Monday, December 14, 2009

Krisis keteladanan dalam pengurusan moden


Teori pengurusan barat yang bertunjangkan falsafah materialisme, dari dedaktik kapitalisme, sosialisme mahupun komunisme dilihat semakin gagal untuk menguruskan sumber manusia. Prinsip pengurusan sumber manusia sama ada yang bermula dengan ledakan pemikiran Herbert Simon (organisasi dinamik), McGregor (teori x dan y), Blake dan Mouton (pengurusan grid), Frederick Taylor (ganjaran upah), Peter Drucker (pengurusan moden dan keupayaan ilmu), Peter Senge (organisasi pembelajaran), James C.Maxwell (teori kepimpinan 360 darjah), dan terbaru ialah kecerdasan emosi oleh Daniel Goleman masih belum mampu menjadikan pengurusan sumber manusia tenteram dan harmoni.

Pengurusan sumber manusia semakin sehari semakin bergeser dengan pelbagai tuntutan sehingga membentuk semacam drama dan politik pejabat yang memakan semakin banyak korban. Faham kebendaan yang berakar umbi, seperti peningkatan upah walaupun pada peringkat awalnya menjadi daya tarikan, tetapi sampai satu peringkat akan menghadapi krisis emosi yang parah.

Ini dapat diperhatikan apabila Lee Iacoca, bekas pengurus Perbadanan Chryssler mempersoalkan di manakah perginya pemimpin-pemimpin hebat sesebuah organisasi apabila tidak mampu mempertahankan kelangsungan dan kesinambungan industri. Bukunya mengenai perkara tersebut, Where are Leader Have Gone?. Persoalan lain yang turut menjadi bahan kajian ialah apaah pengharapan seseorang pekerja kepada pemimpin yang menerajui sesebuah organisasi.

Hari ini falsafah materialism telah menyebabkan dunia terjerumus dalam kemelut ekonomi yang berpunca daripada krisis subprima, di mana unsur spekulasi harga hartanah menjadi kayu pengukur memperoleh keuntungan. Kerana itulah mereka yang dilihat pakar dalam pengurusan dan pemasaran hartanah mempunyai pendapatan yang besar dan lumayan. Pengurus yang mahir dengan spekulasi dan perniagaan berdasarkan skrip (idea di atas kertas dan bukanya barangan fizikal) dibayar gaji yang paling lumayan. Akhirnya, banyak pengurus-pengurus tersebut terperangkap dan menyebabkan organisasi mengalami krisis kewangan dan kecairan tunai.

Ada yang terpaksa dijual dan diselamatkan. Tidak kurang pula yang terpaksa ditutup dan diisytiharkan muflis. Dalam pencarian itu timbullah beberapa pendapat mengenai keperluan pengurusan spiritual (spiritual management), pengurusan sufi korporat (corporate mystic management), kecerdasan emosi dan sosial (social and emotional intelligence), dan yang paling terbaru ialah kaedah ESQ 165 yang ditemui oleh Dr. Ary Ginanjar Agustian. Modiul latihan berasaskan gabungan tiga , iaitu prinsip spiritual (SQ) dibentuk oleh Ihsan, dimensi mental (EQ) dibangunkan oleh 6 prinsip Rukun Iman dan prinsip tindakan berteraskan 5 Rukun Islam.

Secara lebih umum, Haryanto seorang lulusan Fakulti Undang-undang Universiti Indonesia pada tahun 2004 telah menulis sebuah buku mengenai pengurusan sumber manusia berdasarkan teladan Rasullullah s.a.w. Buku tersebut diberikan judul Rasullullah Way of Managing People: Seni Mengelola Sumber Daya Manusia, dan diterbitkan pada bulan Ogos 2008 oleh Khalifa (Pustaka Al-Kautsar Group), Jakarta.

Buku setebal 292 halaman itu cuba mengkaji sifat-sifat kepimpinan Rasullulah s.a.w dalam membangunkan sumber manusia sehingga Islam bukan sahaja berkembang dengan pesat, malah berupaya mengukuhkan hubungan setiap manusia yang bernaung di bawah prinsip Islam. Sebagai pemimpin ulong sepanjang sejarah peradaban manusia, Rasullullah telah menunjukan teladan terbaik dalam pengurusan sehingga diletakkan sebagai manusia yang paling berpengaruh dan menduduki tangga teratas dalam pengurusan.

Dengan menggali pelbagai dimensi kehidupan, baginda bukan sahaja dilihat sebagai seorang rasul, juga seorang pemimpin, pengurus yang paling berkesan dalam sejarah manusia hingga kini. Dalam pengurusan sumber manusia, baginda berjaya membangunkan kumpulan yang sanggup melakukan apa sahaja demi memperkembangkan dakwah Islam, melalui kekuatan visi dan kejelasan misi.

Prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w banyak berasaskan prinsip ketuhanan, kesejagatan, kemanusiaan, kebenaran, keharmonian, adil, mudah, dan dinamik. Prinsip ketuhanan diterapkan dalam setiap ketika, masa dan tindakan sehingga setiap orang merasakan apa yang dilakukan itu sebagai satu ibadah. Prinsip inilah yang cuba diterapkan secara mendalam dalam pengurusan Islam, tetapi sayangnya sebahagian besar pemimpin yang mengetuai organisasi moden Malaysia melupakan hakikat tersebut, malah terlalu mudah melafazkan fahaman pengurusan barat melalui petikan kata-kata pelopor utama dan pendiri falsafah pengurusan sama ada berasaskan behaviorisme ataupun transaksional.

Kekuatan prinsip ini tidak dijelmakan dalam semua bentuk tindakan kecuailah pada permulaannya sahaja, iaitu sekadar berdoa dan memberikan salam. Dalam setiap perncangan lebih mendefinisikan pengurusan dalam bentuk kesan yang boleh diukur, misalnya pulangan pelaburan, hasil yang dikeluarkan dan sebagainya. Hasilnya menyebabkan pekerja hanya dianggap sebagai alat pengeluaran melalui prinsip hubungan manusia-mesin-modal-kaedah-output. Islam menetapkan prinsip pengurusan berdasarkan keyakinan terhadap keredaaan Allah s.w.t, dan dengan itu setiap pekerja menghayati secara mendalam prinsip ketakwaan, kalimat tauhid, pemurnian akidah, penyerahan dan penyempurnaan amanah.

Prinsip pengurusan universal (nilai-nilai kesejagatan) boleh diterapkan pada bila-bila masa, tanpa mengehadkan orang-orang tertentu. Prinsip ini amat berbeza dengan nilai pengurusan barat yang lebih memilih dan mengehadkan tanggungjawab seseorang. Seorang pekerja bawahan tidak digalakkan bergaul pihak atasan, mereka dipisahkan oleh kuasa membuat keputusan. Sumbangan pekerja bawahan ialah mengeluarkan hasil, manakala pekerja atasan menguruskan hasil seperti pemasaran, penentuan harga dan sebagainya. Dalam hal ini, ada kecenderungan pekerja tidak boleh memiliki barangan yang mereka keluarkan, sama ada sebagai pengguna dan pembeli. Ini disebabkan harga yang terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar walaupun dengan mengumpul semua jumlah upah tahunan.

Prinsip kemanusiaan yang diterapkan dalam pengurusan Rasulullah s.a.w kerana baginda memahami bahawa semua sikap, perilaku prestasinya menjadi teladan setiap orang. Ini amat berbeza dengan prinsip pengurusan barat yang meletakkan kedudukan pemimpin atasan sebagai elit kuasa yang tidak boleh disentuh oleh pekerja bawahan. Prinsip “the boss always right” menjadi amalan sehingga menjadikan pekerja bawahan tidak ubah seperti alat-alat yang lain, boleh dibuang atau disingkirkan tanpa pertimbangan kemanusiaan. Takut menerima ugutan dipecat, pekerja terpaksa akur walaupun arahan yang diberikan ternyata salah dan terkeluar daripada prinsip dan norma kemanusiaan.

Dengan mengetepikan kebenaran, prinsip pengurusan Barat sanggup meletakkan tipu daya sebagai strategi pengurusan sumber manusia. Di sinilah lahirnya pelobi, pembodek yang membelenggu organisasi sehingga menyebabkan mereka yang kurang sifat-sifat itu tidak mendapat tempat yang baik. Mereka yang pandai bercakap, petah menyusun kata-kata dinilai sebagai kekuatan manakala yang mahir dan berketampilan hanyalah sebagai batu loncatan. Prinsip keadilan berdasarkan ruang tugas, hak, kewajiban, kompetensi dan integrity hanyalah menjadi mainan kata-kata, tindakan pemimpin atasan tidak mencerminkan arah tersebut. Maka dengan itulah lahirnya pemimpin yang korup, salah guna kuasa, kronisme dan nepotisme dalam organisasi.

Prinsip pengurusan Rasulullah s.a.w mengaplikasikan prinsip mudah, iaitu sederhana. Prinsip ini akhir-akhir ini cuba dikembangkan oleh Edward de Bono melalui konsep simpilicity, agar setiap orang dalam organisasi memahami tanggungjawabnya. Rasullullah s.a.w tidak memperkenalkan jargon pengurusan yang berbelit-belit sepertimana prinsip pengurusan moden yang diperkenalkan melalui pelbagai teori hasil penyelidikan psikologi terhad. Kaedah penarafan tertentu juga menyebabkan pekrja lebih banyak menghabiskan masa untuk memahami perkara-perkara teknikal berbanding dengan hakikat organisasi itu sendiri.

Kerana terlalu banyak perkara teknikal, kadangkala menyebabkan pengurusan menjadi terlalu sesak dan penuh kepalsuan etika. Setiap hari ada perubahan nilai, yang mana nilai-nilai tersebut semakin melebarkan jarak antara seorang pekerja dengan pekerja yang lain. Jajaran pekerjaan menjadi terlalu khusus dan antaranya tidak mempunyai interaksi emosi secara dinamik.

Keunggulan pengurusan Rasullullah s.a.w dapat dilihat melalui peribadi yang komunikatif (tabligh) melalui amalan qaulan ma’rufan (perkataan yang baik dan istilah yang lemah lembut), qaulan sadiidin (perkataan yang benar, tidak berbohong dan berbelit-belit), qaulan balighan (fasih, jelas maknanya, terang dan tepat pengungkapannya), qaulan maisuran (tidak melecehkan), qaulan layyinan (perkataan yang lemah lembut)dan qaulan tsaqilan (perkataan yang tepat dan berkesan, boleh menjernihkan perasaan pendengar).

Berbanding dengan pengurusan barat, seorang ketua adakalanya menggunakan kata-kata kesat kepada pekerja bawahan. Apabila pemikiran pekerja bawahan tidak selaras dengan pemikiran atau aspirasinya, maka pekerja tersebut dianggap sebagai bermasalah. Sikap mendidik dan memberikan contoh teladan yang baik tidak pernah ditunjukkan, dan kerana itulah pekerja dilanyak tanpa memikirkan perasaan dan nilai-nilai kemanusiaan. Hakikat kepimpinan seperti inilah yang banyak dilahirkan melalui prinsisp pengurusan barat sehingga menimbulkan pertembungan dan permusuhan.

Pekerja bawahan menjadi terlalu takut untuk menemui pemimpin atasan kerana setiap kali interaksi berlaku, berada dalam suasana memendam rasa, takut, gelisah dan tidak harmoni. Pemimpin atasan bersifat mengarah dan melecehkan setiap pendapat yang berbeza, walhal pekerja bawahanlah sebenarnya banyak menyumbang kepada kelangsungan organisasi. Apabila organisasi menghadapi masalah, pemimpin atasab seringkali menganjurkan perubahan. Keperluan kepada perubahan sikap dan tindakan hanya terhad kepada pekerja bawahan, manakala pekerja atasan masih mengamalkan tabiat lama, menyalahkan orang lain di atas kegagalan organisasi yang dipimpinnya.

Sumber daya pengurusan manusia Rasulullah s.a.w berupaya meletakkan Islam sebagai perimbangan hakikat diri manusia sebagai hamba Allah s.w.t dan ahli kumpulan masyarakat (umat) yang besar. Inilah sumber daya pengurusan yang seharusnya diaplikasikan dalam pengurusan manusia, jika inginkan organisasi cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan meminggirkan prinsip keteladanan, pengurusan organinasi bukan sahaja bermasalah, tetapi lenyap akhirnya.

Buku ini memberikan pengetahuan asas mengenai prinsip pengurusan yang diamalkan oleh Rasullullah s.a.w dan perlu dipraktikan oleh setiap orang, kerana kita memimpin. Kita perlu mempunyai kekuatan bagi dicontohi oleh orang yang kita pimpin. Kekuatan kepimpinan kita bukan terletak kepada kebolehan kita melecehkan orang lain, ia bergantung kepada kekuatan interaksi dengan orang lain, termasuk menghargai mereka dan meletakkan prinsip tauhid dalam setiap bentuk tindakan dan keputusan.

No comments:

Post a Comment