Showing posts with label politik pendidikan. Show all posts
Showing posts with label politik pendidikan. Show all posts

Sunday, November 22, 2009

JANGAN POLITIKKAN PENDIDIKAN

Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee

SAYA amat berharap kerajaan tidak akan tunduk kepada desakan Persekutuan Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) supaya membantu 60 Chinese Independent Secondary School serta mengiktiraf sijil yang dikeluarkan.

Cukuplah dengan lebih 1,300 sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang sedia ada dan akan bertambah dari masa ke semasa. Pemisahan di sekolah rendah sudah cukup berat bagi kita untuk memperkasa masa hadapan. Apakah kita mahu terus memisahkan mereka apabila berada di sekolah menengah? Ini belum ditambah dengan IPTS yang berasaskan kaum yang begitu ketara bilangannya. Apakah ini semangat 1Malaysia?

Di sekolah vernakular, bahasa Melayu hanya diajar tiga kali dalam seminggu. Apakah mereka ini boleh menguasai bahasa kebangsaan dengan baik? Buatlah kajian. Lihat sahaja keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pelajar-pelajar ini dalam bahasa Melayu dan kelas peralihan. Itu sudah cukup memberikan gambaran.

Selepas itu buatlah bancian di kampung-kampung baharu. Nilailah tahap penguasaan bahasa kebangsaan. Saya bukan anti Cina. Saya amat sayangkan bangsa saya sebab mereka adalah juga kejadian Allah. Jika saya menolak mereka, bermakna saya menolak Allah yang menjadikan saya sebagai orang Cina. Apakah saya anti-Cina bila membangkitkan isu ini?

Biarlah kita bergaduh hari sekarang demi masa depan. Mudah-mudahan anak cucu cicit kita sejahtera hidup selepas ini. Kepentingan mereka mesti diutamakan berbanding kepentingan kita.

Sebelum tahun 1996, kita ada Akta Pelajaran 1961 Seksyen 21 (1B) yang memberi kuasa kepada menteri pelajaran untuk menutup atau memansuhkan SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Akta ini amat ditakuti oleh persatuan-persatuan Cina. Mereka telah merayu dan mendesak kerajaan supaya memansuhkan akta ini. Atas dasar tolak ansur, pada tahun 1995, menteri pelajaran ketika itu mengambil keputusan berani memenuhi hasrat kaum Cina dengan menarik balik kuasa atau peruntukan itu apabila membentangkan Akta Pelajaran baru pada 1996 yang lebih lunak.

Akta Pelajaran 1996 yang diperkenalkan masih lagi tidak dipersetujui oleh segelintir ultra kiasu. Ultra kiasu ini berpendapat, pindaan terhadap Akta Pelajaran 1961 kepada 1996 telah menyelesaikan satu masalah dengan memansuhkan Seksyen 21 (1)(b), tetapi menimbulkan masalah baru dengan tambahan Seksyen 17 (1).

Kuasa baru

Menurut mereka, Seksyen 17 (1) telah memberi kuasa baru kepada menteri pelajaran untuk memaksa sekolah vernakular menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Ultra kiasu berhujah, akta sebelumnya hanya menghalang sekolah rendah tetapi kini akta baru itu membolehkan kementerian menghalang daripada pendidikan pra- sekolah hingga kepada pendidikan selepas peringkat menengah. Berdasarkan kepada Seksyen 28 dalam akta baru itu, hanya sekolah vernakular milik kerajaan negeri atau yang diberi ‘kebenaran khas’ oleh menteri pelajaran, yang mungkin dikecualikan daripada peruntukan di bawah Seksyen 17 (1).

Sebenarnya, Akta Pendidikan 1996 yang juga dikenali sebagai Akta 550 ‘lebih lembut’ berbanding Akta Pelajaran 1961 yang dimansuhkan. Tidakkah ini satu toleransi? Sanggup korbankan kuasa semata-mata untuk meraikan orang lain.

Kepada golongan ultra kisu yang selalu menentang saya bacalah akta ini dan bandingkan dengan akta sebelumnya. Siapakah yang menggubal akta ini kalau bukan Perdana Menteri kita hari ini yang ketika itu adalah menteri pelajaran. Menteri pelajaran sebelum itu, langsung tidak mahu bertolak ansur. Siapakah dia? Tanyalah sekutu parti ultra kiasu ini.

Sekumpulan ultra kiasu ini tidak pernah bersyukur, apatah lagi untuk menghargai. Saya tidak nampak beza SJKC dengan sekolah Cina di negara China dari segi bahasa, kecuali tambahan mata pelajaran bahasa Melayu 3 jam seminggu?

Saya teringat kata-kata Khoo Kay Kim, sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil. Kay Kim amat kesal dengan segelintir pihak yang mempertahankan sekolah berasaskan kaum ini.

Saya berharap mereka yang terlalu banyak bercakap mempertahankan sekolah vernakular supaya membuat kajian secara menyeluruh. Jangan asyik menyalahkan kerajaan sahaja. Apakah agenda mereka?

Jika mahu mempertahankan warisan nenek moyang, jagalah budaya dan cara hidup semua sekali? Jangan hanya isu bahasa sahaja, sebab isu bahasa adalah masalah negara. Saya minta mereka buat kajian tentang prestasi bahasa Melayu (BM) sekolah vernakular.

Pertama, kebolehan dan keupayaan memahami dan bertutur dalam BM, kedua, peratus kegagalan BM, ketiga, masalah kelas-kelas peralihan dan masalah komunikasi antara pelajar dalam BM, keempat, pergaulan pelajar peralihan dengan pelajar Melayu. Kelima, kegagalan dan kelulusan rendah dalam BM peringkat PMR dan SPM. Keenam, kefahaman dan kebolehan BM setelah tamat sekolah menengah. Ketujuh, kebolehan bertutur BM di kalangan bukan Melayu.

Kita teramat sedih apabila baru-baru ini, seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar Cina, beberapa pertubuhan Cina seperti Dong Zong, Hua Zong, Persatuan Ketua-ketua Sekolah Cina, Persatuan Alumni Sekolah-Sekolah Cina dan lain-lain persatuan, menentang keras cadangan Kementerian Pelajaran untuk menyeragamkan silibus Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan dan SJKC.

Untuk makluman, silibus BM di SJKC lebih mudah berbanding SK. Begitulah bersatunya mereka. Apabila belajar BM mahukan yang mudah-mudah (cincai). Belajar bahasa sendiri mesti secara terperinci. Adakah kita sebenarnya serius memperkasakan negara? Adakah ini bukan ultra kiasu? Adakah kita masih tidak nampak dan sedar?

Simplistik

Alasannya begitu simplistik, pelajar-pelajar SJKC tidak boleh dibebankan dengan BM yang agak susah sebab mereka terpaksa belajar tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga. Begini nasib bahasa Melayu di bumi Melayu.

Tidakkah kita sedar bahawa BM adalah bahasa yang paling mudah dipelajari di dunia? Memanglah susah kalau hanya diajar tiga kali seminggu di SJKC. Adakah kita serius?
Saya tidak menafikan ada segelintir pelajar Cina yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam bahasa Melayu, tetapi bilangan amat kecil. Itupun setelah diwajibkan lulus. Bayangkan jika syarat itu tidak ada. Apakah belajar bahasa Melayu kerana terpaksa belajar atau semangat sayangkan bahasa kebangsaan? Fikirkanlah.

Janganlah menegakkan benang yang basah, yang rugi nanti anak cucu cicit kita, ketika itu kita telah tiada. Jangan kerana ego hari ini kita korbankan kepentingan masa hadapan.

Kepada golongan ultra kiasu ini saya ingin bertanya, berikan saya satu contoh negara di dunia ini yang mengamalkan sistem sebegini? Kalau ada saya akan mengalah. Bukankah syurga kita di sini? Jangan selalu gunakan hujah kepelbagaian sebagai satu kekuatan.

Kita perlu mencari banyak persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia. Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan berkongsi matlamat wawasan negara. Ia bermula dengan berkongsi sekolah satu aliran, tanpa menafikan hak masing-masing.

Jika isu asas seperti bahasa ini pun sudah tidak dipersetujui, apakah dalam perkara lain kita boleh bersetuju? Ringkasnya, sekolah satu aliran adalah satu mimpi jika kita terus berlembut. Kiasu itu dibolehkan. Tidak salah. Malahan Islam membenarkan. Tetapi jangan menjadi ultra kiasu.

Saya juga tidak nafikan guru-guru sekolah vernakular rajin dan dedikasi. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh buat generalisasi bahawa guru-guru sekolah kebangsaan tidak sama standard dengan SJKC. Ingat! Tidak semua guru-guru SJKC bagus-bagus. Saya juga berpengalaman.

Saya bukan Cina masuk Melayu atau Cina murtad. Saya hanya mempertahankan kepentingan masa depan dan anak cucu cicit kita. Jangan politikkan pendidikan kerana ia amat bahaya untuk masa depan negara. Jangan nafikan peranan kerajaan terhadap sekolah bantuan modal seperti SJKC. Perlu diingatkan lebih 400 SJKC adalah bantuan penuh dan dibina oleh kerajaan dalam setiap rancangan Malaysia.

Mingguan Malaysia, 22.11.2009

Saturday, November 7, 2009

FANTASI MEWUJUDKAN SEKOLAH SATU SISTEM

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Malaysia.

Isu satu sekolah, satu sistem pendidikan bukanlah satu perkara baru. Ia telah dibahaskan sejak dahulu lagi. Keadaan masih sama dan tidak banyak berubah. Jawapannya, mudah sahaja, pendidikan telah dipolitikkan.

Jika bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan tidak dapat dimartabatkan bagaimanakah kita boleh pergi lebih jauh daripada itu? Kita mempunyai peruntukan dalam perlembagaan, tetapi ia tidak digunakan atau dikuatkuasakan.

Kita sibuk melayani tuntutan dan desakan politik segelintir kumpulan ultra kiasu. Akhirnya, bahasa dan sistem pendidikan tidak dapat diperkasakan di bumi sendiri. Bila ada ura-ura untuk mewujudkan satu sistem pendidikan, maka golongan ultra kiasu ini akan bangun menentang. Pada mereka, peninggalan nenek moyang mesti dipertahankan bermati-matian.

Mereka akan melakukan apa jua cara termasuk mendesak dan mengugut jika kerajaan meneruskan niatnya. Akhirnya, kerajaan terpaksa tunduk. Sistem satu sekolah senyap buat seketika.

Kini suara itu muncul kembali, tetapi dengan nada berlainan. Satu sekolah untuk sekolah aliran menengah. Sememangnya aliran menengah telah lama disatukan. Tidak banyak lagi sekolah vernakular untuk aliran menengah, berbanding aliran rendah.
Boleh dikatakan kebanyakan bukan Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah menengah kebangsaan disebabkan oleh tempat yang terhad di sekolah menengah Cina. Justeru, tidak timbul isu sebenar, satu sistem pendidikan untuk sekolah menengah.
Perkara pokok yang perlu dibahaskan secara serius ialah bagaimanakah hendak mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat menyatukan anak-anak di peringkat sekolah rendah?

Akibat

Kajian demi kajian dan pengalaman menunjukkan bahawa akibat mereka dipisahkan dari kecil amat sukar untuk disatukan ketika mereka meningkat remaja berada di sekolah menengah.

Sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah yang majoriti pelajar bukan Melayu, saya dapat merasakan hubungan kaum berada pada tahap amat membimbangkan. Pelajar-pelajar ini tidak bercampur setelah enam tahun dipisahkan di sekolah rendah.

Dengan sebab itu, polarisasi kaum terbawa-bawa hingga ke peringkat menengah dan pengajian tinggi. Sampai bilakah kita akan terus membincangkan isu ini? Selagi kita tunduk kepada tuntutan dan ugutan mereka, sampai kucing bertanduk pun kebuntuan ini tidak akan dapat dipecahkan.

Sedih yang teramat sangat, apabila kita hanya memikir kepentingan masa kini berbanding dengan kepentingan masa hadapan. Kepentingan politik diutamakan, kepentingan membina negara diabaikan. Mungkin kita tidak berapa merasai sangat kesannya hari ini, tetapi sanggupkah kita tinggalkan semuanya ini kepada anak cucu cicit kita?

Berkali-kali saya katakan, akibat sistem pendidikan perkauman sebegini menjadikan hubungan kaum di negara ini ibarat api yang tidak dapat dipadamkan sepenuhnya.
Kita berjaya memadamkan api tersebut, tetapi bara api itu masih menyala. Bara inilah yang amat membahayakan untuk jangka panjang.

Dalam dunia hanya negara kita sahaja yang menerima pakai pelbagai sistem aliran sekolah. Negara lain hanya ada satu sekolah. Sebenarnya Malaysia adalah 'syurga' kepada orang bukan Melayu. Mereka dapat apa yang sepatutnya mereka tidak berhak. Perkara yang menguntungkan ini biasanya disenyapkan, malah golongan ini terus mendesak agar sekolah vernakular terus ditambah.

Persoalannya, adakah kita bersungguh-sungguh dalam soal ini? Berkali-kali saya membangkitkan bahawa kepentingan nasional atau negara mesti diletakkan di hadapan berbanding kepentingan etnik.

Agenda nasional adalah untuk memperkasakan masa hadapan, manakala agenda etnik, lebih bersifat kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja. Kerajaan mesti membuat keputusan yang tegas dan tidak boleh tunduk atau bertolak ansur dalam memperkasakan masa hadapan.

belajar
Saya bukan bermaksud kita menghapuskan hak bukan Melayu untuk belajar bahasa ibunda mereka. Mereka masih boleh belajar bahasa ibunda mereka, tetapi pelajar-pelajar ini tidak boleh dipisah-pisahkan sejak dari kecil.

Cukuplah dengan sistem politik dan ekonomi yang bersifat perkauman. Jangan kita tambahkan lagi dengan sistem pendidikan yang menjadi tunggak kepada pembangunan negara bangsa.

Benar, kita perlu berbincang. Tetapi pernahkah mereka bersetuju? Jawabnya tidak pernah. Malah mereka semakin mendesak dan menuntut. Justeru, apa tunggu lagi? Apakah kita perlu menunggu peristiwa 13 Mei berulang untuk kita mengkaji semula sistem pendidikan kita? Ketika itu sudah terlambat.

Berapa lama masa diambil untuk bangun semula selepas itu? Pendek kata, kesan 13 Mei masih lagi kita dapat rasai hingga hari ini bagaimana sukarnya untuk bangun setelah jatuh.

Alasan yang mengatakan bahawa sekolah kebangsaan terlalu keMelayuan dan keIslaman (doa pagi) bukanlah hujah yang kuat untuk menolak sekolah satu sistem. Apakah lagi identiti yang boleh ditonjolkan dalam sebuah negara yang berakarkan sebuah bangsa?
Kalau ini pun dicabut, apakah lagi identiti yang tinggal kepada Melayu dan Islam? Tidakkah kita sedar kedudukan ini dijamin dalam Perlembagaan?

Apakah kita masih belum faham perkara asas itu setelah sekian lama hidup di bumi bertuah ini?

Mingguan Malaysia, 8 November 2009