Thursday, March 25, 2010

BENTENG PAKATAN RAKYAT KIAN SENGET

Tsunami politik dikatakan berlaku sebaik sahaja keputusan pilihan raya umum ke-12 diumumkan menyebabkan Barisan Nasional dihentam hebat oleh ombak-ombak rasa tidak senang rakyat. Atas semangat itulah Pakatan Rakyat terus mencipta ombak pilihan raya sepanjang masa sehingga menjadikan perdebatan mengenai politik menjadi terlalu panjang meskipun keputusan siapa yang mentadbir negara telah disahkan secara jelas.

Selepas dua tahun keputusan tersebut, hentakan ombak tsunami yang pernah melanda Barisan Nasional semakin membadai benteng sementara yang dibina oleh Pakatan Rakyat tanpa tetulang konkrit yang kukuh. Sehingga kini, parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat masih belum mendaftarkanya sebagai sebuah pertubuhan secara sah manakala konsep perkongsian kuasa antara mereka secara teorinya tidak sempurna.

Konsep perkongsian kuasa antara parti dalam Pakatan Rakyat masih berbentuk sementara dan berasaskan matlamat yang rapuh atau bagi setengah pihak menamakannya sebagai perkahwinan mutaah. Perkahwinan mutaah boleh dibubarkan bila-bila masa tanpa mempunyai sebab yang jelas dan memohon perisytiharan secara sah, ianya berdasarkan “kalau suka saya terima, kalau tak suka saya tolak.”

Tsunami dalam Pakatan Rakyat mengenai perkongsian kuasa mula menghadapi masalah sejak mula ianya ingin dibentuk. Penentuan awal Menteri Besar Perak, yang dibayangkan oleh wakil rakyat DAP akhirnya menemui jalan buntu apabila Paduka Sultan Perak hanya memperkenankan calon yang beragama Islam. Ekoran dari itu, pemimpin DAP mula menunjukkan penentangan meskipun akhirnya merestui wakil rakyat PAS, Datuk Seri Nizar Jamaludin yang hanya mempunyai jumlah kerusi tercorot berbanding DAP dan PKR.

Benteng politik PKR menjadi semakin goyah apabila dua orang wakil rakyatnya mengisytiharkan diri keluar parti dan berdiri sebagai wakil rakyat bebas tetapi menyokong BN. Seorang lagi wakil rakyat DAP membuat keputusan yang sama sehingga menjadikan kedudukan Menteri Besar Perak berubah dalam tempoh hanya 11 bulan hayat kuasa pentadbiran negeri. Perak pernah menjadi negeri terkuat dari segi pengaruh DAP suatu ketika, kembali menjelma semula dalam pilihan raya umum ke-12.

Keriuhan rancangan menyelamatkan benteng Pakatan Rakyat terus diperlakukan secara lebih berstrategi dengan hayunan semangat menukar kerajaan pusat apabila penasihat PKR selesai menjalani tempoh “tahanan berpolitik” pada 14 Mac 2008 dan kembali ke gelanggang politik apabila menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008. Dengan menetapkan destinasi perjalanan ke Putrajaya dalam kempen yang muncul sebagai terbesar dan terhebat dalam sejarah pilihan raya kecil, Anwar menjadi semakin garang dan lantang mengkambinghitamkan sesiapa sahaja yang dilihat sebagai penghalangnya.

Dengan menggunakan pelbagai muslihat dan tipu daya, perubahan kepimpinan kerajaan pusat pada 16 September 2009 dilebarkan hingga terasa ke tulang sumsun sebahagian besar rakyat. Rakyat turut yakin bahawa hasrat itu akan tercapai, kerana lukah yang ditahan di tengah pergentingan rasa tidak puas hati wakil-wakil rakyat BN kerana kurang diberikan tempat dalam perlantikan kabinet oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dan momentum kritikan bekas Perdana Menteri mengenai kepimpinan penggantinya itu telah membantu meningkatkan harapan.

Walau bagaimanapun, beberapa hari sebelum tarikh tersebut menjadi realiti perubahan kepimpinan, Pakatan Rakyat kian cemas apabila sebahagian besar mereka yang dikatakan berjanji “akan menyeberang” menyertai kelompok mempelajari teknik pertanian di Taiwan. Maka, kerana tidak mahukan ianya menjadi halangan besar, ahli parlimen Batu dan rakan-rakannya ditugaskan untuk memburu meskipun perburuan itu tidak menoktahkan sebarang hasil, satu perhimpunan telah dibuat di Stadium Melawati dengan mengisytiharkan kemasukan Datuk Zaid Ibrahim ke kubu PKR.

Datuk Zaid Ibrahim yang menghadapi masalah kerana turut tidak diterima oleh bekas bahagian UMNO yang pernah dipimpinnya, pernah mengkritik prosedur undang-undang negara dan tidak bersetuju dengan beberapa perkara dasar telah meletakkan jawatan sebagai menteri cabinet yang diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri ketika itu untuk mereformasikan sektor undang-undang dan kehakiman negara.

PKR menganggap dengan kemasukan Datuk Zaid Ibrahim parti itu mendapat suntikan lebihan kuasa pecut, tetapi rupa-rupanya setiap pendedahan yang dibuat oleh beliau tidak menjadikan parti itu semakin diyakini. Zaid akhirnya mengalami desakan emosi untuk mengendurkan aktiviti apabila usahanya untuk memperkukuhkan PKR Sabah menerima halangan dari Azmin Ali yang menjadi tokoh harapan dan Naib Presiden tambatan calon Perdana Menteri.

Tertangguhnya idea pertukaran kerajaan pada 16 September 2008 menjadikan pemimpin PKR bukan sahaja kempunan tetapi juga kehilangan arah perjuangan yang kental. Bagi membendung kesan pendulum tersebut, Anwar terus menyakinkan sekutunya dalam Pakatan Rakyat bahawa akan menjadi realiti dalam masa terdekat dan merubah sasaran berikutnya kepada pilihan raya umum ke-13.

Seperti dikupas oleh Niccolo Machiavelli (1469-1527), seorang ahli falsafah politik Itali zaman renainsance, terdapat dua kaedah untuk mendapat kuasa, iaitu dengan undang-undang dan menguji kekuatan. Pakatan Rakyat menggunakan undang-undang dengan pelbagai ruang yang difikirkan boleh membantu, termasuk mencabar kesahihan perkenaan Paduka Sultan Perak perlantikan Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar, mendefinasikan semula kuasa-kuasa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan berbanding Undang-undang Tubuh Negeri Perak, mencabar keputusan pemecatan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr. Mahathir, saman malu dan sebagainya bagi menggambarkan bahawa undang-undang yang ada tidak berpaksikan prinsip keadilan. Walau bagaimanapun, rakyat mula berfikir dan berubah arah kerana setiap keputusan yang menyebelahi pembangkang dianggap adil manakala keputusan berlawanan dianggap sebagai zalim.

Dengan melemparkan pelbagai tujahan kata-kata dan serangan bertubi-tubi menjadikan beberapa institusi yang berhubung dengan penguatkuasaan dan pemeliharaan keselamatan negara semakin bergoncang dan dipersoalkan. Ini turut memaksa badan-badan tersebut menilai semula perkhidmatannya dan membaiki kelemahan bagi membolehkan rakyat melihat penyampaian perkhidmatan menjadi yang terbaik. Arah dan tujuan perkhidmatan awam menjadi semakin berubah, sehingga secara radikalnya penjawat awam mengalami trauma kerana turut dibebankan dengan kesalahan politik.

Benteng pertahanan PKR seterusnya menjadi semakin terjerat apabila idea kerajaan perpaduan antara “PAS dan UMNO/BN” ditimbulkan sebagai cadangan. Bukan sahaja pemimpin kerajaan mengharapkan ianya bakal berlaku, malah pemimpin tertinggi PAS mengharapkan demikian bagi memperkuatkan benteng pertahanan Islam kerana bukan Islam yang berada dalam Pakatan Rakyat semakin mendesak dan bercadang meliberalkan beberapa kekangan yang dilihatnya sebagai keterlaluan.

Walau bagaimanapun, kerana “memegang kepada janji politik”, Mursyidul Am PAS menjadi hysteria dan bertempik kuat untuk menghalangnya, termasuk mengkritik tokoh akademik yang membuat ulasa mengenai senario tersebut. Sebahagian penyokong PAS menjadi cemas dan keliru, manakala Anwar dan DAP secepat kilat memulakan proses mencerna semula pemuafakatan, dan bersama-sama membuat pengisytiharan bahawa “pintu rundingan kerjasama sudah tertutup.”

Kunci yang dipegang antara mereka nampaknya bukanlah terlalu kebal kerana selepas itu wakil rakyat PKR menjadi kian terhakis pesonanya terhadap kepimpinan dan kerjasama antara parti dalam Pakatan Rakyat. PAS Selangor menjeruk rasa marah apabila usaha untuk mengekang penjualan arak secara terbuka di kedai-kedai runcit, kuasa ahli politik yang dipertanggungjawabkan ke atas hal-ehwal Islam diperkecilkan oleh Menteri Besar yang dipengaruhi oleh DAP dan bukan Islam dalam PKR, melanjutkan operasi kelab malam di kawasan tumpuan pelancong, isu kepala lembu berbanding kepala babi hutan, melawat mangsa banjir dan sebagainya melenturkan harapan pembelaan dan pembudayaan mesra pengundi.

Wakil Rakyat PKR membuat keputusan dengan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat bebas dan ini menyebabkan kekuatan suara PKR tidaklah selantang ketika tsunami melanda BN. Penambahan wakil rakyat bebas di Dewan Rakyat menjadikan DAP semakin dominan dan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang sedikit tercabar. Walau bagaimanapun, kerana menghormati kesungguhan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, veteran DAP yang pernah mencadangkan dua jawatan Timbalan Perdana (satu untuk orang Melayu dan satu lagi bukan Melayu) tidak mahu dilihat terdesak mengambil sikap memberikan laluan kepada beliau.

Namun, ucapan sulong wakil rakyat Bayan Baru sebagai wakil bebas di Dewan Rakyat pada 17 Mac lalu menjadikan ketua pembangkang hampir sesak nafas. Dengan mengajak bersama wakil rakyat dari PKR keluar dewan, Anwar pada malamnya berangkat ke luar negara dengan alasan untuk berucap mengenai kepelbagaian agama dalam masyarakat berbilang kaum dan menemui rakan karibnya yang pernah membantu reformasi jalanan pada tahun 1998 di London.

Anwar yang bakal memberikan penjelasan pada hari Selasa di atas dakwaannya bahawa APCO Worldwide adalah syarikat yang mempromosikan 1Israel turut menjadi syarikat yang mencetuskan 1Malaysia dijangka akan mencari kaedah retorik yang berlawanan. Ini adalah strategi lazim yang digunakan oleh beliau sebagaimana telah dibincangkan oleh Muthurasan, penulis buku Strategi Kemenangan Anwar. Muthurasan memanggilnya sebagai teori kelam-kabut atau chaos. Teori tersebut turut dikenali sebagai teori kupu-kupu yang sifatnya akan berjangkit dari satu dahan ke dahan yang lain walaupun antaranya tiada kaitan.

Jika benar 1Malaysia ditiru dari 1Israel, tidak bermakn kedua gagasan itu mempunyai persamaan. Gagasan 1Israel lebih menekankan kepada pembinaan kekuatan sikap rakyat Israel agar membenci semua etnik yang berlainan kerana bangsa Yahudi merupakan bangsa pilihan. 1Malaysia mengutamakan perpaduan antara kaum, dan antara pelbagai etnik tidak pula disarankan agar etnik yang berbeza dihapuskan. Penghapusan etnik menjadi matlamat terselindung dalam 1Israel, terutamanya bangsa Palestin.

Perkembangan terbaru ialah sikap pelampau Yahudi yang cuba menanamkan kebencian terhadap seorang supermodel yang dikatakan sedang bercinta dengan Leonardo di Capro, hero filem Titanic. Pelampau Yahudi menegaskan melalui perkahwinan campuran, akan melenyapkan identiti Yahudi dan ini merupakan sesuatu yang wajib dihalang.

Berbanding 1Malaysia, tidak ada halangan perkahwinan campur asalkan perkahwinan tersebut tidak bertentangan dengan budaya dan agama pasangan masing-masing.
Realiti politik baru nampaknya sedang menyanggah kembali terjahan ombak tsunami dari BN kepada Pakatan Rakyat. Apakah terjahan kedua ini akan menenggelamkan kapal Pakatan Rakyat yang semakin bocor dan senget sehingga tidak lagi mampu belayar mengharungi samudera pilihan raya umum ke-13? Atau hanyalah sekadar menenggelamkan papan catur strategi Anwar untuk ke Putrajaya dan menjadi Perdana Menteri kerana beliau terlalu riak dan takbur bahawa dirinya sahajalah yang mampu dan terbaik?

Walau apapun telahannya nanti, sudah ada petanda yang jelas bahawa benteng Pakatan Rakyat yang dibina tanpa tetulang konkrit itu semakin tidak mampu menahan terjahan ombak tsunami yang ditolak oleh arus songsang ombak realiti politik baru yang muncul setelah gagalnya impian 16 September 2008. Bentengnya semakin senget, mungkinkah akan rebah? Takdir menentukan segala-galanya.

No comments:

Post a Comment