Sunday, November 15, 2009

Elak taksub pemimpin terlampau

Oleh Hafizahril Hamid

Ketaksuban kepada seseorang mungkin dilihat sesuatu yang lumrah. Contohnya pasangan bercinta, mereka akan cuba mempertahankan pasangan masing-masing sebagai paling sempurna walaupun terdapat cacat cela.

Kepada pemimpin, para penyokong akan cuba mempertahan dan melindungi ketuanya. Mungkin atas alasan, mana mungkin pemimpin yang dilihat suci dan terpuji melakukan sesuatu perkara yang tidak bermoral termasuklah homoseksual.

Inilah yang berlaku di barat apabila terdapat pemimpin disokong dan diletakkan di kedudukan tinggi walaupun mereka terlibat dalam kegiatan seks di luar tabii.

Hanya kerana kebanyakan mereka sendiri tidak lagi percaya kepada agama dan institusi kekeluargaan, maka perlakuan seperti homoseksual semakin diterima dalam kehidupan seharian.

Kita boleh lihat bagaimana golongan artis terkenal menjadi sebahagian daripada contoh dan simbol kelakuan tidak terbatas. Selama ini artis dijadikan idola dan pujaan berjuta peminatnya. Setiap perbuatan dan fesyen yang dipakai mereka akan menjadi contoh dan ikutan.

Begitu juga penyanyi Elton John yang mengamalkan cara hidup songsang sehingga mengahwini seorang lelaki untuk dijadikan pasangan hidupnya. Hanya kerana dia suka beramal dengan menderma wang ringgit dan sebagainya maka kenalah masyarakat terima perangai keji mereka sebagai sebahagian tabii biasa kehidupan.

Artis lain yang secara terbuka mengakui dirinya seorang homoseksual dan sering dijadikan idola pada zamannya ialah penyanyi kumpulan Queen, Freddie Mercury. Penyanyi ini yang dilahirkan dengan nama Farrokh Bulsara dan berketurunan Parsi telah mencipta nama sebagai seorang bintang yang mampu memukau sesiapa sahaja yang menonton persembahannya. Lagu-lagu seperti Bohemian Rhapsody, Somebody to Love dan We Are the Champions senantiasa meniti di bibir para peminatnya malah fesyen dan cara hidupnya juga menjadi ikutan. Dia meninggal dunia pada tahun 1991 akibat AIDS selepas menyembunyikan daripada perhatian umum sekian lama.

Jika kita masih ingat lagi watak Magneto dalam filem X-Men dan Gandalf dalam filem Lord of The Ring pastinya kita akan berasa teruja dengan kemampuan pelakon yang membawa watak tersebut. Sememangnya kemampuan pelakon Sir Ian Murray McKellen tidak perlu dipertikaikan, namun yang menjadi persoalan, dia juga merupakan seorang pengamal homoseksual. Berasal dari Britain, dia merupakan satu-satunya aktor yang mengaku secara terbuka sebagai pengamal homoseksual yang tercalon dalam anugerah Oscar melalui filem Gods and Monster.

Adalah malang orang seperti itu diangkat dan disanjung untuk menjadi idola di kalangan masyarakat terutamanya golongan muda. Lanjutan itu timbullah perasaan taksub terhadap artis sebegini walhal mereka tidak layak langsung untuk dijadikan idola. Paling tidak pun kita hanya boleh mengenang mereka atas dasar muzik yang dihasilkan.

Perasaan yang sama juga berlaku apabila melibatkan soal kepimpinan. Jika di barat ketaksuban terhadap pemimpin tertentu telah menimbulkan keadaan huru-hara sehingga mengakibatkan rusuhan dan pertelagahan politik.

Ketaksuban terhadap pemimpin seperti Adolf Hitler akhirnya mencetuskan Perang Dunia Kedua. Begitu juga yang berlaku di Sudan, Somalia dan beberapa negara Afrika lain. Akibat daripada perasaan taksub telah mengakibatkan negara mereka masih dibelenggu peperangan dan pertumpahan darah.

Begitu juga di Indonesia apabila bekas Presiden Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur dipecat, maka para penyokongnya merusuh di jalanan. Semua kejadian ini berlaku akibat daripada tidak dapat menerima kenyataan serta perasaan taksub yang melampau kepada pemimpin.

Namun bagaimana jika terdapat pemimpin yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti homoseksual. Apakah mereka ini layak dipertahankan walaupun kelihatannya mereka ini sangat rendah kedudukannya terutama dari segi moral? Kasihan kepada para penyokongnya yang begitu taksub dan fanatik sehingga tidak boleh menerima kenyataan sebenar bahawa dia seorang homoseksual.

Pemimpin seperti ini dilihat bersih dan bijak berkata-kata tetapi hakikat sebenar berselindung di sebalik realiti bahawa mereka adalah seorang pengamal homoseksual. Hipokrasi sebegini yang membuatkan kita meluat kepada pemimpin tersebut. Tunjuk baik di hadapan orang, dialah yang paling bersih, paling bijak, semuanya dialah yang hebat, tetapi sebenarnya hipokrit dan sering melagakan orang untuk kepentingan peribadi.

Dalam menceritakan kisah pemimpin hipokrit terdapat beberapa pemimpin yang mengaku lelaki tulen tetapi akhirnya tertangkap kerana terlibat dalam kegiatan homoseksual.

Hipokrasi bekas Gabenor New Jersey, James McGreevey setelah sekian lama berselindung di sebalik kebahagiaan hidup berumah tangga terbongkar apabila dia mengakui sebagai seorang pengamal homoseksual.

Peristiwa itu digelar "menggugurkan bom politik" oleh akhbar Amerika Syarikat (AS) setelah McGreevey mengumumkan peletakan jawatan pada Ogos 2004. Beliau berbuat demikian selepas mendedahkan dirinya sebagai seorang gay dan mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki walaupun telah berkahwin.

Ketika pengumuman yang turut dihadiri isterinya, Dina, lelaki berusia 47 tahun itu mengakui mempunyai masalah dengan seksualiti dan ia telah bermula sejak kecil.

"Kebenarannya saya merupakan seorang gay Amerika. Namun perbuatan yang telah saya lakukan ini adalah salah, bodoh dan tidak boleh dimaafkan," kata McGreevey yang mewakili Parti Demokrat.

Peletakan jawatannya adalah susulan daripada saman yang dikeluarkan oleh bekas pembantu keselamatannya, Golan Cipel.

McGreevey mempunyai seorang anak perempuan selain turut mempunyai seorang anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu.

Hipokrit

Seorang lagi pemimpin yang juga bertindak hipokrit dengan berselindung di sebalik perkahwinan ialah bekas Senator Idaho, Larry Craig yang ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh.

Dia didakwa cuba menggoda dengan menunjukkan beberapa isyarat yang biasa digunakan oleh kelompok homoseksual terhadap seorang anggota polis yang menyamar di dalam bilik air Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St Paul.

Lebih melucukan, dia sebelum ini begitu bersungguh-sungguh bertindak sebagai seorang yang anti gay, berpegang teguh kepada moral dan sangat berbangga dengan perkahwinannya. Namun semua lakonan Larry terdedah pada September 2007 dan akhirnya menjadi bahan lawak sama ada di dalam media mahupun di kalangan rakan-rakan dalam parti Republikan.

Satu ketika dahulu Britain pernah digegarkan dengan skandal seks homoseksual apabila Setiausaha Wales, Ron Davies menjadi menteri pertama dalam Kabinet Tony Blair yang meletakkan jawatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada 1998, akhbar-akhbar melaporkan dia dirompak oleh seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya di sebuah taman yang terkenal sebagai tempat pertemuan lelaki homoseksual di Clapham Common di selatan London.

Sebelum ini sudah wujud khabar angin yang menyatakan Davies yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 13 tahun, adalah seorang biseksual.

Ini adalah skandal pertama melanda Kabinet Perdana Menteri, Tony Blair, sejak mengambil alih kuasa pada Mei 1997.

Dalam surat peletakan jawatannya, Davies berkata dia bersalah kerana tersilap pertimbangan.

Cerita Davies dikatakan tidak masuk akal, bermula daripada pertemuan dengan lelaki tidak dikenali di Clapham Common dan berakhir dengan drama rompakan bersenjata serta kecurian keretanya.

Kejadian itu menimbulkan lebih banyak persoalan yang tidak terjawab seperti kenapa Davies bersiar seorang diri di taman dalam cuaca sejuk, basah dan berangin pada tengah malam? Kalau benar kenapa dia perlu meletakkan jawatan jika hanya menjadi mangsa jenayah?

Kisah mengenai bekas Presiden pertama Zimbabwe Canaan Sodindo Banana juga sangat memualkan. Dia yang memegang jawatan tersebut dari April 1980 hingga Disember 1987 merupakan seorang paderi Kristian terkenal.

Bagaimanapun rekod baiknya musnah setelah didakwa meliwat berikutan pertuduhan yang dilakukan ketika perbicaraan kes pembunuhan pegawai peribadinya Jefta Dube.

Ketika hayatnya dia bertanggungjawab menyatukan dua parti politik sekali gus membawa kestabilan politik selain mengetuai jabatan agama di Universiti Zimbabwe.

Namun akhirnya Banana dituduh terlibat dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan homoseksual pada 1998.

Banana kemudiannya didapati bersalah atas 11 kesalahan meliwat, cubaan meliwat dan berkelakuan tidak senonoh. Dia kemudiannya melarikan diri ke Afrika Selatan namun diyakinkan oleh Nelson Mandela supaya menjalani hukuman. Banana dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun tetapi dipendekkan kepada hanya enam bulan sebelum dibebaskan pada Januari 2001.

Jika dilihat kembali dari sudut sejarah kaum Nabi Luth adalah masyarakat yang rendah paras moralnya dan rosak akhlak serta tidak mempunyai pegangan agama atau nilai kemanusiaan yang beradab. Maksiat yang paling menonjol dalam hidup mereka adalah perbuatan homoseksual di kalangan lelaki dan lesbian di kalangan wanita. Kedua-dua jenis kemungkaran ini begitu bermaharajalela di dalam masyarakat sehinggakan ia menjadi satu budaya.

Akan tetapi keruntuhan moral dan kerosakan akhlak sudah terlalu menyesatkan mereka, maka dakwah Nabi Luth yang dilaksanakan dengan kesabaran tidak mendapat tempat di dalam hati dan fikiran mereka.

Berikutan itu, satu-satunya cara bagi mengelak perbuatan terkutuk ini menular kepada kaum lain ialah dengan menghapuskan mereka dari atas bumi. Akhirnya, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat.

Pompeii

Satu lagi kisah mengenai peristiwa yang melanda kaum yang terlibat dalam homoseksual ialah penduduk di bandar Pompeii ketika era kegemilangan Rom. Bandar itu musnah setelah dilanda letupan gunung berapi dari Gunung Vesuvius selama dua hari pada tahun 79 sebelum masihi.

Akibatnya bandar tersebut lenyap dari muka bumi kerana tertanam dalam lava sedalam 60 kaki. Bandar itu kemudiannya ditemui secara tidak sengaja pada 1748 setelah terkambus selama 1,700 tahun.

Ini adalah sebahagian daripada kisah yang boleh dijadikan iktibar bagaimana golongan yang mengamalkan homoseksual ditimpa bala dan malapetaka akibat perbuatan mereka sendiri.

Oleh itu kita harus sedar ketaksuban kepada pemimpin yang terlibat dalam kegiatan keji sebegini akan hanya menyumbang musibah kepada negara dan rakyatnya. Ini kerana pemimpin sebegini bukan sahaja tidak boleh diterima masyarakat malah dilaknat Tuhan.

Ia akan mengakibatkan pelbagai musibah dan bala diturunkan. Mungkin bukan dalam bentuk kemusnahan tetapi dalam keadaan tertentu. Antaranya ekonomi merudum, bencana yang berpanjangan dan sebagainya.

Justeru kita semua harus mengambil iktibar bahawa seorang pemimpin bukan sahaja perlu cerdik, bijak dan dilihat alim tetapi perlu bersih dan dilihat bersih dari segi moralnya. Jika tidak mungkin malapetaka buruk akan berulang kerana sikap manusia yang tidak mahu belajar daripada sejarah.

Adalah jelas pemimpin yang terlibat dalam perbuatan keji itu harus ditolak kerana mereka dari segi moralnya telah terpesong dan hanya akan memberi musibah kepada masyarakat. Kita sebagai manusia yang dianugerahkan Tuhan dengan akal dan ilmu, pastinya boleh membuat membuat penilaian sendiri apakah orang sebegini layak atau tidak dijadikan pemimpin untuk membina sebuah negara.

dipetik dari Mingguan Malaysia, 15.11.2009

No comments:

Post a Comment