Showing posts with label geopolitik melayu. Show all posts
Showing posts with label geopolitik melayu. Show all posts

Tuesday, March 2, 2010

Orang Melayu Pulau Pinang Semakin Terpinggir

Oleh Kamal Ahmad
bhrencana@bharian.com.my

Dasar kerajaan negeri DAP hakis hak keistimewaan, kuasa beli hartanah Bumiputera
MELAYU tidak mampu lagi tinggal di Pulau Pinang berikutan kenaikan harga rumah dan percukaian hartanah. Di mana mereka tinggal sekarang? Kebanyakan dalam rumah kecil dan sesak seperti Tanjung Tokong dan Rifle Range.

Mereka turut menghuni rumah pangsa satu bilik, di atas tanah wakaf, tanah terbiar, 'tanah tumpang' atau tanah Tol kerajaan. Berdasarkan ringkasan laporan disediakan bersama Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU), pemilikan tanah Melayu di sebelah pulau merosot berikutan perpindahan mereka ke Daerah Barat Daya selain Seberang Prai Utara, Seberang Prai Tengah.

Ramai Melayu turut berhijrah ke negeri lain seperti Kedah dan Perak. Semua kawasan ini dianggap tidak strategik, nilai ekonominya rendah, kurang membangun serta kawasan pertanian. Bukan Bumiputera menjadi majoriti di Daerah Timur Laut dan Seberang Prai Selatan. Kawasan itu sangat pesat termasuk membabitkan projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan projek Penang Global City Centre (PGCC), sedangkan pemilikan tanah Melayu di daerah itu semakin mengecil.

"Orang Melayu yang tinggal di kawasan miskin dan sesak dalam bandar ini akan melahirkan fenomena dinamakan kemiskinan bandar yang kesannya antara lain gejala sosial. Mereka juga berada pada kedudukan paling bawah dalam rantaian nilai.
"Kalau kerajaan negeri menyedari masalah Melayu terpinggir di Pulau Pinang maka perlu dan tiba masanya untuk mereka duduk bersama mencari satu pelan tindakan baru untuk menyelesaikan keadaan sekarang ini. Kita lihat tidak ada (tindakan kerajaan)," kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMM), Rizal Faris Mohideen Kadir.

Beliau berkata, pelan tindakan baru untuk Pulau Pinang bukan semata-mata bagi kepentingan Melayu malah mencakupi soal isu pelancongan, mengekalkan status Tapak Warisan Dunia dan soal pembangunan.

"Bila permasalahan Melayu seperti isu meroboh gerai, merampas barang perniagaan dan tindakan menyaman tidak selesai, ini seolah-olah organisasi Melayu tidur dan tak buat kerja pada hal kami menjuarai isu ini sejak hari pertama lagi.

"Akhirnya, kami bersama badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di Pulau Pinang termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berpakat serta nekad bahawa sudah cukup kita berunding, beri teguran dan nasihat. Kini tiba masanya orang Melayu menunjukkan kemarahan kepada kerajaan negeri.

"Berapa lama kita nak duduk dan lihat. Takkan sehingga lenyap orang Melayu (di Pulau Pinang), baru kita nak ambil tindakan," katanya merujuk kepada tindakan orang Melayu mengadakan perhimpunan di Bangunan Komtar, baru-baru ini.

Rizal turut mendakwa Lim Guan Eng melakukan penghantaran delegasi termasuk perdagangan ke Singapura bagi memperhebatkan perhubungan Pulau Pinang dengan republik itu.

Presiden GPMS, Jais Abdul Karim, berkata kerajaan negeri juga difahamkan hendak menggubal undang-undang baru berhubung notis meroboh gerai haram tidak lagi memerlukan tempoh 30 hingga 50 hari tetapi dilakukan dalam masa 24 jam tanpa perlu sebarang notis.

"Juga difahamkan, kerajaan negeri hendak 'menghalalkan' peniaga Batu Feringgi yang merangkumi 99 peratus Cina. Kenapa ada sikap sebegini?" katanya.

"Saya nampak matlamat kerajaan negeri mudah saja. Melayu (di Pulau Pinang) hendak dijadikan seperti di Singapura. Lee Kuan Yew dan Lim Guan Eng umpama mentor dan protege. Kehadiran Kuan Yew dulu memang inilah matlamatnya untuk ajar Guan Eng bagaimana untuk sisihkan Melayu Pulau Pinang dan seolah-olah kami hidup bergantung kepada dia.

"Kita bukan bermusuh dengan penduduk Cina dan India yang ada tetapi masalahnya ialah Guan Eng. Itu adalah fokus masalah kita," kata anak jati Kampung Melayu Tanjung Tokong itu.

Beliau mengimbas kembali janji pemimpin parti pembangkang dalam kempen pilihan raya umum 2008 lalu, bahawa perkampungan Melayu di Tanjung Tokong akan dijadikan tanah warisan. Tetapi selepas mengambil alih kerajaan negeri, mereka mendakwa tiada kuasa dan kawasan itu adalah tanah Kerajaan Persekutuan.

"Bagi saya, ini satu pembohongan dan penipuan yang sejelas-jelasnya kepada orang Melayu di Tanjung Tokong yang memberi kepercayaan kepada mereka, kononnya mengundi mereka adalah demi mempertahankan tanah berkenaan. Hari ini, orang Melayu di Tanjung Tokong masih lagi berhempas pulas dan berjuang untuk mempertahankan tanah itu," katanya.

Perkampungan yang dihuni 3,000 penduduk itu adalah tanah Tol yang sudah dibatalkan hak milik oleh kerajaan negeri. Dengan mencadangkan statusnya ditukar kepada kampung warisan maka kampung itu akan dikekalkan.

"Kalau berani, kami cabar kerajaan negeri untuk datang dan robohkan perkampungan kita. Lihatlah apa tindakan kita. Jadi kami kini umpama tinggal di perkampungan setinggan sebab tidak tahu tanah itu hak milik siapa. Dia nak halau kami bila-bila masa saja boleh," katanya.

Beliau difahamkan kawasan itu hendak dimajukan dengan pangsapuri mewah yang mencecah RM1 juta seunit dan penduduknya yang 100 peratus Melayu akan dipindahkan ke lokasi lain.

"Bagaimana orang Melayu di kampung itu yang kerja kilang dengan gaji RM1,000 sebulan nak beli rumah itu? Semua ini bertujuan menghalau orang Melayu dari pulau ini dan pulau ini hanya boleh diduduki orang yang berpendapatan tinggi," katanya.
Sebaliknya, kerajaan negeri menjemput penduduk Singapura dan Hong Kong datang mendiami Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka.

Jais turut mendedahkan dasar komuniti perniagaan dan sektor swasta Cina di negeri itu yang mewajibkan syarat menguasai bahasa Mandarin untuk calon yang mahu mencari pekerjaan. "Perkara itu adalah mustahil bagi orang Melayu. Ini benda yang tak masuk akal dan kita sedar bahawa inilah agenda dia sebenarnya dan ke mana arah dia nak bawa Pulau Pinang ini memang cukup jelas bagi kita," katanya.

Nota: Tolong tengok juga bagaimana projek-projek mewah telah dibangunkan di sekitar kampong Melayu Batu Maung (contohnya South Bay) yang tentunya menakutkan. Kawasan Relau pun sudah habis, kini Balik Pulau menjadi sasaran untuk dibangunkan pelabagai projek mewah, termasuk kawasan pelancongan baru di Pulau Betong. Siapa beb yang dapat banyak faedah, akhirnya semakin ramai Melayu berpindah ke Kulim kerana kilang pun banyak sudah pindah operasinya. Orang Melayu banyak mengharapkan kerja kilang, tapi apa dah jadi apabila sewaktu perayaan Melayu, mereka gandakan kerja lebih masa, tetapi bila perayaan bukan Melayu, kilang ikut lebaran.

Ramai lagikah Melayu Pulau Pinang tak sedarkan diri bagaimana sedikit demi sedikit kuasa dan kedudukan mereka sedang dihakis?

Sunday, August 16, 2009

MELAYU PULAU PINANG SEMAKIN TERNGADAH

Setelah pakatan pembangkang yang diketuai oleh DAP mentadbir Pulau Pinang dengan dorongan Parti Keadilan Rakyat, kemelut politik Melayu menjadi semakin parah. Usaha halus yang dibuat oleh DAP untuk melenyapkan koloni atau penempatan Melayu menjadi semakin getir dan cemas.
Langkah pertama yang dilaksanakan oleh Guan Eng ialah menukarkan status tanah pertanian dengan kawasan petempatan dan ini membuka ruang kepada bukan Melayu memiliki hartanah dengan mudah disebabkan ketidaksanggupan orang Melayu membeli rumah-rumah mewah yang dibina oleh pemaju. Harga sebuah rumah teres di Pulau Pinang melebihi daripada harga jualan di lain-lain negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Untuk sebuah rumah teres dua tingkat berukuran 20 x 70 kaki, harganya mencecah lebih RM 400,000 berbanding di sekitar Puchong dalam lingkungan RM 250,000.00. Begitu juga dengan kawalan kerajaan negeri terhadap pembinaan rumah, tidak meletakkan syarat ketat terhadap pemaju untuk membina rumah mampu milik untuk Bumiputera. Ini dapat dilihat melalui pembangunan South Bay di sekitar Batu Maung, yang menjadi laluan utama Jambatan Kedua, orang Melayu akan terlopong melihat keindahannya.
Lim Guan Eng sejak mentadbir Pulau Pinang telah mengambil tanah seluas 140 ekar di Pondok Upeh, Balik Pulau untuk dijadikan kampus sebuah universiti yang bakal menjadi pusat pengajian orang-orang Cina. Universiti tersebut mendapat kerjasama Universiti Nanyang, Singapura dan kerana itulah hampir setiap minggu Lim Guan Eng bertandang ke nagara tersebut untuk mendapat bantuan kepakaran dan dana.
Semasa kunjungan Lee Kuan Yew ke Pulau Pinang beberapa bulan lalu, Lim Guan Eng telah melahirkan keinginan untuk bekerjasama dengan Menteri Mentor tersebut dan meminta supaya Singapura membantu. Dan, kerana mempunyai kepentingan strategik, sekurang-kurangnya kepentingan strategik kaum Cina, Lee Kuan Yew yang dianggap sebagai giodfather DAP itu akan sedia membantu. Sebagaimana lazimnya, Lee Kuan Yew akan membuat tafsiran dengan mendeskreditkan Pulau Pinang sebagai "terlalu perlahan" kerana itulah ia perlu dibantu.
Hampir setiap minggu Lim Guan Eng menemui pemimpin-pemimpin Singapura dan menggunakan tiket penerbangan kelas pertama. Kalau untuk penerbangan dalam negara, Lim Guan Eng menunjukkan sikap rendah diri dan berminat dengan kelas penerbangan sebagai sandiwara politik.
Apa yang beliau lakukan hampir setiap minggu mengunjungi Singapura? Tentunya membincangkan bentuk kerjasama yang boleh diberikan oleh Singapura, kerana Singapura memangnya begtu agresif untuk menguasai geopolitik Malaysia. Kalau tidak tentunya kita tidak akan curiga dengan pengguna-pengguna bermotosikal kuasa besar dari republik itu yang saban hari mengunjungi Malaysia untuk mengintip, mengumpul maklumat dan seterusnya mengambil gambar-gambar perairan negara.
Kalau bukan tujuan sedemikian, untuk apakah mereka datang dan menghabiskan masa mengunjungi kawasan-kawasan tertentu di samping merekodkan keadaan topografi, masa dan had air pasang dan surut, kedalaman teluk dan kesukaran masuk oleh kerana dasar muara berbatu dan sebagainya.
Dengan cara mengundang bantuan Singapura sebenarnya Lim Guan Eng secara halusnya berusaha meminggirkan geopolitik orang Melayu di Pulau Pinang. Berusaha mendapat kerjasama pembangunan universiti di Pondok Upeh dengan Singapura akan menyebabkan Balik Pulau yang dianggap sebagai benteng terakhir kekuatan Melayu semakin senget. Pembangunan univesiti akan menyebabkan permintaan terhadap perumahan menjadi semakin besar dan ini memungkinka tanah-tanah kepunyaan orang Melayu secara "terpaksa" dibangunkan.
Apabila tanah-tanah orang Melayu dibangunkan "secara paksa", bilangannya akan menjadi semakin susut dan golongan muda yang tidak mampu membeli unit-unit tersebut akan terus berhijrah ke kawasan lain. Balik Pulau suatu ketika nanti akan didominasi oleh pengundi Cina. Kita dapat lihat bagaimana Lim Guan Eng telah mengamalka campur tangan dalam pentadbiran apabila meletakkan seorang pegawai daerah bukan Melayu di daerah Barat Daya yang penduduk majoritinya Melayu. Tentunya, sentimen kecinaan itu akan membantu strategi politik rasis yang terselindung di sebalik slogan kredibiliti, akauntabiliti dan transparensi (CAT).
Tidak cukup dengan cara itu, Lim Guan Eng ingin cuba mengkhianati orang Islam apabila cuba mencampuri pengurusan zakat. Ia mempelajari kaedah yang digunakan oleh kerajaan Selangor, menggunakan duit baitulmal untuk semua kaum sedangkan yang menyumbangkan dana tersebut adalah orang Islam. Soal hak tidak dijadikan alasan kuat kerana prinsip pakatan pembangkang ialah "sama rata dan sama rasa" maka bukan Islam perlu juga mendapat bahagian dalam sistem pengurusan zakat atau baitulmal.
Cadangan membangunkan Pulau Betong sebagai destinasi pelancongan baru turut menyebabkan masyarakat "terhalau secara halus" oleh Lim Guan Eng apabila membenarkan hotel-hotel bertaraf antarabangsa dibangunkan. Tanah-tanah orang Melayu di situ sekali lagi akan mengalami "revolusi pertukaran milik" secara terpaksa dan halus demi membuktikan kepimpinan pakatan pembangkang berjaya membangunkan Pulau Pinang sebagai syurga pelancongan baru.
Benar dalam kerajaan negeri ada pemimpin Melayu. Apa pemimpin Melayu telah buat. Apakah Mansor sedang membuat kajian lapangan sejauhmanakah orang Melayu semakin terpinggir hanya sekadar bahan ilmiah? Di manakah penemuan-penemuan impirikal Mansor selama ini mengenai keluh-kesah Melayu Pulau Pinang boleh diadaptasikan dengan langkah berani "berkhidmat untuk rakyat dan Melayu Pulau Pinang."
Tak payah dengan hanya berkain pelikat menyusur pekan dan pasar Bayan Baru sekadar menunjukkan prihatin kepada peniaga kecil, tetapi hakikat hanya setakat hadir di situ. Balik ke pejabat, bila berhadapan dengan Ketua Menteri senyap seribu bahasa, bak tikus jatuh dalam beras, kata arwah Mak Haji yang terkenal di Sungai Gelugor sedikit masa dahulu.
Orang Melayu Pulau Pinang amnya dan Permatang Pasir khususnya perlu sedar, gerakan halus DAP semakin meminggirkan kedudukan mereka. Nak mengharapkan PKR menghalang atau Anwar membantah tak payah lah kerana DAP dah berjanji dan bermuafakat untuk menyokong beliau menjadi Perdana Menteri walaupun dalam bayangan. Hidup mati Anwar ialah nak jadi Perdana Menteri, yang lain dia tidak peduli walaupun DAP mengkhianati orang Melayu sendiri, iaitu bangsa dan agama Pemimpin Umum PKR itu.