Tuesday, November 10, 2009

KEMELUT TAULIAH DALAM BERDAKWAH

Oleh MUHAMMAD IRFAN ISKANDAR

Penahanan ‘tokoh agama’ oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) pada 2 November lalu semakin membuak emosi masyarakat. Media semakin ghairah membuat liputan terhadap apa yang berlaku itu kerana itulah mungkin merupakan kesempatan terbaik untuk meningkatkan jualan. Kontroversi pertama ialah sebaik sahaja ditangkap, JAIS didakwa telah menggunakan begitu ramai anggota polis mengepung Dr. Mohamad Asri Zainal Abidin (Dr. Maza) seolah-olah beliau adalah seorang yang diburu sejak sekian lama dan disamakan dengan Nordin Mat Top.

Keesokannya, Dr. Maza mempertikaikan tindakan pihak JAIS yang gagal hadir untuk mendengarkan tuduhan di Mahkamah, dan beliau seterusnya melontarkan komen telah dipermain-mainkan. Pada masa yang sama, komen Dr. Maza mengenai penolakan perlantikannya sebagai Yang Di Pertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dan reaksi balas bekas YDP YADIM mengenai tuduhan salah guna kuasa sepanjang 10 tahun menerajui badan tersebut.

Kemudiannya, kontroversi muncul lagi apabila Dr. Maza mendapat perhatian wawancara media mengenai sikapnya terhadap penahanan tersebut. Walaupun bukti jelas mengenai kaitan Dr. Maza dengan fahaman Wahabi tidak jelas, persoalan yang menjadi pertikaian sekarang ialah kewajiban mendapatkan kebenaran mengajar agama, atau dikenali sebagai “tauliah.”

Secara mudahnya, tauliah itu boleh dibahagikan kepada dua. Aspek pertama ialah mengenai kelulusan akademik atau tahap keilmuan seseorang itu, di mana berdasarkan ukurannya seseorang itu mestilah mempunyai kelulusan pendidikan agama paling minimum tahap empat sanawi. Ini bererti mereka yang mempunyai kelulusan kurang daripada tahap tersebut, tidak dibenarkan mengajar agama di beberapa buah negeri termasuk Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan sebagainya.

Aspek kedua dalam pemahaman kita mengenai tauliah ialah kebenaran untuk mengajar. Kebenaran ini perlu dipohon dan kelulusannya tertakluk kepada pihak yang berwajib, khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-negeri. Walau bagaimanapun, berdasarkan keadaan-keadaan tertentu, ada pengecualian diberikan kepada seseorang itu mengajar agama Islam di kediamannya kepada anggota keluarga dan mereka yang diundang oleh agensi-agensi kerajaan. Mereka yang masih memegang jawatan sebagai kadhi turut dikecualikan.
Dr. Maza turut menjelaskan bahawa semasa beliau menjawat jawatan tersebut di Perlis, meskipun peraturan sedemikian termaktub dalam Majlis Agama Islam Perlis, beliau tidak menguatkuasakannya. Beliau memberika kebebasan kepada sesiapa sahaja untuk mengajar agama kerana percaya ianya tidak disalahgunaka. Jika terdapat juga kesilapan dalam perkara itu, tindakan akan dilakukan selepasnya.

Ini merupakan perspektif “kawalan kerosakan”atau “damage control”. Memang benar pendekatan tersebut merupakan yang lebih terbuka, tetapi kita harus sedar bahawa kerosakan yang diakibatkan olehnya adalah lebih besar dan parah. Oleh itu, langkah yang diambil untuk “mentauliahkan terlebih dahulu” merupakan kaedah paling selamat dan terbaik. Ia merupakan langkah preventif, seperti kita selalu diingatkan oleh orang tua, jaga tutur kata dan tingkah laku apabila berada di tempat orang.

Penjelasan yang dibuat oleh Datuk Mohammed Khusrin Munawi melalui tulisannya Tauliah elak penyelewengan, Utusan Malaysia, 7 November 2009 telah berjaya memberikan kita sedikit kefahaman dan kewajaran kenapa tauliah amat diperlukan. Tetapi ruangan Dr. Maza di dalam Mingguan Malaysia pada 8 November 2009, Bersaing dengan hujah semakin menyebabkan ramai pembaca meluat dengan pandangannya.

Pertama apabila beliau mempersoalkan mengenai “dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyaarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan Rasul-Nya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah.”

Nampaknya Dr. Maza semakin besar egonya apabila dipersoalkan mengenai tauliah kerana beliau merupakan orang yang berpendidikan tinggi, iaitu berkelulusan doktor falsafah. Maka dengan kelulusan tersebut, bekas mufti dan pensyarah universiti itu berpendapat, ia tidak lagi memerlukan “tauliah” untuk mengajar agama. Ia sudah menjadi tanggungjawab setiap orang untuk mengajar “walaupun dengan satu ayat.”
Seharusnya Dr. Maza perlu faham kenapa peraturan tersebut telah diadakan sekian lama, dan bukannya di negeri Selangor sahaja. Di Perlis, bekas negeri yang melantik Dr. Maza menjadi mufti turut meletakkan syarat yang sama kepada sesiapa sahaja yang berhasrat mengajar. Janganlah Dr. Maza nak samakan mengajar agama kepada orang awam dengan guru agama di sekolah. Guru agama mengajar di sekolah sebenarnya telah mendapat “tauliah” oleh Kementerian Pelajaran apabila beroleh diploma pendidikan dan diterima menjadi seorang guru, setelah mendapat kelulusan dalam bidang agama. Konsep “diterima menjadi guru” merupakan pengesahan yang membolehkan seseorang itu mengajar di peringkat sekolah. Untuk mengajar kepada orang awam, ia tetap memerlukan kelulusan dari pihak berkuasa agama negeri.

Perlu difahami bahawa peraturan itu merupakan kawalan daripada sumber bagi mencegah ia menjadi masalah. Jika tauliah tidak dikenakan, sesiapa pun boleh mengajar agama. Ini seterusnya bukan menjadikan kedudukan Islam sebagai lebih baik, malah akan memusnahkan Islam itu sendiri. Ini sudah banyak berlaku dalam sejarah kerana atas kepentingan tertentu, ada pihak menggunakan agama untuk menyelubungi kesalahan yang pernah dilakukan, termasuk jenayah. Kita pernah mendengar, yang tidak lulus sekolah rendah pun boleh mengajar agama sehingga melangkaui dasar falsafah dan tradisi keilmuan.Tidakkah ini merupakan contoh dari kesilapan mentafsirkan tanggungjawab “:sampaikan walaupun dalam satu ayat?”'

Kita mungkin boleh memahami bagaimana Ashaari Muhamad boleh mengasaskan al-Arqam dan mengajar Aurad Muhamadiyahnya. Siapakah Ashaari Muhamad yang dikenali sebagai abuya itu? Begitu juga dengan Ayah Pin, yang secara peribadinya tidaklah begitu bijak membaca dan menulis. Hobinya berlaga ayam, tapi mampu mempengaruhi kalangan profesional dengan hanya meminum air dalam tempayan ajaibnya di perkampungan Kerajaan Langit, Hulu Besut, Terengganu.

Ketika heboh mengenai penangkapan Rasul Melayu, kenapa Dr. Maza tidak mempersoalkan ajaran yang dipintarkan melalui ketajaman otak penggerak utama ajaran tersebut? Sebaliknya, setelah ditahan kerana “tidak bertauliah” Dr. Maza telah membingitkan telinga setiap rakyat Malaysia mempersoalkan “orang agama bertindak secara terbuka seakan menghalang perkembangan Islam. Saya sedih apabila senjata kuasa digunakan untuk memerangi golongan agama. Di kala umat sedang kehausan ilmu dan bimbingan, lalu diletakkan seribu halangan untuk insan muslim menyebarkan dakwah. Saya berfikir betapa sukar hendak menunaikan arahan Nabi s.a.w: Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.”

Kita perlu tahu bahawa sejarah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, berdirinya khalifah Islam pertama, tidak banyak tentangan bagi menegakkan syiar Islam. Namun semasa zaman khalifah pernah berlaku apabila disiasat ada pihak yang mengajar agama Islam tetapi bukan dengan cara dan tafsiran yang betul. Akhirnya, khalifah mengusir mereka terbabit dan tidak lagi dibenarkan menyampaikan ajaran Islam, kerana ia telah diselewengkan. Apakah apabila negeri-negeri dan kuasa politik membuat keputusan untuk mensyaratkan pemberian tauliah sebagai prasyarat boleh mengajar agama itu sebagai sesuatu yang salah dan bertentangan dengan arahan Nabi s.a.w?

Seharusnya Dr. Maza dapat berfikir secara rasional dan bukannya membayangkan terlebih dahulu apa keputusan jika beliau membuat permohonan mendapat tauliah. Nyata sekali praduga yang ada dalam diri Dr. Maza terlalu tinggi sehingga boleh membayangkan apakah keputusan yang bakal dibuat oleh Jawatankuasa Tauliah JAIS jika beliau memohon. Tentunya, dengan cara yang salah dan berbau sombong menjawab “tidak lulus” atas alasan “sebelum ini sudah ada pihak yang menghalangnya daripada mengajar agama.”

Seharusnya sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, beliau perlu faham, setiap keperluan ada syaratnya. Ia bukanlah merupakan hak milik setiap orang, kelulusan tersebut hak prerogatif JAIS, dan bukan hak mutlak Dr. Maza walaupun aspek pertama tahap keilmuannya melepasi tahap minimum. Setiap daripada kita sedar, setiap masyarakat mempunyai peraturan dan norma yang dipersetujui bersama. Norma dan peraturan itulah akhirnya menjadi sistem atau sebahagian daripada sistem yang menentukan kelangsungan, keharmonian sesebuah masyarakat.

Contohnya, dari segi fizikal kita mungkin mempunyai wang untuk membeli kenderaan tertentu. Walau bagaimanapun, kita yang mampu membeli kenderaan tersebut masih belum boleh memandunya kerana tidak mempunyai lesen yang sah. Apakah langkah kerajaan mensyaratkan lesen sebagai syarat yang sah memandu kenderaan merupakan suatu praktis yang salah dan keterlaluan?

Kenapa Dr. Maza tidak mempersoalkan bagaimana untuk memperoleh lesen memandu? Cuba bayangkan apa yang perlu dilakukan oleh seseorang yang memohon lesen memandu. Walaupun pernah membayangkan tidak akan lulus dalam ujian bertulis atau memandu, dia tetap mencubanya. Akhirnya dia lulus, seperti yang berlaku di China baru-baru ini diberitakan lebih 900 kali menjalani ujian bertulis untuk mencapai tahap betul 60 daripada 100 soalan yang diajukan. Jika membayangkan keputusan terlebih dahulu, secara jelasnya dapat disimpulkan bahawa Dr. Maza merupakan orang yang takut dengan bayang-bayang sendiri, kerana belum pun cuba sudah mengaku kalah. Apakah ini merupakan satu sikap yang progresif?

Saya pada mulanya tidak begitu berminat dengan tulisan-tulisan yang tersiar dalam kolum mingguannya, kerana mungkin sedikit pengalaman buruk saya apabila berbaik-baik dengan mereka yang mendakwa dirinya sebagai agamawan. Tatkala mendengar ceramah-ceramah agama yang dikendalikan oleh agamawan, kita merasakan ada sesuatu yang tidak kena dalam diri mereka. Mereka bukan sahaja petah bercakap, dilihat berilmu tetapi ada sesuatu yang diutarakannya bukanlah dari niat yang ikhlas.

Saya juga menjadi sedikit takut untuk menguruskan orang-orang agama yang berkedudukan dan berjawatan apabila terpaksa mengundang mereka dalam majlis-majlis ilmu. Tidak ramai yang bersikap merendah diri atau mengamalkan budaya, ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi. Hampir kesemua yang saya alami mengamalkan resmi lalang, semakin tinggi semakin menegak sehingga menganggap apa yang dilakukan oleh orang lain salah dan tidak betul.

Mendengar ceramah yang berlandaskan pemikiran memberikan sedikit keyakinan tetapi apabila mengenali lebih dekat agamawan itu seolah-olah berlaku pula apa yang dipanggil paradoks. Percakapan dan tingkahlaku tidak menggambarkan tahap keilmuannya sendiri, dan kerana itulah saya kurang mendekatkan diri dengan golongan agama.
Setelah mengikuti beberapa tulisan Dr. Maza dalam beberapa bulan lalu, saya menjadi begitu resah dengan kesimpulan yang dilontarkan mengenai “ketulenan Islam dalam UMNO” (Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009). Setiap ayat yang ditulis mempunyai maksud yang tersirat, tetapi sayangnya tetap gagal menemui rupa bentuk Islam tulen yang ingin diketengahkan dan mengharapkan pembetulan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Dua minggu lalu Dr. Maza menulis mengenai hubungan dengan sejarah, maka saya juga gagal untuk menyelami apa bentuk teladan yang ingin diketengahkan berdasarkan peristiwa sejarah yang boleh dijadikan panduan itu.

Nampaknya pendekatan penulisan Dr. Maza tidak banyak membantu memperluaskan ketajaman berfikir mengenai Islam. Saya juga tidak mampu menyelami secara mendalam apa yang beliau sarankan kerana banyak mengambil kutipan orang lain yang latar belakang budayanya amat berbeza dengan Melayu-Islam Malaysia. Seharusnya beliau mampu menterjemahkan pendekatan tersebut berdasarkan keperluan masyarakat setempat yang masih hauskan ilmu dan bimbingan, dan bukan terlalu tergesa-gesa membuat kesimpulan berdasarkan nama-nama besar pemikir Islam yang bukan berasal dari kelompok Melayu-Islam.

Bahan pemikiran dan kupasan mereka adalah berdasarkan perspektif masyarakat mereka, dan tidak pernah melihat pelantar budaya Melayu-Islam. Dan kerana itu ulasan-ulasan dan pendapatnya kadangkala tidak boleh diterima oleh akal masyarakat tempatan, walaupun mauduk Islamnya adalah universal. Kita mungkin boleh menerima Dr. Maza jika tidak banyak mempersoalkan orang lain (tentunya kelemahan), tetapi menyalahkan diri sendiri kerana tidak pernah memohon mendapat tauliah sebelum boleh mendakwa tidak dapat menunaikan tanggungjawab memberikan nasihat agama kepada masyarakat umum yang dianggap sedang kehausan itu.

Penjelasan Yusri Mohamad mengenai kontroversinya dengan Dr. Maza menarik minat dan dengan cara itu kita boleh membandingkan apakah sebenarnya yang berlaku antara kedua mereka. Saya mengucapkan syabas kepada bekas Presiden ABIM itu yang dengan berani mempersoalkan sikap Dr. Maza yang mengambil pendapat HAMKA dari sudut tertentu bagi mengesahkan pandangannya.

(disunting semula dari rencana yang tersiar dalam ummatan wasatan.net yang disiarkan pada 11 November, 2009)

No comments:

Post a Comment