Showing posts with label petualang. Show all posts
Showing posts with label petualang. Show all posts

Friday, October 30, 2009

HAYAT PKR SEMAKIN PENDEK?

Nampaknya PKR semakin bercelaru. Beberapa hari lalu mengalami masalah dengan kepimpinan Sabah dan apabila perlantikan Zaid Ibrahim disanggah oleh Naib Presiden, Azmin Ali menyebabkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri merajuk habis. Zaid cuti enam bulan, dan kahirnya wakil dari Sabah menjadi ketua perhubungan PKR Sabah.

Naib Pengerusi yang juga merupakan Ketua Perhubungan PKR Sabah merajuk, lalu meletakkan semua jawatan dalam parti. Christina Leiw turut ikut jejak langkah,tak percaya lagi terhadap kepimpinan PKR. Hasrat untuk menguasai Sabah, semakin tipis. Tengah meletup isu, terdengar pula semalam ADUN Port Kelang yang dikatakan bermasalah membuat keputusan keluar dari PKR. Badrul Hisham menjadi wakil rakyat Bebas, maka teloponglah beberapa orang kuat PKR yang mula mengingatkan bahawa akan letakkan jawatan.

Kalau Badrul letakkan jawatan sebagai wakil rakyat, ada sedikit peluang untuk meneruskan gelombang pilihan raya. Tup-tup, Badrul lagi handal. Hanya keluar PKR, jadi wakil rakyat Bebas dan akan menyokong BN. Tan Sri Khalid sudah lama sediakan panadol, kerana sudah lama meminta agar Badrul letakkan jawatan. Badrul tak nak buat kerana katanya, pengundi yang memilih dia bukannya Tan Sri Khalid.

Makin celaru PKR kali ini. Tian Chua masih menunggu hukuman kerana gigit telinga Polis. Jika Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang sama, jawabnya hilanglah kelayakan Tian Chua sebagai wakil rakyat. Jangkanya, akan berlakulah pula pilihan raya kecil Parlimen Batu.

Beberapa orang lagi, khabarnya 10 orang sedang menunggu masa untuk dibicarakan atas pelbagai kesalahan, termasuk melibatkan diri dalam perhimpunan haram. Jawabnya, semakin banyaklah masalah yang sedang melingkari kepimpinan PKR. PKR semakin terdesak, namun de factonya masih terus menegaskan parti itu tidak ada krisis kepimpinan. Orang ramai telah tahu dan saksikan sendiri bagaimana 3A berkuasa penuh dalam PKR.

Nak mengharapkan sokongan dari orang India nampaknya semakin luntur kerana penyokong-penyokong Hindraf telah pun menubuhkan parti Makkal Sakhti awal Okbober lalu. Maka mahu tak mahu, sebahagiannya akan menyertai parti tersebut yang khabarnya akan menyokong BN. Maka semakin berkuranganlah mereka yang akan menyokong PKR.

Sebelumnya ada yang menganggarkan Pakatan Rakyat hanya mendapat sokongan 32 peratus pengundi, dan kerana itu Tok Guru Nik Aziz menjadi bertambah risau sehingga meminta supaya diadakan EGM bagi menghapuskan "dua tiga kerat" yang dok "ghoh gah" dalam PAS. Bukan satu Malaya kecoh, satu Malaysia ternanti-nati penyelesaiannya. Maka, PAS bersetuju menukarkan EGM kepada seminar politik pada bulan November nanti.

Ada pihak meramalkan PKR akan menerima nasib yang sama dengan Semangat '46. Kedua parti itu lahir atas semangat marahkan kepimpinan UMNO. PKR marahkan kepimpinan UMNO kerana Tun Dr. Mahathir telah memecat Anwar Ibrahim. Kalau Semangat 46 kerana marahkan Tun Dr. Mahathir kerana kekalahan Tengku Razalaeigh dalam pusingan kedua merebut jawatan tertinggi UMNO.

Puak=-puak Tengku Razaleigh merasa terpukul lalu membawa masalah ke mahkamah. Akhirnya Mahkamah memutuskan UMNO diharamkan pada tahun 1987. Maka terpecahlah UMNo kepada dua, iaitu yang dipimpin Tun Dr. Mahathir sebagai UMNO (Baru) dan dipimpin Tengku Razalaeigh jadi Semangat 46, mengambil sempena tahun penubuhan UMNO asal.

Bagi menghadapi pilihan raya 1990, semua parti pembangkang bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU), berjaya berkuasa di Kelantan. Terengganu hampir tewas, tetapi tidaklah separah tahun 1999. PAS terus berkuasa, tetapi APU pecah dan sebahagian besar ahlinya kembali ke pangkuan UMNO, termasuk Tengku Razaleigh.

Khabarnya, pakatan rakyat juga akan pecah berderai seperti APU dan Barisan Alternatif. Bila PKR mengalami kelam-kabut, PAS tentunya tidak ingin berkongsi dengan DAP. Tentunya, PAS akan terus dilenyek jika bersengkongkol dengan DAP tanpa berlapik dengan PKR. PAS dan DAP akan kekal sebagai parti politik pembangkang, kerana keduanya sudah sekian lama menguji pengaruh dan mempunyai penyokong tegar.

PKR masih belum teruji kerana semakin sehari semakin menurun sokongan. Setelah gagal dalam percubaan 16 September, PKR seolah-olah hilang pedoman. PKR tidak selantang dulu, kerana PKR hanyalah bergantung kepada kekuatan Anwar. Anwar dah pun jadi Ketua Pembangkang, tidak lagi berkokok sana sini seperti ayam betina, bertelor sebiji riuh sekampung. TAk tahu lagi sama ada telor itu berguna atau tidak, riuhnya melebihi gempita penundaan Konsert Beyonce Knowless.

Bercakap dengan sombong, kononnya dialah yang memperjuangkan anggota tentera suatu masa dulu. Dan, lantaran itu mengkritik bajet kerana tidak memberikan perhatian kepada sektor pertahanan. Maka adalah yang cerdik tanya, diam membisu kerana itu semasa dalam kerajaan. Bila di luar kerajaan tidak ada apa yang Anwar lakukan untuk industri pertahanan. Bawa dan hasut orang lain bencikan Malaysia adalah. Inilah sebenarnya harus ditentang, jangan sampai menjual maruah negara kepada orang lain (suku-sakatnya di USA, Eropah dan Indonesia).

Soal maruah negara perlu dipertahankan walaupun berbeza politik. Kalau nak marah sekali pu janganlah sampai meminta bantuan puak-puak tu yang memang nak cari jalan menjajah Malaysia. Jangan jadi tali barut. Cukuplah sekadar mengenangkan nasib orang Melayu semasa Melaka diserang Portugis atau terbubuhnya Hang Nadim kerana kecerdikannya mempertahankan Pulau Temasik.

Ingatlah, Malaysia masih negeri Melayu. Jika mempersoalkan orang Melayu bermakna mempersoalkan kedaulatan kuasa orang Melayu. Itu sahaja yang masih ada dan dipegang, yang lain semuanya telah diambil orang walaupun ada Dasar Ekonomi Baru. Siapa yang lebih untung melalui DEB? TAk payahlah nak berlakon, cuma nak tanya sikit, semasa memegang kuasa, apa dah buat dengan Melayu Pulau Pinang?

Berjayakah mereka melepaskan diri dari hagemoni politik Cina? Mana pergi ramai-ramai orang Melayu Pulau Pinang sekarang? Rumah mereka semakin sehari semakin ropong, tanah diambil orang. Apa dah jadi dengan Pondok Upih? 400 ekar kena ambil nak buat universiti dengan kerjasama Universiti Nanyang. Bukankah universiti Cina tu? Kalau buat perkampungan orang Melayu lagi bagus, kerana nak beli rumah memang tak mampu. Mahal sangat, tengoklah di South Bay yang sedang dalam pembinaan tu.

Itu belum kira lagi dengan the Oasis atas tanah Kg. Buah Pala. Tak tahu berapa kerat orang Melayu boleh beli? Nantinya suatu hari nanti, Kg Melayu Gelugor akan terkubur. Kg. Melayu Air Itam masih ada, tapi bukan kampong yang ada, semuanya rumah pangsa yang dihuni secara bercampur. Orang Melayu boleh berkongsi, tapi kenapa huatuan telah pun tidak mahu menerima sekolah satu aliran?

Wednesday, August 5, 2009

MERENUNG FIKIRAN SYED SHEIKH AL-HADI TENTANG NASIB ORANG MELAYU


http://upload.wikimedia.org/wikipedia/ms/a/ae/Syedsheikhalhadi.jpg


SYED SHEIKH AL-HADI (1867 hingga 1934), seorang tokoh wartawan dan pemikir Islam, 83 tahun lalu pernah mengingatkan orang Melayu bahawa:

"Janganlah tertipu daya kamu dengan angkatan dan pangkat kebesaran gelaran pembesar-pembesar kamu kerana mereka itulah asal segala bala yang telah menimpa ke atas kamu itu dan mereka itulah sehingga masa ini sebesar-besar penolong segala bangsa-bangsa yang telah menindih dan hendak menindih akan kamu."

Tulisan itu tersiar di dalam majalah Al-Ikhwan, Oktober 1926, dengan tajuk "teriakan yang sebenar" kemudian Dr. Alijah Gordon mengumpulkan semua tulisan-tulisan kritis tokoh pejuang Melayu-Islam dan wartawan itu ke dalam buku The Real Cry of Syed Sheikh Al-Hadi, dan diterbitkan oleh Malaysian Sosiological Society, 2001.

Ingatan keras itu memberikan saya satu tafsiran baru apabila merenung pola politik baru Malaysia yang dianggap sedang berkembang di Malaysia. Saya amat bersetuju dengan Dr. Redhuan Tee Abdullah yang menulis mengenai sikap bukan Melayu yang terlalu mendesak supaya orang Melayu mengorbankan haknya. Saya juga menjadi amat marah apabila bukan Melayu menuduh orang Melayu yang memperjuangkan hak dan kedudukannya sebagai rasis, tetapi yang sebenarnya lebih rasis ialah mereka sendiri.

Tidak pernah berlaku dalam mana-mana negara apabila penduduk asal mengkisahkan kumpulan imigran yang telah diberikan kerakyatan diminta untuk menuntut maaf dan dikenakan tindakan. Ini berlaku kepada orang Melayu, tetapi bukan Melayu yang mempersoalkan kedudukan orang Melayu tidak pula diberikan amaran dan diminta memohon maaf secara terbuka.

Kerana orang Melayu sanggup bertoleransi dan melupakan keceluparan bukan Melayulah maka mereka semakin lantang mempersoalkan apa sahaja yang hendak dilakukan demi survival penduduk asal. Yang semakin pelik ialah ada orang Melayu sendiri melupakan siapakah dirinya sebenar sehingga sanggup membiarkan bukan Melayu memperkudakannya.

1 Ogos 2009 lalu membuktikan telatah sebenar. Yang menuntuk supaya ISA dimansuhkan kebanyakannya bukan Melayu dengan sokongan sebahagian pemimpin Melayu yang lupa diri. Dia lupa diri kerana ingin melawan arus setelah diberikan peluang menyusur arus, dia tidak melakukan perubahan dan asyik membina keangkuhan peribadi dan beretorik. Yakin dengan sokongan retoriknya, ia sanggup menolak batu ke jalanan. Setelah berada di jalanan, ingin sekali lagi mendaki ke puncak, maka diciptalah gelombang kebangkitan anarkisme.

Mempersoalkan apa sahaja sehingga memuntahkan apa yang ada dalam perut orang lain. Belum pun orang lain melakukan sesuatu, andaian sudah dibuat kononnya orang itu tidak mampu. Yang lebih mampu ialah dirinya sendiri. Walhal, dirinya penuh dengan parut, kudis dan panau yang perlu dibersihkan terlebih dahulu.

Kudis dan panau disumbatkan pelbagai ubat moden yang mampu memperlihatkan keanggunan wajah tempelan. Dicari pelbagai herba, kerana percaya dengan kekuatan herba itulah akan menaikkan momentum dirinya untuk menolak semula batu ke puncak kuasa. Barangkali, jika Syed Sheikh al-Hadi masih hidup, almarhum bukan sahaja akan menangis mengenangkan nasib orang Melayu yang cuba dihancurkan oleh orang Melayu sendiri. Kalaupun Hang Tuah masih ada, mungkin jiwa Hang Jebat akan meresap masuk menghunus Taming Sari kerana Tidak Mahu Melayu Hilang Di Dunia.

Kepada orang Melayu yang sudah lama diperkudakan, kembalilah ke pangkal jalan walaupun perahu sudah terlanjak. Jangan muda terpedaya dengan tipu daya sebilangan pemimpin yang hanya ingin sangat menongkah arus, tetapi kekuatannya hanyalah sekadar mampu meniupkan pergerakan perahu-perahu kertas, seperti pernah diungkapkan oleh Sapardi Djoko Damono

Tak payah bersengkang mata membicarakan ilusi yang boleh menyayatkan hati orang Melayu. Politik Melayu sedang berada di persimpangan jati diri, maka bersatulah demi pertiwi dan kedaulatan bangsa kita yang memangnya berasal dari sini. Orang Melayu tidak ada lagi negara lain, kerana kita bukanlah pendatang walaupun sebahagian kecil kita berasal dari Sumatera atau Sulawesi. Kita masih dalam lingkungan Kepulauan Melayu, dan jika kita tidak, mahu ke mana nanti apabila kita sudah tidak menjadi tuan lagi?