ORANG kata kalau tinggal dalam rumah kaca jangan sekali-kali main lempar batu. Malangnya Anwar Ibrahim lupa atau pura-pura tak ingat akan kata-kata nasihat itu. Dulu dia baling batu, sekarang gilirannya pula kena baling. Bila dia dan puaknya kena baling, dia becok menyalahkan orang lain.
Macam ayam jantan berkokok, tahi berjurai. Kata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih. Baru setahun dapat kuasa, macam-macam sudah berlaku dalam PKR pimpinan Anwar yang (jangan lupa) akan menghadapi perbicaraan kes liwat.
Terbaru, kerajaan Pulau Pinang atau lebih tepat lagi PKR diaibkan dengan peletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri I, Fairus Khairudin.Kali ini bukan soal tidak kecekapan, kelembapan serta kekurangan diplomasi yang menjadi masalah malah Fairus dikatakan dikaitkan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Ia membabitkan salah guna kuasa dan penglibatan pengusaha kuari dalam kawasan undi DUN Penanti dimenangi oleh Fairus pada pilihan raya umum 8 Mac, 2008.
Sebelum ini negara heboh dengan skandal gambar separuh bogel ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang juga Exco kerajaan Selangor. Beliau juga menang atas tiket PKR.Sehingga kini kes wanita lebih dikenali sebagai Eli ini belum selesai lagi. Bekas teman lelakinya yang dikatakan mengambil gambar beliau tidur itu masih berada di luar negara sedang Anwar membenarkan ‘mangsa’ mengambil cuti panjang.Apapun, Elizabeth Wong sudah tidak mampu lagi menghadapi pengundi beliau kerana terlalu malu.
Begitu jugalah kes ADUN Bukit Selambau, V Arumugam yang melanggar adat resam Hindu dengan berpoligami. Oleh kerana didesak dan dihamun pengikut Hindu, calon bebas yang menyertai PKR ini melarikan diri ke Thailand.
Gelagat pemimpin PKR dipilih dan direstui Anwar ini tentunya mengaibkan dan mencemarkan sekali imej rakan kongsinya DAP dan Pas yang jelas tergamam.
Cara paling mudah menepis segala kecaman rakyat jelata adalah dengan menimbul dan cuba mengalih perhatian kepada apa didakwa sebagai kes politik wang melibatkan Umno dan sejak kebelakangan ini Datuk Seri Najib Tun Razak.
Cara paling mudah menepis segala kecaman rakyat jelata adalah dengan menimbul dan cuba mengalih perhatian kepada apa didakwa sebagai kes politik wang melibatkan Umno dan sejak kebelakangan ini Datuk Seri Najib Tun Razak.
Anwar menuduh hakim mahkamah memihak kerajaan apabila kes tuduhan liwat terhadapnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dipersalahkan kerana membersihkan nama Peguam Negara Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Musa Hassan daripada kes mata lebam dan tidak ketinggalan PKR tetap cuba mengaitkan Najib dengan Atlantuya. Kerajaan gabungan pembangkang di Perak pula runtuh juga kerana gelagat Anwar yang kata Karpal Singh tidak layak menjadi Ketua Pembangkang apabila usahanya menjerat Adun dan Ahli Parlimen BN masuk pembangkang akhirnya memakan diri sendiri.
Jelas Anwar adalah punca bukan saja PKR menjadi kucar-kacir malah juga pembangkang turut diaibkan dengan skandal dan kepincangan hingga akhirnya akan punah ranah mengheret sekali DAP dan Pas.
Pas dan DAP sudah lama berkecimpung dalam arena politik, tapi tidak pula dilanda pelbagai skendal macam PKR. Apakah Pas dan DAP tidak berasa malu? Mereka selalu bercakap tentang integriti, tapi lihatlah integriti PKR yang mereka angkat sebagai ketua dalam pakatan politik mereka.
Pada pilihan raya umum 2008 Pas dan DAP berasa puas hati kerana persahabatan mereka dengan Anwar dan PKR membuahkan hasil yang mereka tidak pernah peroleh sekian lama. Tapi percayalah bahawa lambat-laun Pas dan DAP akan mendapati bahawa PKR bukan lagi aset kepada mereka, tetapi menjadi biawak hidup yang akan mencakar belakang mereka.-malaysiaaktif.com
No comments:
Post a Comment