Thursday, March 25, 2010

PEMBANGKANG MEMFITNAH 1MALAYSIA

3 April lalu genap setahun kepimpinan Perdana Menteri Malaysia Keenam, Dato’ Sri Najib Tun Haji Abdul Razak setelah mengambilalih baton kuasa dari Tun Abdullah Ahmad Badawi yang banyak menerima kritikan dan cemohan ekoran prestasi BN yang buruk dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

Sebelum dicemuh, Tun Abdullah Badawi juga melakarkan imej yang terbaik dari segi prestasi BN kerana dalam pilihan raya umum ke-11 yang diadakan pada 21 Mac 2004 pembangkang hanya mampu menguasai 20 kerusi Dewan Rakyat. BN menguasai 198 kerusi berbanding keseluruhan 219 kerusi Dewan Rakyat (DR) yang dipertandingkan. Parti Keadilan Rakyat hilang empat kerusi dan hanya mampu mengekalkan kerusi Permatang Pauh dengan undi majoriti 590. Walaupun Kelantan terus dikuasai oleh PAS, kedudukannya menjadi kurang stabil dengan hanya majoriti 3 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Ekoran pencapaian itu, BN dikatakan mempunyai kedudukan terbaik sejak tahun 1978, iaitu setelah PAS keluar dari gabungan dan bertanding atas platformnya sendiri, masih belum membentuk pasukan pembangkang yang kuat. BN mendapat undi popular sebanyak 63.9 peratus manakala UMNO menguasai 109 kerusi DR. Prinsip yang diperjuangkan ketika itu (2004) ialah “bekerja bersama-sama saya dan bukan kerana saya” yang akhirnya melahirkan pendekatan Islam Hadhari selepas kemenangan bersejarah itu.

Pilihan raya umum ke-12, bukan sahaja turut mengeruhkan persepsi rakyat terhadap kelemahan kepimpinan Tun Abdullah, percakaran dalam komponen BN, kritikan bekas Perdana Menteri (keluar UMNO), kemunculan pakatan pembangkang yang kuat telah mengubah senario politik sehingga dianggap berlakunya tsunami. Pelan peralihan kuasa kepimpinan telah dipercepatkan, oleh desakan dari dalam dan luar BN, menjadikan persoalan perjuangan politik dan penerusan perjuangan rakyat mengambil gema politik yang menyeluruh dan membingitkan.

BN yang hanya mampu meraih undi popular 50.6 peratus menghadapi tentangan bertubi-tubi dari pakatan pembangkang (undi popular pembangkang 49.4 peratus) sehingga menjadikan suasana politik semacam tanpa kesudahan. Hanyalah selepas peralihan kuasa berlaku, Dato’ Sri Najib telah berjaya “mententeramkan” keadaan politik negara yang pernah berada dalam tahan cemas, terutamanya tatkala calon-calon tewas dalam pilihan raya kecil sejak dari Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008.

Kebangkitan semula Anwar Ibrahim dan kembali ke DR, menjadikan pembangkang semakin galak mencanangkan pelbagai perancangan menguasai rakyat, termasuk membentuk kerajaan pada 16 September 2008. Kegagalan menjadi Perdana Menteri dalam misinya Jalan Ke Putrajaya, perubahan kepimpinan negara, kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat menunaikan janji, wawasan kepimpinan baru yang lebih mesra dan berusaha mendekati rakyat melalui beberapa perubahan dasar, kegigihan melaksanakan transformasi pentadbiran awam dan mengapongkan kembali secara berkesan imej negara di peringkat antarabangsa menyebabkan pembangkang semakin kehilangan pengaruh.

Kekalutan yang melanda kumpulan pemimpin dalam PKR, pendedahan dan pemaparan imej yang menjolok tatasusila, terlalu mengongkong kuasa menyebabkan parti itu semakin kehilangan gemanya. Ia turut ditambah dengan kemelut yang melanda Ketua Pembangkang, yang sudah diadili oleh rakyat sebagai tokoh yang “tidak konsisten”, mempermainkan undang-undang dan sanggup menggunakan apa cara sekalipun demi memenuhi tujuan politik.

Apabila mendapat maklumat dan gema suara masyarakat menerima gagasan 1 Malaysia, pembangkang sekali lagi cuba bermain api dengan mengaitkan pendekatan tersebut dengan 1Israel, yang digagaskan oleh Ehud Barak pada tahun 1999. Ehud Barak ketika itu cuba menyatukan parti politik di Israel bagi menghadapi kemunculan HAMAS, akhirnya kecundang dan gagasan 1Israel tinggal kenangan pada awal tahun 2000.

Setelah menghadapi serangan dari kawan rapatnya, Anwar mencari helah bagi memesongkan pemikiran rakyat, termasuk menuduh pemberian kontrak kepada APCO Worldwide dari Amerika Syarikat itu mempunyai kaitan dengan 1Isreal kerana sebahagian besar pemiliknya berbangsa Yahudi. Ini sengaja dilakukan oleh Anwar bagi membangkitkan sentiment kebencian orang Islam terhadap Yahudi, khususnya Israel.

Sebelum tuduhan itu dilakukan, Anwar sudah dilekatkan imej berkawan rapat dengan pemimpin-pemimpin Yahudi, termasuk Maldeline Albright (Bekas Setiausaha Negara di bawah Bill Clonton), Camdeasus (orang kuat Tabung Kewangan Antarabangsa yang menawarkan pakej menyelamatkan krisis nilai matawang pada tahun 1997/1998 yang tidak dipersetujui oleh Tun Dr. Mahathir), Paul Wolfowitz (pemimpin Bank Dunia yang terlibat skandal dengan seorang wanita) dan al Gore (bekas Naib Presiden Amerika Syarikat di era Bill Clinton dan kecundang mendapat sokongan sanet berhubung dengan Protokol Kyoto).

Setelah hubungan baik tersebut menjadi pertautan yang kuat bagi mendapatkan sokongan politik, Anwar tidak duduk diam berusaha mengatasi krisis moral yang dihadapinya pada masakini. Oleh kerana “tidak sanggup bersumpah” atas dakwaan meliwat bekas pegawai peribadinya, Anwar cuba mempertikaikan sistem undang-undang dan proses penghakiman.

Biarpun prosesnya hanya baru bermula, Anwar menggunakan rangkaian antarabangsa agar dapat mendesak Dato’ Sri Najib menggugurkan kes liwatnya kerana dilihat sebagai satu lagi bentuk konspirasi melenyapkan karier politiknya.

50 orang anggota parlimen Australia membuat bantahan, kini Anwar menggunakan Organisasi Parlimen Antarabangsa mendesak kes liwatnya digugurkan. Ini menunjukkan satu lagi penafian Anwar terhadap usaha menegakkan keadilan melalui undang-undang kerana berdasarkan peraturan, setiap orang berhak mendapat pembelaan sekiranya membuat aduan.

Dalam hal ini, Saiful telah membuat aduan kepada polis mengenai perbuatan bekas majikannya. Maka dalam mana-mana peraturan apabila aduan diterima, pihak polis akan menjalankan siasatan dan jika mempunyai bukti maka ia perlu diadili menurut undang-undang. Walau bagaimanapun, kerana Anwar sudah menunjukkan kelemahannya, maka digunakan pelbagai kaedah bagi membolehkan kes tersebut digugurkan.

Persepsi masyarakat berbelah bahagi. Namun pada umumnya menganggap Anwar memang sengaja mencari helah bagi mengelakkan lebih banyak lagi perlakuan buruknya terdedah, kerana sepanjang perbicaraan itu berlangsung, tentunya banyak maklumat akan didedahkan termasuk dari pengadu, pakar perubatan dan sebagainya.

Anwar telahpun menggunakan hasil pemeriksaan yang dibuat oleh seorang doktor dari PUSRAWI yang pernah menimbulkan kontroversi kerana doktor tersebut hanya membuat pemeriksaan umum. Hasil pemeriksaan umum itu kemudiannya disebarkan sebagai “tidak berlakunya” kes tersebut, walhal doktor juga meminta supaya Saiful membuat pemeriksaan di hospital kerajaan selanjutnya. Perakuan itu telah “dipadamkan” sehingga menampakkan bukti yang Anwar tidak bersalah.

Dengan mengalihkan tuduhan ada 1Malaysia ditiru dari 1Israel manakala syarikat yang terlibat dengan strategi komunikasi peringkat antarabangsa, APCO Worldwide dengan keganasan Israel, maka masyarakat dapat mengalihkan persepsi terhadap gagasan yang semakin difahami oleh rakyat.

Seharusnya masyarakat boleh memikirkan dengan matang bahawa kerosakan imeh negara di peringkat antarabangsa adalah kerana sikap sesetengah pempimpin politik yang kemaruk kuasa. Akibat kemaruk kuasalah pemimpin-pemimpin tersebut sanggup memburuk-burukkan negara dan kerajaan melalui pelbagai tohmahan, termasuk menggunakan media yang memangnya terkenal dengan prinsip churnalism (pinjam istilah yang dibahas oleh Nick Davies).

Churnalism ialah satu istilah yang dikaitkan dengan pemberitaan yang tidak mengamalkan konsep “telling the truth” dan membuat laporan hanya berdasarkan “news wire” di mana para pelapornya tidak perlu mencari maklumat dan menyemak maklumat bagi mengesahkan sesuatu berita. Strategi inilah yang selalunya digunakan oleh pengamal media yang berhasrat untuk menjatuhkan sesebuah negara demi kepentingan ekonomi dan penjajahan bentuk baru.

Seperti kata Perdana Menteri, dakwaan pembangkang itu adalah fitnah semata-mata yang bertujuan merosak dan mencemarkan gagasan itu apabila dilihat semakin diterima oleh rakyat. Pembangkang “tak berani serang gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemarnya, mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar. Ini satu fitnah yang tidak benar, tidak berasas sama sekali."

Anwar menjadi semakin bimbang, dalam pilihanraya umum ke-13 beliau bakal kecundang lagi kerana sejarah membuktikan retoriknya hanya mampu menarik minat orang untuk mendengar, tetapi tidak cukup kuat membujuk. Anwar hanya bercakap dalam irama seorang penglipur lara, yang hatinya sendiri penuh kekecewaan dan hasrat membalas dendam apabila gesekan biolanya semakin tidak lagi gemersik seperti saat-saat beliau berada di kemuncaknya.

Anwar sebenarnya sedang berperang dengan psikologi dalam dirinya sendiri. Bagi tidak menampakkan rasa cemas dan gundah gulana, maka dicubanya mendaki semula ke puncak sedangkan puncak bukit itu sudah tidak menerimanya lagi. Penghuni di puncak bukit semakin sedar dan yakin bahawa Anwar akan terus berada di kaki bukit, kemuncaknya semakin tegar dan kuat berpegang kepada melaksanakan yang terbaik untuk rakyat.

Lagu rakyat yang baru diciptakan oleh Anwar menjadi semakin sumbang, yang nilai budaya yang tidak dapat diterima oleh pelbagai peringkat masyarakat, kecualilah dari mereka yang tidak mengenal erti “jauhari” dan kerana itulah sentiasa “menikam” walaupun tikaman itu hanyalah sekadar “menikam angin.” Tsunami politik yang dilihat pernah melanda BN sebenarnya sedang berpatah balik melanda Pakatan Pembangkang dengan kekuatan melebihi badai semalam dan gigitan bena perang di Permatang Pauh yang mengusulkannya sebagai Ketua Pembangkang.

PKR semakin rebah dan “ketuanan rakyat” yang dipeloporkan semakin kehilangan rohnya. Yang masih tersisa ialah buih-buih kecil yang hanya menunggu masa untuk pecah dan bakal menjadi sebuah elegi politik baru yang penuh keliru.

Ini kerana menurut Perdana Menteri, "Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa" Gerakan massa ini sudah berupaya memudarkan harapan yang terbina melalui “ketuanan rakyat” yang dianggap oleh sesetengah pihak “ketuanan DAP”, kerana Anwar hanyalah inginkan jawatan sebagai Perdana Menteri, ia sentiasa menjadi “seekor raksaksa yang berubah-ubah”, atau “sesumpah” kerana terlalu ingin beradaptasi dengan alam. Akhirnya, alam akan menelan sehingga adaptasi itu hanyalah sebuah pengalaman ngeri yang membingungkan.

Kita memerlukan gagasan I1Malaysia kerana kita ingin memperbaiki suasana kehidupan kita. Kita yang hidup dalam persekitaran budaya, pemikiran dan cara hidup yang berbeza berhasrat membina kekuatan dengan cara memahami sejarah, dan kerana perbezaan itulah kita sebenarnya berkesinambungan membina tekad, hidup rukun damai dan bersatu. Memangnya, belum ada model terbaik yang menggambarkan adanya perpaduan mutlak, kerana itulah kita cuba mengikis perbezaan sebanyak mungkin.

Perdana Menteri turut mengakui bahawa masih terdapat beberapa halangan kepada kejayaan 1Malaysia yang dicetuskan oleh kumpulan yang memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan. Ini kerana, "Kita sebagai seorang individu mungkin ada juga perasaan prejudis, rasis dan sebagainya seperti ada peristiwa gereja dibakar dan kepala khinzir dicampak dalam pekarangan masjid dan sebagainya. Maknanya ada juga kefahaman yang ekstrem dalam masyarakat kita. Sebab ada kefahaman ekstrem itulah, bererti bahawa kita perlu kepada Gagasan 1Malaysia."

1Malaysia berbeza dengan 1Israel. 1Israel tidak memberikan ruang kepada penduduk Palestin, kerana mereka bukanlah bangsa pilihan. 1Malaysia tidak mengindoktrinasikan konsep pembersihan etnik, tapi 1Israel jelas tidak menghormati bangsa lain. Inilah yang perlu kita perbetulkan, kerana pembangkang sudah ketandusan modal setelah Dato’ Sri Najib memperlihatkan kesungguhannya membawa Malaysia ke destinasi yang lebih cemerlang dan kemilaunya semakin jelas terpancar.

Pembangkang masih lagi meraba-raba dalam gelap dan kerana itulah sentiasa mencari jalan memasang lukah yang semakin robek itu. Akhirnya, ikan tidak terkena lukah, yang menjadi penghuni ialah dendam kesumat dan kekecewaan yang mendalam. Ikan sudah tahu, lukah-lukah tang terpasang semakin reput dan punah.

BENTENG PAKATAN RAKYAT KIAN SENGET

Tsunami politik dikatakan berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum ke-12 diumumkan menyebabkan Barisan Nasional dihentam hebat oleh ombak-ombak rasa tidak senang rakyat. Atas semangat itulah Pakatan Rakyat terus mencipta ombak pilihan raya sepanjang masa sehingga menjadikan perdebatan mengenai politik menjadi terlalu panjang meskipun keputusan siapa yang mentadbir negara telah disahkan secara jelas.

Selepas dua tahun keputusan tersebut, hentakan ombak tsunami yang pernah melanda Barisan Nasional semakin membadai benteng sementara yang dibina oleh Pakatan Rakyat tanpa tetulang konkrit yang kukuh. Sehingga kini, parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat masih belum mendaftarkanya sebagai sebuah pertubuhan secara sah manakala konsep perkongsian kuasa antara mereka secara teorinya tidak sempurna.

Konsep perkongsian kuasa antara parti dalam Pakatan Rakyat masih berbentuk sementara dan berasaskan matlamat yang rapuh atau bagi setengah pihak menamakannya sebagai perkahwinan mutaah. Perkahwinan mutaah boleh dibubarkan bila-bila masa tanpa mempunyai sebab yang jelas dan memohon perisytiharan secara sah, ianya berdasarkan “kalau suka saya terima, kalau tak suka saya tolak.”

Tsunami dalam Pakatan Rakyat mengenai perkongsian kuasa mula menghadapi masalah sejak mula ianya ingin dibentuk. Penentuan awal Menteri Besar Perak, yang dibayangkan oleh wakil rakyat DAP akhirnya menemui jalan buntu apabila Paduka Sultan Perak hanya memperkenankan calon yang beragama Islam. Ekoran dari itu, pemimpin DAP mula menunjukkan penentangan meskipun akhirnya merestui wakil rakyat PAS, Datuk Seri Nizar Jamaludin yang hanya mempunyai jumlah kerusi tercorot berbanding DAP dan PKR.

Benteng politik PKR menjadi semakin goyah apabila dua orang wakil rakyatnya mengisytiharkan diri keluar parti dan berdiri sebagai wakil rakyat bebas tetapi menyokong BN. Seorang lagi wakil rakyat DAP membuat keputusan yang sama sehingga menjadikan kedudukan Menteri Besar Perak berubah dalam tempoh hanya 11 bulan hayat kuasa pentadbiran negeri. Perak pernah menjadi negeri terkuat dari segi pengaruh DAP suatu ketika, kembali menjelma semula dalam pilihan raya umum ke-12.

Keriuhan rancangan menyelamatkan benteng Pakatan Rakyat terus diperlakukan secara lebih berstrategi dengan hayunan semangat menukar kerajaan pusat apabila penasihat PKR selesai menjalani tempoh “tahanan berpolitik” pada 14 Mac 2008 dan kembali ke gelanggang politik apabila menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008. Dengan menetapkan destinasi perjalanan ke Putrajaya dalam kempen yang muncul sebagai terbesar dan terhebat dalam sejarah pilihan raya kecil, Anwar menjadi semakin garang dan lantang mengkambinghitamkan sesiapa sahaja yang dilihat sebagai penghalangnya.

Dengan menggunakan pelbagai muslihat dan tipu daya, perubahan kepimpinan kerajaan pusat pada 16 September 2009 dilebarkan hingga terasa ke tulang sumsun sebahagian besar rakyat. Rakyat turut yakin bahawa hasrat itu akan tercapai, kerana lukah yang ditahan di tengah pergentingan rasa tidak puas hati wakil-wakil rakyat BN kerana kurang diberikan tempat dalam perlantikan kabinet oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan momentum kritikan bekas Perdana Menteri mengenai kepimpinan penggantinya itu telah membantu meningkatkan harapan.

Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelum tarikh tersebut menjadi realiti perubahan kepimpinan, Pakatan Rakyat kian cemas apabila sebahagian besar mereka yang dikatakan berjanji “akan menyeberang” menyertai kelompok mempelajari teknik pertanian di Taiwan. Maka, kerana tidak mahukan ianya menjadi halangan besar, ahli parlimen Batu dan rakan-rakannya ditugaskan untuk memburu meskipun perburuan itu tidak menoktahkan sebarang hasil, satu perhimpunan telah dibuat di Stadium Melawati dengan mengisytiharkan kemasukan Datuk Zaid Ibrahim ke kubu PKR.

Datuk Zaid Ibrahim yang menghadapi masalah kerana turut tidak diterima oleh bekas bahagian UMNO yang pernah dipimpinnya, pernah mengkritik prosedur undang-undang negara dan tidak bersetuju dengan beberapa perkara dasar telah meletakkan jawatan sebagai menteri cabinet yang diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri ketika itu untuk mereformasikan sektor undang-undang dan kehakiman negara.

PKR menganggap dengan kemasukan Datuk Zaid Ibrahim parti itu mendapat suntikan lebihan kuasa pecut, tetapi rupa-rupanya setiap pendedahan yang dibuat oleh beliau tidak menjadikan parti itu semakin diyakini. Zaid akhirnya mengalami desakan emosi untuk mengendurkan aktiviti apabila usahanya untuk memperkukuhkan PKR Sabah menerima halangan dari Azmin Ali yang menjadi tokoh harapan dan Naib Presiden tambatan calon Perdana Menteri.

Tertangguhnya idea pertukaran kerajaan pada 16 September 2008 menjadikan pemimpin PKR bukan sahaja kempunan tetapi juga kehilangan arah perjuangan yang kental. Bagi membendung kesan pendulum tersebut, Anwar terus menyakinkan sekutunya dalam Pakatan Rakyat bahawa akan menjadi realiti dalam masa terdekat dan merubah sasaran berikutnya kepada pilihan raya umum ke-13.

Seperti dikupas oleh Niccolo Machiavelli (1469-1527), seorang ahli falsafah politik Itali zaman renainsance, terdapat dua kaedah untuk mendapat kuasa, iaitu dengan undang-undang dan menguji kekuatan. Pakatan Rakyat menggunakan undang-undang dengan pelbagai ruang yang difikirkan boleh membantu, termasuk mencabar kesahihan perkenaan Paduka Sultan Perak perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, mendefinasikan semula kuasa-kuasa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding Undang-undang Tubuh Negeri Perak, mencabar keputusan pemecatan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir, saman malu dan sebagainya bagi menggambarkan bahawa undang-undang yang ada tidak berpaksikan prinsip keadilan. Walau bagaimanapun, rakyat mula berfikir dan berubah arah kerana setiap keputusan yang menyebelahi pembangkang dianggap adil manakala keputusan berlawanan dianggap sebagai zalim.

Dengan melemparkan pelbagai tujahan kata-kata dan serangan bertubi-tubi menjadikan beberapa institusi yang berhubung dengan penguatkuasaan dan pemeliharaan keselamatan negara semakin bergoncang dan dipersoalkan. Ini turut memaksa badan-badan tersebut menilai semula perkhidmatannya dan membaiki kelemahan bagi membolehkan rakyat melihat penyampaian perkhidmatan menjadi yang terbaik. Arah dan tujuan perkhidmatan awam menjadi semakin berubah, sehingga secara radikalnya penjawat awam mengalami trauma kerana turut dibebankan dengan kesalahan politik.

Benteng pertahanan PKR seterusnya menjadi semakin terjerat apabila idea kerajaan perpaduan antara “PAS dan UMNO/BN” ditimbulkan sebagai cadangan. Bukan sahaja pemimpin kerajaan mengharapkan ianya bakal berlaku, malah pemimpin tertinggi PAS mengharapkan demikian bagi memperkuatkan benteng pertahanan Islam kerana bukan Islam yang berada dalam Pakatan Rakyat semakin mendesak dan bercadang meliberalkan beberapa kekangan yang dilihatnya sebagai keterlaluan.

Walau bagaimanapun, kerana “memegang kepada janji politik”, Mursyidul Am PAS menjadi hysteria dan bertempik kuat untuk menghalangnya, termasuk mengkritik tokoh akademik yang membuat ulasa mengenai senario tersebut. Sebahagian penyokong PAS menjadi cemas dan keliru, manakala Anwar dan DAP secepat kilat memulakan proses mencerna semula pemuafakatan, dan bersama-sama membuat pengisytiharan bahawa “pintu rundingan kerjasama sudah tertutup.”

Kunci yang dipegang antara mereka nampaknya bukanlah terlalu kebal kerana selepas itu wakil rakyat PKR menjadi kian terhakis pesonanya terhadap kepimpinan dan kerjasama antara parti dalam Pakatan Rakyat. PAS Selangor menjeruk rasa marah apabila usaha untuk mengekang penjualan arak secara terbuka di kedai-kedai runcit, kuasa ahli politik yang dipertanggungjawabkan ke atas hal-ehwal Islam diperkecilkan oleh Menteri Besar yang dipengaruhi oleh DAP dan bukan Islam dalam PKR, melanjutkan operasi kelab malam di kawasan tumpuan pelancong, isu kepala lembu berbanding kepala babi hutan, melawat mangsa banjir dan sebagainya melenturkan harapan pembelaan dan pembudayaan mesra pengundi.

Wakil Rakyat PKR membuat keputusan dengan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dan ini menyebabkan kekuatan suara PKR tidaklah selantang ketika tsunami melanda BN. Penambahan wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat menjadikan DAP semakin dominan dan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang sedikit tercabar. Walau bagaimanapun, kerana menghormati kesungguhan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, veteran DAP yang pernah mencadangkan dua jawatan Timbalan Perdana (satu untuk orang Melayu dan satu lagi bukan Melayu) tidak mahu dilihat terdesak mengambil sikap memberikan laluan kepada beliau.

Namun, ucapan sulong wakil rakyat Bayan Baru sebagai wakil bebas di Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu menjadikan ketua pembangkang hampir sesak nafas. Dengan mengajak bersama wakil rakyat dari PKR keluar dewan, Anwar pada malamnya berangkat ke luar negara dengan alasan untuk berucap mengenai kepelbagaian agama dalam masyarakat berbilang kaum dan menemui rakan karibnya yang pernah membantu reformasi jalanan pada tahun 1998 di London.

Anwar yang bakal memberikan penjelasan pada hari Selasa di atas dakwaannya bahawa APCO Worldwide adalah syarikat yang mempromosikan 1Israel turut menjadi syarikat yang mencetuskan 1Malaysia dijangka akan mencari kaedah retorik yang berlawanan. Ini adalah strategi lazim yang digunakan oleh beliau sebagaimana telah dibincangkan oleh Muthurasan, penulis buku Strategi Kemenangan Anwar. Muthurasan memanggilnya sebagai teori kelam-kabut atau chaos. Teori tersebut turut dikenali sebagai teori kupu-kupu yang sifatnya akan berjangkit dari satu dahan ke dahan yang lain walaupun antaranya tiada kaitan.

Jika benar 1Malaysia ditiru dari 1Israel, tidak bermakn kedua gagasan itu mempunyai persamaan. Gagasan 1Israel lebih menekankan kepada pembinaan kekuatan sikap rakyat Israel agar membenci semua etnik yang berlainan kerana bangsa Yahudi merupakan bangsa pilihan. 1Malaysia mengutamakan perpaduan antara kaum, dan antara pelbagai etnik tidak pula disarankan agar etnik yang berbeza dihapuskan. Penghapusan etnik menjadi matlamat terselindung dalam 1Israel, terutamanya bangsa Palestin.

Perkembangan terbaru ialah sikap pelampau Yahudi yang cuba menanamkan kebencian terhadap seorang supermodel yang dikatakan sedang bercinta dengan Leonardo di Capro, hero filem Titanic. Pelampau Yahudi menegaskan melalui perkahwinan campuran, akan melenyapkan identiti Yahudi dan ini merupakan sesuatu yang wajib dihalang.

Berbanding 1Malaysia, tidak ada halangan perkahwinan campur asalkan perkahwinan tersebut tidak bertentangan dengan budaya dan agama pasangan masing-masing.
Realiti politik baru nampaknya sedang menyanggah kembali terjahan ombak tsunami dari BN kepada Pakatan Rakyat. Apakah terjahan kedua ini akan menenggelamkan kapal Pakatan Rakyat yang semakin bocor dan senget sehingga tidak lagi mampu belayar mengharungi samudera pilihan raya umum ke-13? Atau hanyalah sekadar menenggelamkan papan catur strategi Anwar untuk ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri kerana beliau terlalu riak dan takbur bahawa dirinya sahajalah yang mampu dan terbaik?

Walau apapun telahannya nanti, sudah ada petanda yang jelas bahawa benteng Pakatan Rakyat yang dibina tanpa tetulang konkrit itu semakin tidak mampu menahan terjahan ombak tsunami yang ditolak oleh arus songsang ombak realiti politik baru yang muncul setelah gagalnya impian 16 September 2008. Bentengnya semakin senget, mungkinkah akan rebah? Takdir menentukan segala-galanya.

Sunday, March 21, 2010

Apa Dah Jadi: Kapal Semakin Karam, Nakhoda pula Hilang Kompas

Kata orang tua-tuan, kalau nak tahu rahsia seseorang carilah seseorang yang pernah berkawan rapat dan berpatah arang dengan temannya itu. Maka lengkaplah sudah episod pembohongan 16 September 2009 walaupun pernah suku sakat yang tidak bersetuju mengatakan ketika itu Anwar hanyalah bemimpi jumpa jerangkong dalam longkang dan tong sampah.

Tetapi ketika itu tidak ramai yang percaya kerana pemekaran teori chaos (nak tahu lebih lanjut bacalah buku Strategi Kemenangan Anwar tulisan Muthurasan yang memuji habis sehingga kita sendiri turut terleleh air liur ketika itu)kerana tsunami politik masih kuat gelombangnya.

Tapi, sehari sebelumnya, Anwar mengatakan "perlukan beberapa hari lagi" sama ada kerana masalah teknikal atau tidak ketemu 49 orang wakil rakyat BN di Taiwan (lawak bodoh lebih teruk dari Mr. Bean masukkan ikan dalam kotnya)ataupun alasan lain, ramai pihak mula curiga. Kerana itulah tidak mencari kecelaruan pada tarikh tersebut, 16 September 2009, ada kiriman SMS menjelaskan "telah angkat sumpah depan potret Yang di Pertuan Agong" dan ketika itu Anwar berada di atas katil hospital sakit jiwa.

Rabu lalu (17 Mac 2010) lengkaplah sudah gambaran bohong Anwar yang dibuat oleh bekas orang kuatnya, dan kini menjadi penentang kuatnya. Kerana tidak sanggup lagi mendengar, maka puak-puak Anwar pun angkat kaki meninggalkan Dewan Rakyat. Anwar sendiri pada malamnya berlepas ke London untuk menermui Al-Gore, rakan baiknya yang turut timbul semasa reformasi jalanan pada tahun 1998.

Sebelum itu, seorang peguam yang pernah mempertahankan Anwar semasa berhadapan dengan kes liwatnya dengan Azizan, Dr. Anis Munaweer dan Susmita, Zulkifli Noordin turut mempersoalkan mengenai firauan kecil dalam PKR. Beliau tidak sanggup berhadapan dengan jawatan kuasa disiplin yang dianggotai oleh bukan Islam sedangkan pokok persoalannya ialah mengenai penggunaan kalimah Allah.

Maka Zulkifli menjadi semakin tawar hati. Akhirnya dipecat dari PKR dan diminta supaya mengosongkan kerusi, tetapi beliau enggan kerana antaranya adalah dua perkara yang berlainan. Beliau dipilih oleh pengundi, dan beliau bukannya keluar dari PKR, tetapi PKR telah memecatnya. Maka kedudukan beliau sebagai wakil rakyat masih, dan adalah tidak wajar meletakkan jawatan.

Ini tidak disenangi oleh banyak pihak dalam PKR yang disifatkan sebagai firaun kecil yang sedang melancarkan konspirasi. Zulkifli, masih belum membuat pendedahan mengenai bekas bossnya, tetapi, kali ini jika beliau membuka tembelang, Anwar bukan saja semakin berpinar, malah haluan kapalnya tidak lagi dapat dikemudikan. Lautan dan gelora yang ditempuh itu menyebabkan kompasnya terpatah jarum telunjuk, akan menyebabkan banyak lagi akan terjun menyelamatkan diri.

Tatkala inilah Anwar sebenarnya akan tahu betapa masinnya air laut politik. Kalau dahulu dia pernah menerjah Ghafar Baba untuk "merampas kuasa" maka kali ini dia akan merasakan betapa pedihnya setelah ditimpa guruh dan kilat yang diciptakannya sendiri dan menghasilkan tsunami. Gelora hatinya untuk ke Putrajaya tidak menatijahkan realiti, tetapi sebuah tragedi ngeri berdarah yang sukar dipadamkan dalam sejarah politik moden Malaysia.

Ketika itulah ramai akan menganggap Anwar bukan sahaja mempunyai watak Hang Jebat, juga mempunyai wajah-wajah lain seperti raksasa yang sering bertukar rupa atau sesumpah yang hanya bersalin warna? Hakikatnya, ke mana Anwar nak bawakan diri....mungkin Nawawee boleh ciptakan sebuah lagu baru yang mungkin menjadi evergreen sepanjang masa.....ke mana kan ku bawa, hati yang lara. Hajat nak ke Putrajaya. Hanya sampai di Permatang Pauh. Tersekat di Bagan Pinang. Alahai, nasibku yang malang, oh nonaku Azizah, oh puteriku rupawan...manakan ku bawa...hatiku yang rawan..mana nak ku sorokkan wajahku yang semakin kepucatan.....baliklah ke pangkal jalan. Bertaubatlah, tak payah nak sibuk dengan politik.

Adalah lebih hebat jika Anwar terus saja menjadi ahli falsafah, kerana banyak sangat idea dan kata-kata yang menyiku emosi orang. Itulah kehebatannya, perluaskanlah pandangan sehingga saujana tidak lagi memandang langit semakin tinggi, tapi penuh panoramik dan berkaki.

Itulah kompas kehidupan. Tidak perlu kita lupa, langit yang dijunjung itulah naungan yang telah menjadikan kita dewasa, mengerti pahala dan dosa.

Tuesday, March 2, 2010

Heboh, hukum sebat pesalah syarie

Isu sebatan Kartika Sari Dewi muncul kembali setelah tiga wanita dan teman lelaki masing-masing telah disebat atas kesalahan berzina di Penjara Wanita, Kajang baru-baru ini. Kartika yang disabitkan kesalahan meminum arak telah dihukum sebat, tetapi pelaksanaannya masih tertangguh. Malang buat Kartika, hukuman sebat belum dilaksanakan, tetapi suaminya menjatuhkan talak.

Yang menjadi lebih kejam ialah apabila orang Islam sendiri memperlekehkan hukum tersebut, kerana fahamannya sudah lama terserap liberal dan rasionalisme barat. Kita tidak tahu apakah yang telah berselirat dalam pemikiran mereka, tetapi yang jelas ialah apabila mengatakan bahawa hukuman tersebut menghina wanita.

Saya teringat kepada kata-kata seorang bukan Islam, walaupun teguran beliau merupakan sesuatu yang mudah tapi penuh berkesan. Kalau kita menerima sesuatu, maka harus menerima sistemnya. Maknanya, kalau kita membelikan sebuah televisyen baru, maka kita harus menerima bersama-samanya manualnya, termasuk kaedah fine-tuning, pengesahan warna, cara menyimpan data, dan sebagainya. Begitu juga dengan Islam, apabila kita menerimanya sebagai pegangan hidup kita, maka kita perlu memahami peraturan dan hukum-hukumnya kerana itulah ciri-ciri penting yang membezakan kita dengan penganut agama lain.

Maka tidak ada sebab kita hendak menolak hukuman tersebut. Hukum tersebut telah termaktub dalam ajaran Islam dan pernah dilaksanakan semasa Nabi Muhamad saw lagi. Sebelum kedatangan Inggeris, atau penjajah hukum itu pernah menjadi penunjang kepada masyarakat tradisi yang sudah pun mengakui dirinya sebagai Islam.

Setelah kemasukan penjajah, menerima sistem pendidikan bawaan mereka, maka kita menjadi semakin lupa kepada tradisi kita. Apatah lagi apabila kita akhirnya menyerap sebegitu banyak rasionalisme mereka yang terlalu berpihak kepada konsep dan ideologi kebebasan. Maka kita sedikit demi sedikit mengendurkan peraturan Islam, kita pun menjadi semakin gelagab apabila peraturan sedemikian cuba ditegakkan kembali.

Saya juga menjadi semakin kelitu apabila seorang pemimpin PAS bernama Dr. Zulkifli Ahmad mengatakan, PAS tidak akan terperangkap dengan strategi UMNO dalam isu sebat. Nampaknya, Dr. Zulkifli sendiri cuba menelan ludah dan kahaknya sendiri kerana PAS pernah beria-iakan untuk melaksanakan hukum Islam, tiba-tiba masuk dalam perangkap yang sengaja dilukahkan oleh bukan Islam.

PAS ibarat cacing kepanasan. Setelah sekian lama menuduh UMNO tidak melaksanakan hukum Islam, akhirnya ternganga macam buaya lapar, tapi tanpa gigi setelah hukuman tersebut dilaksanakan setelah peraturan syariah diluluskan sekian lama. PAS secara rasmi belum membuat bantahan, kerana sebenarnya PAS sendiri takut dengan apa yang berlaku setelah hukum hududnya tidak berjaya dilaksanakan.

Jadi, tiadalah sebab nak takutkan dengan orang lain. Maka disinilah seharusnya setiap orang Islam bersama-sama mencari jalan bagaimana nak memahamkan bukan Islam mengenai hukuman tersebut, kerana kesalahan yang dilakukan itu termasuk dalam dosa besar. Islam mengharamkan arak, kerana arak akan menyebabkan manusia lupa akan tanggungjawabnya dan cenderung melakukan sesuatu perkara yang buruk termasuk jenayah.

Zina, dalam semua agama samawi menolaknya. Perbuatan tersebut sebenarnya lebih hina daripada hukum Islam sendiri. Hukum sebatan sekadar memberikan pengajaran dan ingatan, bahawa melakukan hubungan sah tanpa ikatan perkahwinan yang sah adalah satu pencerobohan kemanusiaan yang dahsyat, walaupun atas dasar sukarela. Ia boleh kita umpamakan seperti menemui sesuatu barang berharga.

Walaupun barangan yang dijumpainya tidak diketahui pemiliknya, secara moralnya seorang Islam tidak dibenarkan mengambil kerana itu bukan haknya. Maka barangan tersebut perlu diserahkan kepada pihak tertentu yang diberikan tanggungjawab menjaga amanah, dan bila ada pihak yang menuntutnya secara sah, maka penjaga amanah tersebut wajib memulangkannya.

Dalam hal ini, jika seseorang memikirkan keuntungan, tentunya akan mengambil barangan tersebut tanpa berhasrat untuk memulangkan balik kepada pemiliknya. Begitu juga denga analogi zina, walaupun berlaku dalam suasana suka sama suka, ia tetap dianggap berdosa dan salah kerana antara pelakunya tidak mempunyai hak yang sah. Ia tetap dianggap sebagai tidak sah alias ceroboh, maka telah melakukan kesalahan.

Inilah yang berbeza dengan masyarakat Barat. Tetapi, yang kita hairan ialah apabila membuat penilaian seseorang, akan tetap dicari kelemahan berhubung dengan seks tanpa nikah. Lihat sahaja kes Tiger Woods, Ashley Cole, ataupun Monica Lewinsky. Kerana hubungan luar nikah itulah akhirnya menyebabkan masyarakat barat tetap memandang mereka sebagai manusia yang rendah moral.

Jadi, tidak sebab kenapa kita nak menolak satu hukuman yang bertujuan untuk menjadikannya sebagai pengajaran agar ianya dapat dibendung, dicegah dan seterusnya dikembalikan kesucian hubungan antara lelaki dan perempuan secara sah. Mereka mungkin tidak sedar, di Malaysia sekarang sudah ada telahan data bahawa setiap 17 minit dan 17 saat akan lahir seorang bayi luar nikah. Bayangkan, apa akan jadi dengan anak-anak yang tidak minta dilahirkan sedimikian itu akan membesar apabila ada yang mengatakan "anak haram."?

Itu hasilnya dari hubungan haram. Bagaimana pula dengan hubungan yang berlandaskan wang, yakni pelacuran. Undang-undang sivil yang ada sekarang tidak dapat menjentik rasa takut mereka, maka sekurang-kurangnya peraturan Syariah itu dapat mengekang mereka yang beragama Islam dari terus terjerumus. Tak payah le nak meniru-niru bukan Islam, kerana mereka tetap dengan peraturannya. Mereka akan melihat perspektif mereka sendiri berdasarkan rasionalisme sendiri walaupun agama mereka turut melarang zina, minum arak, judi, mencuri, berbohong dan sebagainya. Mereka akan tetap lakukan, kerana itu adalah budaya mereka yang disanjung ialah wang, kerana wang itu adalah kuasa. Apa pun mesti ada wang, kalau tidak wang mati pun susah.

Tapi, bagi orang Islam wang bukanlah segala-galanya. Isnyaalah kalau tidak berwang pun mereka akan tetap dikafan dan dikuburkan apabila mati. Belum ada lagi kedengaran jenazah orang Islam dicampakkan ke tong sampah kerana tidak mampu diuruskan pengkebumiannya, kecualilah mereka yang menjadi sasaran penjenayah.

Jadi, orang Islam yang menentang hukum Islam haruslah sedar siapa dia sebenarnya? Tak payah memakai topeng rasionalisme undang-undang barat kerana mereka sebenarnya sedang menuju kehancuran sosial dan budaya moral. Hakisan moral mereka setiap hari semakin nipis, yang tinggal hanyalah kemegahan materialisme, spiritual sudah lama larut dalam keserakahan ciptaan sendiri.

Orang Melayu Pulau Pinang Semakin Terpinggir

Oleh Kamal Ahmad
bhrencana@bharian.com.my

Dasar kerajaan negeri DAP hakis hak keistimewaan, kuasa beli hartanah Bumiputera
MELAYU tidak mampu lagi tinggal di Pulau Pinang berikutan kenaikan harga rumah dan percukaian hartanah. Di mana mereka tinggal sekarang? Kebanyakan dalam rumah kecil dan sesak seperti Tanjung Tokong dan Rifle Range.

Mereka turut menghuni rumah pangsa satu bilik, di atas tanah wakaf, tanah terbiar, 'tanah tumpang' atau tanah Tol kerajaan. Berdasarkan ringkasan laporan disediakan bersama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan tanah Melayu di sebelah pulau merosot berikutan perpindahan mereka ke Daerah Barat Daya selain Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah.

Ramai Melayu turut berhijrah ke negeri lain seperti Kedah dan Perak. Semua kawasan ini dianggap tidak strategik, nilai ekonominya rendah, kurang membangun serta kawasan pertanian. Bukan Bumiputera menjadi majoriti di Daerah Timur Laut dan Seberang Prai Selatan. Kawasan itu sangat pesat termasuk membabitkan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan projek Penang Global City Centre (PGCC), sedangkan pemilikan tanah Melayu di daerah itu semakin mengecil.

"Orang Melayu yang tinggal di kawasan miskin dan sesak dalam bandar ini akan melahirkan fenomena dinamakan kemiskinan bandar yang kesannya antara lain gejala sosial. Mereka juga berada pada kedudukan paling bawah dalam rantaian nilai.
"Kalau kerajaan negeri menyedari masalah Melayu terpinggir di Pulau Pinang maka perlu dan tiba masanya untuk mereka duduk bersama mencari satu pelan tindakan baru untuk menyelesaikan keadaan sekarang ini. Kita lihat tidak ada (tindakan kerajaan)," kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMM), Rizal Faris Mohideen Kadir.

Beliau berkata, pelan tindakan baru untuk Pulau Pinang bukan semata-mata bagi kepentingan Melayu malah mencakupi soal isu pelancongan, mengekalkan status Tapak Warisan Dunia dan soal pembangunan.

"Bila permasalahan Melayu seperti isu meroboh gerai, merampas barang perniagaan dan tindakan menyaman tidak selesai, ini seolah-olah organisasi Melayu tidur dan tak buat kerja pada hal kami menjuarai isu ini sejak hari pertama lagi.

"Akhirnya, kami bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pulau Pinang termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpakat serta nekad bahawa sudah cukup kita berunding, beri teguran dan nasihat. Kini tiba masanya orang Melayu menunjukkan kemarahan kepada kerajaan negeri.

"Berapa lama kita nak duduk dan lihat. Takkan sehingga lenyap orang Melayu (di Pulau Pinang), baru kita nak ambil tindakan," katanya merujuk kepada tindakan orang Melayu mengadakan perhimpunan di Bangunan Komtar, baru-baru ini.

Rizal turut mendakwa Lim Guan Eng melakukan penghantaran delegasi termasuk perdagangan ke Singapura bagi memperhebatkan perhubungan Pulau Pinang dengan republik itu.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim, berkata kerajaan negeri juga difahamkan hendak menggubal undang-undang baru berhubung notis meroboh gerai haram tidak lagi memerlukan tempoh 30 hingga 50 hari tetapi dilakukan dalam masa 24 jam tanpa perlu sebarang notis.

"Juga difahamkan, kerajaan negeri hendak 'menghalalkan' peniaga Batu Feringgi yang merangkumi 99 peratus Cina. Kenapa ada sikap sebegini?" katanya.

"Saya nampak matlamat kerajaan negeri mudah saja. Melayu (di Pulau Pinang) hendak dijadikan seperti di Singapura. Lee Kuan Yew dan Lim Guan Eng umpama mentor dan protege. Kehadiran Kuan Yew dulu memang inilah matlamatnya untuk ajar Guan Eng bagaimana untuk sisihkan Melayu Pulau Pinang dan seolah-olah kami hidup bergantung kepada dia.

"Kita bukan bermusuh dengan penduduk Cina dan India yang ada tetapi masalahnya ialah Guan Eng. Itu adalah fokus masalah kita," kata anak jati Kampung Melayu Tanjung Tokong itu.

Beliau mengimbas kembali janji pemimpin parti pembangkang dalam kempen pilihan raya umum 2008 lalu, bahawa perkampungan Melayu di Tanjung Tokong akan dijadikan tanah warisan. Tetapi selepas mengambil alih kerajaan negeri, mereka mendakwa tiada kuasa dan kawasan itu adalah tanah Kerajaan Persekutuan.

"Bagi saya, ini satu pembohongan dan penipuan yang sejelas-jelasnya kepada orang Melayu di Tanjung Tokong yang memberi kepercayaan kepada mereka, kononnya mengundi mereka adalah demi mempertahankan tanah berkenaan. Hari ini, orang Melayu di Tanjung Tokong masih lagi berhempas pulas dan berjuang untuk mempertahankan tanah itu," katanya.

Perkampungan yang dihuni 3,000 penduduk itu adalah tanah Tol yang sudah dibatalkan hak milik oleh kerajaan negeri. Dengan mencadangkan statusnya ditukar kepada kampung warisan maka kampung itu akan dikekalkan.

"Kalau berani, kami cabar kerajaan negeri untuk datang dan robohkan perkampungan kita. Lihatlah apa tindakan kita. Jadi kami kini umpama tinggal di perkampungan setinggan sebab tidak tahu tanah itu hak milik siapa. Dia nak halau kami bila-bila masa saja boleh," katanya.

Beliau difahamkan kawasan itu hendak dimajukan dengan pangsapuri mewah yang mencecah RM1 juta seunit dan penduduknya yang 100 peratus Melayu akan dipindahkan ke lokasi lain.

"Bagaimana orang Melayu di kampung itu yang kerja kilang dengan gaji RM1,000 sebulan nak beli rumah itu? Semua ini bertujuan menghalau orang Melayu dari pulau ini dan pulau ini hanya boleh diduduki orang yang berpendapatan tinggi," katanya.
Sebaliknya, kerajaan negeri menjemput penduduk Singapura dan Hong Kong datang mendiami Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka.

Jais turut mendedahkan dasar komuniti perniagaan dan sektor swasta Cina di negeri itu yang mewajibkan syarat menguasai bahasa Mandarin untuk calon yang mahu mencari pekerjaan. "Perkara itu adalah mustahil bagi orang Melayu. Ini benda yang tak masuk akal dan kita sedar bahawa inilah agenda dia sebenarnya dan ke mana arah dia nak bawa Pulau Pinang ini memang cukup jelas bagi kita," katanya.

Nota: Tolong tengok juga bagaimana projek-projek mewah telah dibangunkan di sekitar kampong Melayu Batu Maung (contohnya South Bay) yang tentunya menakutkan. Kawasan Relau pun sudah habis, kini Balik Pulau menjadi sasaran untuk dibangunkan pelabagai projek mewah, termasuk kawasan pelancongan baru di Pulau Betong. Siapa beb yang dapat banyak faedah, akhirnya semakin ramai Melayu berpindah ke Kulim kerana kilang pun banyak sudah pindah operasinya. Orang Melayu banyak mengharapkan kerja kilang, tapi apa dah jadi apabila sewaktu perayaan Melayu, mereka gandakan kerja lebih masa, tetapi bila perayaan bukan Melayu, kilang ikut lebaran.

Ramai lagikah Melayu Pulau Pinang tak sedarkan diri bagaimana sedikit demi sedikit kuasa dan kedudukan mereka sedang dihakis?