Sunday, November 22, 2009

JANGAN POLITIKKAN PENDIDIKAN

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

SAYA amat berharap kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya membantu 60 Chinese Independent Secondary School serta mengiktiraf sijil yang dikeluarkan.

Cukuplah dengan lebih 1,300 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang sedia ada dan akan bertambah dari masa ke semasa. Pemisahan di sekolah rendah sudah cukup berat bagi kita untuk memperkasa masa hadapan. Apakah kita mahu terus memisahkan mereka apabila berada di sekolah menengah? Ini belum ditambah dengan IPTS yang berasaskan kaum yang begitu ketara bilangannya. Apakah ini semangat 1Malaysia?

Di sekolah vernakular, bahasa Melayu hanya diajar tiga kali dalam seminggu. Apakah mereka ini boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Buatlah kajian. Lihat sahaja keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pelajar-pelajar ini dalam bahasa Melayu dan kelas peralihan. Itu sudah cukup memberikan gambaran.

Selepas itu buatlah bancian di kampung-kampung baharu. Nilailah tahap penguasaan bahasa kebangsaan. Saya bukan anti Cina. Saya amat sayangkan bangsa saya sebab mereka adalah juga kejadian Allah. Jika saya menolak mereka, bermakna saya menolak Allah yang menjadikan saya sebagai orang Cina. Apakah saya anti-Cina bila membangkitkan isu ini?

Biarlah kita bergaduh hari sekarang demi masa depan. Mudah-mudahan anak cucu cicit kita sejahtera hidup selepas ini. Kepentingan mereka mesti diutamakan berbanding kepentingan kita.

Sebelum tahun 1996, kita ada Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri pelajaran untuk menutup atau memansuhkan SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Akta ini amat ditakuti oleh persatuan-persatuan Cina. Mereka telah merayu dan mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, menteri pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baru pada 1996 yang lebih lunak.

Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan masih lagi tidak dipersetujui oleh segelintir ultra kiasu. Ultra kiasu ini berpendapat, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 kepada 1996 telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1).

Kuasa baru

Menurut mereka, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Ultra kiasu berhujah, akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang daripada pendidikan pra- sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah. Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi ‘kebenaran khas’ oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada peruntukan di bawah Seksyen 17 (1).

Sebenarnya, Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 ‘lebih lembut’ berbanding Akta Pelajaran 1961 yang dimansuhkan. Tidakkah ini satu toleransi? Sanggup korbankan kuasa semata-mata untuk meraikan orang lain.

Kepada golongan ultra kisu yang selalu menentang saya bacalah akta ini dan bandingkan dengan akta sebelumnya. Siapakah yang menggubal akta ini kalau bukan Perdana Menteri kita hari ini yang ketika itu adalah menteri pelajaran. Menteri pelajaran sebelum itu, langsung tidak mahu bertolak ansur. Siapakah dia? Tanyalah sekutu parti ultra kiasu ini.

Sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah bersyukur, apatah lagi untuk menghargai. Saya tidak nampak beza SJKC dengan sekolah Cina di negara China dari segi bahasa, kecuali tambahan mata pelajaran bahasa Melayu 3 jam seminggu?

Saya teringat kata-kata Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Kay Kim amat kesal dengan segelintir pihak yang mempertahankan sekolah berasaskan kaum ini.

Saya berharap mereka yang terlalu banyak bercakap mempertahankan sekolah vernakular supaya membuat kajian secara menyeluruh. Jangan asyik menyalahkan kerajaan sahaja. Apakah agenda mereka?

Jika mahu mempertahankan warisan nenek moyang, jagalah budaya dan cara hidup semua sekali? Jangan hanya isu bahasa sahaja, sebab isu bahasa adalah masalah negara. Saya minta mereka buat kajian tentang prestasi bahasa Melayu (BM) sekolah vernakular.

Pertama, kebolehan dan keupayaan memahami dan bertutur dalam BM, kedua, peratus kegagalan BM, ketiga, masalah kelas-kelas peralihan dan masalah komunikasi antara pelajar dalam BM, keempat, pergaulan pelajar peralihan dengan pelajar Melayu. Kelima, kegagalan dan kelulusan rendah dalam BM peringkat PMR dan SPM. Keenam, kefahaman dan kebolehan BM setelah tamat sekolah menengah. Ketujuh, kebolehan bertutur BM di kalangan bukan Melayu.

Kita teramat sedih apabila baru-baru ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina, beberapa pertubuhan Cina seperti Dong Zong, Hua Zong, Persatuan Ketua-ketua Sekolah Cina, Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina dan lain-lain persatuan, menentang keras cadangan Kementerian Pelajaran untuk menyeragamkan silibus Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan SJKC.

Untuk makluman, silibus BM di SJKC lebih mudah berbanding SK. Begitulah bersatunya mereka. Apabila belajar BM mahukan yang mudah-mudah (cincai). Belajar bahasa sendiri mesti secara terperinci. Adakah kita sebenarnya serius memperkasakan negara? Adakah ini bukan ultra kiasu? Adakah kita masih tidak nampak dan sedar?

Simplistik

Alasannya begitu simplistik, pelajar-pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM yang agak susah sebab mereka terpaksa belajar tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga. Begini nasib bahasa Melayu di bumi Melayu.

Tidakkah kita sedar bahawa BM adalah bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia? Memanglah susah kalau hanya diajar tiga kali seminggu di SJKC. Adakah kita serius?
Saya tidak menafikan ada segelintir pelajar Cina yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, tetapi bilangan amat kecil. Itupun setelah diwajibkan lulus. Bayangkan jika syarat itu tidak ada. Apakah belajar bahasa Melayu kerana terpaksa belajar atau semangat sayangkan bahasa kebangsaan? Fikirkanlah.

Janganlah menegakkan benang yang basah, yang rugi nanti anak cucu cicit kita, ketika itu kita telah tiada. Jangan kerana ego hari ini kita korbankan kepentingan masa hadapan.

Kepada golongan ultra kiasu ini saya ingin bertanya, berikan saya satu contoh negara di dunia ini yang mengamalkan sistem sebegini? Kalau ada saya akan mengalah. Bukankah syurga kita di sini? Jangan selalu gunakan hujah kepelbagaian sebagai satu kekuatan.

Kita perlu mencari banyak persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan berkongsi matlamat wawasan negara. Ia bermula dengan berkongsi sekolah satu aliran, tanpa menafikan hak masing-masing.

Jika isu asas seperti bahasa ini pun sudah tidak dipersetujui, apakah dalam perkara lain kita boleh bersetuju? Ringkasnya, sekolah satu aliran adalah satu mimpi jika kita terus berlembut. Kiasu itu dibolehkan. Tidak salah. Malahan Islam membenarkan. Tetapi jangan menjadi ultra kiasu.

Saya juga tidak nafikan guru-guru sekolah vernakular rajin dan dedikasi. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh buat generalisasi bahawa guru-guru sekolah kebangsaan tidak sama standard dengan SJKC. Ingat! Tidak semua guru-guru SJKC bagus-bagus. Saya juga berpengalaman.

Saya bukan Cina masuk Melayu atau Cina murtad. Saya hanya mempertahankan kepentingan masa depan dan anak cucu cicit kita. Jangan politikkan pendidikan kerana ia amat bahaya untuk masa depan negara. Jangan nafikan peranan kerajaan terhadap sekolah bantuan modal seperti SJKC. Perlu diingatkan lebih 400 SJKC adalah bantuan penuh dan dibina oleh kerajaan dalam setiap rancangan Malaysia.

Mingguan Malaysia, 22.11.2009

Sunday, November 15, 2009

Hayat' PKR berakhir dalam senyap?

Zulkiflee Bakar

SEHINGGA ke hari ini, ramai masih tertanya-tanya apakah hasil Seminar Memperkasakan Pas yang diadakan baru-baru ini. Ia kerana mereka melihat tidak ada apa-apa signifikannya seminar itu, selain kritikan kepada kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Oleh itu, timbullah persoalan apakah seminar itu diadakan kerana Pas sememangnya bermasalah atau ada 'tangan-tangan' ghaib yang memainkan peranan untuk memburukkan Pas.

Lebih daripada itu, adakah seminar tersebut satu manuver politik oleh pihak tertentu bagi mengalih perhatian daripada pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam soal ini, kita perlu mengimbas apa yang berlaku sepanjang pertengahan Oktober lalu, sebelum tercetusnya soal untuk mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa kepimpinan Pas dan kemudian disusuli dengan keputusan mengadakan seminar memperkasakan parti itu.

Ketika isu tersebut timbul, PKR sedang menghadapi krisis dalaman yang cukup serius. Ia mula tercetus di Sabah apabila 18 daripada 23 ketua bahagian PKR menolak pelantikan Azmin Ali sebagai pengerusi perhubungan.

Tumpuan media terarah kepada pergolakan dalam PKR sehingga akhirnya pada 27 Oktober menyaksikan peletakan jawatan Naib Presidennya, Datuk Jeffrey Kitingan, namun krisis itu seolah-olah reda apabila timbul isu dalam Pas.

Perhatian tidak lagi diberikan kepada apa yang berlaku dalam PKR sebaliknya lebih kepada Pas. Tetapi apabila seminar yang diadakan tidak menyaksikan apa-apa yang menarik maka timbullah persoalan siapa sebenarnya bermasalah, Pas atau PKR.

Mungkin buat seketika pemimpin-pemimpin PKR mampu meredam gejolak masalah yang berlaku dalam parti itu tetapi ramai pemerhati politik yakin bahawa parti tersebut sedang berada di ambang perpecahan yang serius.

Sebab itulah di kalangan sesetengah pemimpin pembangkang yang lain terutamanya Pas melihat PKR sering membawa masalah kepada mereka.

''Cuba lihat apa yang berlaku di Kedah, Perak dan Selangor, semuanya adalah gara-gara kemelut yang berlaku dalam PKR.

''Tetapi malangnya orang lupa semua itu, mereka lebih suka hendak melihat kononnya Pas bermasalah sedangkan kami tidak ada apa-apa masalah,'' kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis dalam satu pertemuan.

Dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini, Anuar Shaari yang merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak terkejut dengan apa yang berlaku kepada PKR.

Bagi beliau, PKR adalah sebuah parti yang rapuh dan diwujudkan semata-mata untuk memenuhi agenda peribadi seorang pemimpin. Atas alasan inilah satu demi satu prinsip dan asas parti diubah sesuka hati mengikut kehendak seorang pemimpin sahaja.

''Dalam pembangunan sesebuah organisasi apabila ada seorang yang terlalu dominan dan berkuasa menentukan hala tuju parti maka organisasi itu tidak akan berjaya dan tidak ke mana-mana,'' tegas Anuar.

Itulah yang berlaku kepada PKR, apabila suara ahli dan parti tidak dipedulikan melainkan untuk menjaga kedudukan seorang dua pemimpin sahaja. Faktor inilah yang menyumbangkan kepada kelemahan PKR sehingga sejak dari awal penubuhan sehingga ke hari ini, seorang demi seorang pemimpin parti itu meninggalkannya.

bersandiwara

Mungkin bagi pemimpin PKR mereka boleh menuduh apa sahaja kepada pemimpin yang berbuat demikian tetapi realitinya pemimpin yang bertindak keluar daripada PKR itu, melakukannya atas dasar prinsip. Mereka tidak mahu terus bersandiwara dan mempermainkan prinsip perjuangan yang ditanam di sanubari mereka ketika awal menyertai PKR.

Oleh itu, apabila mereka melihat PKR tidak lagi selari dengan kehendak perjuangan mereka, maka langkah terbaik adalah mengundurkan diri dan itu lebih mulia daripada bersekongkol dengan pemimpin yang hanya ingin mencapai agenda peribadinya. Pepatah ada mengatakan bagaimana acuannya begitulah juga kuihnya, mungkin itulah yang berlaku kepada PKR sekarang apabila wajah sebenar kenapa parti itu ditubuhkan sudah terlihat.

Laungan kononnya mereka berjuang untuk rakyat hanyalah omong kosong sebaliknya segala-galanya hanya semata-mata bagi membela seorang pemimpin dan lebih penting lagi meletakkan dia di tempat yang diidam-idamkan olehnya selama ini.

Apa yang anehnya, biarpun diserang bertubi-tubi oleh bekas-bekas pemimpinnya namun pemimpin di dalam PKR termasuklah Anwar sendiri hanya mendiamkan diri. Antara isu itu termasuklah dakwaan oleh Anuar, Nallakaruppan dan Ezam Mohd.Noor bahawa ada pemimpin yang diberi layanan istimewa oleh Anwar.

Ini belum lagi termasuk dakwaan bahawa PKR hanya dikuasai oleh '3A' iaitu Anwar, Azizah dan Azmin. Walaupun dakwaan itu boleh menjejaskan kewibawaan PKR tetapi tiada tindak balas.

Pemimpin-pemimpin PKR seolah-olah mengiakan apa yang didakwa dan ini sekali gus menimbulkan kesangsian kepada rakyat bahawa semua dakwaan itu ada kebenarannya.

Walaupun PKR sebenarnya sebuah parti yang bermasalah tetapi mereka cuba menutupi konflik yang berlaku dan berlagak seolah-olah tiada apa-apa terjadi. Tetapi berdasarkan kepada perbualan penulis dengan beberapa rakan di negeri-negeri tertentu mereka mengakui, jika masalah PKR boleh diibaratkan seperti lava gunung berapi, ia hanya menanti masa untuk 'dimuntahkan'.

Apa yang mengecewakan, biarpun terdapat seribu satu masalah dan termasuklah juga kewibawaan pemimpin-pemimpin PKR dipertikaikan oleh banyak pihak tetapi masih ada pihak yang cuba mengetengahkan kononnya golongan itulah bakal pemimpin masa depan negara.

Akibatnya, kepimpinan dalam parti pembangkang lain terutamanya Abdul Hadi sengaja digembar-gemburkan sebagai bermasalah dan lemah. Mungkin secara dasar kita boleh katakan agenda atau manuver mereka berjaya tetapi mereka terlupa bahawa ahli-ahli dan penyokong Pas di peringkat akar umbi tidaklah sebodoh itu.

Penulis difahamkan, di kalangan sebahagian besar pemimpin, ahli dan penyokong Pas mereka semakin menyedari 'permainan politik' yang dicetuskan oleh sesetengah pemimpin pakatan pembangkang sendiri bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Mengulas perkara ini, Penganalisis politik Ahmad Masrizal Muhammad berkata, PKR dilihat memang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan imej parti di dalam peta minda setiap rakyat negara ini bahawa mereka sebuah parti yang amat relevan dengan kehendak semasa iaitu semua bersatu dalam satu parti.

''Namun begitu hakikat dan realiti sebenar adalah jauh berbeza dengan apa yang diuar-uarkan melalui slogan-slogan. Pertentangan kepentingan antara kaum wujud sama ada secara senyap ataupun terbuka. Masing-masing memasang strategi.

''Ini sekali gus menunjukkan bahawa untuk mencapai tahap wahdatul fikr (penyatuan fikiran) sesama saf dalam pimpinan dalam PKR bukanlah suatu yang mudah sebagaimana lakaran di atas kertas,'' katanya.

Menurut beliau, kekaburan terhadap teras utama dalam parti ini juga memberi impak yang besar kepada pencapaian hala tujunya pada masa akan datang.

Seperkara lagi yang tidak harus dilupakan bahawa PKR diwujudkan atas dasar populariti semata-mata. Mengikut penganalisis politik, sejak pilihan raya umum 1999 hinggalah 2008, faktor Anwar masih lagi menjadi 'barang yang didagangkan' untuk meraihkan sokongan rakyat.

Lebih daripada itu seperti mana kata Ahmad Masrizal, parti tersebut memberi fokus berlebihan kepada strategi memanipulasi isu demi meraih persepsi dan populariti. Tetapi PKR terlupa bahawa strategi seumpama itu sudah semakin tidak berkesan.

''Natijahnya, pelbagai polemik kepimpinan berlaku di negeri-negeri dan yang terbaru di Sabah dan lain-lain negeri, ia pastilah akan menjejaskan PKR pada masa akan datang,'' katanya.

Oleh itu kita tidak perlu terkejut apabila PKR merancang untuk terus mengatur strategi bagi memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana itu sahaja cara mereka bagi menutup kelemahan sendiri.

Ia juga sekali gus memaparkan perangai PKR yang semakin 'bankrap' isu dan terus berusaha menjadikan persepsi sebagai 'senjata' untuk meraih sokongan di dalam pilihan raya. Kalau hendak bersandarkan kepada prestasi, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh parti itu.

Bagaimanapun rakyat tidak akan selamanya boleh diperbodohkan oleh mainan politik seumpama itu, justeru tersilap langkah boleh berlaku 'senjata makan tuan'. Berdasarkan keadaan itu, bukanlah sesuatu yang mustahil jika PKR akan mengalami nasib seperti mana sesetengah parti politik serpihan yang sebelum ini berkubur selepas menikmati kemenangan sementara.

Matlamat

Menyentuh perkara ini, Ahmad Masrizal berkata, peristiwa demi peristiwa dan drama demi drama yang dipersembahkan kepada rakyat telah menyebabkan rakyat semakin membuka mata dan sedar bahawa PKR semakin jauh untuk mencapai matlamat strategik yang dicipta oleh mereka sendiri.

''Matlamat dan hala tuju perjuangan PKR yang dikatakan lebih menekankan kepada aspek idealisme perjuangan dan meningkatkan khidmat kepada rakyat nampak semakin kabur. Inilah yang dimaksudkan dengan PKR sedang berhadapan dengan suatu fenomena baru dalam fasa kewujudan mereka iaitu kematian yang senyap dan halus atau lebih popular dikenali sebagai gangren politik,'' katanya.

Kita tidak pasti sejauh manakah fakta ini akan menjadi kenyataan tetapi dari semasa ke semasa PKR terus dilanda konflik dan tahap kepercayaan serta keyakinan di kalangan pemimpin dan ahlinya bahawa parti itu boleh menjadi parti utama semakin luntur. PKR mungkin boleh mengatur strategi dengan mengadakan apa juga konvensyen termasuklah pada hari ini di Shah Alam dengan slogan 'Menggilap Harapan Rakyat', tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa segala kekalutan dalamannya semakin terdedah.

Tidak mustahil PKR akan menamatkan riwayatnya dalam senyap kerana itulah akibatnya kalau pemimpin-pemimpin terlalu teruja untuk menampakkan mereka kelompok paling sempurna di muka bumi Allah ini, sedangkan 'di tubuh' parti itu 'penuh dengan penyakit'.

dipetik dari Mingguan Malaysia, 15.11.2009

Elak taksub pemimpin terlampau

Oleh Hafizahril Hamid

Ketaksuban kepada seseorang mungkin dilihat sesuatu yang lumrah. Contohnya pasangan bercinta, mereka akan cuba mempertahankan pasangan masing-masing sebagai paling sempurna walaupun terdapat cacat cela.

Kepada pemimpin, para penyokong akan cuba mempertahan dan melindungi ketuanya. Mungkin atas alasan, mana mungkin pemimpin yang dilihat suci dan terpuji melakukan sesuatu perkara yang tidak bermoral termasuklah homoseksual.

Inilah yang berlaku di barat apabila terdapat pemimpin disokong dan diletakkan di kedudukan tinggi walaupun mereka terlibat dalam kegiatan seks di luar tabii.

Hanya kerana kebanyakan mereka sendiri tidak lagi percaya kepada agama dan institusi kekeluargaan, maka perlakuan seperti homoseksual semakin diterima dalam kehidupan seharian.

Kita boleh lihat bagaimana golongan artis terkenal menjadi sebahagian daripada contoh dan simbol kelakuan tidak terbatas. Selama ini artis dijadikan idola dan pujaan berjuta peminatnya. Setiap perbuatan dan fesyen yang dipakai mereka akan menjadi contoh dan ikutan.

Begitu juga penyanyi Elton John yang mengamalkan cara hidup songsang sehingga mengahwini seorang lelaki untuk dijadikan pasangan hidupnya. Hanya kerana dia suka beramal dengan menderma wang ringgit dan sebagainya maka kenalah masyarakat terima perangai keji mereka sebagai sebahagian tabii biasa kehidupan.

Artis lain yang secara terbuka mengakui dirinya seorang homoseksual dan sering dijadikan idola pada zamannya ialah penyanyi kumpulan Queen, Freddie Mercury. Penyanyi ini yang dilahirkan dengan nama Farrokh Bulsara dan berketurunan Parsi telah mencipta nama sebagai seorang bintang yang mampu memukau sesiapa sahaja yang menonton persembahannya. Lagu-lagu seperti Bohemian Rhapsody, Somebody to Love dan We Are the Champions senantiasa meniti di bibir para peminatnya malah fesyen dan cara hidupnya juga menjadi ikutan. Dia meninggal dunia pada tahun 1991 akibat AIDS selepas menyembunyikan daripada perhatian umum sekian lama.

Jika kita masih ingat lagi watak Magneto dalam filem X-Men dan Gandalf dalam filem Lord of The Ring pastinya kita akan berasa teruja dengan kemampuan pelakon yang membawa watak tersebut. Sememangnya kemampuan pelakon Sir Ian Murray McKellen tidak perlu dipertikaikan, namun yang menjadi persoalan, dia juga merupakan seorang pengamal homoseksual. Berasal dari Britain, dia merupakan satu-satunya aktor yang mengaku secara terbuka sebagai pengamal homoseksual yang tercalon dalam anugerah Oscar melalui filem Gods and Monster.

Adalah malang orang seperti itu diangkat dan disanjung untuk menjadi idola di kalangan masyarakat terutamanya golongan muda. Lanjutan itu timbullah perasaan taksub terhadap artis sebegini walhal mereka tidak layak langsung untuk dijadikan idola. Paling tidak pun kita hanya boleh mengenang mereka atas dasar muzik yang dihasilkan.

Perasaan yang sama juga berlaku apabila melibatkan soal kepimpinan. Jika di barat ketaksuban terhadap pemimpin tertentu telah menimbulkan keadaan huru-hara sehingga mengakibatkan rusuhan dan pertelagahan politik.

Ketaksuban terhadap pemimpin seperti Adolf Hitler akhirnya mencetuskan Perang Dunia Kedua. Begitu juga yang berlaku di Sudan, Somalia dan beberapa negara Afrika lain. Akibat daripada perasaan taksub telah mengakibatkan negara mereka masih dibelenggu peperangan dan pertumpahan darah.

Begitu juga di Indonesia apabila bekas Presiden Abdurrahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur dipecat, maka para penyokongnya merusuh di jalanan. Semua kejadian ini berlaku akibat daripada tidak dapat menerima kenyataan serta perasaan taksub yang melampau kepada pemimpin.

Namun bagaimana jika terdapat pemimpin yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral seperti homoseksual. Apakah mereka ini layak dipertahankan walaupun kelihatannya mereka ini sangat rendah kedudukannya terutama dari segi moral? Kasihan kepada para penyokongnya yang begitu taksub dan fanatik sehingga tidak boleh menerima kenyataan sebenar bahawa dia seorang homoseksual.

Pemimpin seperti ini dilihat bersih dan bijak berkata-kata tetapi hakikat sebenar berselindung di sebalik realiti bahawa mereka adalah seorang pengamal homoseksual. Hipokrasi sebegini yang membuatkan kita meluat kepada pemimpin tersebut. Tunjuk baik di hadapan orang, dialah yang paling bersih, paling bijak, semuanya dialah yang hebat, tetapi sebenarnya hipokrit dan sering melagakan orang untuk kepentingan peribadi.

Dalam menceritakan kisah pemimpin hipokrit terdapat beberapa pemimpin yang mengaku lelaki tulen tetapi akhirnya tertangkap kerana terlibat dalam kegiatan homoseksual.

Hipokrasi bekas Gabenor New Jersey, James McGreevey setelah sekian lama berselindung di sebalik kebahagiaan hidup berumah tangga terbongkar apabila dia mengakui sebagai seorang pengamal homoseksual.

Peristiwa itu digelar "menggugurkan bom politik" oleh akhbar Amerika Syarikat (AS) setelah McGreevey mengumumkan peletakan jawatan pada Ogos 2004. Beliau berbuat demikian selepas mendedahkan dirinya sebagai seorang gay dan mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki walaupun telah berkahwin.

Ketika pengumuman yang turut dihadiri isterinya, Dina, lelaki berusia 47 tahun itu mengakui mempunyai masalah dengan seksualiti dan ia telah bermula sejak kecil.

"Kebenarannya saya merupakan seorang gay Amerika. Namun perbuatan yang telah saya lakukan ini adalah salah, bodoh dan tidak boleh dimaafkan," kata McGreevey yang mewakili Parti Demokrat.

Peletakan jawatannya adalah susulan daripada saman yang dikeluarkan oleh bekas pembantu keselamatannya, Golan Cipel.

McGreevey mempunyai seorang anak perempuan selain turut mempunyai seorang anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu.

Hipokrit

Seorang lagi pemimpin yang juga bertindak hipokrit dengan berselindung di sebalik perkahwinan ialah bekas Senator Idaho, Larry Craig yang ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh.

Dia didakwa cuba menggoda dengan menunjukkan beberapa isyarat yang biasa digunakan oleh kelompok homoseksual terhadap seorang anggota polis yang menyamar di dalam bilik air Lapangan Terbang Antarabangsa Minneapolis-St Paul.

Lebih melucukan, dia sebelum ini begitu bersungguh-sungguh bertindak sebagai seorang yang anti gay, berpegang teguh kepada moral dan sangat berbangga dengan perkahwinannya. Namun semua lakonan Larry terdedah pada September 2007 dan akhirnya menjadi bahan lawak sama ada di dalam media mahupun di kalangan rakan-rakan dalam parti Republikan.

Satu ketika dahulu Britain pernah digegarkan dengan skandal seks homoseksual apabila Setiausaha Wales, Ron Davies menjadi menteri pertama dalam Kabinet Tony Blair yang meletakkan jawatan.

Dalam kejadian yang berlaku pada 1998, akhbar-akhbar melaporkan dia dirompak oleh seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya di sebuah taman yang terkenal sebagai tempat pertemuan lelaki homoseksual di Clapham Common di selatan London.

Sebelum ini sudah wujud khabar angin yang menyatakan Davies yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 13 tahun, adalah seorang biseksual.

Ini adalah skandal pertama melanda Kabinet Perdana Menteri, Tony Blair, sejak mengambil alih kuasa pada Mei 1997.

Dalam surat peletakan jawatannya, Davies berkata dia bersalah kerana tersilap pertimbangan.

Cerita Davies dikatakan tidak masuk akal, bermula daripada pertemuan dengan lelaki tidak dikenali di Clapham Common dan berakhir dengan drama rompakan bersenjata serta kecurian keretanya.

Kejadian itu menimbulkan lebih banyak persoalan yang tidak terjawab seperti kenapa Davies bersiar seorang diri di taman dalam cuaca sejuk, basah dan berangin pada tengah malam? Kalau benar kenapa dia perlu meletakkan jawatan jika hanya menjadi mangsa jenayah?

Kisah mengenai bekas Presiden pertama Zimbabwe Canaan Sodindo Banana juga sangat memualkan. Dia yang memegang jawatan tersebut dari April 1980 hingga Disember 1987 merupakan seorang paderi Kristian terkenal.

Bagaimanapun rekod baiknya musnah setelah didakwa meliwat berikutan pertuduhan yang dilakukan ketika perbicaraan kes pembunuhan pegawai peribadinya Jefta Dube.

Ketika hayatnya dia bertanggungjawab menyatukan dua parti politik sekali gus membawa kestabilan politik selain mengetuai jabatan agama di Universiti Zimbabwe.

Namun akhirnya Banana dituduh terlibat dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan homoseksual pada 1998.

Banana kemudiannya didapati bersalah atas 11 kesalahan meliwat, cubaan meliwat dan berkelakuan tidak senonoh. Dia kemudiannya melarikan diri ke Afrika Selatan namun diyakinkan oleh Nelson Mandela supaya menjalani hukuman. Banana dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun tetapi dipendekkan kepada hanya enam bulan sebelum dibebaskan pada Januari 2001.

Jika dilihat kembali dari sudut sejarah kaum Nabi Luth adalah masyarakat yang rendah paras moralnya dan rosak akhlak serta tidak mempunyai pegangan agama atau nilai kemanusiaan yang beradab. Maksiat yang paling menonjol dalam hidup mereka adalah perbuatan homoseksual di kalangan lelaki dan lesbian di kalangan wanita. Kedua-dua jenis kemungkaran ini begitu bermaharajalela di dalam masyarakat sehinggakan ia menjadi satu budaya.

Akan tetapi keruntuhan moral dan kerosakan akhlak sudah terlalu menyesatkan mereka, maka dakwah Nabi Luth yang dilaksanakan dengan kesabaran tidak mendapat tempat di dalam hati dan fikiran mereka.

Berikutan itu, satu-satunya cara bagi mengelak perbuatan terkutuk ini menular kepada kaum lain ialah dengan menghapuskan mereka dari atas bumi. Akhirnya, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan bencana yang sangat mengerikan dan dahsyat.

Pompeii

Satu lagi kisah mengenai peristiwa yang melanda kaum yang terlibat dalam homoseksual ialah penduduk di bandar Pompeii ketika era kegemilangan Rom. Bandar itu musnah setelah dilanda letupan gunung berapi dari Gunung Vesuvius selama dua hari pada tahun 79 sebelum masihi.

Akibatnya bandar tersebut lenyap dari muka bumi kerana tertanam dalam lava sedalam 60 kaki. Bandar itu kemudiannya ditemui secara tidak sengaja pada 1748 setelah terkambus selama 1,700 tahun.

Ini adalah sebahagian daripada kisah yang boleh dijadikan iktibar bagaimana golongan yang mengamalkan homoseksual ditimpa bala dan malapetaka akibat perbuatan mereka sendiri.

Oleh itu kita harus sedar ketaksuban kepada pemimpin yang terlibat dalam kegiatan keji sebegini akan hanya menyumbang musibah kepada negara dan rakyatnya. Ini kerana pemimpin sebegini bukan sahaja tidak boleh diterima masyarakat malah dilaknat Tuhan.

Ia akan mengakibatkan pelbagai musibah dan bala diturunkan. Mungkin bukan dalam bentuk kemusnahan tetapi dalam keadaan tertentu. Antaranya ekonomi merudum, bencana yang berpanjangan dan sebagainya.

Justeru kita semua harus mengambil iktibar bahawa seorang pemimpin bukan sahaja perlu cerdik, bijak dan dilihat alim tetapi perlu bersih dan dilihat bersih dari segi moralnya. Jika tidak mungkin malapetaka buruk akan berulang kerana sikap manusia yang tidak mahu belajar daripada sejarah.

Adalah jelas pemimpin yang terlibat dalam perbuatan keji itu harus ditolak kerana mereka dari segi moralnya telah terpesong dan hanya akan memberi musibah kepada masyarakat. Kita sebagai manusia yang dianugerahkan Tuhan dengan akal dan ilmu, pastinya boleh membuat membuat penilaian sendiri apakah orang sebegini layak atau tidak dijadikan pemimpin untuk membina sebuah negara.

dipetik dari Mingguan Malaysia, 15.11.2009

Tuesday, November 10, 2009

KEMELUT TAULIAH DALAM BERDAKWAH

Oleh MUHAMMAD IRFAN ISKANDAR

Penahanan ‘tokoh agama’ oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) pada 2 November lalu semakin membuak emosi masyarakat. Media semakin ghairah membuat liputan terhadap apa yang berlaku itu kerana itulah mungkin merupakan kesempatan terbaik untuk meningkatkan jualan. Kontroversi pertama ialah sebaik sahaja ditangkap, JAIS didakwa telah menggunakan begitu ramai anggota polis mengepung Dr. Mohamad Asri Zainal Abidin (Dr. Maza) seolah-olah beliau adalah seorang yang diburu sejak sekian lama dan disamakan dengan Nordin Mat Top.

Keesokannya, Dr. Maza mempertikaikan tindakan pihak JAIS yang gagal hadir untuk mendengarkan tuduhan di Mahkamah, dan beliau seterusnya melontarkan komen telah dipermain-mainkan. Pada masa yang sama, komen Dr. Maza mengenai penolakan perlantikannya sebagai Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dan reaksi balas bekas YDP YADIM mengenai tuduhan salah guna kuasa sepanjang 10 tahun menerajui badan tersebut.

Kemudiannya, kontroversi muncul lagi apabila Dr. Maza mendapat perhatian wawancara media mengenai sikapnya terhadap penahanan tersebut. Walaupun bukti jelas mengenai kaitan Dr. Maza dengan fahaman Wahabi tidak jelas, persoalan yang menjadi pertikaian sekarang ialah kewajiban mendapatkan kebenaran mengajar agama, atau dikenali sebagai “tauliah.”

Secara mudahnya, tauliah itu boleh dibahagikan kepada dua. Aspek pertama ialah mengenai kelulusan akademik atau tahap keilmuan seseorang itu, di mana berdasarkan ukurannya seseorang itu mestilah mempunyai kelulusan pendidikan agama paling minimum tahap empat sanawi. Ini bererti mereka yang mempunyai kelulusan kurang daripada tahap tersebut, tidak dibenarkan mengajar agama di beberapa buah negeri termasuk Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya.

Aspek kedua dalam pemahaman kita mengenai tauliah ialah kebenaran untuk mengajar. Kebenaran ini perlu dipohon dan kelulusannya tertakluk kepada pihak yang berwajib, khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-negeri. Walau bagaimanapun, berdasarkan keadaan-keadaan tertentu, ada pengecualian diberikan kepada seseorang itu mengajar agama Islam di kediamannya kepada anggota keluarga dan mereka yang diundang oleh agensi-agensi kerajaan. Mereka yang masih memegang jawatan sebagai kadhi turut dikecualikan.
Dr. Maza turut menjelaskan bahawa semasa beliau menjawat jawatan tersebut di Perlis, meskipun peraturan sedemikian termaktub dalam Majlis Agama Islam Perlis, beliau tidak menguatkuasakannya. Beliau memberika kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk mengajar agama kerana percaya ianya tidak disalahgunaka. Jika terdapat juga kesilapan dalam perkara itu, tindakan akan dilakukan selepasnya.

Ini merupakan perspektif “kawalan kerosakan”atau “damage control”. Memang benar pendekatan tersebut merupakan yang lebih terbuka, tetapi kita harus sedar bahawa kerosakan yang diakibatkan olehnya adalah lebih besar dan parah. Oleh itu, langkah yang diambil untuk “mentauliahkan terlebih dahulu” merupakan kaedah paling selamat dan terbaik. Ia merupakan langkah preventif, seperti kita selalu diingatkan oleh orang tua, jaga tutur kata dan tingkah laku apabila berada di tempat orang.

Penjelasan yang dibuat oleh Datuk Mohammed Khusrin Munawi melalui tulisannya Tauliah elak penyelewengan, Utusan Malaysia, 7 November 2009 telah berjaya memberikan kita sedikit kefahaman dan kewajaran kenapa tauliah amat diperlukan. Tetapi ruangan Dr. Maza di dalam Mingguan Malaysia pada 8 November 2009, Bersaing dengan hujah semakin menyebabkan ramai pembaca meluat dengan pandangannya.

Pertama apabila beliau mempersoalkan mengenai “dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyaarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan Rasul-Nya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah.”

Nampaknya Dr. Maza semakin besar egonya apabila dipersoalkan mengenai tauliah kerana beliau merupakan orang yang berpendidikan tinggi, iaitu berkelulusan doktor falsafah. Maka dengan kelulusan tersebut, bekas mufti dan pensyarah universiti itu berpendapat, ia tidak lagi memerlukan “tauliah” untuk mengajar agama. Ia sudah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mengajar “walaupun dengan satu ayat.”
Seharusnya Dr. Maza perlu faham kenapa peraturan tersebut telah diadakan sekian lama, dan bukannya di negeri Selangor sahaja. Di Perlis, bekas negeri yang melantik Dr. Maza menjadi mufti turut meletakkan syarat yang sama kepada sesiapa sahaja yang berhasrat mengajar. Janganlah Dr. Maza nak samakan mengajar agama kepada orang awam dengan guru agama di sekolah. Guru agama mengajar di sekolah sebenarnya telah mendapat “tauliah” oleh Kementerian Pelajaran apabila beroleh diploma pendidikan dan diterima menjadi seorang guru, setelah mendapat kelulusan dalam bidang agama. Konsep “diterima menjadi guru” merupakan pengesahan yang membolehkan seseorang itu mengajar di peringkat sekolah. Untuk mengajar kepada orang awam, ia tetap memerlukan kelulusan dari pihak berkuasa agama negeri.

Perlu difahami bahawa peraturan itu merupakan kawalan daripada sumber bagi mencegah ia menjadi masalah. Jika tauliah tidak dikenakan, sesiapa pun boleh mengajar agama. Ini seterusnya bukan menjadikan kedudukan Islam sebagai lebih baik, malah akan memusnahkan Islam itu sendiri. Ini sudah banyak berlaku dalam sejarah kerana atas kepentingan tertentu, ada pihak menggunakan agama untuk menyelubungi kesalahan yang pernah dilakukan, termasuk jenayah. Kita pernah mendengar, yang tidak lulus sekolah rendah pun boleh mengajar agama sehingga melangkaui dasar falsafah dan tradisi keilmuan.Tidakkah ini merupakan contoh dari kesilapan mentafsirkan tanggungjawab “:sampaikan walaupun dalam satu ayat?”'

Kita mungkin boleh memahami bagaimana Ashaari Muhamad boleh mengasaskan al-Arqam dan mengajar Aurad Muhamadiyahnya. Siapakah Ashaari Muhamad yang dikenali sebagai abuya itu? Begitu juga dengan Ayah Pin, yang secara peribadinya tidaklah begitu bijak membaca dan menulis. Hobinya berlaga ayam, tapi mampu mempengaruhi kalangan profesional dengan hanya meminum air dalam tempayan ajaibnya di perkampungan Kerajaan Langit, Hulu Besut, Terengganu.

Ketika heboh mengenai penangkapan Rasul Melayu, kenapa Dr. Maza tidak mempersoalkan ajaran yang dipintarkan melalui ketajaman otak penggerak utama ajaran tersebut? Sebaliknya, setelah ditahan kerana “tidak bertauliah” Dr. Maza telah membingitkan telinga setiap rakyat Malaysia mempersoalkan “orang agama bertindak secara terbuka seakan menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk memerangi golongan agama. Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi s.a.w: Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”

Kita perlu tahu bahawa sejarah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, berdirinya khalifah Islam pertama, tidak banyak tentangan bagi menegakkan syiar Islam. Namun semasa zaman khalifah pernah berlaku apabila disiasat ada pihak yang mengajar agama Islam tetapi bukan dengan cara dan tafsiran yang betul. Akhirnya, khalifah mengusir mereka terbabit dan tidak lagi dibenarkan menyampaikan ajaran Islam, kerana ia telah diselewengkan. Apakah apabila negeri-negeri dan kuasa politik membuat keputusan untuk mensyaratkan pemberian tauliah sebagai prasyarat boleh mengajar agama itu sebagai sesuatu yang salah dan bertentangan dengan arahan Nabi s.a.w?

Seharusnya Dr. Maza dapat berfikir secara rasional dan bukannya membayangkan terlebih dahulu apa keputusan jika beliau membuat permohonan mendapat tauliah. Nyata sekali praduga yang ada dalam diri Dr. Maza terlalu tinggi sehingga boleh membayangkan apakah keputusan yang bakal dibuat oleh Jawatankuasa Tauliah JAIS jika beliau memohon. Tentunya, dengan cara yang salah dan berbau sombong menjawab “tidak lulus” atas alasan “sebelum ini sudah ada pihak yang menghalangnya daripada mengajar agama.”

Seharusnya sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, beliau perlu faham, setiap keperluan ada syaratnya. Ia bukanlah merupakan hak milik setiap orang, kelulusan tersebut hak prerogatif JAIS, dan bukan hak mutlak Dr. Maza walaupun aspek pertama tahap keilmuannya melepasi tahap minimum. Setiap daripada kita sedar, setiap masyarakat mempunyai peraturan dan norma yang dipersetujui bersama. Norma dan peraturan itulah akhirnya menjadi sistem atau sebahagian daripada sistem yang menentukan kelangsungan, keharmonian sesebuah masyarakat.

Contohnya, dari segi fizikal kita mungkin mempunyai wang untuk membeli kenderaan tertentu. Walau bagaimanapun, kita yang mampu membeli kenderaan tersebut masih belum boleh memandunya kerana tidak mempunyai lesen yang sah. Apakah langkah kerajaan mensyaratkan lesen sebagai syarat yang sah memandu kenderaan merupakan suatu praktis yang salah dan keterlaluan?

Kenapa Dr. Maza tidak mempersoalkan bagaimana untuk memperoleh lesen memandu? Cuba bayangkan apa yang perlu dilakukan oleh seseorang yang memohon lesen memandu. Walaupun pernah membayangkan tidak akan lulus dalam ujian bertulis atau memandu, dia tetap mencubanya. Akhirnya dia lulus, seperti yang berlaku di China baru-baru ini diberitakan lebih 900 kali menjalani ujian bertulis untuk mencapai tahap betul 60 daripada 100 soalan yang diajukan. Jika membayangkan keputusan terlebih dahulu, secara jelasnya dapat disimpulkan bahawa Dr. Maza merupakan orang yang takut dengan bayang-bayang sendiri, kerana belum pun cuba sudah mengaku kalah. Apakah ini merupakan satu sikap yang progresif?

Saya pada mulanya tidak begitu berminat dengan tulisan-tulisan yang tersiar dalam kolum mingguannya, kerana mungkin sedikit pengalaman buruk saya apabila berbaik-baik dengan mereka yang mendakwa dirinya sebagai agamawan. Tatkala mendengar ceramah-ceramah agama yang dikendalikan oleh agamawan, kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam diri mereka. Mereka bukan sahaja petah bercakap, dilihat berilmu tetapi ada sesuatu yang diutarakannya bukanlah dari niat yang ikhlas.

Saya juga menjadi sedikit takut untuk menguruskan orang-orang agama yang berkedudukan dan berjawatan apabila terpaksa mengundang mereka dalam majlis-majlis ilmu. Tidak ramai yang bersikap merendah diri atau mengamalkan budaya, ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Hampir kesemua yang saya alami mengamalkan resmi lalang, semakin tinggi semakin menegak sehingga menganggap apa yang dilakukan oleh orang lain salah dan tidak betul.

Mendengar ceramah yang berlandaskan pemikiran memberikan sedikit keyakinan tetapi apabila mengenali lebih dekat agamawan itu seolah-olah berlaku pula apa yang dipanggil paradoks. Percakapan dan tingkahlaku tidak menggambarkan tahap keilmuannya sendiri, dan kerana itulah saya kurang mendekatkan diri dengan golongan agama.
Setelah mengikuti beberapa tulisan Dr. Maza dalam beberapa bulan lalu, saya menjadi begitu resah dengan kesimpulan yang dilontarkan mengenai “ketulenan Islam dalam UMNO” (Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009). Setiap ayat yang ditulis mempunyai maksud yang tersirat, tetapi sayangnya tetap gagal menemui rupa bentuk Islam tulen yang ingin diketengahkan dan mengharapkan pembetulan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Dua minggu lalu Dr. Maza menulis mengenai hubungan dengan sejarah, maka saya juga gagal untuk menyelami apa bentuk teladan yang ingin diketengahkan berdasarkan peristiwa sejarah yang boleh dijadikan panduan itu.

Nampaknya pendekatan penulisan Dr. Maza tidak banyak membantu memperluaskan ketajaman berfikir mengenai Islam. Saya juga tidak mampu menyelami secara mendalam apa yang beliau sarankan kerana banyak mengambil kutipan orang lain yang latar belakang budayanya amat berbeza dengan Melayu-Islam Malaysia. Seharusnya beliau mampu menterjemahkan pendekatan tersebut berdasarkan keperluan masyarakat setempat yang masih hauskan ilmu dan bimbingan, dan bukan terlalu tergesa-gesa membuat kesimpulan berdasarkan nama-nama besar pemikir Islam yang bukan berasal dari kelompok Melayu-Islam.

Bahan pemikiran dan kupasan mereka adalah berdasarkan perspektif masyarakat mereka, dan tidak pernah melihat pelantar budaya Melayu-Islam. Dan kerana itu ulasan-ulasan dan pendapatnya kadangkala tidak boleh diterima oleh akal masyarakat tempatan, walaupun mauduk Islamnya adalah universal. Kita mungkin boleh menerima Dr. Maza jika tidak banyak mempersoalkan orang lain (tentunya kelemahan), tetapi menyalahkan diri sendiri kerana tidak pernah memohon mendapat tauliah sebelum boleh mendakwa tidak dapat menunaikan tanggungjawab memberikan nasihat agama kepada masyarakat umum yang dianggap sedang kehausan itu.

Penjelasan Yusri Mohamad mengenai kontroversinya dengan Dr. Maza menarik minat dan dengan cara itu kita boleh membandingkan apakah sebenarnya yang berlaku antara kedua mereka. Saya mengucapkan syabas kepada bekas Presiden ABIM itu yang dengan berani mempersoalkan sikap Dr. Maza yang mengambil pendapat HAMKA dari sudut tertentu bagi mengesahkan pandangannya.

(disunting semula dari rencana yang tersiar dalam ummatan wasatan.net yang disiarkan pada 11 November, 2009)

Sunday, November 8, 2009

PINTU RUNDINGAN : ANTARA AMANAH PARTI DAN AMANAH AGAMA?

Resolusi Seminar Memperkasakan Parti telah membuat ketetapan untuk menutup ketat pintu rundingan mengenai Kerajaan Perpaduan UMNO-PAS. Seminar yang pada mulanya berdasarkan cadangan Muktamar Khas PAS itu merupakan kemuncak bagi menyelesaikan keresahan Mursyidul Am PAS setelah ditegur oleh Prof Dr. Aziz Bari dalam kolumnya yang meminta supaya parti itu melakukan perubahan bagi menjamin sokongan pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Resolusi itu berbunyi "...PAS wajar segera menegaskan kepada semua ahli dari kepimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi bahawa telah dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda 'Kerajaan Perpaduan'...",
Dan, kerana itu ianya "tak mungkin dibangkitkan lagi kerana kita dah tutup. Ini pendirian PAS, pendirian Pakatan Rakyat," kata Abdul Hadi Awang, ketika ditanya mengenai tindakan yang akan diambil jika ada pemimpin PAS berhasrat membangkitkan semula isu Kerajaan Perpaduan pada masa depan.

Seminar yang dihadiri kira-kira 1,500 orang perwakilan di Markas Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar itu turut dianggap Berjaya oleh Tok Guru Nik Aziz dalam misinya untuk membangkitkan kesedaran kepada ahli.Setelah mendengar ucapan Presiden yang dianggap tidak menyengat dan hambar, para peserta turut membangkitkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan-kenyataan atau pandangan Dr. Abdul Aziz Bari, salah seorang ahli panel dalam sessi percambahan minda.

Nik Aziz yang menghadapi masalah kesihatan dan sehari sebelum seminar ini berlangsung diberitakan mendapat rawatan di Institut Jantung Negara hanya mampu hadir untuk mendengar amanat Presiden yang bertajuk "Memperkasa Peranan PAS Dalam Memperkukuhkan Pakatan Rakyat Mendepani Cabaran PRU 13". Selepas itu Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS meninggalkan majlis.

Dua minggu lalu, Nik Aziz membuat kejutan apabila menuntut secara terbuka agar diadakan Muktamar Khas untuk "menyelesaikan" beberapa orang pemimpin yang bermasalah dalam parti” dan cadangan tersebut diluahkannya melalui blog tokguru. Pendedahan tersebut menyebabkan banyak pihak dalam PAS seakan-akan tidak dapat tidur memikirkan apakah kekalutan yang bakal terjadi dalam barisan pemimpin PAS.

Pihak media turut menjadikan ianya sebagai fokus politik yang turut mengundang polemik dan tidak kurang menimbulkan panic bagi penyokong-penyokong PAS apabila kepimpinan PAS dilihat seolah-olah terbahagi dua, iaitu kelompok Haji Hadi dan kelompok Nik Aziz. Kelompok Haji Hadi yang mendapat pengiktirafan ahli menjadi semakin terhimpit apabila ada lontaran pedapat mengatakan Nik Azi berbuat demikian atas keinginannya untuk menyingkirkan Presiden PAS itu.

Sebelumnya Dr. Aziz Bari menyifatkan Haji Hadi telah kehilangan “stim” dan “Pak Lah versi PAS” menjadikan sebahagian peserta tidak dapat menerimanya termasuk tidak akan membawa orang luar dalam sebarang aktiviti PAS pada masa depan. Abdul Aziz Bari terus mengkritik kepimpinan Haji Hadi sebagai dan Dr. Abu Hassan Hasbullah (gambar kanan) menyokong kuat apa yang dikatakan itu sebagai “tindakan primitif” menolak teguran terbuka ke atas pemimpin-pemimpin besar mereka.

Bagi Dr. Abu Hasan apa yang diperkatakan oleh Dr. Abdul Aziz Bari itu ada kebenarannya apabila hasil tinjauannya mendapati Nik Aziz lebih popular dan mendapat pandangan positif lebih 70 peratus dari lebih 2000 responden berbanding Haji Hadi. Pandangan negative responden terhadap kepimpinan Haji Hadi lebih meluas kerana masyarakat Pantai Timur dan Utara mula mempertikaikan keberkesanan kepimpinan Presiden itu, malah ada pihak turut mendesak agar meletakkan jawatan.

Sesetengah perwakilan yang tidak dapat menerima teguran telah mencabar Aziz Bari agar mendedahkan sumber maklumat terhadap dakwaan bahawa kononnya "Hadi Awang membawa PAS memasuki UMNO". Aziz Bari dilihat terlalu kuat menilai berdasarkan persepsi dan kerana itu turut diminta supaya menarik balik serta memohon maaf.

Berdasarkan hujah yang berlapik dan berselindung, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, mengasak Aziz Bari supaya menjelaskan dakwaan bahawa "memekik-pekik bersama Pakatan Rakyat, tetapi apa yang dilakukan lain", untuk menjelaskan maksud "apa yang dilakukan lain" itu. Walaupun tidak menyebut nama Hassan Ali, Aziz Bari kemudian merujuk kepada isu SELESA dan SELCAT di Selangor, sebagai sikap "cakap lain buat lain" . Situasi ini memberikan modal untuk menggambarkan bahawa PR telah gagal mentadbir.

Aiman Athirah Al-Jundi dari Dewan Muslimat bangkit menjelaskan bahawa, "tumpuan Seminar Memperkasakan Parti ini saya kira bukan Profesor Aziz Bari. Kalau kita fikir Profesor Aziz Bari, itu sudah silap. Tumpuan kita yang utama bersusur-galur daripada Unity Government... yang dilontarkan begitu sahaja, dan ditutup begitu sahaja tanpa apa-apa taklimat kepada kita...Bila dilontarkan begitu sahaja dan tidak dijelaskan secara... bertanggungjawab, oleh sesiapa sahaja, dan dibincangkan secara bertanggungjawab di peringkat sepatutnya, maka benda tu berderet sehinggalah sampai seminar hari ini."

Perbincangan seminar berjalan dalam suasana yang kurang teratur disebabkan tidak ada penetapan usul yang jelas. Ketiadaan usul yang tetap dan jelas itu menyebabkan adakalanya perbincangan menjadi kelam kabut dan kehilangan fokus.

Matlamat untuk menentukan hala tuju PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 semacam tertangguh apabila secara menyeluruhnya seminar ini dilihat dari perspektif perbalahan antara dua orang ulamak . Tindakan Nik Aziz Nik Mat yang meluahkan keresahannya melalui blog (oleh perwakilan Selangor), siapakah yang mempunyai autoriti sebenarnya antara Presiden parti dan Mursyidul Am (oleh perwakilan Negeri Sembilan) terus menjadi persoalan yang berlegar dalam seminar tersebut.

Wakil Wilayah Persekutuan yang menyentuh isu "rakan sekutu politik" turut menyanggah hujah bahawa "PAS sebagai liabiliti PR", dengan mengambil contoh isu DAP Kedah keluar daripada PR (kemudian DAP menarik balik keputusan tersebut setelah menerima nasihat Penasihatnya, Lim Kit Siang) manakala perwakilan Negeri Sembilan mengharapkan akan ada sedikit perubahan hubungan dengan PR, walaupun bersetuju dikekalkan. Perwakilan turut menilai bahawa perjuangan hak Melayu-Islam mempunyai sedikit halangan, terutamanya di Selangor...

Di samping mendesak agar perbalahan antara Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi tidak dilakukan secara terbuka, perwakilan Johor turut menyentuh insiden pertemuan sulit antara pemimpinPAS dan UMNO berhubung kerajaan perpaduan semasa Tun Abdullah Badawi masih menjadi Perdana Menteri, yakni selepas pilihan raya umum ke-12. Kemelut politik di Selangor dibiarkan tanpa penyelesaian selama enam bulan turut menjadi bahan perbahasan peserta yang melihat kepimpinan PAS telah gagal dan menyebabkan imej parti itu semakin gelincir jatuh.’

Lebih diburukkan lagi ialah apabila isu pokok "pilihan antara PR dengan BN", tidak diberikan penjelasan, ahli telah melihat ia lebih merupakan perbalahan antara “Nik Aziz dengan Hadi Awang". Tidak banyak yang boleh diukur mengenai sikap perwakilan terhadap kecenderungan sokongan antara kedua pemimpin itu, manakala kumpulan yang mempertahankan Haji Hadi menjelaskan "masuk UMNO" merupakan fitnah dan mengandaikan UMNO sebagai musuh yang jahat. Mereka tidak sanggup melihat Haji Hadi terus menerus dituduh “pro UMNO.”

Kumpulan yang pro-Hadi terpaksa bangun untuk menyokong resolusi yang berbunyi "...dikunci dengan ketat segala pintu-pintu perbincangan dalam parti tentang agenda Kerajaan Perpaduan" apabila dibacakan dan diminta untuk menyetujuinya.

Akhirnya resolusi itu diluluskan setelah mendapat sokongan besar dan seminar berakhir dengan ucapan penggulung Haji Hadi yang menawarkan secara rasminya “tertutup pintu rundingan kerajaan perpaduan antara PAS-UMNO/BN. Perwakilan terus menelan pedih dengan gambaran sebenar PAS berdasarkan kajian seorang ahli akademik bahawa pengaruhnya semakin menurun apabila lebih besar responden melihat kepimpinan Haji Hadi semakin merosot dan kurang berkesan. Secara totalnya, lebih 70 peratus responden dari kumpulan umur 21 hingga 50 tahun menilai sebagai tidak konsisten, ketumpulan visi dan kekaburan tindakan.

Apakah kunci yang menutup rapat “pintu rundingan" tidak akan terbuka lagi untuk masa akan datang?. Apakah Haji Hadi akan terus memegang kuat amanah tersebut dan sebagai seorang ulamak, apakah Haji Hadi sanggup mengorbankan prinsip persaudaraan setiap penganut Islam atas dasar memegang amanah parti? Manakah pilihan yang bakal dibuat selanjutnya , amanah parti atau amanah menyatukan perjuangan setiap mereka yang mengucap dua kalimah syahadah?

Taman Samudera, 10 malam- 7 November 2009

Saturday, November 7, 2009

HOMOSEKSUAL : TIDAK LAYAK JADI PEMIMPIN

Oleh Hafizahril Hamid

KEADAAN dunia kini jika diperhatikan sememangnya dihambat dengan arus kemodenan. Pelbagai teknologi baru berjaya dicipta atas alasan untuk memenuhi kehendak manusia. Namun dalam kita mengakui peradaban moden ini kita juga turut dihimpit dengan kehendak manusia yang tidak terbatas.

Seiring dengan kemodenan, nafsu manusia juga menjadi pelbagai dan tidak lagi terbatas kepada hubungan yang diredai antara lelaki dan wanita. Di barat hubungan sejenis yang lebih dikenali sebagai homoseksual dan lesbian semakin mendapat tempat di kalangan penduduknya.

Negara-negara barat mula mengiktiraf perkahwinan sejenis walaupun bagi kebanyakan kita terasa seperti hendak melaknat mereka ini. Malah para pemimpinnya turut tidak teragak-agak untuk memberitahu kepada umum bahawa mereka adalah pengamal homoseksual.

Melihat keadaan ini kita sendiri pun musykil di mana kewarasan mereka sehingga sanggup memilih pemimpin yang tidak bermoral dan tidak faham kecenderungan seksual mereka sendiri. Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin dan masyarakat yang bergelumang dengan kegiatan keji ini dilaknat tuhan.

Pelbagai pembalasan telah ditunjukkan tuhan seperti yang berlaku kepada umat Nabi Luth a.s. Namun manusia tidak pernah serik dan sentiasa lupa dengan sejarah yang telah berlaku. Mungkin kerana terlalu mengejar masa depan maka sejarah lampau telah disisihkan atas alasan ia bukan lagi sesuatu yang relevan pada masa sekarang.

Jika kita lihat kembali sejarah terutama ketika zaman Greek dan Rom, golongan homoseksual berada di puncaknya ketika itu. Ini kerana kedudukan mereka ini setaraf dengan hubungan antara lelaki dan wanita. Bukan sahaja homoseksual dilihat sebagai sesuatu yang biasa ketika itu malah sebut apa saja dari biseksual, seks dengan kanak-kanak semuanya dilakukan tanpa batasan.

Lebih malang lagi kebanyakan perbuatan terkutuk ini dilakukan oleh pemimpin kelas atasan atau aristokrat. Apabila pemimpin seperti Caligula memerintah Rom maka semuanya dibenarkan kerana dia sendiri yang mahu semua kegiatan melampau ini dilakukan. Dalam erti kata lain Caligula mahu merasa semua perbuatan seks ini tanpa batasan yang kemudian menjadi contoh kepada rakyatnya. Namun dia akhirnya mati dibunuh akibat kegilaannya sendiri.

Lebih melucukan tuhan yang mereka sembah ketika itu turut digambarkan sebagai seorang yang homoseksual. Seperti tuhan Zeus yang digambarkan mempunyai hubungan dengan Ganymede serta tuhan Apollo yang mempunyai ramai kekasih dari kalangan lelaki. Memang benar kedua tamadun ini sangat gah dan hebat pada zamannya namun akibat dari terlalu asyik dan hanyut dengan "syurga" yang mereka cipta sendiri, ia akhirnya menjadi punca utama kemusnahan mereka.

Kesan

Dan sejak itu kita hanya mampu melihat kesan dan runtuhan kehebatan mereka yang masih tinggal malah kita boleh melihat sendiri bagaimana golongan homoseksual ini menerima pembalasannya di bandar Pompeii di Itali.

Selepas hilangnya pengaruh kedua tamadun ini kehidupan golongan homoseksual menjadi sepi kerana masyarakat barat ketika itu melihat perbuatan itu sebagai sesuatu yang keji dan di luar batasan norma-norma kemanusiaan. Ditambah pula masyarakat ketika itu lebih berpendirian dan menerima agama seperti Islam dan Kristian sebagai cara hidup mereka.

Walaupun ada pendapat yang menyatakan bahawa beberapa pemimpin dan seniman terkenal barat adalah gay seperti Michelangelo, William Shakespeare dan King James I namun mereka ini tidak mahu mengumumkan secara terbuka kerana takutkan pandangan buruk masyarakat.

Oleh itu mereka akhirnya memilih menjadi seorang hipokrit kerana takutkan kecaman dan pandangan serong masyarakat. Di luar mereka dilihat sebagai seorang lelaki tulen dan perkasa tetapi hakikatnya kehendak seksual mereka tersasar dari kehendak lelaki sebenar.

Oleh itu mereka sanggup berselindung tentang identiti sebenar daripada pengetahuan masyarakat sepanjang umur mereka daripada menanggung malu dan musibah.

Itulah akibat yang terpaksa ditanggung oleh para pemimpin dan golongan gay zaman pertengahan. Mereka tidak bebas mengamalkan kehidupan yang dilaknat akibat dari kekangan keras agama dan masyarakat. Ahli agama sama ada Islam dan Kristian menolak keras kewujudan dan kelakuan homoseksual. Mereka yang melakukan hubungan dan terlibat dalam hubungan jenis akan dikenakan hukuman yang berat termasuklah hukuman mati.

Namun sebagai manusia perkembangan dan kebebasan pemikiran yang dinikmati dari hari ke hari telah membolehkan kemajuan dicapai. Kewujudan sebuah negara baru yang meletakkan batu asas kepada sistem demokrasi iaitu Amerika Syarikat pada 4 Julai 1776 kemudian diikuti Revolusi Perancis pada 1789 telah mencatat sejarah baru dunia. Diikuti dengan kemunculan revolusi industri pada 1865 sehingga tercetusnya Perang Dunia Pertama pada 1914-1918 telah mengubah keseluruhan lanskap sosial dan politik dunia.

Sejak dari itu manusia semakin maju menilai dan membangunkan segala yang diperlukan untuk memenuhi kehendak diri. Maka kita menyaksikan pelbagai kemajuan dicapai sepanjang abad ke-19 hingga kini.

Jati diri

Namun kemajuan yang diterima terpaksa dibayar pada harga yang mahal di mana ia turut sama merobah nilai harga dan jati diri manusia kerana sejak dari itu manusia dilihat semakin menolak konsep ketuhanan dan mengamalkan pemikiran bebas.

Jika dilihat secara serius dan mendalam manusia kini mula kembali berperangai seperti mereka di zaman Greek dan Rom. Kita boleh lihat sendiri kelakuan manusia yang mula menerima malah berbangga menjadi seorang homoseksual. Malah di barat mereka mula menerima golongan homoseksual sebagai pemimpin mereka.

Di mana silapnya dan kenapa mereka boleh dipilih sebagai pemimpin adalah sesuatu yang sangat memualkan. Pada penghujung 1990-an kita masih melihat skandal homoseksual membabitkan pemimpin masih tidak diterima oleh masyarakat. Ini yang terjadi kepada Setiausaha Wales, Ron Davies, Setiausaha Kebudayaan, Chris Smith dan Peter Mandelson, sekutu rapat Perdana Menteri Britain ketika itu Tony Blair yang menjawat jawatan Setiausaha Perdagangan dan Industri. Kesemua mereka telah dihentam teruk oleh akhbar sehingga mereka meletak jawatan dalam Kabinet kerana terlibat dalam kegiatan homoseksual.

Begitu juga hipokrasi Gabenor New Jersey, James McGreevey yang berselindung di sebalik kebahagiaan hidup berumah tangga terbongkar apabila dia mengumumkan peletakan jawatan pada Ogos 2004 walaupun hakikatnya dia seorang biseksual.

Namun masyarakat harus bertanya adakah golongan homoseksual sebegini perlu diberikan peluang untuk menjadi pemimpin. Walaupun dari segi pemikiran, keupayaan dan kehebatan sebagai seorang pemimpin seseorang itu sangat terserlah namun akibat kegagalan nafsu sama ada dia seorang homoseksual mahupun biseksual, apakah perlu golongan seperti ini diberi peluang untuk menjadi pemimpin.

Sewajarnya mereka ini tidak layak untuk menjadi bukan sahaja pemimpin negara malah pemimpin keluarga pun belum tentu boleh kerana kegagalan memahami fungsi seksual diri sendiri. Tuhan telah menunjukkan contoh apa yang berlaku terhadap umat Nabi Luth a.s malah kita sendiri boleh melihat sendiri kesan yang menimpa penduduk bandar Pompeii.

Bagi umat Islam kita percaya apa yang berlaku terhadap kaum Nabi Luth a.s adalah pembalasan tuhan namun mungkin pembalasan sebegitu tidak akan berlaku sekarang. Namun kita sendiri boleh berfikir bahawa tuhan itu maha berkuasa dan pembalasan akan datang dalam pelbagai bentuk. Oleh itu memandangkan negara ini sudah cukup makmur dan maju dalam segala aspek maka tidak perlulah kita merosakkannya dengan memilih pemimpin yang terlibat dalam kegiatan homoseksual pada masa depan. Hakikatnya kita tidak memerlukan pemimpin sebegini bukan sahaja agama tidak membenarkannya malah masyarakat yang bermoral juga tahu orang seperti ini tidak layak menjadi pemimpin.

Mingguan Malaysia, 8 November 200

FANTASI MEWUJUDKAN SEKOLAH SATU SISTEM

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.

Isu satu sekolah, satu sistem pendidikan bukanlah satu perkara baru. Ia telah dibahaskan sejak dahulu lagi. Keadaan masih sama dan tidak banyak berubah. Jawapannya, mudah sahaja, pendidikan telah dipolitikkan.

Jika bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak dapat dimartabatkan bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu? Kita mempunyai peruntukan dalam perlembagaan, tetapi ia tidak digunakan atau dikuatkuasakan.

Kita sibuk melayani tuntutan dan desakan politik segelintir kumpulan ultra kiasu. Akhirnya, bahasa dan sistem pendidikan tidak dapat diperkasakan di bumi sendiri. Bila ada ura-ura untuk mewujudkan satu sistem pendidikan, maka golongan ultra kiasu ini akan bangun menentang. Pada mereka, peninggalan nenek moyang mesti dipertahankan bermati-matian.

Mereka akan melakukan apa jua cara termasuk mendesak dan mengugut jika kerajaan meneruskan niatnya. Akhirnya, kerajaan terpaksa tunduk. Sistem satu sekolah senyap buat seketika.

Kini suara itu muncul kembali, tetapi dengan nada berlainan. Satu sekolah untuk sekolah aliran menengah. Sememangnya aliran menengah telah lama disatukan. Tidak banyak lagi sekolah vernakular untuk aliran menengah, berbanding aliran rendah.
Boleh dikatakan kebanyakan bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah kebangsaan disebabkan oleh tempat yang terhad di sekolah menengah Cina. Justeru, tidak timbul isu sebenar, satu sistem pendidikan untuk sekolah menengah.
Perkara pokok yang perlu dibahaskan secara serius ialah bagaimanakah hendak mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat menyatukan anak-anak di peringkat sekolah rendah?

Akibat

Kajian demi kajian dan pengalaman menunjukkan bahawa akibat mereka dipisahkan dari kecil amat sukar untuk disatukan ketika mereka meningkat remaja berada di sekolah menengah.

Sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah yang majoriti pelajar bukan Melayu, saya dapat merasakan hubungan kaum berada pada tahap amat membimbangkan. Pelajar-pelajar ini tidak bercampur setelah enam tahun dipisahkan di sekolah rendah.

Dengan sebab itu, polarisasi kaum terbawa-bawa hingga ke peringkat menengah dan pengajian tinggi. Sampai bilakah kita akan terus membincangkan isu ini? Selagi kita tunduk kepada tuntutan dan ugutan mereka, sampai kucing bertanduk pun kebuntuan ini tidak akan dapat dipecahkan.

Sedih yang teramat sangat, apabila kita hanya memikir kepentingan masa kini berbanding dengan kepentingan masa hadapan. Kepentingan politik diutamakan, kepentingan membina negara diabaikan. Mungkin kita tidak berapa merasai sangat kesannya hari ini, tetapi sanggupkah kita tinggalkan semuanya ini kepada anak cucu cicit kita?

Berkali-kali saya katakan, akibat sistem pendidikan perkauman sebegini menjadikan hubungan kaum di negara ini ibarat api yang tidak dapat dipadamkan sepenuhnya.
Kita berjaya memadamkan api tersebut, tetapi bara api itu masih menyala. Bara inilah yang amat membahayakan untuk jangka panjang.

Dalam dunia hanya negara kita sahaja yang menerima pakai pelbagai sistem aliran sekolah. Negara lain hanya ada satu sekolah. Sebenarnya Malaysia adalah 'syurga' kepada orang bukan Melayu. Mereka dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak. Perkara yang menguntungkan ini biasanya disenyapkan, malah golongan ini terus mendesak agar sekolah vernakular terus ditambah.

Persoalannya, adakah kita bersungguh-sungguh dalam soal ini? Berkali-kali saya membangkitkan bahawa kepentingan nasional atau negara mesti diletakkan di hadapan berbanding kepentingan etnik.

Agenda nasional adalah untuk memperkasakan masa hadapan, manakala agenda etnik, lebih bersifat kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Kerajaan mesti membuat keputusan yang tegas dan tidak boleh tunduk atau bertolak ansur dalam memperkasakan masa hadapan.

belajar
Saya bukan bermaksud kita menghapuskan hak bukan Melayu untuk belajar bahasa ibunda mereka. Mereka masih boleh belajar bahasa ibunda mereka, tetapi pelajar-pelajar ini tidak boleh dipisah-pisahkan sejak dari kecil.

Cukuplah dengan sistem politik dan ekonomi yang bersifat perkauman. Jangan kita tambahkan lagi dengan sistem pendidikan yang menjadi tunggak kepada pembangunan negara bangsa.

Benar, kita perlu berbincang. Tetapi pernahkah mereka bersetuju? Jawabnya tidak pernah. Malah mereka semakin mendesak dan menuntut. Justeru, apa tunggu lagi? Apakah kita perlu menunggu peristiwa 13 Mei berulang untuk kita mengkaji semula sistem pendidikan kita? Ketika itu sudah terlambat.

Berapa lama masa diambil untuk bangun semula selepas itu? Pendek kata, kesan 13 Mei masih lagi kita dapat rasai hingga hari ini bagaimana sukarnya untuk bangun setelah jatuh.

Alasan yang mengatakan bahawa sekolah kebangsaan terlalu keMelayuan dan keIslaman (doa pagi) bukanlah hujah yang kuat untuk menolak sekolah satu sistem. Apakah lagi identiti yang boleh ditonjolkan dalam sebuah negara yang berakarkan sebuah bangsa?
Kalau ini pun dicabut, apakah lagi identiti yang tinggal kepada Melayu dan Islam? Tidakkah kita sedar kedudukan ini dijamin dalam Perlembagaan?

Apakah kita masih belum faham perkara asas itu setelah sekian lama hidup di bumi bertuah ini?

Mingguan Malaysia, 8 November 2009

Thursday, November 5, 2009

MENYUSUR GELOMBANG INTELEKTUALITI MELAYU-ISLAM

Usaha Izhar Syafawi untuk membincangkan Gelombang Intelektualiti Melayu-Islam Nusantara menarik minat saya sebagai percubaan memahami apakah maksud intelektualiti. Walau pun saya gagal menemui ciri-ciri intelektualiti secara jelas, sekurang-kurangnya beliau telah berjaya melihat gelombang kebangkitan berasaskan tokoh dan karyanya secara luaran (tersiar dalam halaman website: http://islamhadhari.net, 30 Oktober 2009).

Secara mudahnya, intelek itu berkait rapat dengan berfikir. Berfikir melibatkan pengeluaran idea atau sesuatu gagasan yang besar. Jika dimasukkan akar kata intelek itu menjadi intelektual ia merujuk kepada buah fikiran orang, atau orang yang berfikir atau orang yang mencetuskan idea atau gagasan besar. Bila melebarkan makna perkataan itu menjadi intelektualiti, mungkin boleh kita rumuskan secara mudah sebagai buah fikiran , bahan pemikiran, produk pemikiran, sesuatu idea atau gagasan seseorang yang berfikir dan kemudiannya disebarkan melalui pelbagai mekanisme, termasuk penulisan, ceramah , bentuk cakera padat, lukisan (visual) dan sebagainya.
Maka dengan itu saya menekuni tulisan tersebut untuk mencari apakah bentuk intelektualiti yang dimaksudkan, termasuk untuk cuba memahami beberapa tokoh yang disebutkan. Walaupun sekali lagi saya gagal menemui, sekurang-kurangnya memberikan saya satu kerangka untuk berfikir dan memahami pola pemikiran Melayu-Islam Nusantara, atau Jaza’ir Jawa sebagaimnan dimaksudkan oleh penulis.

Sebelum kedatangan Islam ke Nusantara khususnya ke Alam Melayu, masyarakat tempatan telah pun mempunyai sistem bermasyarakat dan berorganisasi berdasarkan sistem dan kepercayaan Hindu dan sebelumnya dikaitkan dengan tradisi animisme. Menurut Coedes, pengaruh Hindu yang datang dari India telah membawa masuk bukan sahaja bentuk kebudayaannya, malah sistem berkerajaan. Sistem berkerajaan itulah akhirnya melahirkan sebuah bentuk pemerintahan yang berasaskan sistem raja atau sultan.

Jika menggunakan jalur pemikiran Coedes sebagai pelantar pemikiran, bererti negara-negara yang mempunyai raja tentunya mengambil konsep sistem berkerajaan daripada Hindu. Namun hakikat ini tidak diakui oleh banyak negara, termasuk negara-negara Eropah sendiri yang kemudiannya menjadi kuasa penjajah yang rakus pada abad ke-13 hingga ke pertengahan abad ke-20.

Kedatangan Inggeris menjajah Tanah Melayu tidak menghapuskan sistem beraja kerana masyarakat Inggeris masih menganggap institusi raja mereka sebagai pelindung atau kuasa pentadbiran tertinggi. Oleh kerana itulah, setiap apa yang mereka lakukan ke atas tanah jajahan masih menggunakan pengaruh kuasa raja, termasuk merangka sesuatu perjanjian, urusniaga dan pengembangan empayarnya. Ini dapat kita tinjau dalam beberapa dokumen perjanjian lama nama raja mereka disebut sebagai punca kuasa. Setiap kali pembukaan bandar atau menemui lokasi baru yang berpotensi, mereka akan menamakannya sempena nama raja mereka, termasuklah Georgetown (Pulau Pinang), Hospital Queen Elizabeth (Kota Kinabalu), King Edward College (Singapura), Victoria School (Kuala Lumpur) dan sebagainya.

Proses penyerapan unsur perajaan dalam kuasa penjajahan yang diamalkan oleh British itu menjadi semakin meluas dan diterima sebagai unsur politik yang universal. Maka dengan itu kita tidak boleh menolak bahawa kedinamikan Islam di Nusantara mempunyai kaitan rapat dengan raja, atau dalam istilah pemikir yang bermazhabkan sosialisme ialah elit atau bangsawan. Islam menjadi begitu terkenal dan diterima umum di Nusantara ialah kerana raja sanggup menjadikannya sebagai pegangan akidah dan hakikat kehidupan.

Jangan kita menolak sikap Belanda terhadap Indonesia, walaupun akhirnya kuasa raja terhapus, tidak bermakna raja tidak mempunyai kekuatan dalam menyumbangkan tradisi intelektual ke dalam masyarakat negara tersebut. Mungkin penulis terlupa dengan sumbangan kesultanan Banten ataupun perjuangan Diponegoro antara tahun 1825 hingga 1830 menentang penguasan Belanda terhadap tanaman kopi secara paksa. Kesultanan Banten telah melahirkan ramai pengamal Islam yang terkenal, termasuklah keturunan Wali Sembilan (Wali Songo) dan sebagainya.

Kerana penulisan ini menggunakan kerangka intelektualiti, maka adalah lebih menarik jika penulis dapat menyusurgalurkan aspek-aspek pemikiran yang telah dilakukan oleh ulamak Nusantara. Kita boleh jadikannya sebagai wacana intelektual yang menarik untuk menyusun satu kerangka pemikiran yang berkesan dalam menghadapi suasana tidak menentu dan terobosan globalisasi.

Penulis memberikan pengakuan bahawa Hamzah Fansuri sangat dipengaruhi Ibn Arabi, tetapi sayangnya saya juga gagal menemui apakah bentuk pemikiran sufistik yang telah mempengaruhi dan berpengaruh itu. Ia sepatutnya ada pengukuran atau tebakan lakaran pengaruh yang jelas, kerana antara keduanya merupakan pemikir besar dalam kesusasteraan sufi sehingga membangkitkan kesimpulan Syed Nagiub al-Attas, sebagaimana dikutip. Sayangnya, jalur sufistik dan aroma puisi Hamzah Fansuri tidak dijadikan contoh dan diambil sebagai bahan perbincangan bagi menggambarkan intelektualiti yang sangat berpengaruh itu.

Syed Nagiub Al-attas pernah menulis secara jelas mengenai sumbangan kepenyairan Hamzah Fansuri itu dalam ketegaran dan keindahan ajaran Islam. Begitu juga dengan aliran pemikiran Abdul Rauf dari Singkel, yang dianggap sebagai pembangkit pemikiran “kemurnian Islam” yang “telah berjaya menyajikan eksposisi dan eksplanasi sufisme secara kental, genius dan dapat dipertanggubjawabkan.” Tidak ada penelurusan pemikiran tersebut dijadikan contoh sebagai mewakili keintelektualan Abdul Rauf dari Singkel.

Dengan mengambil kesimpulan yang terlalu tergesa-gesa, penulis jelas “membuktikan bahawa mereka bukan sekadar produk pemikiran Islam yang berkembang di Timur Tengah. Mereka telah menjadi penggerak; bukan sekadar penyalin, tetapi secara kreatif melakukan pembaharuan sehingga menjadi lebih bermakna bagi lingkungan masyarakat Muslim Nusantara.” Apakah pembaharuan atau bentuk pemikiran yang mencetuskan pembaharuan itu?

Benarkah seperti yang dikatakan oleh pengarang bahawa “menerusi autoriti raja atau sultan, tradisionalisme Islam terus bertahan di Semenanjung Tanah Melayu. Perjuangan “kaum muda”, khususnya majalah al-iman (terbit antara 1906-1908) di Singapura, tidak mampu menggoyahkan kekuatan tradisionalisme Islam.” Nampaknya sekali lagi penulis membuat pengukuran melalui perspektif luaran sedangkan perubahan itu sendiri melibatkan struktur dalaman. Penulis tidak mampu menelusuri pengaruh pemikiran dan idealisme yang dibawa oleh kaum muda ke atas perubahan intelektualiti masyarakat Islam tradisional.

Jika kita mengkaji sejarah, meneliti faktanya secara jelas bahawa telah berlaku perubahan pemikiran daripada kumpulan tradisionalisme Islam (siapakah kumpulan itu?). Namun perubahan pemikiran ini tidak membawa kepada revolusi atau konflik yang besar, hanyalah sekadar pertembungan cara berfikir. Kaum muda dan kaum tua bertembung sesama sendiri, dan di situlah telah menampakkan bahawa bukan faktor raja yang menghalang pembaharuan, tetapi yang lebih jelas kaedah yang mereka ambil.
Kita mungkin tidak lupa bahawa kaedah yang terlalu lama digunakan ialah mengajar kanak-kanak membaca al-Qur’an.

Membaca al-Qur’an itu merupakan satu kewajiban sehingga kita tetap menganggap guru al-Qur’an kita itu adalah orang yang tinggi “pengetahuan agamanya.” Benarkah suasana itu? Secara tradisinya sesiapa pun boleh mengajar mengaji al-Qur’an apabila beliau telah tamat (khatam) beberapa kali, dilihat lancar dan mempelajari sedikit sebanyak mengenai tajwid, kerana ia berkaitan dengan kaedah membaca dan bunyi tanda-tanda yang terdapat dalam al-Qur’an.

Dalam masa yang sama, kita hanya diajar menghafal sehingga lancar. Maka tidaklah hairan jika ada di antara kita boleh membaca dan mengingati setiap ayat yang terkandung dalam al-Qur’an, tetapi sayangnya amat jarang pula yang tahu maksudnya. Dan, kerana itulah dalam pertembungan budaya politik, jika seseorang itu bijak menggunakan al-Qur’an ia berjaya mendapat tempat dan sokongan masyarakat kerana dilihat lebih islamik. Itulah perspektif sebenar yang perlu dirungkaikan oleh penulis bagi menggambarkan kekuatan golongan tradisionalisme Islam, dan bukannya “pelindung kepercayaan lama yang dipegang secara taklid.”

Kita juga melihat adanya perkembangan untuk mengangkat kedudukan al-Qur’an dilakukan secara bersungguh-sungguh dari aspek bacaan yang betul dan penghafalannya. Setiap tahun Malaysia menganjurkan tilawah dan menghafaz al-Qur’an sehingga mampu mengangkatkan kemartabatannya secara luaran. Tetapi, hingga sekarang masih kita mendapat khabar akan adanya usaha untuk menterjemahkan makna yang tekandung dalam al-Qur’an dan merungkaikan kedalaman falsafah, melihat keperluan memahami dan mengamalkan apa yang tersirat melaluinya benar-benar dilakukan secara sungguh-sungguh dan holistik. Kita masih menemui usaha mentafsirkan kandungan al-Qur’an berdasarkan falsafah kehidupan semasa masyarakat Melayu-Islam dan dilakukan oleh cendekiawan Melayu-Islam itu sendiri.

Sehingga kini kita hanya mempunyai Tafsiran ar-Rahman yang diterbitkan sejak lebih 20 tahun lalu. Selepas itu kita banyak menggunakan tafsiran yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu dari bahasa-bahasa lain misalnya Arab, Inggeris dan Indonesia. Masih belum ada intelektual Melayu-Islam Malaysia yang cuba menterjemahkannya berdasarkan konsep dan keperluan Melayu-Islam Malaysia. Di manakah intelek Melayu-Islam Malaysia itu berada? Atau hanya sekadar menjadi penceramah bebas yang hanya mampu mengolah balik apa yang diketahuinya semata-mata? Bukankah peranan intelek itu membangkitkan idea baru yang lebih bernas dan selaras dengan perkembangan semasa? Inilah sebenarnya kelemahan intelektualiti Melayu-Islam yang harus kita sama-sama pecahkan masalahnya.

Seharusnya al-Qur’an itu diajar bukan sekadar menghafal sehingga lancar, tetapi perlu diperluaskan kepada penggalian makna sama ada yang tersurat atau yang tersirat. Jika inilah yang berjaya dilaksanakan oleh “kaum muda”, tentunya sikap mental kita terhadap Islam benar-benar telah berjaya melakukan perubahan. Walau apapun sistem yang kita pilih untuk bernegara, peranan kerajaan tentunya banyak kerana ia tetap akan memberikan keutamaan kepada keperluan majoriti. Maka dengan melakukan pembangunan atau “proses modernisasi masyarakat Muslim Malaysia,” bukannya kerana “dukungan teologi dan doktrin Islam”, ia adalah tanggungjawab sebagai orang Islam yang berkuasa dan diamanahkan sebagai pemimpin.

Menggunakan konsep “dukungan teologi dan doktrin Islam” itu jelas masih terbelenggu dengan kaedah pemikiran barat. Dalam Islam tidak ada doktrin dan teologi. Islam adalah satu cara hidup atau addeen, yang berusaha mengatur kehidupan sejahtera umat melalui tradisi kepatuhan dan keyakinan kepada Allah SWT. Berdasarkan tradisi kepatuhan itulah terbitnya keimanan, kesyumulan dan kesejahteraan bermasyarakat kerana Muslim diyakini bahawa selepas kehidupan di dunia kita akan menuju ke sebuah kehidupan yang abadi.

Sementara menuju ke kehidupan abadi, setiap muslim diminta supaya menggunakan akalnya bagi memenuhi tuntutan kehidupan fizikal dengan syarat tidak menjadiikan orang lain sebagai musuhnya. Setiap orang Islam adalah bersaudara, tetapi tidak pula menyeru supaya menafikan hak bagi orang bukan Islam. Inilah yang harus kita rungkaikan bersama bagi menolak sikap sesetengah pihak yang cuba “memerangi bukan Islam”, melancarkan jihad kepada mereka yang bukan Islam hatta orang Islam sendiri yang tidak sehaluan pelantar pemikiran politik.

Apakah kita perlu “menentang dominasi dan hegemoni kerajaan” bagi memberikan makna kepada Islam? Rasanya inilah yang merupakan pandangan melampau kerana tidak cuba memahami dengan jelas apa bentuk dominasi dan hegemoni kerajaan yang harus kita tentang? Kita mesti mengkaji sejarah Islam, hegemoni kepimpinan Khalifah Umar al-Khattab, dominasi Arab terhadap agama Islam (sekurang-kurangnya dari segi bahasa, kerana kita meminjam istilah tersebut dari barat) adakah ia merupakan sesuatu yang salah dan perlukan perubahan?

Nyata sekali kedua konsep tersebut tidak boleh kita jadikan landasan pemikiran yang jelas bagi menolak legasi kerajaan untuk memaknakan Islam. Kita harus memahami kerana adanya “dominasi dan hegemoni” kerajaan telah menyuburkan perkembangan Islam sehingga Malaysia semakin menjadi teladan negera-negara Islam yang lain dalam melestarikan kehidupan bermasyarakat, berekonomi dan bekerajaan walaupun asas masyarakatnya berbentuk majmuk.

Adalah salah jika mengandaikan bahawa “percaturan intelektualiti Islam di Nusantara akan terus berlanjutan pada masa hadapan”..Sebenarnya ia bukanlah sebuah percaturan, ia hanyalah sekadar perbezaan pendapat. Perbezaan hanyalah sekadar mentafsirkan kepada beberapa perkara yang tidak dijelaskan secara tepat dalam al-Qur’an dan Hadith. Oleh yang demikian, jika hanya sekadar perbezaan pendapat, ia adalah perkara lazim dalam Islam. Ada faktor lain yang perlu dikaji secara mendalam kenapa dalam Melayu-Islam masih belum ada penyatuan sepenuhnya, sehingga bila ada usaha untuk menyatukannya, pihak yang satu lagi terus “menutup pintu rundingan.”

Menurut Dr. Basri Ibrahim Al-Hasani Al-Azhari, Adab Iktilaf: Formula Mengekalkan Perpaduan Ummah (K.Lumpur, Al-Hidayah, 2009) , “Kita hidup di zaman keterbukaan. Penghadang yang menghalang kita satu ketika dahulu, sudah tiada. Situasi ini mengingatkan kita kembali kepada kisah Bisyr bin Marwan, yang kehilangan helangnya di Madinah dan mengarahkan ke semua pintu masuk kota Madinah ditutup. Dia lupa, helang boleh terbang dengan mudah, tanpa terikat dengan dinding kota.” (hal. viii –ix).

Apa moralnya dari petikan tersebut? Yang mungkin kita dapati ialah walaupun kita menutup pintu, helang akan terbang juga kerana ia mempunyai kebebasan bergerak melalui sayapnya. Walaupun kita mempunyai pandangan berbeza, faktor yang menghalang pada suatu ketika dahulu akan tidak lagi menjadi masalah kerana manusia akan terus mencari akal untuk melanjutkan pemikirannya. Walaupun ada pihak akan memanjarakan seseorang yang berfikiran radikal, namun pemikirannya akan terus berkembang sebagaimana kita dapat perhatikan mengenai kejernihan pemikiran Hamka. Meskipun dikenakan tahanan penjara, fikirannya terus diterima sebagai “bahan intelektual Melayu-Islam yang tersohor” hingga kini.

Kerana itulah kita perlu menyedari bahawa tradisi intelektual di Alam Melayu banyak terhalang oleh sebab ketaksuban kita sendiri terhadap pola pemikiran dan budaya yang dikembangkan oleh imperialisme, bukan kerana faktor pelindung. Walaupun feodalisme dikenalpasti sebagai salah satu faktor, namun dalam perkembangan ilmu pengetahuan barat, kita sendiri telah memisahkan kedudukan kita dengan tasawur Islam itu sendiri, kita telah meminggirkannya kerana kita tetap mengambil kerangka pemikiran yang kita pelajari sebagai asas pembentukan intelektualiti Melayu-Islam.

Proses islamisasi ilmu masih belum menampakkan kejayaan, sebaliknya terus menyerap masuk pendekatan falsafah pemikiran barat ke dalam kerangka Islam. Ini bukan bermakna kita harus menolak sepenuhnya apa yang kita pelajari dari barat, tetapi harus dinilai berdasarkan keperluan spiritual dan roh Islam itu sendiri. Belum lahir lagi kekuatan pemikiran Islam setanding dengan Al-Ghazali yang boleh mengadunkan falsafah pemikiran klasik sebelum Islam dengan kedalaman makna al-Qur’an. Belum juga terlahir seorang yang mampu menterjemahkan al-Qur’an secara ilmiah berdasarkan perspektif bernegara seperti Malaysia, sebagaimana Syed Qutb mampu menterjemahkan al-Qur’an berdasarkan perjuangan Ikhwanul-muslimin. Kita mempunyai ramai yang pandai bercakap dan berpendidikan Islam, mereka kurang cenderung membangkitkan persoalan membangun intelektualiti dan memelas minda secara intelek atau bijaksana.

Menurut Muhamad Al-Bahi, pemikiran Islam adalah percubaan berasaskan kepada kemampuan akal. Dalam menjelaskan percubaan tersebut, terdapat tiga persoalann utama iaitu, pertama, percubaan untuk memahami hukum-hukum agama yang berkaitan dengan kehidupan manusiawi; kedua, percubaan untuk menyerasikan ajaran Islam dengan pemikiran asing; dan ketiga, percubaan untuk mempertahankan akidah Islam.” Inilah asas kepada intelektualiti Melayu-Islam yang sepatutnya dibincangkan oleh penulis berasaskan tajuk tulisannya itu.Wallahuaklam.

Monday, November 2, 2009

DAP SYORKAN 20 TAHUN KONTRAK SETIA PAKATAN

Bagi menjayakan prinsip bersama, kekal berkredibiliti dan integriti, parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR) telah diminta untuk memberikan komitmen kepada gabungan itu selama 20 tahun. Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta semuanya itu perlu dilakukan ekoran telah berlaku kegelinciran sokongan rakyat yang ketara sejak 8 bulan lalu, terutama apabila PAS mengalami kekalahan besar di Bagan Pinang, Port Dickson dan kemerosotan undi majoriti di Manik Urai.

Menurut Lim Kit Siang, kemerosotan sokongan juga dikenalpasti berpunca dari kegagalan pemimpin PR mengamalkan sikap bertanggungjawab dan disiplin untuk meyakinkan pengundi Malaysia dalam kredibilitinya, perpaduan, integriti dan tujuan bersama. Turut tidak menafikan kelemahan dalam PR, penasihat DAP itu berpandapat “kita harus membetulkannya” dan tidak boleh dilakukan secara “sambil lewa”.

Inilah pengakuan pertama yang pernah kita dengar dari PR dalam memperkatakan kelemahan gabungan itu walaupun sejak kegagalan usaha peralihan kerajaan lebih setahun lalu, masyarakat umum semakin hilang kepercayaan. Meskipun PR masih memenangi pilihan raya kecil di beberapa tempat selepas Permatang Pauh, kecuali Batang Ai dan Bagan Pinang, gabungan parti tersebut dilihat semakin tidak sehaluan dan sering timbul konflik.

Sejak kehilangan kuasa di Perak, PR dilihat semacam janda meroyan apabila mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri di bawah pokok ketapang, kemudiannya bersidang di sebuah hotel secara terancang dan yang lebih memuakkan rakyat ialah “membuat kecoh semasa pembukaan Sidang Dun” bulan Mei lalu. Terbaru ialah kekalutan bekas Menteri Besar, Nizar Jamaludin dari PAS tetapi banyak dipengaruhi oleh DAP membuat permohonan peribadi melalui media kepada Paduka Sultan Perak untuk menangguhkan siding Dewan Undangan Negeri yang dijangka akan diadakan pada 28 Oktober nanti.

Dengan menggunakan alasan Datuk R. Ganeshan (Speaker lantikan BN setelah berjaya kembali berkuasa) telah melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak, perkara 36(a) (5). Datuk R. Ganeshan dikatakan telah menyamar sebagai Speaker, walhal perlantikan beliau adalah sah berbanding V. Sivakumar (bekas Speaker PR) yang masih menanggap dirinyalah speaker sebenar. Sivakumar seakan diserang histeria yang kronik dan mengalami gangguan “gila meroyan” kerana turut berhasrat memanggil kesemua ADUN PR untuk bersidang. Walaupun sudah diarahkan mengembalikan “jubah speaker”, beliau masih enggan.

Kebimbangan Lim Kit Siang itu memangnya mempunyai asas yang kukuh kerana pemimpin-pemimpin gabungan itu semakin berkonflik sesama mereka dalam melaksanakan sesuatu perkara. Antara DAP dan PAS masih belum “termaaf” apabila Karpal Singh terus tidak bersetuju dengan usaha menegakkan syariat Islam, dan PAS pula semakin terdesak apabila segelintir ahlinya melihat sikap liberal yang diamalkan boleh menjejaskan reputasi, disusuli ketegangan antara Dr. Hasan Ali dengan Speaker DUN Selangor mengenai kaedah siasatan penjawat awam oleh SELCAT, campur tangan EXCO lain mengenai penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu dan “kepala lembu” kerana membantah pembinaan kuil Hindu.

Tok Guru Nik Aziz menyifatkan gerakan anti-Hindu yang berlaku di Shah Alam itu adalah lebih buruk berbanding dengan gerakan anti-Islam di United Kingdom. Dan, kerana itu sedikit sebanyak telah menjejaskan kredibiliti penyokong PAS terhadap wajah Islam Nik Aziz sehingga dianggap terlalu liberal ke atas bukan Islam, tetapi terlalu keras kepada orang Islam. Orang bukan Islam semacam dihalalkan untuk menghina Islam lantaran kedudukannya yang tidak memahami Islam, tetapi sebaliknya orang Islam yang mengkritik perilaku bukan Islam dianggap melampau dan keterlaluan.

Krisis di Selangor menjadi semakin hebat apabila pemimpin-pemimpin tertinggi PAS berdiam diri dan menerima tekanan PKR, sehingga EXCO yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal Islam “tidak dibenarkan membuat kenyataan terbuka.” Presiden PAS, Haji Hadi Awang, Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa, Setiuasaha Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Dr. Hassan Ali akhirnya menerima kecaman daripada Mursyidul Am PAS kerana pro-UMNO dan masih ingin meneruskan hasrat membentuk kerajaan perpaduan. Kesannya, Menteri Besar Kelantan sejak tahun 1990 mengesyorkan agar diadakan Muktamar Khas bagi menentukan kedudukan empat orang pemimpin utama PAS itu dan beliau sanggup menerima padahnya termasuk perpecahan dalam PAS.

Perkembangan lain yang mungkin menjadi pertimbangan Lim Kit Siang ialah kerana kegagalan anaknya sendiri dalam menyelesaikan kemelut penduduk Kg. Buah Pala di Pulau Pinang. Setelah menuding jari kepada kepimpinan terdahulu dalam “pemindahan hak milik tanah itu”, Lim Guan Eng terperangkap dengan janji-janji PR untuk mengembalikan tanah tersebut kepada penduduk asal. Ketua Menteri daripada DAP itu juga dilihat terlalu berpura-pura bila berhadapan dengan pengundi Melayu, kononnya pentadbiran kerajaan negeri akan mengambil semangat keadilan dan kemakmuran pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz, telah berdepan dengan persoalan asas, iaitu sejauhmanakah kefahamannya mengenai Islam.

Masyarakat Islam mempersoalkan, antara Khalifah Umar dengan Lim Guan Eng adalah dua personaliti yang berbeza. Khalifah Umar adalah pemimpin yang begitu tinggi keimanan dan memahami seacara mendalam prinsip-prinsip Islam, manakala Lim Guan Eng secara asasnya bukan Islam. Sandiwara menggunakan tiket penerbangan kelas ekonomi telah memakan dirinya sendiri apabila diketahui itu hanya dilakukan untuk mengabui pengundi, walhal untuk perjalanan ke Singapura hamper setiap minggu meneruskan idea chinese belt menggunakan penerbangan kelas pertama atau bisnes. Beliau terus memperjuangkan kedudukan bukan Melayu, termasuk langkah menubuhkan sebuah universiti di Pondok Upih, Balik Pulau dengan kerjasama Universiti Nanyang.

Kebimbangan Lim Kit Siang mungkin sedikit sebanyak terpengaruh dengan apa yang sedang melanda PKR. Selain penasihatnya yang sedang menghadapi kes liwat dengan pembantu peribadi, keputusan mahkamah ke atas Wakil Rakyat (Parlimen) Batu, Tian Chua yang dijatuhkan hukuman denda RM 3,000 dan penjara 6 bulan (belum dilaksanakan kerana dibenarkan membuat rayuan) atas kesalahan menggigit telinga polis yang sedang menjalankan tugas dua tahun lalu, dan sepuluh orang lagi yang sedang menghadapi tuduhan menyertai perhimpunan haram. Antaranya ialah, Naib Presiden PKR (Azmin Ali), Ahli Parlimen Subang (R. Sivarasa), Ahli Parlimen Kuala Krai (Dr. Hatta Ramli), Ahli Parlimen Titiwangsa (Dr. Lo’Lo’ Ghazali) dan Ahli Parlimen Bagan Serai (G. Gobalakrishnan).

Proses perubahan dan mengembalikan UMNO kepada landasan yang sebenar turut membimbangkan PR, dan kerana itulah pemimpin-pemimpin mereka cuba bertindak secara berlawanan. Iltizam dari kemenangan Bagan Pinang telah dijadikan asas motivasi perhimpunan tahunan UMNO menjadikan PR seakan-akan sedang dilanda kepanasan kronik kerana orang Melayu mula menerima UMNO kembali. Kemenangan di Bagan Pinang dan kemerosotan majoriti yang teruk bagi PAS di Manek Urai menukarkan persepsi umum terhadap kekuatan PAS sebenar. PAS semakin berkecamuk dan bertelagah sesama sendiri, kuasa menentukan hala tuju parti bukan lagi ditentukan oleh presiden tetapi ditentukan oleh Mursyidul Am PAS, kerana Nik Aziz masih lagi nakhodanya.

Paling menarik ialah berlangsungnya satu perbincangan menarik antara Wong Chin Huat dan Yong Kai Ping (editor Malaysiakini, edisi bahasa Cina). Berdasarkan pemerhatian mereka mengenai beberapa pilihan raya kecil, khususnya kejayaan BN mempertahankan kerusi Bagan Pinang, Wong Chin Huat berpendapat “mustahil untuk PR memperolehi lebih 50 % sokongan Melayu dalam masa terdekat.”

Bagi Wong, berdasarkan pengiraan kasarnya seandainya PR memperoleh 40% undi Melayu dan 75% undi bukan Melayu, PR hanya mampu menguasai 103 kerusi di Semenanjung. PR masih memerlukan sebanyak 9 kerusi lagi untuk menubuhkan kerajaan, dan tentunya daripada Sabah dan Sarawak. Jika PR hanya mampu meraih 50% undi kaum India, 75% undi kaum Cina dan mengekalkan undi Melayu di tahap 40%, PR hanya mampu memperoleh 90 kerusi di Semenanjung. Jika undi kaum India jatuh kepada 40%, maka PR hanya akan dapat 80 kerusi, seperti apa yang berlaku dalam PRU ke-12.

Untuk meraih undi terbesar daripada kaum Melayu, melepasi 50% memanglah satu hal mungkin boleh dianggap mustahil,dan PR akan terasa serba salah, kerana komunalisme masih besar pengaruhnya dalam proses politik di Malaysia. Walaupun PR meletakkan perjuangan dalam konteks “samarasa dan samarata”, pengundi Melayu tetap akan menganggap itu adalah perjuangan bukan Melayu yang amat bimbang dengan dominasi Melayu. Dalam tuntutan tersebut, secara lojiknya orang Melayu akan kembali bersatu untuk mempertahankan kedudukannya. Apatah lagi bila ketuanan Melayu terus dikaitkan dengan Islam, dan PR semakin dilihat kurang motivasi dan kesungguhan dalam hal ini. PAS telah dilihat semakin meliberalkan perjuangan asalnya, manakala PKR hanyalah sekadar memenuhi tuntutan balas dendam dan keghairahan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Menurut Yong Kai Peng, persoalan ini amatlah penting kerana “legitimasi sesebuah kerajaan dalam masyarakat Melayu” merupakan “persoalan struktur” yang perlu dihadapi oleh bukan sahaja oleh PR, tetapi mana-mana parti politik yang bercita-cita untuk menerajui pucuk pimpinan Negara ini. Setelah berpuluh tahun BN memerintah, sistem negara ini telah diubahsuai kepada satu system “Negara Melayu”, di mana sector perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan, termasuk tentera dan polis dikuasai sepenuhnya kaum Melayu.

Walaupun pandangan Yong Kai Peng itu sebahagiannya boleh dianggap berbau politik, terutamanya mengenai “negara Melayu” , tanpa melakukan perbandingan dengan apa yang dilakukan oleh PAP terhadap orang Melayu di Singapura, ada sedikit kecenderungan memukul sikap PR dengan “naiknya PR bermaksud hilangnya kuasa Melayu.” Seharusnya Yong Kai Peng lebih banyak membuat perbandingan bagaimana kepimpinan Cina Singapura telah berjaya meminggirkan orang Melayu melalui dasar meritokrasi dan helah politik Lee Kuan Yew.

Dari segi pendidikan dan politik, mungkin Yong Kai Peng boleh merujuk kepada kajian yang dibuat oleh Liy Zubaidah, dasar yang diamalkan oleh PAP menyebabkan kuasa dan kedudukan Melayu Singapura semakin terpinggir. Orang Melayu tidak diwajibkan menyertai perkhidmatan nasional, alias latihan tentera pada tahap umur tertentu. Ini telah sengaja dilakukan oleh Lee Kuan Yew untuk tidak mengambil orang Melayu menanggotai pasukan pertahanan Singapura yang kini merupakan yang terkuat di Asia selepas Taiwan.

Kontrak selama 20 tahun diperlukan oleh Penasihat DAP itu melambangkan bahwa, sekurang-kurang dalam tempoh tersebut tidak ada politicking dalam PR. BIla tidak ada politicking, DAP boleh melakukan apa sahaja, termasuk menggunakan pelbagai usaha mendesak supaya PAS mengendurkan falsafah perjuangan membentuk Negara Islam, sebaliknya terus bermain dengan konsep negara berkebajikan. Melalui cara ini, DAP akan mampu memeperkukuhkan kedudukannya, dan selepasnya, mungkin akan menyebabkan PAS semakin kerdil. PKR memangnya tidak boleh diharapkan secara jelas, kerana perjuangannya masih belum jelas, hanya diketahui dan ditentukan oleh kelompok 3A (Anwar, Azizah dan Azmin Ali). Orang lain tidak mempunyai kuasa untuk menentukan halatuju perjuangan PKR, termasuklah Zaid Ibrahim dan Chua Jui Meng.

Kemasukan Zaid Ibrahim pada mulanya dianggap memberikan kekuatan kepada PKR, kini menghadapi masalah apabila Azmin Ali menentang perlantikannya sebagai Pengerusi PKR Sabah. Chua Jui Meng yang kecewa dengan MCA yang tidak lagi memberikan peluang bertanding dalam PRU ke-12 memasuki PKR dengan alasan bersetuju apa yang diketengahkan oleh Wan Azizah, iaitu menolak ketuanan Melayu. Memangnya telah diduga sejak sekian lama pertubuhan politik bukan Melayu dan Huatuan (pertubuhan bukan kerajaan di kalangan orang Cina) akan memberikan reaksi negatif terhadap konsep tersebut.

Chua Jui Meng pula nampaknya semakin tersasar apabila menilai "ketuanan Melayu" telah menyebabkan kedudukan bukan Melayu sebagai tersisih. Nampaknya Chua Jui Meng terlalu berusaha untuk memulihkan imej politiknya sehingga berusaha memualkan fakta sejarah sebenar. Chua lupa bahawa kedudukannya menjadi terkenal dalam politik Malaysia adalah kerana beliau turut menyokong "ketuanan Melayu" semasa berada dalam MCA dan menjadi Menteri kabinet yang menyerlah semasa negara dilanda wabak JE dan kuku dan mulut ke atas kanak-kanak.

Bukan Melayu akan terus memperjuangkan “ketuanan rakyat” kerana “ketuanan Melayu” dianggap tidak memberikan peluang untuk bersaing atas dasar pemenuhan “Negara Melayu”, terutama pengekalan hak istimewa, bahasa Melayu dan Islam. Inilah perjuangan bukan Melayu, walaupun pernah bersetuju dengan kontrak sosial yang diusahakan tiga kumpulan kaum terbesar dalam “manifesto Perikatan” pada tahun 1954 dan 7 Wasiat Raja-Raja Melayu semasa rundingan kemerdekaan, cadangan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957, ia tetap dianggap tidak lagi sesuai kerana bukan Melayu sudah menjadi warganegara. Persetujuan itu hanyalah sebagai usaha untuk membuktikan penyatuan antara kaum bagi mendapatkan kemerdekaan.

Secara jelasnya, untuk mendapatkan tempoh kerjasama selama 20 tahun, penasihat DAP mungkin terlupa bahawa sepanjang usia kerjasama sejak Mac 2008 masih belum menampakkan persefahaman yang jelas. Tidak ada parti politik dalam gabungan PR akan merestui tempoh tersebut, dan dijangka parti-parti gabungan akan terus mempersoalkan kewajarannya. Apatah lagi, hingga kini nama pakatan rakyat itu belum boleh didaftarkan secara rasmi, kerana masih banyak lagi perbezaan dan konflik perkongsian kuasa berlaku dalam gabungan tersebut.