Showing posts with label anarkisme politik baru. Show all posts
Showing posts with label anarkisme politik baru. Show all posts

Thursday, March 25, 2010

PEMBANGKANG MEMFITNAH 1MALAYSIA

3 April lalu genap setahun kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Keenam, Dato’ Sri Najib Tun Haji Abdul Razak setelah mengambilalih baton kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi yang banyak menerima kritikan dan cemohan ekoran prestasi BN yang buruk dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Sebelum dicemuh, Tun Abdullah Badawi juga melakarkan imej yang terbaik dari segi prestasi BN kerana dalam pilihan raya umum ke-11 yang diadakan pada 21 Mac 2004 pembangkang hanya mampu menguasai 20 kerusi Dewan Rakyat. BN menguasai 198 kerusi berbanding keseluruhan 219 kerusi Dewan Rakyat (DR) yang dipertandingkan. Parti Keadilan Rakyat hilang empat kerusi dan hanya mampu mengekalkan kerusi Permatang Pauh dengan undi majoriti 590. Walaupun Kelantan terus dikuasai oleh PAS, kedudukannya menjadi kurang stabil dengan hanya majoriti 3 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Ekoran pencapaian itu, BN dikatakan mempunyai kedudukan terbaik sejak tahun 1978, iaitu setelah PAS keluar dari gabungan dan bertanding atas platformnya sendiri, masih belum membentuk pasukan pembangkang yang kuat. BN mendapat undi popular sebanyak 63.9 peratus manakala UMNO menguasai 109 kerusi DR. Prinsip yang diperjuangkan ketika itu (2004) ialah “bekerja bersama-sama saya dan bukan kerana saya” yang akhirnya melahirkan pendekatan Islam Hadhari selepas kemenangan bersejarah itu.

Pilihan raya umum ke-12, bukan sahaja turut mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kelemahan kepimpinan Tun Abdullah, percakaran dalam komponen BN, kritikan bekas Perdana Menteri (keluar UMNO), kemunculan pakatan pembangkang yang kuat telah mengubah senario politik sehingga dianggap berlakunya tsunami. Pelan peralihan kuasa kepimpinan telah dipercepatkan, oleh desakan dari dalam dan luar BN, menjadikan persoalan perjuangan politik dan penerusan perjuangan rakyat mengambil gema politik yang menyeluruh dan membingitkan.

BN yang hanya mampu meraih undi popular 50.6 peratus menghadapi tentangan bertubi-tubi dari pakatan pembangkang (undi popular pembangkang 49.4 peratus) sehingga menjadikan suasana politik semacam tanpa kesudahan. Hanyalah selepas peralihan kuasa berlaku, Dato’ Sri Najib telah berjaya “mententeramkan” keadaan politik negara yang pernah berada dalam tahan cemas, terutamanya tatkala calon-calon tewas dalam pilihan raya kecil sejak dari Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008.

Kebangkitan semula Anwar Ibrahim dan kembali ke DR, menjadikan pembangkang semakin galak mencanangkan pelbagai perancangan menguasai rakyat, termasuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008. Kegagalan menjadi Perdana Menteri dalam misinya Jalan Ke Putrajaya, perubahan kepimpinan negara, kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat menunaikan janji, wawasan kepimpinan baru yang lebih mesra dan berusaha mendekati rakyat melalui beberapa perubahan dasar, kegigihan melaksanakan transformasi pentadbiran awam dan mengapongkan kembali secara berkesan imej negara di peringkat antarabangsa menyebabkan pembangkang semakin kehilangan pengaruh.

Kekalutan yang melanda kumpulan pemimpin dalam PKR, pendedahan dan pemaparan imej yang menjolok tatasusila, terlalu mengongkong kuasa menyebabkan parti itu semakin kehilangan gemanya. Ia turut ditambah dengan kemelut yang melanda Ketua Pembangkang, yang sudah diadili oleh rakyat sebagai tokoh yang “tidak konsisten”, mempermainkan undang-undang dan sanggup menggunakan apa cara sekalipun demi memenuhi tujuan politik.

Apabila mendapat maklumat dan gema suara masyarakat menerima gagasan 1 Malaysia, pembangkang sekali lagi cuba bermain api dengan mengaitkan pendekatan tersebut dengan 1Israel, yang digagaskan oleh Ehud Barak pada tahun 1999. Ehud Barak ketika itu cuba menyatukan parti politik di Israel bagi menghadapi kemunculan HAMAS, akhirnya kecundang dan gagasan 1Israel tinggal kenangan pada awal tahun 2000.

Setelah menghadapi serangan dari kawan rapatnya, Anwar mencari helah bagi memesongkan pemikiran rakyat, termasuk menuduh pemberian kontrak kepada APCO Worldwide dari Amerika Syarikat itu mempunyai kaitan dengan 1Isreal kerana sebahagian besar pemiliknya berbangsa Yahudi. Ini sengaja dilakukan oleh Anwar bagi membangkitkan sentiment kebencian orang Islam terhadap Yahudi, khususnya Israel.

Sebelum tuduhan itu dilakukan, Anwar sudah dilekatkan imej berkawan rapat dengan pemimpin-pemimpin Yahudi, termasuk Maldeline Albright (Bekas Setiausaha Negara di bawah Bill Clonton), Camdeasus (orang kuat Tabung Kewangan Antarabangsa yang menawarkan pakej menyelamatkan krisis nilai matawang pada tahun 1997/1998 yang tidak dipersetujui oleh Tun Dr. Mahathir), Paul Wolfowitz (pemimpin Bank Dunia yang terlibat skandal dengan seorang wanita) dan al Gore (bekas Naib Presiden Amerika Syarikat di era Bill Clinton dan kecundang mendapat sokongan sanet berhubung dengan Protokol Kyoto).

Setelah hubungan baik tersebut menjadi pertautan yang kuat bagi mendapatkan sokongan politik, Anwar tidak duduk diam berusaha mengatasi krisis moral yang dihadapinya pada masakini. Oleh kerana “tidak sanggup bersumpah” atas dakwaan meliwat bekas pegawai peribadinya, Anwar cuba mempertikaikan sistem undang-undang dan proses penghakiman.

Biarpun prosesnya hanya baru bermula, Anwar menggunakan rangkaian antarabangsa agar dapat mendesak Dato’ Sri Najib menggugurkan kes liwatnya kerana dilihat sebagai satu lagi bentuk konspirasi melenyapkan karier politiknya.

50 orang anggota parlimen Australia membuat bantahan, kini Anwar menggunakan Organisasi Parlimen Antarabangsa mendesak kes liwatnya digugurkan. Ini menunjukkan satu lagi penafian Anwar terhadap usaha menegakkan keadilan melalui undang-undang kerana berdasarkan peraturan, setiap orang berhak mendapat pembelaan sekiranya membuat aduan.

Dalam hal ini, Saiful telah membuat aduan kepada polis mengenai perbuatan bekas majikannya. Maka dalam mana-mana peraturan apabila aduan diterima, pihak polis akan menjalankan siasatan dan jika mempunyai bukti maka ia perlu diadili menurut undang-undang. Walau bagaimanapun, kerana Anwar sudah menunjukkan kelemahannya, maka digunakan pelbagai kaedah bagi membolehkan kes tersebut digugurkan.

Persepsi masyarakat berbelah bahagi. Namun pada umumnya menganggap Anwar memang sengaja mencari helah bagi mengelakkan lebih banyak lagi perlakuan buruknya terdedah, kerana sepanjang perbicaraan itu berlangsung, tentunya banyak maklumat akan didedahkan termasuk dari pengadu, pakar perubatan dan sebagainya.

Anwar telahpun menggunakan hasil pemeriksaan yang dibuat oleh seorang doktor dari PUSRAWI yang pernah menimbulkan kontroversi kerana doktor tersebut hanya membuat pemeriksaan umum. Hasil pemeriksaan umum itu kemudiannya disebarkan sebagai “tidak berlakunya” kes tersebut, walhal doktor juga meminta supaya Saiful membuat pemeriksaan di hospital kerajaan selanjutnya. Perakuan itu telah “dipadamkan” sehingga menampakkan bukti yang Anwar tidak bersalah.

Dengan mengalihkan tuduhan ada 1Malaysia ditiru dari 1Israel manakala syarikat yang terlibat dengan strategi komunikasi peringkat antarabangsa, APCO Worldwide dengan keganasan Israel, maka masyarakat dapat mengalihkan persepsi terhadap gagasan yang semakin difahami oleh rakyat.

Seharusnya masyarakat boleh memikirkan dengan matang bahawa kerosakan imeh negara di peringkat antarabangsa adalah kerana sikap sesetengah pempimpin politik yang kemaruk kuasa. Akibat kemaruk kuasalah pemimpin-pemimpin tersebut sanggup memburuk-burukkan negara dan kerajaan melalui pelbagai tohmahan, termasuk menggunakan media yang memangnya terkenal dengan prinsip churnalism (pinjam istilah yang dibahas oleh Nick Davies).

Churnalism ialah satu istilah yang dikaitkan dengan pemberitaan yang tidak mengamalkan konsep “telling the truth” dan membuat laporan hanya berdasarkan “news wire” di mana para pelapornya tidak perlu mencari maklumat dan menyemak maklumat bagi mengesahkan sesuatu berita. Strategi inilah yang selalunya digunakan oleh pengamal media yang berhasrat untuk menjatuhkan sesebuah negara demi kepentingan ekonomi dan penjajahan bentuk baru.

Seperti kata Perdana Menteri, dakwaan pembangkang itu adalah fitnah semata-mata yang bertujuan merosak dan mencemarkan gagasan itu apabila dilihat semakin diterima oleh rakyat. Pembangkang “tak berani serang gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar. Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali."

Anwar menjadi semakin bimbang, dalam pilihanraya umum ke-13 beliau bakal kecundang lagi kerana sejarah membuktikan retoriknya hanya mampu menarik minat orang untuk mendengar, tetapi tidak cukup kuat membujuk. Anwar hanya bercakap dalam irama seorang penglipur lara, yang hatinya sendiri penuh kekecewaan dan hasrat membalas dendam apabila gesekan biolanya semakin tidak lagi gemersik seperti saat-saat beliau berada di kemuncaknya.

Anwar sebenarnya sedang berperang dengan psikologi dalam dirinya sendiri. Bagi tidak menampakkan rasa cemas dan gundah gulana, maka dicubanya mendaki semula ke puncak sedangkan puncak bukit itu sudah tidak menerimanya lagi. Penghuni di puncak bukit semakin sedar dan yakin bahawa Anwar akan terus berada di kaki bukit, kemuncaknya semakin tegar dan kuat berpegang kepada melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.

Lagu rakyat yang baru diciptakan oleh Anwar menjadi semakin sumbang, yang nilai budaya yang tidak dapat diterima oleh pelbagai peringkat masyarakat, kecualilah dari mereka yang tidak mengenal erti “jauhari” dan kerana itulah sentiasa “menikam” walaupun tikaman itu hanyalah sekadar “menikam angin.” Tsunami politik yang dilihat pernah melanda BN sebenarnya sedang berpatah balik melanda Pakatan Pembangkang dengan kekuatan melebihi badai semalam dan gigitan bena perang di Permatang Pauh yang mengusulkannya sebagai Ketua Pembangkang.

PKR semakin rebah dan “ketuanan rakyat” yang dipeloporkan semakin kehilangan rohnya. Yang masih tersisa ialah buih-buih kecil yang hanya menunggu masa untuk pecah dan bakal menjadi sebuah elegi politik baru yang penuh keliru.

Ini kerana menurut Perdana Menteri, "Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa" Gerakan massa ini sudah berupaya memudarkan harapan yang terbina melalui “ketuanan rakyat” yang dianggap oleh sesetengah pihak “ketuanan DAP”, kerana Anwar hanyalah inginkan jawatan sebagai Perdana Menteri, ia sentiasa menjadi “seekor raksaksa yang berubah-ubah”, atau “sesumpah” kerana terlalu ingin beradaptasi dengan alam. Akhirnya, alam akan menelan sehingga adaptasi itu hanyalah sebuah pengalaman ngeri yang membingungkan.

Kita memerlukan gagasan I1Malaysia kerana kita ingin memperbaiki suasana kehidupan kita. Kita yang hidup dalam persekitaran budaya, pemikiran dan cara hidup yang berbeza berhasrat membina kekuatan dengan cara memahami sejarah, dan kerana perbezaan itulah kita sebenarnya berkesinambungan membina tekad, hidup rukun damai dan bersatu. Memangnya, belum ada model terbaik yang menggambarkan adanya perpaduan mutlak, kerana itulah kita cuba mengikis perbezaan sebanyak mungkin.

Perdana Menteri turut mengakui bahawa masih terdapat beberapa halangan kepada kejayaan 1Malaysia yang dicetuskan oleh kumpulan yang memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan. Ini kerana, "Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya. Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia."

1Malaysia berbeza dengan 1Israel. 1Israel tidak memberikan ruang kepada penduduk Palestin, kerana mereka bukanlah bangsa pilihan. 1Malaysia tidak mengindoktrinasikan konsep pembersihan etnik, tapi 1Israel jelas tidak menghormati bangsa lain. Inilah yang perlu kita perbetulkan, kerana pembangkang sudah ketandusan modal setelah Dato’ Sri Najib memperlihatkan kesungguhannya membawa Malaysia ke destinasi yang lebih cemerlang dan kemilaunya semakin jelas terpancar.

Pembangkang masih lagi meraba-raba dalam gelap dan kerana itulah sentiasa mencari jalan memasang lukah yang semakin robek itu. Akhirnya, ikan tidak terkena lukah, yang menjadi penghuni ialah dendam kesumat dan kekecewaan yang mendalam. Ikan sudah tahu, lukah-lukah tang terpasang semakin reput dan punah.

Sunday, November 15, 2009

Hayat' PKR berakhir dalam senyap?

Zulkiflee Bakar

SEHINGGA ke hari ini, ramai masih tertanya-tanya apakah hasil Seminar Memperkasakan Pas yang diadakan baru-baru ini. Ia kerana mereka melihat tidak ada apa-apa signifikannya seminar itu, selain kritikan kepada kepimpinan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Oleh itu, timbullah persoalan apakah seminar itu diadakan kerana Pas sememangnya bermasalah atau ada 'tangan-tangan' ghaib yang memainkan peranan untuk memburukkan Pas.

Lebih daripada itu, adakah seminar tersebut satu manuver politik oleh pihak tertentu bagi mengalih perhatian daripada pergolakan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam soal ini, kita perlu mengimbas apa yang berlaku sepanjang pertengahan Oktober lalu, sebelum tercetusnya soal untuk mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa kepimpinan Pas dan kemudian disusuli dengan keputusan mengadakan seminar memperkasakan parti itu.

Ketika isu tersebut timbul, PKR sedang menghadapi krisis dalaman yang cukup serius. Ia mula tercetus di Sabah apabila 18 daripada 23 ketua bahagian PKR menolak pelantikan Azmin Ali sebagai pengerusi perhubungan.

Tumpuan media terarah kepada pergolakan dalam PKR sehingga akhirnya pada 27 Oktober menyaksikan peletakan jawatan Naib Presidennya, Datuk Jeffrey Kitingan, namun krisis itu seolah-olah reda apabila timbul isu dalam Pas.

Perhatian tidak lagi diberikan kepada apa yang berlaku dalam PKR sebaliknya lebih kepada Pas. Tetapi apabila seminar yang diadakan tidak menyaksikan apa-apa yang menarik maka timbullah persoalan siapa sebenarnya bermasalah, Pas atau PKR.

Mungkin buat seketika pemimpin-pemimpin PKR mampu meredam gejolak masalah yang berlaku dalam parti itu tetapi ramai pemerhati politik yakin bahawa parti tersebut sedang berada di ambang perpecahan yang serius.

Sebab itulah di kalangan sesetengah pemimpin pembangkang yang lain terutamanya Pas melihat PKR sering membawa masalah kepada mereka.

''Cuba lihat apa yang berlaku di Kedah, Perak dan Selangor, semuanya adalah gara-gara kemelut yang berlaku dalam PKR.

''Tetapi malangnya orang lupa semua itu, mereka lebih suka hendak melihat kononnya Pas bermasalah sedangkan kami tidak ada apa-apa masalah,'' kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis dalam satu pertemuan.

Dalam pertemuan dengan Mingguan Malaysia baru-baru ini, Anuar Shaari yang merupakan bekas Setiausaha Sulit kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak terkejut dengan apa yang berlaku kepada PKR.

Bagi beliau, PKR adalah sebuah parti yang rapuh dan diwujudkan semata-mata untuk memenuhi agenda peribadi seorang pemimpin. Atas alasan inilah satu demi satu prinsip dan asas parti diubah sesuka hati mengikut kehendak seorang pemimpin sahaja.

''Dalam pembangunan sesebuah organisasi apabila ada seorang yang terlalu dominan dan berkuasa menentukan hala tuju parti maka organisasi itu tidak akan berjaya dan tidak ke mana-mana,'' tegas Anuar.

Itulah yang berlaku kepada PKR, apabila suara ahli dan parti tidak dipedulikan melainkan untuk menjaga kedudukan seorang dua pemimpin sahaja. Faktor inilah yang menyumbangkan kepada kelemahan PKR sehingga sejak dari awal penubuhan sehingga ke hari ini, seorang demi seorang pemimpin parti itu meninggalkannya.

bersandiwara

Mungkin bagi pemimpin PKR mereka boleh menuduh apa sahaja kepada pemimpin yang berbuat demikian tetapi realitinya pemimpin yang bertindak keluar daripada PKR itu, melakukannya atas dasar prinsip. Mereka tidak mahu terus bersandiwara dan mempermainkan prinsip perjuangan yang ditanam di sanubari mereka ketika awal menyertai PKR.

Oleh itu, apabila mereka melihat PKR tidak lagi selari dengan kehendak perjuangan mereka, maka langkah terbaik adalah mengundurkan diri dan itu lebih mulia daripada bersekongkol dengan pemimpin yang hanya ingin mencapai agenda peribadinya. Pepatah ada mengatakan bagaimana acuannya begitulah juga kuihnya, mungkin itulah yang berlaku kepada PKR sekarang apabila wajah sebenar kenapa parti itu ditubuhkan sudah terlihat.

Laungan kononnya mereka berjuang untuk rakyat hanyalah omong kosong sebaliknya segala-galanya hanya semata-mata bagi membela seorang pemimpin dan lebih penting lagi meletakkan dia di tempat yang diidam-idamkan olehnya selama ini.

Apa yang anehnya, biarpun diserang bertubi-tubi oleh bekas-bekas pemimpinnya namun pemimpin di dalam PKR termasuklah Anwar sendiri hanya mendiamkan diri. Antara isu itu termasuklah dakwaan oleh Anuar, Nallakaruppan dan Ezam Mohd.Noor bahawa ada pemimpin yang diberi layanan istimewa oleh Anwar.

Ini belum lagi termasuk dakwaan bahawa PKR hanya dikuasai oleh '3A' iaitu Anwar, Azizah dan Azmin. Walaupun dakwaan itu boleh menjejaskan kewibawaan PKR tetapi tiada tindak balas.

Pemimpin-pemimpin PKR seolah-olah mengiakan apa yang didakwa dan ini sekali gus menimbulkan kesangsian kepada rakyat bahawa semua dakwaan itu ada kebenarannya.

Walaupun PKR sebenarnya sebuah parti yang bermasalah tetapi mereka cuba menutupi konflik yang berlaku dan berlagak seolah-olah tiada apa-apa terjadi. Tetapi berdasarkan kepada perbualan penulis dengan beberapa rakan di negeri-negeri tertentu mereka mengakui, jika masalah PKR boleh diibaratkan seperti lava gunung berapi, ia hanya menanti masa untuk 'dimuntahkan'.

Apa yang mengecewakan, biarpun terdapat seribu satu masalah dan termasuklah juga kewibawaan pemimpin-pemimpin PKR dipertikaikan oleh banyak pihak tetapi masih ada pihak yang cuba mengetengahkan kononnya golongan itulah bakal pemimpin masa depan negara.

Akibatnya, kepimpinan dalam parti pembangkang lain terutamanya Abdul Hadi sengaja digembar-gemburkan sebagai bermasalah dan lemah. Mungkin secara dasar kita boleh katakan agenda atau manuver mereka berjaya tetapi mereka terlupa bahawa ahli-ahli dan penyokong Pas di peringkat akar umbi tidaklah sebodoh itu.

Penulis difahamkan, di kalangan sebahagian besar pemimpin, ahli dan penyokong Pas mereka semakin menyedari 'permainan politik' yang dicetuskan oleh sesetengah pemimpin pakatan pembangkang sendiri bagi mencapai cita-cita politik mereka.

Mengulas perkara ini, Penganalisis politik Ahmad Masrizal Muhammad berkata, PKR dilihat memang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk meletakkan imej parti di dalam peta minda setiap rakyat negara ini bahawa mereka sebuah parti yang amat relevan dengan kehendak semasa iaitu semua bersatu dalam satu parti.

''Namun begitu hakikat dan realiti sebenar adalah jauh berbeza dengan apa yang diuar-uarkan melalui slogan-slogan. Pertentangan kepentingan antara kaum wujud sama ada secara senyap ataupun terbuka. Masing-masing memasang strategi.

''Ini sekali gus menunjukkan bahawa untuk mencapai tahap wahdatul fikr (penyatuan fikiran) sesama saf dalam pimpinan dalam PKR bukanlah suatu yang mudah sebagaimana lakaran di atas kertas,'' katanya.

Menurut beliau, kekaburan terhadap teras utama dalam parti ini juga memberi impak yang besar kepada pencapaian hala tujunya pada masa akan datang.

Seperkara lagi yang tidak harus dilupakan bahawa PKR diwujudkan atas dasar populariti semata-mata. Mengikut penganalisis politik, sejak pilihan raya umum 1999 hinggalah 2008, faktor Anwar masih lagi menjadi 'barang yang didagangkan' untuk meraihkan sokongan rakyat.

Lebih daripada itu seperti mana kata Ahmad Masrizal, parti tersebut memberi fokus berlebihan kepada strategi memanipulasi isu demi meraih persepsi dan populariti. Tetapi PKR terlupa bahawa strategi seumpama itu sudah semakin tidak berkesan.

''Natijahnya, pelbagai polemik kepimpinan berlaku di negeri-negeri dan yang terbaru di Sabah dan lain-lain negeri, ia pastilah akan menjejaskan PKR pada masa akan datang,'' katanya.

Oleh itu kita tidak perlu terkejut apabila PKR merancang untuk terus mengatur strategi bagi memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana itu sahaja cara mereka bagi menutup kelemahan sendiri.

Ia juga sekali gus memaparkan perangai PKR yang semakin 'bankrap' isu dan terus berusaha menjadikan persepsi sebagai 'senjata' untuk meraih sokongan di dalam pilihan raya. Kalau hendak bersandarkan kepada prestasi, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh parti itu.

Bagaimanapun rakyat tidak akan selamanya boleh diperbodohkan oleh mainan politik seumpama itu, justeru tersilap langkah boleh berlaku 'senjata makan tuan'. Berdasarkan keadaan itu, bukanlah sesuatu yang mustahil jika PKR akan mengalami nasib seperti mana sesetengah parti politik serpihan yang sebelum ini berkubur selepas menikmati kemenangan sementara.

Matlamat

Menyentuh perkara ini, Ahmad Masrizal berkata, peristiwa demi peristiwa dan drama demi drama yang dipersembahkan kepada rakyat telah menyebabkan rakyat semakin membuka mata dan sedar bahawa PKR semakin jauh untuk mencapai matlamat strategik yang dicipta oleh mereka sendiri.

''Matlamat dan hala tuju perjuangan PKR yang dikatakan lebih menekankan kepada aspek idealisme perjuangan dan meningkatkan khidmat kepada rakyat nampak semakin kabur. Inilah yang dimaksudkan dengan PKR sedang berhadapan dengan suatu fenomena baru dalam fasa kewujudan mereka iaitu kematian yang senyap dan halus atau lebih popular dikenali sebagai gangren politik,'' katanya.

Kita tidak pasti sejauh manakah fakta ini akan menjadi kenyataan tetapi dari semasa ke semasa PKR terus dilanda konflik dan tahap kepercayaan serta keyakinan di kalangan pemimpin dan ahlinya bahawa parti itu boleh menjadi parti utama semakin luntur. PKR mungkin boleh mengatur strategi dengan mengadakan apa juga konvensyen termasuklah pada hari ini di Shah Alam dengan slogan 'Menggilap Harapan Rakyat', tetapi apa yang pasti dari semasa ke semasa segala kekalutan dalamannya semakin terdedah.

Tidak mustahil PKR akan menamatkan riwayatnya dalam senyap kerana itulah akibatnya kalau pemimpin-pemimpin terlalu teruja untuk menampakkan mereka kelompok paling sempurna di muka bumi Allah ini, sedangkan 'di tubuh' parti itu 'penuh dengan penyakit'.

dipetik dari Mingguan Malaysia, 15.11.2009

Saturday, September 19, 2009

Orang Melayu mudah "cair" bila dipuji

KADANGKALA saya musykil kenapa orang Melayu mudah menjadi ‘cair’ apabila mendengar orang bukan Islam bercakap pasal Islam atau memuji Islam atau memetik satu dua ayat Quran untuk dijadikan hujah sandaran. Misalnya, ucapan beberapa pemimpin pembangkang bukan Islam yang memetik beberapa ayat suci al-Quran dan mahu mengambil pendekatan urus tadbir negeri mengikut cara pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Benar, dari satu segi nampak orang bukan Islam cenderung kepada Islam. Tetapi kita perlu ingat adakah mereka ini benar-benar mahu beriman atau percaya kepada al-Quran atau sekadar lakonan semata-mata untuk mengaburi mata orang Melayu Islam? Saya cukup yakin bahawa golongan ini sudah dapat membaca dan memahami psikologi orang Melayu. Mungkin orang Melayu boleh memberikan jawapan apakah mereka sebenarnya sudah memahami psikologi mereka?

Orang Melayu mudah ‘cair’. Mereka biasanya mudah berasa terpesona dan terpegun bila ada orang lain yang memuji bangsa dan agama mereka. Justeru, mereka akan bermati-matian mempertahankannya tanpa menoleh ke belakang. Mereka akan mendabik berkata ‘tengok orang bukan Islam pun nakkan Islam, sedangkan orang Islam sendiri menolak Islam’.

Lanjutan itu, mereka akan menjaja ke mana sahaja kata-kata ini, bahkan sanggup menolak rakan seagama yang sanggup menghulurkan tangan untuk berbaik-baik. Huluran tangan rakan seagama ini bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi dijawab dengan andaian-andaian negatif dan prejudis. Mereka rela bekerjasama dengan orang bukan Islam daripada orang Islam sendiri.

Kita tidak pernah belajar atau mahu belajar dari sejarah, bila berhadapan dengan golongan seperti musang berbulu ayam ini. Pengalaman telah banyak mengajar kita. Mereka ini tidak pernah bersetuju dengan Islam apatah lagi agenda untuk menegakkan negara Islam dan hukum Islam. Penolakan mereka selama ini amat jelas. Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata “Langkah mayat aku dulu jika mahu menegakkan negara Islam”, " Malaysia mesti kekal menjadi negara sekular”, “Negara Malaysia bukan kepunyaan orang Melayu”, “Melayu adalah juga pendatang” dan berbagai-bagai kenyataan yang menyakitkan.

Tidakkah orang Melayu sedar akan agenda mereka? Apakah kita tidak takut dengan ancaman golongan ini terhadap agama kita? Tidakkah kita terfikir bahawa parti ini amat baik dengan parti yang memerintah negara Singapura yang merupakan pecahannya? Bagaimana suatu hari nanti, mereka berpakat-pakat untuk melemahkan kita?

Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada tindak-tanduk Singapura hari ini yang amat mencurigakan. Cukuplah dengan kita telah kehilangan Pulau Batu Putih dan ruang udara kita sentiasa dicerobohi. Itu belum termasuk kolam takungan air di Johor yang dikawal rapi oleh tentera Singapura sehingga kita sendiripun tidak boleh masuk. Tidak ketinggalan, tanah-tanah negara kita yang telah tergadai ke tangan mereka. Pendek kata, Singapura tidak mahu sama sekali berkongsi dengan kita. Mereka amat ultra kiasu. Sesuatu yang menggugat kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan seperti isu perjanjian air, merobohkan Tambak Johor dan menggantikannya dengan jambatan bengkok.

Berbalik kepada isu parti pecahan yang memerintah Singapura hari ini, apakah benar-benar mereka ingin atau akan melaksanakan pemerintahan Umar Abdul Aziz apabila mereka berkuasa nanti? Adakah pemerintahan Umar Abdul Aziz benar-benar akan dilaksanakan? Bagaimana dengan nilai-nilai kehidupan beragama yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz? Pernahkah golongan ini mempamerkan nilai-nilai agama tersebut?

Saya diserang dan dikecam habis-habisan oleh golongan ini, semata-mata kerana saya mempertahankan larangan berzina dan arak. Bagi mereka itu adalah hak asasi manusia. Bagi mereka hak asasi manusia mesti dipertahankan berbanding dengan hak Tuhan Yang Maha Esa. Adakah ini corak pemerintahan Umar Abdul Aziz?

Kita jangan tertipu dengan golongan ini. Jika mereka benar-benar mahu laksanakan corak pemerintahan Umar Abdul Aziz, sudah lama parti ini akan melantik rakan sekutunya, yang dikatakan memperjuangkan Islam di salah sebuah negeri yang diperintahnya sebagai exco. Ini kerana, rakan sekutunya memang sudah terkenal dengan imej ‘bersihnya’ seperti kelihatan seolah-olah ‘Umar Abdul Aziz’! Tetapi di manakah kedudukan rakan sekutunya itu di negeri tersebut? Pada saya, mereka tidak pernah suka pada dasar Islam yang dibawa rakannya itu. Mereka amat prejudis sesama sendiri walaupun berada dalam satu pakatan. Bermakna, mereka juga prejudis terhadap Islam. Itu amat jelas sekali. Saya tidak perlu mengajar rakan sekutunya itu kerana sudah terang lagi bersuluh. Sikap biadab mereka berkaitan isu arak dan tuduhan mereka terhadap Jamaah Islah Malaysia sebagai pelampau agama sudah menunjukkan belang mereka yang sebenar. Banyak lagi contoh lain tentang kebiadabannya terhadap Islam.

Terhakis

Umar Abdul Aziz sentiasa memperkasakan identiti Islam di dalam pemerintahannya. Apakah identiti Islam dipelihara di negeri yang diperintah oleh golongan kiasu ini? Apa yang saya tahu identiti Melayu dan Islam semakin terhakis di negeri yang diperintahnya. Contoh kecil, nama-nama papan tanda, medan selera atau nama bangunan sudah langsung tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya tidak menyatakan kerajaan dahulu lebih baik? Tetapi jika kita benar-benar mahu mengikuti Umar Abdul Aziz, sudah tentu kita perlu tunjukkan yang kita lebih baik berbanding sebelumnya. Sebab Umar Abdul Aziz hebat integritinya, tetapi Umar tidak pernah mengenepikan identiti bangsa Arab Islam selaku penduduk asal. Bahasa al-Quran diperkasakan di mana-mana sahaja. Bagaimana pula dengan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara yang berasal daripada Tanah Melayu? Adakah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpelihara?.

Perlu dingatkan bahawa Umar Abdul Aziz tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Umar juga membahagikan tanah jajahan Umayah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Umar menolak sikap pemerintah yang selalu melantik pegawainya untuk mengawasi rakyat. Tetapi Umar melantik rakyat untuk mengawasi diri dan kelakuannya. Jika rakyat mendapati beliau melakukan kesalahan, Umar Abdul Aziz meminta dibimbing atau dihalang daripada melakukan kesalahan tersebut.

Saya harap umat Islam tidak merasa ditipu dengan penonjolan pemerintahan Umar Abdul Aziz oleh golongan kiasu ini. Apakah kita masih belum mengenali isi hati dan hati budi mereka setelah 52 tahun merdeka? Adakah kita boleh bekerjasama dengan orang sebegini, bila mana mereka digalakkan memakai songkok ketika pembukaan Parlimen di hadapan sultan, golongan ini menolak mentah-mentah? Apatah lagi untuk memakai baju Melayu?

Tidakkah kita sedar bahawa selama ini, golongan inilah yang paling kuat menentang Islam atau negara Islam. Lihatlah sejarah penentangan mereka terhadap hukum Islam dan perisytiharan negara Islam oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed suatu ketika dahulu. Perisytiharan negara Islam ketika itu hanya pada nama sahaja, bukan pelaksanaan hukum yang sebenar. Jika benar-benar hukum Islam dilaksanakan, bagaimanakah gelagat mereka agaknya? Persoalannya, adakah corak pemerintahan Umar Abdul Aziz tidak berasaskan Islam? Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab oleh golongan kiasu ini?

Rakan sekutu mereka dalam pakatan selalu berhujah, itu pandangan generasi lama atau generasi tua. Generasi baru tidak sebegitu pemikirannya. Setelah mengkaji parti kiasu ini sekian lama, saya tidak nampak ada perbezaan antara generasi baru dan lama. Sama sahaja. Jika perjuangannya adalah Malaysian Malaysia seperti mana yang diperjuangkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), sampai bila-bila saya tidak akan percaya.

Justeru, jangan perjudikan masa depan negara demi mencapai kepentingan masa kini. Apa berlaku pertembungan antara kepentingan masa depan dengan masa kini, maka kepentingan masa depan mesti diutamakan. Begitu juga dengan kepentingan masa depan dan kepentingan parti atau etnik, maka masa depan negara mesti diutamakan. Sama juga halnya apabila kepentingan agama bertembung dengan kepentingan bangsa, maka agama perlu didahulukan.

Biarkan

Jangan biarkan diri kita dipermainkan atau diperkotak-katikkan. Jangan jadi hamba di bumi sendiri. Tetapi bangunlah, bangunlah mempertahankan yang hak tanpa menafikan hak orang lain. Jika tidak, satu hari nanti kita akan menyesal. Ketika itu saya bimbang sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum ia berlaku, marilah kita merapatkan saf dan merenungkan kembali masa depan kita dan Islam.

Janganlah gunakan nama Umar Abdul Aziz sekadar untuk memenangi hati orang Melayu yang mudah ‘cair’. Orang Melayu hari ini bukannya bodoh. Mereka sudah celik dengan taktik kotor ini. Kembalilah kepada fitrah. Sesungguhnya, hari kemenangan ini menjanjikan kepada kita, yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kembalilah kita menghayati manusia fitrah yang bersih dari dosa dan noda dengan mengkaji kesucian agama Islam sendiri, sebelum ‘terlebih’ mempercayai orang lain. Saya bimbang kita akan tertipu dengan permainan silap mata ini. Akhirnya kita sendiri yang rugi. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, sepanjang membaca tulisan saya di akhbar ini.

.....Mingguan Malaysia, 20 September 2009

Sunday, August 16, 2009

SANDIWARA TOK GURU, BADI MAIN PUTERI

Tok Guru bengang apabila masyarakat Melayu mula mempersoalkan tingkah laku politik Anwar Ibrahim sehingga dianggap sebagai "pengkhianat terbesar Melayu" dan orang Islam menyerang pemimpin DAP kerana menghina Islam.
Mengikut Tok Guru, Nabi Muhamad saw juga menghina bangsanya sendiri apabila melawan bapak saudaranya tetapi tidak dianggap sebagai "pengkhianat bangsa."
Berdasarkan hujah itu Tok Guru lebih mementingkan usaha menaikkan pemikiran politik berbanding mempertahankan agama, bangsa dan negara kerana bagi beliau itu tidak penting. Menghina Islam tidak menjadi kesalahan kerana ia dilakukan oleh orang bukan Islam yang tidak memahami Islam.
Bermakna Tok Guru sangat menyokong apa yang berlaku ke atas umat Islam yang dihina, dibunuh dan disiksa oleh bukan Islam seperti yang berlaku di Palestin. Sewaktu tahun 1980-an dahulu kumpulan fisabillah PAS berusaha untuk pergi ke Palestin membantu berperang dengan Israel. Begitu juga dengan serangan Amerika terhadap Iraq dalam perang teluk tahun 1991 dan tahun 1995. Tetapi, kini Tok Guru semakin kehilangan arah dan minat dalam perjuangan apabila hanya membiarkan bukan Islam menghina Islam.
Begitu juga apabila Tok Guru marah apabila peribadi Anwar Ibrahim diserang hebat kerana menentang program kerajaan mengenai kedudukan Melayu dan bumiputera. Tok Guru menyelar pihak yang mengutuk tingkah laku Anwar Ibrahim kerana "peribadi itu tidak penting."
Nampaknya Tok Guru sekali lagi bermain puteri untuk mengubat kemarahan orang Melayu-Islam terhadap isu-isu tersebut. Dengan menggunakan mayang pinang, Tok Guru cuba menebarkan air jampi bahawa di padang Masyar nanti persoalan bangsa bukan lagi penting, kerana "ada apa dengan bangsa Melayu, tidak ada harga satu sen pun. Kalau bangsa itu penting, maka bangsa Arablah yang lebih berharga."
Tok Guru menganggap bahawa orang Melayu-Islam yang menolak Islam itulah yang "benar-benar menghina Islam." Persoalannya, siapakah yang sebenar-benarnya menolak Islam sehingga menyebabkan pemikiran masyarakat Malaysia "menjadi tunggang terbalik."
Yang menterbalikkan pemikiran masyarakat Malaysia mengenai Islam ialah pemimpin-pemimpin PAS sejak sekian lama apabila mendeskreditkan hubungan UMNO dengan bukan Melayu sebagai "perbuatan kafir", "taghut", dan mesti dilakukan jihad sebagaimana telah difatwakan oleh Haji Hadi. PAS telah menggunakan isu persahabatan UMNO dengan bukan Melayu-Islam sebagai perbuatan kafir pada tahun 1964 apabila menyedari tanpa menggunakan strategi tersebut ia tidak mungkin mendapat tempat dalam politik Kelantan.
Sejarah telah memberikan kita banyak kenyataan dan sikap PAS yang bercanggah dengan prinsip Islam termasuk "mengharamkan sembahyang berimankan orang UMNO", "memakan daging sembelihan orang UMNO", "memisahkan pasangan suami-isteri yang berlainan fahaman politik" walhal dari segi hukum Islam kesemua tindakan tersebut dihalalkan. Serangan menggunakan fahaman politik kepartian yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin PASlah yang telah menyebabkan Islam semakin dihina sehingga melahirkan tindakan agresif dan menakutkan bukan Islam dan orang Islam sendiri.
Jika sikap ektremis PAS itu tidak ditakuti oleh bukan Melayu, tentunya pemimpin DAP tidak akan mengeluarkan amaran "langkah mayatnya terlebih dahulu sebelum menegakkan undang-undang Islam", atau Karpal Singh menyelar Anwar Ibrahim sebagai "memberikan masalah besar kepada Pakatan Rakyat" dan seterusnya menggesa supaya disingkirkan. Tidakkah ini menunjukkan bahawa perilaku pemimpin PAS juga dinilai dan dianggap penting oleh masyarakat bagi menentukan kejernihan pemikiran dan perjuangan politik. Kenapa apabila DAP dan PAS menyerang peribadi pemimpin BN, Tok Guru tidak menyatakan demikian.
Tok Guru mengamalkan triple standard. Kalau double standard, bererti hanya membenarkan apabila peribadi itu mempunyai kelebihan kepada PAS, dan keburukan kepada parti lawan. Tapi, kini perlu dilihat dalam konteks parti yang ketiga iaitu rakan karib dalam pakatan. Jika parti rakan karib mengeluarkan kenyataan menghina BN, Tok Guru diam dan menghina PAS pun Tok Guru tidak anggapnya tidak salah kerana "tidak memahami Islam." Sikap talam tiga dimensi menyebabkan Tok Guru perlu memakai kaca mata tiga dimensi untuk melihat dan menilai bagaimana manipulasi politik boleh menghancurkan Islam.
Jika membenarkan penghinaan ke atas Islam atas apa alasan sekalipun, sebenarnya Tok Gurulah orang yang paling banyak sekali dipersalahkan. Tok Guru bukan sahaja telah mengelirukan masyarakat Malaysia, malah orang Islam sendiri semakin keliru dengan sikap Islam yang hendak diketengahkan oleh PAS yang bernakhodakan Mursyidul Am Pas itu.
Ramai orang melihat apabila Tok Guru membenarkan orang Islam berkawan dengan syaitan, sedangkan prinsip Islam merayu setiap penganutnya supaya menjauhkan diri daripada syaitan kerana takut nanti terdorong dengan perbuatan-perbuatan yang dilaknat oleh Allah SWT. Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib diserang secara kuatnya bersenjatakan peribadi, Tok Guru tidak pula mengeluarkan amaran yang sama, tetapi apabila Anwar Ibrahim tersepit dengan kemelut dirinya dikeluarkan amaran keras, kerana Tok Guru takut sentimen kemarahan orang Melayu terhadap Anwar akan menyebabkan peluang kemenangan PAS semakin menipis.
Jika PAS kalah di Permatang Pasir, PAS akan dianggap semakin tidak relevan bagi pakatan rakyat di Pulau Pinang di mana kedudukannya sekarang bak melukut di tepi gantang. Hubungan dan kahadiran pemimpin utama pakatan rakyat memberikan sokongan moral hanyalah sandiwara politik, kerana takut Tok Guru akan mengibaskan mayang pinang dengan air jampi dan ditempelakkan sekali lagi sebagaimana keengganan Tok Guru menerima "kerajaan perpaduan"serta ketiadaan Nasharudin Mat Isa berkempen di Manek Urai.
Tok Guru mungkin tidak mahu mengulangi kesilapan seperti di Manek Urai, kerana Tok Guru faham kekalahan di Permatang Pasir akan menyebabkan PAS terus dianggap tidak relevan di persekitaran pengaruh Anwar Ibrahim di dalam parlimen Permatang Pauh ini. Tok Guru tentu ingin terus meyakinkan PKR, kerana PKR pernah mempertikaikan perletakan calon PAS dan DAP mempersendakan PAS supaya mencerminkan diri terlebih dahulu. Terpukulkah Tok Guru dengan jaki politik itu?

Wednesday, August 5, 2009

RONNY LIU DAN JEFF OOI BIKIN MALU KOMPENI PAKATAN RAKYAT

Semakin ramai orang Melayu yang cintakan Islam meluat dengan telatah dua orang wakil rakyat. 27 buah NGO di utara mendesak agar ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi meletakkan jawatan kerana mengaitkan syariat Islam sebagai ekstremis. Manakala Ronny Liu, Exco Selangor dan juga Adun Pandamaran dikatakan seringkali menganggu tugas pihak berkuasa tempatan membenteras penjualan arak di kawasan majoriti penduduknya Melayu, juga turut didesak jawatan oleh Dr. Hassan Ali, seorang EXCO Kanan dalam pakatan pembangkang Selangor.

Walaupun keduanya mempunyai kes yang berbeza, tetap terdapat dua persamaan yang ketara iaitu membenci dan tidak memahami Islam di samping menganggotai parti yang sama, iaitu DAP. Mereka berdua seharusnya lebih memahami mengenai apa sahaja yang berkaitan dengan Islam dan sensitiviti masyarakat kerana warganegara Malaysia telah menerima mengenai budaya masyarakat Islam.

Dengan melihat kedudukan syariah Islam sebagai pendorong kepada keganasan menyifatkan seorang ahli MPPP, Mohamad Razali Abdullah sebagai ektremis Islam kerana menganggotai Jemaah Islah Malaysia (JIM). Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abdul Kasim menggesa supaya Jeff Ooi menarik balik kenyataan tersebut kerana telah menyinggung perasaan umat Islam di seluruh negara.

Jeff Ooi sepatutnya lebih banyak melihat mengenai penduduk Kg. Buah Pala kerana berjiran dengan kawasan yang diwakilinya. Jeff Ooi seharus lebih berani mempertikaikan sikap penduduk Kg. Buah Pala yang terlampau ingin mempertahankan hak yang sebenarnya bukan hak mereka. Mereka perlu sedar bahawa, walau apa pun desakan dilakukan, penempatan tersebut tetap dianggap sebagai kawasan setinggan.

Jika benar sekalipun pemegang warisan Brown memberikan kebenaran tinggal di situ, ia tidak bermakna tanah tersebut merupakan hak mereka yang tidak boleh dipinda. Mereka hanya diberikan kebenaran untuk tinggal dan bukannya memiliki. Oleh itu, Jeff Ooi harus membantu Ketua Menteri Pulau Pinang memberikan penerangan dan memujuk penduduk Kg. Buah Pala agar menerima tawaran yang diberikan oleh pihak pemaju.

Apa yang berlaku ialah Jeff Ooi hanya "nganga" tanpa sedikit pun rasa ingin membantu kerana takutkan kumpulan yang pernah menyokongnya membuat desakan "meletakkan jawatan" sebagaimana diberikan kata dua kepada Ketua Menteri sebelumnya. Berdasarkan keputusan terbaru, setiap keluarga ditawarkan sebuah rumah teres dua tingkat dengan keluasan tanah 1,200 kaki persegi, mereka masih mempertikaikannya.

Jeff Ooi perlu menyinsing lengan memberitahu penduduk bahawa harga rumah teres tersebut melebihi RM 300,000 berdasarkan harga tanah dan aset di Pulau Pinang. Jika melihat kepada tawaran itu, saya anggap ianya jauh memang berbaloi mereka berjuang mempertahankan High Chapparal yang penuh dengan tahi lembu sebelumnya, di persimpangan masuk Lorong Buah Pala.

Kedegilan penduduk Kg. Buah Pala itu kerana didesak oleh sikap tamak mereka yang melampau. Cuba perhatikan bukanlah ini kali pertama pemaju menghadapi tuntutan penduduk, tetapi sudah banyak warisan estet Brown telah dimajukan, ia tidaklah melampau ke usaha menuntut UNESCO menarik balik pengisytiharan Georgetown sebagai bandar warisan dunia.

Masyarakat Melayu yang pernah bekerja dengan pengurusan ladang Brown yang menganjur dari Bukit Gelugor ke Batu Maung tidaklah menuntut yang bukan-bukan. Sekitar Sg. Ara, ladang estet koko Brown juga telah dijual, tetapi penduduk diberikan rumah gantian. Mereka tidak pun sampai melepaskan lembu membenteng usaha menyampaikan bailif dan menghalang pemaju.

Begitu juga dengan sikap Ronny Liu yang cuba menyakitkan hati Dr. Hassan Ali. Setiap kali pihak berkuasa MBSA membuat rampasan minuman keras, beliau menghalanginya dan mengarahkan supaya arak-arak yang dirampas itu dikembalikan. Sebelum itu, Ronny Liu telah membatalkan arahan supaya pusat-pusat hiburan mematuhi syarat lesen iaitu beroperasi ikut masa. Pusat-pusat hiburan tidak akan dikenakan tindakan walaupun beroperasi melebih masa yang ditetapkan kerana "menjaga hati pelancong."

Ramai pihak melihat tindak tanduk Ronny Liu sebagai sesuatu yang akan mengundang masalah dan bakal memaparkan imej beliau sebenar. Ada dakwaan dibuat bahawa Ronny Liu bertindak demikian kerana ingin "menjaga hati dan perasaan penyokongnya" sebagai "membalas budi."Jika dakwaan itu berasas, ertinya Ronny Liu turut menggunakan pengaruhnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri menjaga kepentingan hubungan peribadi dan politik. Ini juga boleh dikategorikan sebagai kronisme dan nepotisme.

Kronisme dan nepotisme merupakan dua konsep yang amat dibenci oleh DAP semasa belum berkuasa. Tetapi, nampaknya apabila mempunyai kuasa dan mentadbir negeri, kronisme dan nepotisme menjadi amalan dan prinsip pentadbiran utama. Tidakkah ini merupakan paradoks dan sesuatu yang menjijikkan kerana bertentangan dengan idealisme perjuangan DAP.

Sikap Menteri Besar Selangor sudah jelas mempertahankan Ronny Liu manakala Lim Guan Eng masih lagi membisu. Khalid Ibrahim tidak bersetuju dengan desakan Hassan Ali, sebaliknya memberikan amaran supaya tidak membenarkan desakan itu dibincang secara terbuka.

Berasaskan situasi terbaru itu jelas membuktikan semakin lama pakatan pembangkang memerintah, semakin banyak kecelaruan yang akan timbul dan menyusahkan rakyat. Apa yang jelas ialah sikap parti-parti pembangkang yang lebih cenderung mengherokan mereka yang melanggar undang-undang dan peraturan sebagai anarkisme dalam politik baru Malaysia.