Sunday, November 8, 2009

PINTU RUNDINGAN : ANTARA AMANAH PARTI DAN AMANAH AGAMA?

Resolusi Seminar Memperkasakan Parti telah membuat ketetapan untuk menutup ketat pintu rundingan mengenai Kerajaan Perpaduan UMNO-PAS. Seminar yang pada mulanya berdasarkan cadangan Muktamar Khas PAS itu merupakan kemuncak bagi menyelesaikan keresahan Mursyidul Am PAS setelah ditegur oleh Prof Dr. Aziz Bari dalam kolumnya yang meminta supaya parti itu melakukan perubahan bagi menjamin sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Resolusi itu berbunyi "...PAS wajar segera menegaskan kepada semua ahli dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda 'Kerajaan Perpaduan'...",
Dan, kerana itu ianya "tak mungkin dibangkitkan lagi kerana kita dah tutup. Ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," kata Abdul Hadi Awang, ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil jika ada pemimpin PAS berhasrat membangkitkan semula isu Kerajaan Perpaduan pada masa depan.

Seminar yang dihadiri kira-kira 1,500 orang perwakilan di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar itu turut dianggap Berjaya oleh Tok Guru Nik Aziz dalam misinya untuk membangkitkan kesedaran kepada ahli.Setelah mendengar ucapan Presiden yang dianggap tidak menyengat dan hambar, para peserta turut membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan-kenyataan atau pandangan Dr. Abdul Aziz Bari, salah seorang ahli panel dalam sessi percambahan minda.

Nik Aziz yang menghadapi masalah kesihatan dan sehari sebelum seminar ini berlangsung diberitakan mendapat rawatan di Institut Jantung Negara hanya mampu hadir untuk mendengar amanat Presiden yang bertajuk "Memperkasa Peranan PAS Dalam Memperkukuhkan Pakatan Rakyat Mendepani Cabaran PRU 13". Selepas itu Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS meninggalkan majlis.

Dua minggu lalu, Nik Aziz membuat kejutan apabila menuntut secara terbuka agar diadakan Muktamar Khas untuk "menyelesaikan" beberapa orang pemimpin yang bermasalah dalam parti” dan cadangan tersebut diluahkannya melalui blog tokguru. Pendedahan tersebut menyebabkan banyak pihak dalam PAS seakan-akan tidak dapat tidur memikirkan apakah kekalutan yang bakal terjadi dalam barisan pemimpin PAS.

Pihak media turut menjadikan ianya sebagai fokus politik yang turut mengundang polemik dan tidak kurang menimbulkan panic bagi penyokong-penyokong PAS apabila kepimpinan PAS dilihat seolah-olah terbahagi dua, iaitu kelompok Haji Hadi dan kelompok Nik Aziz. Kelompok Haji Hadi yang mendapat pengiktirafan ahli menjadi semakin terhimpit apabila ada lontaran pedapat mengatakan Nik Azi berbuat demikian atas keinginannya untuk menyingkirkan Presiden PAS itu.

Sebelumnya Dr. Aziz Bari menyifatkan Haji Hadi telah kehilangan “stim” dan “Pak Lah versi PAS” menjadikan sebahagian peserta tidak dapat menerimanya termasuk tidak akan membawa orang luar dalam sebarang aktiviti PAS pada masa depan. Abdul Aziz Bari terus mengkritik kepimpinan Haji Hadi sebagai dan Dr. Abu Hassan Hasbullah (gambar kanan) menyokong kuat apa yang dikatakan itu sebagai “tindakan primitif” menolak teguran terbuka ke atas pemimpin-pemimpin besar mereka.

Bagi Dr. Abu Hasan apa yang diperkatakan oleh Dr. Abdul Aziz Bari itu ada kebenarannya apabila hasil tinjauannya mendapati Nik Aziz lebih popular dan mendapat pandangan positif lebih 70 peratus dari lebih 2000 responden berbanding Haji Hadi. Pandangan negative responden terhadap kepimpinan Haji Hadi lebih meluas kerana masyarakat Pantai Timur dan Utara mula mempertikaikan keberkesanan kepimpinan Presiden itu, malah ada pihak turut mendesak agar meletakkan jawatan.

Sesetengah perwakilan yang tidak dapat menerima teguran telah mencabar Aziz Bari agar mendedahkan sumber maklumat terhadap dakwaan bahawa kononnya "Hadi Awang membawa PAS memasuki UMNO". Aziz Bari dilihat terlalu kuat menilai berdasarkan persepsi dan kerana itu turut diminta supaya menarik balik serta memohon maaf.

Berdasarkan hujah yang berlapik dan berselindung, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mengasak Aziz Bari supaya menjelaskan dakwaan bahawa "memekik-pekik bersama Pakatan Rakyat, tetapi apa yang dilakukan lain", untuk menjelaskan maksud "apa yang dilakukan lain" itu. Walaupun tidak menyebut nama Hassan Ali, Aziz Bari kemudian merujuk kepada isu SELESA dan SELCAT di Selangor, sebagai sikap "cakap lain buat lain" . Situasi ini memberikan modal untuk menggambarkan bahawa PR telah gagal mentadbir.

Aiman Athirah Al-Jundi dari Dewan Muslimat bangkit menjelaskan bahawa, "tumpuan Seminar Memperkasakan Parti ini saya kira bukan Profesor Aziz Bari. Kalau kita fikir Profesor Aziz Bari, itu sudah silap. Tumpuan kita yang utama bersusur-galur daripada Unity Government... yang dilontarkan begitu sahaja, dan ditutup begitu sahaja tanpa apa-apa taklimat kepada kita...Bila dilontarkan begitu sahaja dan tidak dijelaskan secara... bertanggungjawab, oleh sesiapa sahaja, dan dibincangkan secara bertanggungjawab di peringkat sepatutnya, maka benda tu berderet sehinggalah sampai seminar hari ini."

Perbincangan seminar berjalan dalam suasana yang kurang teratur disebabkan tidak ada penetapan usul yang jelas. Ketiadaan usul yang tetap dan jelas itu menyebabkan adakalanya perbincangan menjadi kelam kabut dan kehilangan fokus.

Matlamat untuk menentukan hala tuju PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 semacam tertangguh apabila secara menyeluruhnya seminar ini dilihat dari perspektif perbalahan antara dua orang ulamak . Tindakan Nik Aziz Nik Mat yang meluahkan keresahannya melalui blog (oleh perwakilan Selangor), siapakah yang mempunyai autoriti sebenarnya antara Presiden parti dan Mursyidul Am (oleh perwakilan Negeri Sembilan) terus menjadi persoalan yang berlegar dalam seminar tersebut.

Wakil Wilayah Persekutuan yang menyentuh isu "rakan sekutu politik" turut menyanggah hujah bahawa "PAS sebagai liabiliti PR", dengan mengambil contoh isu DAP Kedah keluar daripada PR (kemudian DAP menarik balik keputusan tersebut setelah menerima nasihat Penasihatnya, Lim Kit Siang) manakala perwakilan Negeri Sembilan mengharapkan akan ada sedikit perubahan hubungan dengan PR, walaupun bersetuju dikekalkan. Perwakilan turut menilai bahawa perjuangan hak Melayu-Islam mempunyai sedikit halangan, terutamanya di Selangor...

Di samping mendesak agar perbalahan antara Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi tidak dilakukan secara terbuka, perwakilan Johor turut menyentuh insiden pertemuan sulit antara pemimpinPAS dan UMNO berhubung kerajaan perpaduan semasa Tun Abdullah Badawi masih menjadi Perdana Menteri, yakni selepas pilihan raya umum ke-12. Kemelut politik di Selangor dibiarkan tanpa penyelesaian selama enam bulan turut menjadi bahan perbahasan peserta yang melihat kepimpinan PAS telah gagal dan menyebabkan imej parti itu semakin gelincir jatuh.’

Lebih diburukkan lagi ialah apabila isu pokok "pilihan antara PR dengan BN", tidak diberikan penjelasan, ahli telah melihat ia lebih merupakan perbalahan antara “Nik Aziz dengan Hadi Awang". Tidak banyak yang boleh diukur mengenai sikap perwakilan terhadap kecenderungan sokongan antara kedua pemimpin itu, manakala kumpulan yang mempertahankan Haji Hadi menjelaskan "masuk UMNO" merupakan fitnah dan mengandaikan UMNO sebagai musuh yang jahat. Mereka tidak sanggup melihat Haji Hadi terus menerus dituduh “pro UMNO.”

Kumpulan yang pro-Hadi terpaksa bangun untuk menyokong resolusi yang berbunyi "...dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda Kerajaan Perpaduan" apabila dibacakan dan diminta untuk menyetujuinya.

Akhirnya resolusi itu diluluskan setelah mendapat sokongan besar dan seminar berakhir dengan ucapan penggulung Haji Hadi yang menawarkan secara rasminya “tertutup pintu rundingan kerajaan perpaduan antara PAS-UMNO/BN. Perwakilan terus menelan pedih dengan gambaran sebenar PAS berdasarkan kajian seorang ahli akademik bahawa pengaruhnya semakin menurun apabila lebih besar responden melihat kepimpinan Haji Hadi semakin merosot dan kurang berkesan. Secara totalnya, lebih 70 peratus responden dari kumpulan umur 21 hingga 50 tahun menilai sebagai tidak konsisten, ketumpulan visi dan kekaburan tindakan.

Apakah kunci yang menutup rapat “pintu rundingan" tidak akan terbuka lagi untuk masa akan datang?. Apakah Haji Hadi akan terus memegang kuat amanah tersebut dan sebagai seorang ulamak, apakah Haji Hadi sanggup mengorbankan prinsip persaudaraan setiap penganut Islam atas dasar memegang amanah parti? Manakah pilihan yang bakal dibuat selanjutnya , amanah parti atau amanah menyatukan perjuangan setiap mereka yang mengucap dua kalimah syahadah?

Taman Samudera, 10 malam- 7 November 2009

No comments:

Post a Comment