yang menyerlah semasa negara dilanda wabak JE dan kuku dan mulut ke atas kanak-kanak.

Bukan Melayu akan terus memperjuangkan “ketuanan rakyat” kerana “ketuanan Melayu” dianggap tidak memberikan peluang untuk bersaing atas dasar pemenuhan “Negara Melayu”, terutama pengekalan hak istimewa, bahasa Melayu dan Islam. Inilah perjuangan bukan Melayu, walaupun pernah bersetuju dengan kontrak sosial yang diusahakan tiga kumpulan kaum terbesar dalam “manifesto Perikatan” pada tahun 1954 dan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu semasa rundingan kemerdekaan, cadangan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957, ia tetap dianggap tidak lagi sesuai kerana bukan Melayu sudah menjadi warganegara. Persetujuan itu hanyalah sebagai usaha untuk membuktikan penyatuan antara kaum bagi mendapatkan kemerdekaan.

Secara jelasnya, untuk mendapatkan tempoh kerjasama selama 20 tahun, penasihat DAP mungkin terlupa bahawa sepanjang usia kerjasama sejak Mac 2008 masih belum menampakkan persefahaman yang jelas. Tidak ada parti politik dalam gabungan PR akan merestui tempoh tersebut, dan dijangka parti-parti gabungan akan terus mempersoalkan kewajarannya. Apatah lagi, hingga kini nama pakatan rakyat itu belum boleh didaftarkan secara rasmi, kerana masih banyak lagi perbezaan dan konflik perkongsian kuasa berlaku dalam gabungan tersebut.

No comments:

Post a Comment