Tuesday, December 8, 2009

bo le, biar Tok Guru soghe main politik

Seruan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein agar rakyat Kelantan tidak “serabut otak” memikirkan mengenai politik. Ini kerana rakyat Kelantan memang terkenal dengan politik, dari mula terbit matahari hinggalah bulan pun tak sanggup lagi membantu, masih bercakap soal politik.

Ada banyak bentuk politik di Kelantan. Dari politik kedai kopi hinggalah politik laga ayam atau laga lembu. Selepas banjir ini ada pula politik “bantuan banjir” yang akan dijaja sekeliling kampong hingga yang tidak sepatutnya mendapatkan bantuan ikut serta, sekurang-kurangnya dapatlah sekampit beras cap Arnab Mas.

Hakikatnya bukan sahaja rakyat Kelanyan bijak bermain politik, pemimpinnya juga pintar memintas situasi agar kelihatan semua yang dilaksanakan mempunyai kepentingan rakyat.

Yang tidak puas hati dengan wang ehsan ialah Kerajaan Kelantan dan bukannya rakyat. Rakyat tetap setuju, kerana lebih penting bagi mereka ialah lebih banyak kemudahan dilaksanakan di kawasan mereka, termasuk kawasan-kawasan pedalaman yang telah lama merindukan jambatan, jalan bertar, kemudahan air bersih, surau dan klinik desa.

Rakyat Manek Urai memang tidak perlukan bangunan seperti KB Mall kerana mereka bukanlah mampu untuk berbelanja cara itu. Mereka hanyalah memperoleh pendapatan dari beberapa ringgit hasil jualan getah, buah-buahan, dan sebagainya tentu kekok nak makan pizza ataupun Kentucky Fried Chicken.

Ayam kampong goreng garing dengan bawang merah dan lada kering tetap sedap berbanding KFC. Lempeng dari kelapa muda lebih enak berbanding pizza. Tapi mereka perlukan jambatan kerana mampu memudahkan hasil mahsul mereka dibawa keluar dan jika berlaku kecemasan, mereka senang mengambil tindakan susulan. Tidak lagi mengharapkan petunjuk paras air, jika air surut perjalanan mereka terhalang.

Rakyat Kelantan kebanyakan tidaklah hiraukan sangat seruan Tok Guru Nik Aziz agar ikut serta masing-masing berdoa agar “pemimpin pecah perut.” Mereka udah pun sedar, tak baik mendoakan laknat kepada orang lain, apatah lagi sesama Islam.

Tapi mereka tetap nak minta Tok Guru teruslah meneraju Kelantan. Mereka faham kalau nak suruh Tok Guru berhenti, Tok Guru akan komen “siapa budak-budak tu?”. Tak apa lah, kalau Tok Guru nak jadi Menteri Besar Kelantan seumur hidup pun jadilah walaupun makin ramai rakyat Kelantan dah tak berkenan dengan Tok Guru.

Tok Guru boleh duduk diam dekat Pulau Melaka. Selepas selesai sembahyang subuh, Tok Guru jalanlah keliling kampong, lagi sihat. Tidaklah serabut sangat, kalau ada tak panggil Tok Guru sebagai “YAB Menteri Besar” pun taka pa, orang akan kenal Tok Guru adalah “bekas Menteri Besar Kelantan yang paling banyak melakukan kesilapan.”

Tok Guru kena ingat, walaupun masih terasa diri kuat, sebenarnya turut mencerminkan tenaga semakin lemah. Jika tetap memikirkan kecerdasan otak, sebenarnya minda sudah lama terkurung dengan “sangkar politik” yang telah lama dibaja dan disemai itu. Dah banyak tahun berbuah, kalau rambutan sekalipun dah sampai masa ditanam baru. Buahnya semakin kecil. Ibarat buah betik, semakin lama, buahnya tidaklah selazat buah pertama atau zaman mudanya.

Begitu juga dengan hakikat pengaruh. Semakin lama, semakin ramai orang mula membuat perbandingan. Apa yang Tok Guru lakukan pada awalan kemunculan, orang menganggapnya sebagai sesuatu yang baik, sederhana dan sebagainya. Lama kelamaan kesederhanaan itu dilihat jelek, tidak sewajarnya, Tok Guru perlu memperbaiki kedudukan dan mempamerkan imej baru.

Kalau hanya bertahan dengan gaya lama, termasuk retorik syurga, tentunya makin ramai orang tak percaya. Mereka sekarang, golongan muda sudah ramai tahu membaca dan boleh membaca pelbagai bahan bacaan, sama ada bahasa asal atau terjemahannya, akan mengetahui “syurga itu hak Tuhan dan bukan ditentukan oleh PAS.”

Tok Guru seharusnya dapat merenung dengan apa yang terjadi semalam di KB Mall. Bagaimana sebuah kereta boleh melompat seperti mengejar Jacky Chan dalam drama kejar-mengejar menghempap dua pelajar dan meninggal di tempat kejadian. Bagaimana pihak berkuasa tempatan, tentunya Majlis Bandaraya (Islam) Kota Bahru boleh memberikan sijil menduduki kepada KB Mall itu.

Bagaimana mungkin laluan kenderaan dan laluan orang awam boleh setentang. Bagaimana lorong escalator itu boleh ditimbusi oleh kereta setelah dinding terbongkah batu-batanya? Inilah yang sepatutnya Tok Guru fikirkan, dan mengkaji semula rekabentuk bangunan yang terdapat dalam MPKB.

Kita seringkali diingatkan apabila meminta bala menimpa orang lain, akhirnya bala tersebut akan turut menimpa kita. Apabila kita berdoa untuk kesejahteraan orang, kita juga akan mendapat pahala. Itu adalah hubungan interaktif kita dengan Allah SWT. Oleh itu, walaupun nak mengatakan dengan tepat kebenaran kejadian itu dengan apa yang Tok Guru doakan, adalah sesuatu yang agak keterlaluan.

Sekurang-kurangnya saya dapat sedikit renungan. Mungkin ada jawapannya. Tetapi biarlah saya menyimpannya buat sementara waktu kerana saya tidak mampu membenarkan pendapat saya berdasarkan firman dan hadis, saya tidak banyak mengetahui tafsirannya, hanya sekadar boleh membacanya, kerana itulah yang tok guru al-Qur’an ajar kepada saya suatu ketika dahulu.

Saya tertunggu-tunggu apa yang nak Tok Guru ulas mengenai kejadian itu. Apakah Tok Guru akan tetap menafikan ia adalah petunjuk dari Allah SWT memberikan amaran di atas kesombongan yang pernah kita lakukan?

Saya tetap tidak akan menghiraukan walaupun sepanjang jalan antara sempadan Gua Musang ke Kota Bahru akan penuh dengan sepanduk mengutuk pemberian wang ehsan, dari Teluk Budu ke Hutan Melintang atau dari Pengkalan Kubur ke Bukit Batu Hitam terpampang gambar Tok Guru berdoa, ia hanyalah lambang kesombongan manusia yang cuba mengusulkan perjuangan politik dan mengekalkan kuasa.

Kalau Tok Guru nak jadi Menteri Besar Kelantan sampai bila-bila pun ambillah. Saya tidak peduli, kerana saya yakin, suatu hari nanti Tok Guru akan bercakap seorang diri. Pengampu Tok Guru semakin menghilang diri, kerana mereka juga kepingin nak duduk tempat Tok Guru, tapi Tok Guru tidak memberikan mereka laluan, mereka juga akan pergi meninggalkan Tok Guru nanti.

No comments:

Post a Comment